Showing posts with label ROTU. Show all posts
Showing posts with label ROTU. Show all posts

Sunday, October 24, 2010

Staff Fakharuddin Yang Budiman


Salam Skot,

Kisah di hutan saya rehatkan seketika untuk kerja-kerja mencuci 'internal hard disk' yang dah berkarat teruk. Namun nama Staff Fakharuddin adalah antara nama besar yang masih tak dapat nak dilupakan. Di dalam istilah ketenteraan, gelaran Staff adalah nama panggilan kepada anggota tentera 'lain-lain pangkat' dengan kata mudahnya untuk mereka yang berpangkat Korperal ke bawah. Jika dikira dari segi pangkat, Staff Fakharuddin hanyalah 'machaie'. Bahkan orangnya pun bertubuh kecil, hanya separas bahu saya sahaja.

Yang membuatkan saya teringat sangat kepada beliau adalah sikap beliau yang cukup lain daripada yang lain. Beliau sering memuji kami para pelajar universiti secara terang-terangan biarpun kami sendiri tidaklah terasa hebatnya menjejak kaki di menara gading. Beberapa kali saya mendengar beliau mengajar sambil berdoa agar agar anak-anak beliau dapat mengikuti jejak langkah kami yang belajar di universiti. Kami cukup bertuah mendapat khidmat Staff, biarpun ketika itu saya sudah di tahun kedua dan sudah hampir dengan tempoh pencen pilihan daripada ROTU...

Saya sendiri sering terharu apabila tiba giliran beliau mengajar kerana orangnya sangat budiman, malah bahasanya pun persis seniman. Pernah suatu ketika semasa khemah tahunan, saya sengaja buat-buat rajin semata-mata untuk mengikut beliau menjalankan tugas. Staff cukup kaya dengan pengalaman hidup malah tidak kedekut untuk berkongsi dengan anak-anak didiknya. Sifat itu yang membuatkan saya 'respek habis' kepada beliau.

Namun, cerita paling menarik tentang Staff Fakharuddin adalah kisah beliau meminum air kumuran kami setelah didendanya kami beramai-ramai dengan menggosok gigi menggunakan 1 berus (sebelum adanya 1 Malaysia lagi, kami di ROTU dah pakai konsep SATU ni). Kisahnya tak sempat nak diceritakan hari ini, tengoklah nanti jika memori saya kembali pulih atau ada rakan ROTU yang boleh membantu. Kata Staff semasa minum air tersebut, "Saya nak ambil berkat kamu semua, biar anak-anak saya nanti pandai-pandai seperti kamu semua". Cukuplah dahulu bercerita, doakan agar saya sempat menyambungnya nanti Insya Allah, wassalam.


Tuesday, September 7, 2010

Sebak sendirian di dalam hutan...




Salam Lailatul Qadar...

Kisah di hutan Grik yang terhenti seketika minggu lepas adalah satu hutang yang cukup liat untuk dibayar. Masakan tidak, puas saya cuba mengingat kembali beberapa kisah penting yang dirasakan perlu untuk dikongsi bersama namun CPU lama berkarat ni dah tak sebaik dahulu. Bukan kisahnya sahaja yang dah terpadam dari memori, nama rakan skot pon turut sama ter'delete'...Apa la nak jadi, mesti pasai makan maggi!

Dipendekkan cerita, kami sampai juga tapak markas setelah meredah beberapa halangan dan rintangan (termasuklah seorang rakan skot yang tercedera dikepala setelah tergelincir dan kepalanya tersadung M16 rakan). Setelah mendapat taklimat dari IC, kami semua membuat persiapan kubu masing-masing dan persiapan markas termasuklah menghantar anggota ke 'sentry'. Saya agak bernasib baik kerana ditugaskan untuk memulakan sentry ketika yang lain sibuk membuat persipan markas yang jauh lebih meletihkan badan yang dah sedia letih.

Biarpun tugas di 'sentry' antara tidur dan jaga, saya masih sempat memikirkan betapa mulianya tugas askar sebenar yang menjaga perbatasan negara. Mereka ini keluar masuk ke hutan berbulan-bulan lamanya. Meninggalkan kesedapan dunia, anak isteri dan keluarga...Saya dan rakan skot yang baru seminggu di 'tepian' hutan pon dah mula terasa separuh gila. Saya mula memikirkan kesedapan berada di dunia luar yang penuh kesenangan dan kesedapan. Terbayang di fikiran saya betapa sedapnya koeyteow kerang Iman yang menjadi favourite saya di Alor Setar, murtabak mamak di Pulau Mutiara dan pelbagai menu yang mustahil didapati di saat kami berada di dalam hutan rimba.

"Sedapnya kalau dapat lena di asrama", bisik hati saya sambil air mata jatuh berderai tanpa dipaksa. Saya sedih mengenangkan pengorbanan para tentera yang bertugas demi negara yang tercinta. Saya sedih mengenangkan betapa sukarnya kehidupan seorang insan bergelar tentera. Saya sedih mengenangkan nasib anak dan keluarga yang mereka tinggalkan tanpa berita. Saya sedih mengenangkan gaji seorang tentera yang tak seberapa. "Muga Allah mengurniakan mereka ini yang bertugas dengan ikhlas, rahmat dan pahala yang berlipat kali ganda" ameeeen...

(Nantikan kisah benar cabaran kami mengharungi sungai di malam hari)

Friday, August 27, 2010

Melabur di dalam hutan...


Salam Ramadhan...

Sejak menjadi peminat Facebook, minat saya untuk mengarang mulai luntur bagaikan kain yang direndam 'klorox'. Mungkin kerana komen di Facebook agak cepat berbalas berbanding di blog membuatkan jiwa manusia lebih kuat tertarik pada laman ini. Ada yang bercerai berai kerananya malah ada yang terjumpa jodoh di sana. Biarpun begitu, bagi saya Facebook samalah seperti TV, ada baik dan buruknya. Terpulang kepada siapa anda dan sejauh mana nak dimanfaatkannya.

Sejak dua menjak ini, saya kembali mengingat memori lama. Antara yang kembali ke ingatan adalah pengalaman berkelana di dalam di hutan yang beratapkan dedaun dan berlantaikan tanah. Tambahan pula minggu lepas, saya mendapat inspirasi seorang teman lama di USM yang sama-sama bergelar 'askar pencen' sekarang. Biarpun di dalam ROTU beliau lebih senior dari saya, umurnya sebaya dan kami sama mendaftar ke USM dari negeri yang sama. Beliau memotivasikan saya kembali ke pentas blog untuk berkongsi cerita.

Kisah budak ROTU di hutan sebenarnya lebih perit dirasa dari dicerita. Namun apabila kami semua keluar sahaja dari hutan, semua kisah perit dan bahana belasahan pegawai menjadi tanda 'kehebatan' bagi si Pencerita. Bahkan ada juga yang menjadi bahan lawak jenaka setelah mengenang kembali saat-saat getir yang dilalui, termasuk sesetengah adegan ngeri yang boleh mencabut nyawa...

Dalam semua peristiwa semasa di ROTU, yang paling terkesan di hati saya adalah semasa khemah tahunan ke-2. Kami dikerahkan ke hutan Grik (kalu tak silap saya) dan dipecahkan kepada 3 Kompeni dengan kawasan pertahanan masing-masing. Kompeni saya agak malang kerana terpaksa bergerak jauh ke atas bukit sementara 2 kompeni lain sekadar di tepi sungai dan di kaki bukit sahaja. Sebelum bergerak lagi kami mendapat ujian pertama apabila hampir separuh skot saya telah cirit-birit angkara sayuran makan tengahari yang dijamah sehari sebelumnya. Saya bernasib baik tak terkena kerana saya kurang memakan sayur, tapi masih perlu membantu membawa barangan kengkawan yang sudah lembik akibat cirit.

Melihat nasib kengkawan sedemikian, kami cuma pasrah menanti perit berikutnya kerana tempat tujuan masih lagi rahsia dan belum diketahui keadaannya. Kami semua cuma mendaki mengikut langkah jurulatih yang terkenal dengan mulut 'capoi'nya, Staff Salleh. Biarpun kami dalam keadaan perit, Staff sempat lagi membaling bom mortar secara tiba-tiba menandakan kami telah diserang. "Adoihhh, belum masuk hutan dah kena!", saya merungut sendirian. Namun semua kami sudah dilatih dengan prosidur TSM (tindakan serta merta) semasa diserang. Setelah selesai bertahan dan keadaan terkawal, kami pun membuat 'grouping' bersama-sama ketua kompeni. Didapati dua orang anggota telah hilang, termasuklah 'buddy' saya Pok Ya yang berasal dari Kelantan. "Mampuih dah aku", bisik hati saya, memikirkan balasan yang bakal diterima dari staff. Namun belum pun sempat saya dibelasah, Pok ya muncul dari dalam semak dengan muka yang masih pucat dan melapor diri. "Saya pergi melabor staff", jerit Pok Ya sambil sedikit tersenyum. "Mana lagi sekor (seorang)?" balas Staff Salleh. "Dia ada duit banyak staff, belum habis lagi melabor", kata Pok Ya dengan senyuman yang makin melebar. Melihatkan Staff Salleh tersenyum lebar, hati saya kembali lega..."habis dah satu bala".

Kami semua diminta berehat di situ dan Staff Salleh hilang entah ke mana. Setelah kembali, dia membawa bekalan ubat untuk diberikan kepada skot yang 'tercirit' sebelum berjuang. Kami dimaklumkan akan kembali bergerak selepas makan tengahari kerana terlalu ramai skot yang masih keletihan akibat terlebih 'melabor'. Sebenarnya Staff Salleh memang terkenal dengan perangainya yang sedikit pelik. Ada masanya kami akan melihat dia berqiamullail di surau, solat bejemaah lima waktu solat malah turut mengikuti usrah bersama-sama mahasiswa lain. Namun, bila sahaja dipakainya uniform, waraknya hilang sepantas coklat chipsmore. Maki hamun beliau adalah yang ter'power' di kalangan semua jurulatih kami. Makiannya semakin menjadi-jadi jika skot wanita yang buat hal. Saya beranggapan Staff Salleh bertindak sedemikian kerana beliau tak begitu gemar wanita menyertai kadet ROTU. Syukurlah kerana kompeni kami hari itu tak disertai oleh kadet wanita, menandakan langit bakal cerah buat kami semua di dalam hutan nanti.

Setelah siap berehat dan menjamu selera, kami bersiap untuk bergerak ke destinasi yang masih dirahsiakan. Baru 20 minit bergerak, kami dikejutkan lagi oleh satu jeritan...kisahnya akan disambung selepas terawih nanti Insya Allah.


Tuesday, February 10, 2009

Minta bertempat...barulah berkat

Salam semua...

Seketika apabila ribut melanda di beberapa negeri di Utara...saya teringatkan sesuatu. Saya teringatkan sahabat kisah saya Harizan. Saat kami semua dibelasah teruk di kaki Bukit Asahan dengan aksi Commando Rest, beliau dengan penuh selamba tersenyum sambil berkata pada saya,"aku doa Allah bagi aku jadi pandai, ameen...".

Moral ceritanya, apabila kita ditimpa musibah atau dizalimi, berdoalah. Ketika ini, doa kita Insya Allah teramat makbul. Begitulah jua keadaannya apabila kita kehilangan sesuatu, berdoalah agar Allah gantikan dengan yang lebih baik. Pastinya sesuatu yang lebih baik akan disampaikan jua. Minta biar bertempat, dendam bergantikan berkat, hilang bergantikan cepat, marah bergantikan nasihat, meluat tetaplah meluat. Namun persoalannya sejauh manakah kita semua yakin dan percaya? Percayalah....wassalam.



Saturday, October 25, 2008

Kisah Dua Orang Askar Lembut..



Salam buat semua...

Semalam dalam perjalanan pulang ke Butterworth, saya sempat berborak kosong dengan abang Kamal, si pemandu bas. Sebenarnya saya kenal dengan hampir kesemua pemandu syarikat Bas Utama Sdn Bhd kerana dah terlalu kerap berulang alik sejak 6 bulan ini. Bas Utama menjadi pilihan saya kerana pemandunya pasti akan berhenti untuk solat Subuh dan kebanyakan pemandunya adalah dreba otai. Dalam seronok berbual tu, keluarlah kisah dua orang mamat askar yang ingin saya kongsi bersama pembaca sekalian.

Menurut abang Kamal, pada hari raya lepas ada seorang makcik yang berkeras nak balik ke Kedah biarpun tak ada tiket. Makcik ini merayu untuk dapatkan driver seat (kerusi kecil di sebelah pemandu yang pernah saya ceritakan dulu) biarpun telah berkali ditolak oleh abang Kamal dengan baik. Akhirnya makcik ini tak mahu mengalah juga, dan mula membuat kecoh dengan tidak mahu turun daripada bas. "Apa jadi pun makcik nak balik juga malam ni', kata makcik tersebut dengan nada agak keras. Abang Kamal mula serba salah kerana kerusi pemandu sangat tidak selasa untuk perjalanan sehingga ke Alor Setar. Kalaupun dijual hanya kepada orang muda dan pastinya untuk lelaki sahaja.

Oleh kerana makcik tersebut dah berkeras, abang Kamal terpaksa mengalah. Maka duduklah si makcik tersebut di atas kerusi kecil berlipat di sebelah tangga itu. Andai kata bas dibrek secara mengejut, pastilah terpelanting ke depan makcik yang keras kepala ini. Namun menariknya, belum pun sempat bas keluar dari pekan Kuantan, ada seorang mamat tentera yang datang menawarkan kerusinya kepada makcik tersebut."Makcik nak duduk sini, makcik dah bayar untuk duduk sini, tak pala anak nooo terima kasih banyak la....", balas makcik tersebut dengan tegas. Melihatkan pelawaan tersebut tak menjadi, seorang lagi mamat askar turun ke hadapan makcik tersebut dan berkata, "Kalau makcik tak mau pindah tempat, kami dua orang akan duduk atas tangga nie sampai ke Alor Setaq".

Maka mengalah juga makcik tersebut akhirnya dengan kelembutan hati yang ditunjukkan oleh dua orang warga tentera itu. Masakan mereka sanggup untuk melihat seorang makcik tua duduk di atas kerusi kecil di sebelah tangga. Mendengar kisah darpada abang Kamal itu, hati saya lega kerana mash ada pemuda tempatan yang berhati lembut, sopan dan mengekalkan budaya masyarakat timur. Sejak balik daripada KL beberapa hari lepas, saya agak berserabut memikirkan masa depan generasi akan datang. Perubahan budaya yang berlaku di sana begitu menyesakkan dada, namun itulah hakikat keadaan manusia alaf moden. Kalau keras tak kenal sopan, kalau lembut dah nak semacam pondan...nak termuntahhhhh iiiii. Yang peliknya, buruh Vietnam pun dah ada yang masuk dalam kategori separa pondan ni, seram bulu roma tengok depa naik LRT depan kita.


(Gambar berkumpulan selepas latihan menembak menggunankan senjata Carl Gustav)


Sebagai askar pencen (bekas ROTU), saya sedikit terasa bangga mendengar kisah abang Kamal tadi. Biarpun latihan keras dilalui oleh pasukan beruniform, namun hasilnya adalah insan yang berhati waja dengan sifat kemanusiaan yang tinggi. Biarpun diajar untuk melawan musuh, sifat setiakawan dan bantu membantu adalah asas dalam latihan ketenteraan. Inilah yang dinamakan dengan 'Esprit de Corps'.....maksudnya mungkin lebih kepada semangat setiakawan, namun sebenarnya lebih meluas jika dihayat dalam kehidupan. Sekian dulu buat kali ini..Gempur Wira3x, Maju!....wasslam.

Saturday, September 27, 2008

Hujan emas di negara orang..


Salam semua..

Baru sebentar telefon saya berdering menerima panggilan daripada seorang sahabat lama yang cukup diingati, Aris Arbai. Seronoknya dapat berbual kembali dengan sahabat ini kerana beliau sudah 14 bulan merantau ke Timur Tengah. Saya pada mulanya dahulu bagai tak percaya mendengar Aris terbang ke Saudi, mengenangkan betapa 'kepo'nye kawan saya yang seorang ni. Namun itulah yang dinamakan rezeki, tiada yang mustahil menurut kerja buat Allah. Alhamdulillah untuk sambutan raya tahun ini, beliau dibenarkan bercuti panjang oleh majikannya.

Aris adalah antara partner saya semasa di dalam ROTU. Partner dalam erti kata kategori yang masuk ROTU semata-mata nak tinggal di asrama. Kami sekadar layan je apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang, nak taksub lebih-lebih tu jangan haraplah. Namun mamat dari Johor ini sangat peramah dan sukar sekali nak marah kat orang. Setelah tamat belajar, saya sempat sekali berjumpa beliau di bandar Kuantan semasa saya masih berkhidmat dengan Pelabuhan Pulau Pinang. Aris yang saya kenali di unversiti, selepas grad dan yang baru bercakap di telefon kini masih sama perangainya....syukur.

Sebenarnya saya turut perhatikan perubahan sikap beberapa kengkawan lama setelah menyertai sektor Oil & Gas (OnG) ni. Terus-terang saya katakan, ada yang telah berubah dan saya rasa mereka juga mungkin tidak sedar perubahan itu berlaku. Sektor OnG ini selain daripada menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, turut memerlukan pekerja yang penuh dedikasi dan betul-betul profesional. Kemahiran teknikal mereka bakal tercabar dan cabaran ini mungkin sedikit sebanyak akan mengubah psikologi harian seseorang. Ada yang menjadi terlalu profesional dan hanya tumpukan kepada kerjaya. Ada juga yang menjadi terlalu self centered dan agak lupa asal usul. Hal ini bukanlah suatu yang pelik di kalangan orang minyak, biarpun majoritinya tidaklah begitu. Namun, hal ini hanyalah pendapat peribadi saya semata-mata yang baru 5 bulan menjadi orang minyak.

Pernah suatu hari saya hampir naik angin kerana ada seorang kenalan yang dengan tanpa segan silu mengutuk industri kereta negara. Hal ini berlaku semasa dia berbicara tentang polisi negara menyebabkan harga kereta import di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding di negara 'Mat Salleh' tempat beliau belajar dahulu. Secara tiba-tiba terpacul daripada mulutnya yang tak berfilter itu,"then they came out with the stupid Proton". Saya memerhatikan beliau atas bawah sambil berkata di dalam hati,"aku pun tak pakai Proton jugak, tapi tak dak la sampai nak sebut dengan bangganya perkataan STUPID tu". (Nasib baik jugalah saya sekarang dah sedikit pandai mengawal diri...kalu tidak maunye dipangkah teruk mamat yang lupa daratan ni). Saya terus beredar ke meja sebelah dan meninggalkan beliau berbicara mengikut seleranya.

Sebab itulah apabila dapat berbual dengan Aris sebentar tadi, saya rasa bersyukur kerana rakan saya ini masih tetap seperti dahulu. Aris yang penuh bersahaja, mesra dan berbangga menjadi rakyat Malaysia, biarpun beliau kini berkelana nun jauh di sana. Biarpun pendapatannya kini, emmmm tak payah nak ceritalah kat sini, biarpun tahap pekerjaannya sunggguh profesional, biarpun beliau ditimpa hujan emas di negara orang, beliau tetap Aris yang saya kenali dahulu. Kesempatan belajar di luar negara tidak sama keadaanya dengan kesempatan sebagai pekerja yer. Pelajar pergi ke sana dengan misi dan cabaran yang jauh berbeza dengan orang berkerja, terutamanya bagi yang telah bekeluarga. Namun masih ramai di kalangan profesional kita yang terbang ke sana dengan seribu harapan dan mereka bakal pulang dengan jutaan pengalaman nanti.

Sebab itu jugalah saya selitkan kisah sedih di gerai kuih pada posting lepas sekadar peringatan kepada diri sendiri dan semua pembaca agar sentiasa insaf dengan limpahan rezeki yang dinikmati kini. Tak kiralah samada kita dihujani emas, permata, batu cincin atau Zhulian sekalipun, janganlah dilupakan asal-usul. Dan jika asal usul kita juga sememangnya turut dilimpahi rezeki yang melimpah ruah, ingatlah pula masa depan di alam kubur. Harta tak bawa ke kubur, pangkat ditinggalkan, malaikat juga tak kenal yang mana manager yang mana satu cleaner. Semuanya sama di sisi Tuhan, melainkan mereka yang beriman dan bertaqwa. Emmm....harapnya sempatlah nanti berjumpa Aris sebelum beliau terbang kembali ke Saudi, banyak sangat benda yang nak ditanyakan nanti....sekian dahulu wassalam.

Thursday, September 25, 2008

Amukan di malam akhir Ramadhan...


Salam Ramadhan buat semua...

Saya masih ingat peristiwa di suatu pagi pada 5 tahun lepas ketika masih lagi bergelar pengantin baru. Saya bersama adik bongsu mengejar sekumpulan Mat dan Minah Rempit yang tak beradap atau kurang ajaq kat orang Kedah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, dengan hanya berpelikat dan baju panas celoreng, saya mengamuk bagaikan orang gila...dan saya rasa saya dah sedikit tak siuman pada malam itu...

Saya marahkan mereka kerana pada malam Aidulfitri yang sepatutnya digunakan untuk memohon keampunan Ilahi, mereka buat race haram di jalan besar hadapan rumah saya di Taman Wira Mergong. Saya tak kisah sangat jika mereka nak buat 2-3 lap, namun bila bilangan lap sudah mencecah belasan....tanpa sedar tangan ini terus mencapai parang tumpul di hadapan rumah. Hampr 15 minit rasanya amukan saya berlangsung....dan parang tersebut sempat terbang pada salah seorang Mat Rempit yang angkat tayar betul-betul di hadapan muka saya. Syukur Alhamdulillah, umur saya dan Mat Rempit tersebut masih panjang....Namun terkejut beruk juga sebilangan jiran saya yang terjaga mendengar anak Makcik Ani mengamuk pada malam raya.

Malu juga sebenarnya nak bercerita kisah buruk peribadi kepada satu dunia...namun hakikatnya inilah saya suatu ketika dahulu. Syukur kerana saya juga beristerikan seorang yang sabar dan mampu menerima diri ini seadanya. Saya pernah sekali memberitahu isteri, "waktu training askar dulu lagi gila....sikit-sikit cam ni tak heran lah". Emmm memang angkuh bunyinya, namun seperti yang pernah saya kongsikan pada posting lepas, latihan ROTU ada kalanya tak masuk akal. Sedikit sebanyak saya terpengaruh dan sesekali mengamuk tanpa sedar. Tak boleh juga rasanya disalahkan latihan ROTU kerana mungkin juga memang saya jenis yang menyimpan rasa dan boleh meletup. Mungkin saya menjadikan latihan ROTU sebagai alasan untuk saya mengamuk....emmm apa-apa pun kini segalanya dah berubah yer.

Semua ini kisah lama....(biarpun baru 5 tahun lepas) kisah sebelum isteri saya mengandungkan Muhammad Nuruddin Al Fateh. Sejak 2 tahun sudah, baran saya telah mampu dikawal...Demi anak tersayang, saya telah berjaya menghakis penyakit baran ini sehingga ke tahap 0.1% . Demi sayangkan anak dan isteri juga, saya berazam sepenuh hati agar dapat menunjukkan tauladan terbaik kepada mereka...tiada lagi amukan Insyaallah. Malah kini, cara saya memandu kereta juga telah berubah, tiada lagi sumpah seranah apabila dipotong que.

Bukan senang sebenarnya untuk bersikap tenang kerana kesabaran kita akan sentiasa diuji. Ujian akan datang dalam pelbagai rupa, namun tindakan kita perlu sentiasa sama...rilex la brader. Mungkin juga isteri saya sendiri turut mengamalkan doa tertentu untuk menenangkan suaminya ini, entahlah...yang penting kesabaran itu tak merugikan. Nanti bila ada masa terluang boleh dikongsikan kisah berkisar bab kesabaran pulok....Insyaallah. Untuk malam ni, cukuplah dulu rasanya, dah panjang pula posting malam ni. Kepada semua rakan taulan, sahabat handai, ipar duai...saya ucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Syawal Mulia. Moga kita diberikan kesempatan untuk menghabiskan Ramdhan dengan sempurna dan memulakan Syawal dengan gembira....ameen.

Saturday, August 23, 2008

Berkongsi Pengalaman Di Atas Bas


Salam buat semua...

Beberapa bulan lepas semasa bertolak balik ke Kuantan, saya berkesempatan duduk di sebelah seorang brother macho yang berjaket hitam yang rupa parasnya persis hero filem "Kojak". Dia memperkenalkan diri sebagai Abang Ramli, seorang pesara tentera yang kini berkhidmat sebagai trainer di sebuah syarikat pengeluar besi terkemuka di negara.

Hampir tak terkedip mata saya mendengar pengalaman beliau selama 21 tahun di dalam tentera biarpun sedikit persamaan dengan pengalaman ciput saya semasa menyertai PALAPES. Namun suatu yang paling saya tak ingin lupakan adalah pengaman beliau semasa beliau menjadi pasukan pengaman di Timor Timur.

"Kalau dah pi sana, tobat hang sayang gila kat Malaysia....Aku dah pi banyak tempat, dah lama jadi ayska (askar), tapi dah sampai sana aku sendiri pun teriak", kata beliau kepada saya. "Orang sana munduq 100 tahun ke belakang....yang makan orang pun ada Zam", kata Abang Ramli lagi. Dia juga sempat menceritakan bagaimana suasana pergaduhan antara agama yang berlaku di sana yang tak dapat saya ceritakan di sini demi menghormati kerahsiaan.

Abang Ramli sempat juga berkongsi kisah komando Korea di Timor Timur yang bertugas bersamanya. Katanya orang Korea mempunyai tradisi yang cukup pelik, iaitu mereka akan mandi bersama dengan saling menggosok-gosok sabun ke belakang masing-masing. Semuanya akan mandi dalam satu kolam atau satu bilik mandi tanpa sehelai benang pun di tubuh. Abang Ramli yang pada mulanya geli geleman melihat tradisi ini, akhirnya terpaksa juga join sekali demi untuk memudahkan berkerja dengan mereka.

Banyak juga pengalaman beliau yang sempat dikongsikan, bagi saya sesuatu yang cukup bernilai dan takkan dijumpai dalam mana-mana perpustakaan sekalipun. Namun cukuplah sekadar dua kisah tadi yang termampu saya kutip kembali untuk tatapan pembaca abu-alfateh. Kesimpulannya....pengalaman lampau orang lain juga boleh kita jadikan iktibar untuk mematangkan diri sendiri. Namun tak semestinya kita perlu ikuti setiap inci apa jua tindakan orang lain di dalam kehidupan kita....sendiri mau ingatla brader! Sekian wassalam.

Wednesday, July 30, 2008

Kena Jadi Ketua La Pulok....

Salam Semua...

Sebulan lepas saya secara suka-suka mendaftar nama untuk menyertai perbarisan Kawad Hari Merdeka untuk kontigen Petronas Pahang. Niat di hati sekadar untuk mendapat cenderahati kawad dan tentunya pengalaman mewakili pasukan baru. Tanpa disangka-sangka...namaku naik pula untuk jadi Parade Commander. Sesuatu yang selalunya akan dicuba sehabis riang untuk menolaknya. Sungguh tak kusangka..pisang tak berbuah kali nie, padan muka saya.

Niat sekadar untuk suka-suka dah makan tuan. Dah jadi ketua di hadapan kena la hadir latihan setiap hari, pastu suara pula nak kena jaga. Sejak dalam PALAPES, saya memang telah terkenal dengan perangai yang suka curi tulang atau bahasa askarnya 'take cover'. Bukanlah bermakna saya malas membantu rakan-rakan yang lain, saya sekadar suka berada di belakang tabir. Namun apa kan daya, tubuh badan yang setinggi 1.82m ini tak mampu untuk disembunyikan daripada pandangan mata kasar. Terima sahajalah Labu....jangan masuk angin keluar asap sudahhhh

Bila dah terpilih untuk berada di hadapan sekali, maka terpaksalah pula nak kontrol hensem semasa berkawad, nak garu-garu sket pun susah. Emmm bila fikir-fikirkan kembali, taatnya saya semasa berkawad mengalahkan ketaatan semasa solat...jauh pula kalahnya tu. Dunia..oh dunia...dalam kawad, bulu hidung pun tak goyang, walhal time solat, sikit lagi nak mencapai tahap goyang Gerudi Inul (yang kununnya sedang menerima ujian Tuhan )...heheheh kesitu pulak..apa-apa pun doakan saya berjaya dalam kawad yer..wassalam.

Monday, May 19, 2008

Commando Rest - Mau Rasa Ka.? ...


Salam semua...

Dah lama kisah di Asahan terberhenti...dek kerana kesibukan dengan tugas baru. Tambahan pula rutin hujung minggu berulang alik dari Kuantan ke Butterworth agak meletihkan juga, nak update blog pun dah tak terdaya rasanya. Namun untuk tidak menghampakan pembaca setia dengan abu-alfateh, kisah hutan Asahan diteruskan jua demi berkongsi pengalaman sebagai askar wataniah pencen....barisssssssssss sedia!!. (Kepada pembaca baru, semua kisah berkaitan tajuk ini boleh dilawati di link ROTU)

Program Khemah Tahunan ROTU di Asahan menemukan kami dengan pelbagai aksi denda yang pelik, mencabar, lucu dan yang banyaknya adalah dalam kategori tangkap maut. Tak percaya?....cubalah sendiri, terutamannya denda yang digelar Commando Rest. (Denda ini elok juga rasanya dikenakan kepada anak-anak yang suka keluar malam atau ponteng sekolah). Kesan sampingannya, boleh terpulas otot leher, bodoh sementara atau sekurang-kurangnya pengsan semalaman jika dilakukan tanpa bimbingan pakar. Saya minta maaf kerana tak dapat nak tunjukkan aksi grafik senaman ini dilakukan...dah cari merata tak jumpa. Namun mudah sahaja sebenarnya nak buat ; anda cuma perlu pastikan keseluruhan anggota badan berada di udara, kecuali dahi dan kaki yang wajib mencecah lantai. Peringatan sekali lagi yer, kami didenda sebegini sambil berpakaian lengkap celoreng, jungle boot dan berada di atas tanah berbukit. Malah sebelah daripada tangan kami juga telah terpalit najis manusia (kisah benar nihh). Najis yang menjadi sebab kami didenda sedahsyat ini.

Al-kisahnya pada pagi terakhir di Asahan, salah seorang kadet telah sakit perut dan telah secara tidak sengaja melabur di tempat mandian kawasan mess pegawai. Berterabur najis manusia dijumpai terdampar tanpa tuan, nasib baik tak dipanggilnya bro Karam Singh. Maka al-hasil wal mahsul, pagi-pagi lagi mengamuk sakanlah pegawai yang baru bangun nak mencuci diri. Tuan Zailani (namanya kalau tak silap saya) pegawai adjutant berpangkat kapten yang selama ini tak pernah sekalipun menjentik kami, kali nie bertindak ganas. Amukannya bukan sekadar menyuruh kami mencuci najis tersebut dengan jari, malah beliau turut memeriksa jari kami untuk memastikan setiap orang menyimpannya di jari masing-masing. Langsung tak disangka, tuan adjutan yang begitu punya baik sebelum ini dan bertukar jadi Captain Caveeemann (dia hanya berseluar dalam ketika mengamuk) . Selepas daripada tu....aduhaiiii, tak sanggup den nak cerita lagi dah. Semua denda dan senaman yang pelik-pelik muncul satu persatu, termasuklah Commando Rest yang saya sifatkan worst of the worst...

Moral daripada kisah di atas :
1) Jangan melabur merata-rata...
2) Kalau dah termelabur, bersihkan sepantas kilat...
3) Dont sangka klea wata no boya.
4) Dont be a commando...korbau pun mampuihhh

Kisah di atas sebenarnya hanyalah secebis daripada apa yang telah berlaku sepanjang program khemah tahunan kami di Asahan. Dek pengalaman inilah, saya dan kengkawan yang lain menjadi manusia yang lebih bersyukur sekarang. Zaman kami dahulu takder program PLKN, namun kalu ada pun...hehehe celah gigi jer tu (bukan naik riak yer). Kerana pengalaman sebeginilah saya rasa lebih menghargai nikmat kesenangan sekarang dan bersyukur terhadapnya. Kepada rakan-rakan skot yang lain pula, jangan lupa slogan Gempur Wira! 3x Maju! Wasssalam...

Tuesday, April 8, 2008

Kisah Di Asahan - Change Parade Atau Tercirit?

Sejak demam pilihanraya bermula, kisah di Asahan terhenti seketika. Sebenarnya sukar juga untuk diingati kesemua kisah menarik sepanjang di Asahan kerana backup memory yang tak cukup power (tak tau la nak tambah RAM apa lepas ni). Saya cuba lah coretkan sekadar termampu buat para peminat kisah pewira 5 sen tak cukup seringgit ini.

Setelah malam pertama di Asahan, kami dipecahkan mengikut peringkat masing-masing. Kadet Peringkat 2 dan 3 kena masuk hutan, manakala saya dan kengkawan yang masih nangoi (Peringkat 1) masuk ke Kem Asahan. Keadaan kem di kawasan pergunungan memberikan kesan effek sementara yang cukup menambat hati pengunjung pertama seperti kami. Suasananya sungguh segar dan nyaman bagaikan berada di Eropah, bernafas sahaja sudah berasap-rasap mulut dan hidung kami.

Program bermula dengan latihan PT (physical training) pagi. Kalau tadi asap keluar dari mulut dan hidung, kali ini kepala pula yang berasap (mungkin sebab kepanasan yang mendadak kut). Disambung pula dengan latihan kawad dan kelas taktikal, begitulah aktiviti harian kami selama 5 hari. Sebelah malam pula aktivitinya pelbagai. Row call setiap selepas solat Isya' adalah masa untuk mendengar syarahan jurulatih yang pandai pula nak kenakan kami termasuklah bila diadakan Change Parade. Saya memanggilnya tercirit, sebab sekali kena je, terus keluar asap di kepala. Aktiviti ini memaksa kami menukar pakaian mengikut parade yang diminta oleh jurulatih dalam masa yang sangat singkat, maka al maklumlah keputusannya. Ada yang dah tak ingat jenis pakaian, ada yang dah tak jumpa pakaian malah ada yang kalut terlebih sampai dah tak kenal antara badak afrika dengan kawan sendiri. Yang peliknya ada juga yang sempat mengintai kadet wanita menukar pakaian...hampehhh.

Saya selalunya akan volunteer untuk melakukan rondaan malam, sesatunya aktiviti yang boleh menyelamatkan diri daripada sebarang saspen yang disengajakan ini. Namun saspen semasa meronda tetap ada. Chobaannya bergantung kepada kekuatan spiritual individu (paham-paham ajelah yer). Sebenarnya kalu sesiapa yang selalu keluar masuk hutan, antara kekuatan yang amat diperlukan selain daripada fizikal adalah sentuhan rohani. Banyak juga ujian yang akan tiba, termasuklah tersesat, terjumpa lembaga, haiwan pelik atau kawasan nan indah malah ada juga sampai tersampuk histeria. Sebab itulah jurulatih akan menyampaikan sedikit sebanyak petua sebelum masuk hutan sebagai panduan. Kami cuma ikut yang mana tidak bertentangan aqidah sahaja, yang agak kabur tu kenalah dijauhkan juga.

Lima hari di kem agak selesa sebenarnya, minggu seterusnya kami akan masuk ke hutan sebenar. Dua hari sebelum kami keluar kem, datang pula pasukan Rejimen Artileri Diraja. Sempat juga kami melihat peluru roket artileri yang sebesar peha, harganya sebiji sahaja mak oiiii dah beribu-ribu lemon. Ada member yang sempat posing lagi dengan pelbagai kenderaan pelancar roket pasukan tersebut, malah dapat berbual dengan pengendalinya pun dikira pengalaman beharga buat kami.


Oklatu, dah terpanjang pula cerita kali ni, panjang sangat pun nanti orang jemu. Nantikan kisah seterusnya aktiviti di hutan yang entah bila nak keluar postingnya....wallahua'lam. Wassalam. Gempur Wira 3X!!

Saturday, March 1, 2008

Salam Perjuangan - Hari Tentera Darat Malaysia


Salam perjuangan...

Terus terang saya katakan tarikh 1 Mac jarang sekali menjadi tarikh yang saya ingati sebelum ini. Walaupun pernah bersama dalam PALAPES seketika, tarikh ini seakan tidak memberi sebarang makna buat penulis. Situasi ini berubah berubah setelah saya diterima masuk ke Penang Port disebabkan pernah terlibat dengan PALAPES. Saya mulai sedar betapa latihan ketenteraan mencorakkan kehidupan saya sebenarnya.

Kepada semua pembaca, marilah bersama-sama kita hargai khidmat bakti yang dicurahkan oleh pasukan tentera. Biarpun sekarang ini khidmat mereka kurang dipromosikan, namun jasa itu tetap tidak terbalas. Sesiapa yang berpengalaman mendengar dentuman sebenar sebutir bom, atau sekurang-kurangnya pernah melihat kesan sebutir peluru M-16, akan faham maksud di atas. Amat mudah bagi kita menghargai jasa seorang doktor, jururawat, anggota polis mahupun bomba. Namun jarang-jarang jasa para Pahlawan Negara ini diberi perhatian.

Betapa mereka yang syahid di medah tempur dan yang mengalami kecacatan kekal bahana senjata lawan. Semua ini mereka korbankan demi menjaga keselamatan negara yang tidak setimpal balasannya jika dihitung dari sudut material. Oleh kerana mereka ini berjuang demi Tuhan dan Rasul, ganjaran bukanlah soal utama. Kepada semua warga tentera dan dan bekas prajurit negara, "Salam Perjuangan" buat anda. Doa kami warga Malaysia yang cintakan keamanan, agar pejuangan kalian diteruskan dengan semangat jihad...ameen.

"Ingat perjuangan kita pada 8hb Mac 2008, seminggu menyusul Hari Angkatan Tentera ke 75 ini yer..." Gempur Wira! Gempur Wira! Gempur Wira! Maju!

Monday, February 4, 2008

ROTU - Kembara Di Asahan

Salam buat semua,

Kisah di Asahan semasa menjalani Latihan Khemah Tahunan adalah pengalaman yang paling melucukan bagi saya sepanjang 3 tahun berada di dalam ROTU. Lucu yang hanya wujud setelah keluar daripada sengsara di hutan Asahan, sedangkan ketika latihan kami terkapai-kapai. Ya, terkapai untuk mencari damai, namun tidaklah meraban seperti sajak "Ku Cari Damai Abadi". Terasa bagaikan matahari terlalu lambat bergerak selama 2 minggu kami di Asahan, yang terletak bersempadan antara 3 buah negeri di selatan tahan air.

Kadet dari USM Tronoh digelar Delta Company, terkenal kerana keakraban kami tanpa mengira peringkat dan pangkat. Keakraban ini bukan dibuat-buat, tetapi adalah tulus hati setelah menerima latihan sedemikian rupa. Sebelum ke Asahan lagi kami telah memulakan persiapan dengan penyediaan peralatan dan pakaian yang dibekalkan atau yang perlu dibeli sendiri. Ada yang bersiap seolah-olah ingin pergi bercuti atau bersiar-siar terutamanya kadet wanita. Masing-masing juga sibuk membandingkan peralatan peribadi yang bakal dibawa, yang ala-ala Rambo, ala Commando macam-macam ada terutamanya bagi yang agak taksub....saya pula memilih untuk save bajet. Pau jer si Rambo dan Commando yang ada, tak perlu susah-susah bawa banyak barang masuk ke hutan. Kami juga diminta menghadiri Kursus Kesempurnaan Solat . Kursus ini mengajar serba serbi tentang solat pasukan tentera dan orang musafir, cukup memberi kesan hingga ke hari ini. Setelah semuanya lengkap tibalah hari yang dinantikan, hari kami semua akan menuju ke medan bakti.

Perjalanan menuju ke Asahan amat memeritkan, jentera yang kami naiki sepertinya telah digunakan sejak zaman Perang Jepun. Jangan cakaplah soal keselesaan, nak dapatkan angin segar sekalipun amat sukar dek bau minyak disel dan asap hitam yang selalunya masuk ke kabin. Siapa yang bernasib baik akan berehat di atas timbunan beg dibahagian tengah, dapatlah terlelap seketika. Perjalanan diserikan pula dengan persembahan karaoke hangit daripada kami, lagu seperti Barisan Kita, Tentera Laut dan lagu hits 90an menjadi pilihan untuk mengelakkan kebosanan. Bosan yang teramat kerana perjalanan secara berkonvoi memakan masa yang lebih lama, adakalanya trak pula yang rosak. Sebahagian kami (termasuklah saya) terpaksa bertolak ke Kampus Induk USM di Pulau Pinang terlebih dahulu untuk membuat persiapan awal seperti penyediaan khemah, ration, persenjataan, peluru dan sebagainya. Pasukan buruh ini digelar team fitik atau machaie kata orang Penang. Saya adalah antara kadet Tronoh yang volunteer untuk menjadi team fitik, bukan kerana saya suka bekerja tetapi suatu taktik tersembunyi.

Sebenarnya team fitik perlu bekerja lebih daripada anggota biasa, namun ramai yang tidak nampak kelebihannya. Saya sekadar menjangka, pasukan yang membantu jurulatih tentunya mendapat sedikit keistimewaan, dan tekaan saya terbukti amat tepat. Pasukan kami yang tiba lebih awal, dapat menyaksikan aksi kadet lain didenda separuh maut sejurus menjejakkan kaki di hutan Asahan seawal jam 2.30 pagi. Sedangkan kami dihidangkan jamuan ringan oleh jurulatih kerana telah membantu mereka mendirikan khemah dan sebagainya. Walaupun saya tidak gembira melihat kawan-kawan dibelasah sedemikian rupa, saya masih boleh tersenyum menghirup teh sambil mencicah roti empat segi....ahhhh lepas satu bala.

Emmm bagaimana betuk latihan seterusnya...tunggu. Posting kali ini nampaknya sekadar menceritakan persediaan awal dan ketibaan kami di sana. Saya akan ceritakan kisah nostalgia di dalam hutan pada posting berikutnya Insya Allah.

Thursday, January 17, 2008

Hutan Yang Mengajar Ku Erti Kehidupan



Salam untuk semua...

Apabila shoutbox di sebelah buat pertama kalinya memaparkan nama Mat Baha, hati ini terus teruja mengenangkan kisah silam semasa menuntut di USM Kampus Cawangan Perak, Tronoh. Kisah yang saya maksudkan ini bukanlah kenangan menggalas cabaran sebagai mahasiswa, namun ia adalah kisah pahit manis yang dikongsi bersama oleh para penghuni blok 2B Desa Lembaran yang bergelar kadet PALAPES atau ROTU. PALAPES adalah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan juga dikenali sebagai ROTU iaitu Reserve Officer Training Unit.

Mat Baha adalah senior saya di dalam ROTU kerana beliau terlebih awal menyertainya ketika masih di Matrikulasi sedangkan saya dan sebahagian besar rakan-rakan lain hanya menyertainya setelah masuk tahun satu. Artikel ini adalah suatu permulaan untuk saya berkongsi pengalaman selama 3 tahun masuk hutan seperti orang mabuk dan keluar seperti orang utan. Agak keterlaluan perbandingan ini, namun di sebalik kata tersebut, tersemat cerita yang jarang dikongsi kecuali dengan orang tersayang atau rakan seangkatan sahaja. Cerita yang menginsafkan, mungkin jua menyayat hati, kadang kalanya melucukan, penuh iktibar dan paling tidak sekadar untuk tatapan pembaca budiman yang belum pernah merasainya.

Bukan semua mahasiswa layak mengikuti latihan seumpama ini dan bukan semua orang yang layak pula sanggup mengikutinya. Saya adalah antara mereka yang layak dan sanggup disebabkan oleh dua faktor yang menjadi motivasi iaitu wang dan asrama. Saya tidak pasti bagaimana pula halnya dengan rakan-rakan yang lain, namun apabila kami disoal semasa sesi suai kenal bersama kadet senior, rata-rata mengatakan "minat nak jadi askar" sebagai jawapan skema. Terdapat dua aktiviti ganjil yang telah saya lakukan semasa hidup walaupun amat bertentangan dengan naluri iaitu menjadi blogger (seperti yang saya terangkan pada posting lepas) dan menyertai ROTU. Orang mandom seperti saya langsung tidak layak menyertai ROTU. Saya terkenal di kalangan ahli keluarga sebagai seorang yang suka lena, tidak lasak dan saya langsung tidak pernah mengikuti sebarang aktiviti pasukan berunifom semasa bersekolah. "Sungguh tak ku sangka, cempedak bertukar menjadi papaya, basikal bertukar menjadi race car, kaca berubah menjadi mutiara".

Wang adalah pendorong utama saya untuk menguatkan diri menyertai pasukan Askar Wataniah, walaupun saya lebih gemar mengumpul mimpi daripada mengumpul wang. Setelah ayah meninggal dunia pada umur 17 tahun, saya berazam untuk tidak menyusahkan ibu yang masih perlu menyekolahkan dua lagi adik berbekalkan wang pencen ayah. Saya sudikan diri untuk keluar masuk hutan, berkawad di tengah rembang, korbankan cuti hari minggu dan cuti semester malah sanggup mengilatkan kasut walaupun jam sudah 3 pagi. Ketika pelajar lain sibuk outing ke pekan Ipoh di hari minggu mencari ration tambahan atau sekadar berdating bersama teman, kami sekawan sibuk didenda jurulatih yang rasanya tak pernah letih mendenda. Adakalanya denda yang dikenakan membuatkan kami semua terlentang di atas padang kawad, itu belum lagi cerita masuk ke hutan. Oleh kerana ini hanyalah muqaddimah, saya syorkan pembaca budiman terus mengikuti kisah selanjutnya untuk mengetahui denda terhebat yang kami alami semasa di dalam hutan Asahan, Melaka.



Kisah kadet ROTU yang dipaparkan kali ini bukan sekadar untuk dijadikan kenangan semata-mata malah jauh sekali dengan niat untuk berlagak baik. Saya sudi mewar-warkan kisah yang selama ini menjadi nostalgia warga blok 2B Desa Lembaran demi untuk berkongsi pengajaran bermakna semasa bergelar ahli kadet. Kata-kata "Dah Sampai Ke Bulan, Jangan Lupa Rumput Di Bumi" yang terpahat pada ruang Kenali Diri di sebelah, berjaya dihayati hanya setelah mempraktikkan maksudnya semasa di hutan. Hutan itu yang mengajar aku erti kesenangan dan ia juga telah mengajar ku merendah diri....nantikan episod seterusnya Insya Allah, wassalam.