Sifat asal kejadian manusia tidak akan berubah, namun sikap manusia tak pernah berhenti berubah...berubah dengan semangat HIJRAH
Thursday, January 17, 2008
Hutan Yang Mengajar Ku Erti Kehidupan
Salam untuk semua...
Apabila shoutbox di sebelah buat pertama kalinya memaparkan nama Mat Baha, hati ini terus teruja mengenangkan kisah silam semasa menuntut di USM Kampus Cawangan Perak, Tronoh. Kisah yang saya maksudkan ini bukanlah kenangan menggalas cabaran sebagai mahasiswa, namun ia adalah kisah pahit manis yang dikongsi bersama oleh para penghuni blok 2B Desa Lembaran yang bergelar kadet PALAPES atau ROTU. PALAPES adalah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan juga dikenali sebagai ROTU iaitu Reserve Officer Training Unit.
Mat Baha adalah senior saya di dalam ROTU kerana beliau terlebih awal menyertainya ketika masih di Matrikulasi sedangkan saya dan sebahagian besar rakan-rakan lain hanya menyertainya setelah masuk tahun satu. Artikel ini adalah suatu permulaan untuk saya berkongsi pengalaman selama 3 tahun masuk hutan seperti orang mabuk dan keluar seperti orang utan. Agak keterlaluan perbandingan ini, namun di sebalik kata tersebut, tersemat cerita yang jarang dikongsi kecuali dengan orang tersayang atau rakan seangkatan sahaja. Cerita yang menginsafkan, mungkin jua menyayat hati, kadang kalanya melucukan, penuh iktibar dan paling tidak sekadar untuk tatapan pembaca budiman yang belum pernah merasainya.
Bukan semua mahasiswa layak mengikuti latihan seumpama ini dan bukan semua orang yang layak pula sanggup mengikutinya. Saya adalah antara mereka yang layak dan sanggup disebabkan oleh dua faktor yang menjadi motivasi iaitu wang dan asrama. Saya tidak pasti bagaimana pula halnya dengan rakan-rakan yang lain, namun apabila kami disoal semasa sesi suai kenal bersama kadet senior, rata-rata mengatakan "minat nak jadi askar" sebagai jawapan skema. Terdapat dua aktiviti ganjil yang telah saya lakukan semasa hidup walaupun amat bertentangan dengan naluri iaitu menjadi blogger (seperti yang saya terangkan pada posting lepas) dan menyertai ROTU. Orang mandom seperti saya langsung tidak layak menyertai ROTU. Saya terkenal di kalangan ahli keluarga sebagai seorang yang suka lena, tidak lasak dan saya langsung tidak pernah mengikuti sebarang aktiviti pasukan berunifom semasa bersekolah. "Sungguh tak ku sangka, cempedak bertukar menjadi papaya, basikal bertukar menjadi race car, kaca berubah menjadi mutiara".
Wang adalah pendorong utama saya untuk menguatkan diri menyertai pasukan Askar Wataniah, walaupun saya lebih gemar mengumpul mimpi daripada mengumpul wang. Setelah ayah meninggal dunia pada umur 17 tahun, saya berazam untuk tidak menyusahkan ibu yang masih perlu menyekolahkan dua lagi adik berbekalkan wang pencen ayah. Saya sudikan diri untuk keluar masuk hutan, berkawad di tengah rembang, korbankan cuti hari minggu dan cuti semester malah sanggup mengilatkan kasut walaupun jam sudah 3 pagi. Ketika pelajar lain sibuk outing ke pekan Ipoh di hari minggu mencari ration tambahan atau sekadar berdating bersama teman, kami sekawan sibuk didenda jurulatih yang rasanya tak pernah letih mendenda. Adakalanya denda yang dikenakan membuatkan kami semua terlentang di atas padang kawad, itu belum lagi cerita masuk ke hutan. Oleh kerana ini hanyalah muqaddimah, saya syorkan pembaca budiman terus mengikuti kisah selanjutnya untuk mengetahui denda terhebat yang kami alami semasa di dalam hutan Asahan, Melaka.
Kisah kadet ROTU yang dipaparkan kali ini bukan sekadar untuk dijadikan kenangan semata-mata malah jauh sekali dengan niat untuk berlagak baik. Saya sudi mewar-warkan kisah yang selama ini menjadi nostalgia warga blok 2B Desa Lembaran demi untuk berkongsi pengajaran bermakna semasa bergelar ahli kadet. Kata-kata "Dah Sampai Ke Bulan, Jangan Lupa Rumput Di Bumi" yang terpahat pada ruang Kenali Diri di sebelah, berjaya dihayati hanya setelah mempraktikkan maksudnya semasa di hutan. Hutan itu yang mengajar aku erti kesenangan dan ia juga telah mengajar ku merendah diri....nantikan episod seterusnya Insya Allah, wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
best hang azam..
cerita ni yang buat semangat ni..
bab Harizan, Aris and Mat Baha yang tak tahan 2..
Salam Bro Jut...
Kisah hang pon ada...cuma tak kluar lagi dari kotak...huhuhu
Post a Comment