Monday, January 28, 2008

CCTV vs Penyangak - Siri 2



Salam buat semua...

Di sebalik kesedihan yang menimba En Mohd. Nashar sekeluarga, muncul pula golongan yang lebih mementingkan glamor dan fulus mengatasi usaha mengesan kehilangan adik Syarlinie. Glamor dengan aksi yang mencabar aqidah muslim, mengeksploitasi keadaan ghaflah keluarga ini berdepan asakan media dan masyarakat.

Pihak peniaga CCTV pula sedang berkira-kira jumlah keuntungan yang telah dan bakal diperolehi. Tersenyum lebar kerana mendapat promosi percuma saban hari daripada model-model iklan yang di antaranya bertugas di Parlimen sehinggalah yang paling glamor menetap di kediaman rasmi PM di Putrajaya barangkali. Tersenyum lebar kerana Akta berhubung pemasangan CCTV juga bakal digazetkan oleh model-model iklan ini, dengan andaian mereka mendapat mandat baru sehari dua lagi. Namun, persoalannya apakah nilai dan kesan yang boleh kita harapkan daripada CCTV ini....?

Kisah pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pun masih gagal dirungkai oleh pihak berwajib. Mereka mungkin terlalu sibuk melakukan tugas bid'ah, terutamanya mengawasi ceramah dan perhimpunan awam. Bantuan CIA pula sekadar untuk memperbaiki mutu imej rakaman sahaja, meleset daripada sangkaan awal saya untuk bertemu muka pasukan CSI yang kununnya begitu hebat.

Saya juga tidak fikir ada penjenayah di Malaysia yang terlalu bangang untuk tidak menutup muka mereka selepas ini. Kalau pun ada, rakaman CCTV boleh dinafikan kesahihannya pada hari ini dengan begitu mudah. Betapa ramai artis dan VIP tanahair yang menafikan mereka terlibat dalam pembikinan klip video lucah dan terlepas. Alasan yang paling diminati mereka adalah mengaitkannya dengan teknologi superimpose. Mantan Menteri Kesihatan mungkin sesatunya VIP yang berani mengakui "I'm the man in the video", biarpun dia boleh sahaja terlepas dengan berkata "it looks like me, but its not me" atau menyalahkan teknologi..haaa lebih ajaib kan begitu.

Semua juga sudah sedia maklum betapa selambanya seorang peguam terkenal menafikan dia adalah orang yang dirakam pada klip video kontroversi di depan Suruhanjaya Siasatan. Apakah hal yang sama tidak boleh dilakukan oleh penjenayah di Malaysia suatu hari nanti. Mungkin selepas ini muncul satu dialog sebegini di mahkamah, "wajahnya nampak seakan saya, tetapi bukan saya la Yang Ariff", hampehhh.... dan lebih hampeh andai kata penyangak ini terlepas.

Kesimpulannya posting kali ini sekadar hendak mengingatkan bahawa CCTV tidak dapat mencegah jenayah, jauh sekali untuk mengatasinya. Maka adalah lebih afdal kita kembalikan jua urusan ini kepada kuasa yang lebih Agung untuk menjaga keselamatan kita. Janganlah pula sekadar meminta kepadaNya tanpa kita sendiri mengikuti perintah dan laranganNya..wassalam..

No comments: