Sunday, December 30, 2007

Ada Apa Dengan Pembalut Buku



Saya ingin membawa memori pembaca sekalian kisah sewaktu kita semua memasuki alam persekolahan rendah suatu ketika dahulu. Sebelum hari persekolahan bermula, pastinya semua buku-buku akan dibalut terlebih dahulu oleh ayah, ibu, abang atau kakak masing-masing. Pada sekitar tahun 80an dahulu, buku kebanyakannya akan dibalut menggunakan kertas minyak sahaja. Pembalut plastik mula diperkenalkan pada tahun 90an. Kini pembalut plastik sudah hampir menggantikan sepenuhnya peranan kertas minyak, malah terdapat pelbagai jenis plastik yang beraneka corak kini di pasaran termasuklah pembalut jenis ready made

Kebanyakkan kita sekadar membalut buku dengan niat untuk menjaga dan melindunginya sahaja daripada rosak. Namun jarang difikirkan kesan psikologi apabila kita mengambil serius soal membalut buku ini. Kesan yang mungkin tidak patut dikaji oleh pakar psikologi kanak-kanak, namun saya sendiri dapat merasainya setelah menempuh alam dewasa. Nampak seperti saya ingin memperbodohkan diri sendiri dengan membuka topik ini sungguhpun saya terlalu yakin terdapat kesan psikologi dalam bab membalut buku ini.



Saya masih ingat pada tahun 1980 apabila arwah ayah dengan penuh kesungguhan mengajar abang cara-cara membalut buku teks pertamanya dan ia berlaku pada saya dua tahun berikutnya. Kesungguhan itu cukup pelik bagi saya kerana ayah begitu bersemangat menerangkan kaedah membalut buku dan menulis nama pada buku tersebut. Saya hanya sedar betapa seriusnya pekerjaan ini dan betapa bernilainya buku yang saya balut itu setelah hujung tahun. Apabila saya mendapati semua buku-buku saya masih elok dan nampak kemas, saya senyum kegembiraan malahan bangga pun ada. Tambah lega apabila cikgu yang bertugas menjaga buku teks memuji-muji saya di hadapan rakan-rakan lain sambil menyerahkan buku yang agak kemas juga untuk digunakan pada tahun berikutnya. Kesan daripada keseluruhan peristiwa ini melekat di dalam pemikiran separa sedar saya.

Namun hal sedemikian kurang berlaku kini, kerana operasi membalut buku sudah hampir diabaikan oleh ibu bapa. Kita lebih gemar membeli pembalut yang ready made. Kanak-kanak tidak didedahkan pengalaman menghargai nilai sesebuah buku dengan membalutnya. Malah kebanyakan buku-buku yang ada juga akan diganti dengan mudah oleh ibu bapa andai kata ia rosak atau dirosakkan. Betapa kita telah menikmati kemudahan yang pada hemat saya telah mengorbankan suatu detik pengajaran yang amat penting bagi seorang kanak-kanak.

Fikir-fikirkanlah....wassalam

Friday, December 28, 2007

Ikut Style McGyver


Salam untuk semua..

Hari ini hati saya tenang setelah 2 hari berkongsi masa dengan peserta Kursus Industrial Fire Fighting di Kulim. Tenang kerana dapat menjalankan tugas harian seperti biasa dan masa berceramah telah tamat. Saya meneruskan program latihan tersebut walaupun terpaksa menahan sakit kerongkong yang telah menjelama semula akibat kerakusan meminum air berais di musim kenduri ini.

Saya cuba menarik perhatian peserta kursus ketika berceramah dengan mengingatkan watak hero pujaan ramai suatu ketika dahulu iaitu kisah Mac Gyver. Ya, siapa yang tidak kenal hero berwajah kering, bertubuh kecil, tidak romantis, tidak pandai berkung fu, tidak pandai bergaya, tidak menggunakan senjata melainkan akal yang tajam semata-mata. Beliau hanya menggunakan akal dan kewarasan untuk bertindak, mengikut kesesuaian masa dan pakar meng"IMPROVISE"kan segala macam benda yang ada di sekelilingnya. Beliau langsung tidak seperti hero-hero lain yang bergantung pada special effeck seperti senarai di atas untuk berjaya dan menarik perhatian penonton.


Mungkin suatu hari nanti saya ingin menulis kesan drama bersiri tersebut terhadap penonton setianya di seluruh dunia. Biarlah kali ini sekadar mengimbau kembali kenangan yang masih terpahat dalam memori ini. Tak dapat dinafikan drama bersiri ini telah membentuk diri saya dan mungkin berjuta penonton lain untuk berfikiran positif, kreatif dan proaktif...tidak perlu bercerita berjam-jam untuk menerangkan apa itu minda dan sikap yang positif. Cukuplah sekadar kata-kata hikmat, " Ikut style Mac Gyver".

Tuesday, December 18, 2007

Saham Akhirat Tanpa Keikhlasan

Suasana mesyuarat surau di taman saya semalam agak tegang apabila terdapat dua pihak yang saling menegakkan hujah masing-masing. Satu pihak mencadangkan keseluruhan surau dirobohkan dan pembangunan besar-besaran dilaksanakan dengan sebahagian besar padang permainan di sebelah surau itu terpaksa dikorbankan. Sebahagian besar yang lain lebih bersetuju dengan idea melengkapkan pembangunan surau dan mengoptimumkan ruang yang sedia ada. Pertentangan dua pendapat di atas berlaku antara golongan elit dan mereka yang berpendapatan rendah/sederhana selaku ahli jemaah di surau tersebut. Saya sebagai setiausaha tersepit di celah-celah dua kehendak yang kedua-duanya relevan namun keikhlasannya jauh untuk disamakan.


Keikhlasan yang saya maksudkan pada tajuk ini adalah, apabila pihak pertama hanya akan bersetuju untuk menghulurkan bantuan dana dan buah fikiran andai kata projek pembangunan dibuat secara menyeluruh bukannya sekadar menaik taraf surau yang sedia ada. Pelik sungguh sekiranya ia benar kerana keikhlasan untuk membangunkan surau bukan terletak pada konsep pembangunan namun hasil yang ingin dicapai. Saya yang pada mulanya rasa tersepit, dengan penuh bersemangat menyokong pendapat kedua walaupun di'cop' tidak profesional. Tidak saya nafikan kebolehan para jutera dan golongan elit lain dengan mengemukakan cadangan ini kerana saya sendiri berlatarbelakangkan bidang engineering juga. Namun selalunya kesan sosial dan psikologi kerap dilupakan oleh para profesional ini. Bahkan apabila sikap angkuh yang diperlihatkan, saya jelas ragu pada etika profesional yang diwar-warkan itu.

Apa ertinya profesional ? Adakah dengan bersikap IKHLAS terus dianggap tidak profesional walaupun ia adalah sebuah kejujuran yang berteraskan pada keutamaan yang sewajarnya dilaksanakan. Sebuah padang permainan kanak-kanak di kawasan masyarakat berpendapatan sederhana/rendah ingin dikorbankan demi menambahkan kawasan 'parking' hanya untuk menggalakkan kelas 'elit dan profesional' hadir ke surau menjadi matlamat...agak keterlaluan pandangan ini pada hemat saya.

Mungkin pada mereka yang nilai rumah mencecah jutaan ringgit, yang dilengkapi dengan laman yang luas menghijau, tiadalah ertinya sebuah padang permainan yang tidaklah sehebat mana itu. Lebih elok kawasan tersebut digantikan perpustakaan, gelanggang badminton, atau setidak-tidaknya sesuatu yang bermanfaat untuk kegunaan masyarakat. Namun pada yang tinggal di flat sempit, tiada laman, rumah yang bagaikan kandang lembu atas desakan hidup dan had kemampuan, kawasan hijau itu adalah syurga yang perlu digunakan sebaiknya. Bukan sekadar untuk permainan kanak-kanak, malah orang dewasa juga pasti tenang melihat kehijauan rumput dan ketenangan pohon yang melambai-lambai ditiup angin itu. Untuk menggantikannya dengan sesuatu yang tidak setara malah justifikasinya juga kurang jelas walaupun menggunakan nama agama, amatlah memilukan. Tambahan pula apabila agama sekadar dijadikan alasan untuk pembangunan yang tidak telus dan jelas tiada keikhlasan ini.

Perbezaan pendapat, paradigma, andaian dan keputusan setiap individu adalah terletak pada pengalaman dan nilai hidup yang dipegangnya. Saya berpegang pada prinsip " sifat manusia takkan berubah, tetapi sikapnya takkan berenti berubah" kerana golongan elit, kaya dan sederhana adalah manusia yang semuanya inginkan keharmonian. Namun tafsiran harmoni ini tentunya berbeza-beza pada pandangan mereka, terutamanya apabila posisi manusia itu berubah daripada satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi atau rendah. Oleh yang demikian keikhlasan dalam melakukan sesuatu itu amat penting untuk dinilai samada di dunia lebih-lebih di akhirat kelak.

Friday, December 14, 2007

Masihkah kau ingat?



"Mai beli,mai beli...murah, murah.. dua kilo RM5" itulah kata-kata yang diulang-ulang oleh peniaga pasar malam berhampiran rumah saya di Permatang Pauh. Saya memandang wajah isteri dengan sedikit keliru memikirkan jenis buah yang jarang-jarang dijumpai dan ditulis Buah Setaq oleh peniaga tersebut. "Buah setaq ka buah remia ni?" tanya saya pada isteri."Setaq la tu, biji dia aja warna lain, rasa nak sama jugak" balas isteri saya sambil tersenyum dengan penuh yakin. Saya masih keliru namun untuk tidak mahu dilihat bodoh saya terus berlalu dan mengajak isteri membeli barangan lain yang masih dicari.


Bagi warga asal Alor Setar seperti saya, bukanlah suatu kewajipan untuk mengenali asal usul nama Bandaraya baru ini. Walaupun saya yakin, suatu ketika dahulu arwah ayah pernah membawa pulang buah setaq ini samata-mata untuk diperkenalkan kepada anak-anak yang lebih menunggu sesi memakannya."Buah setaq pun dah lupa no," celah isteri saya memecah kenangan silam di zaman kanak-kanak."Yeala, zaman tu macam-macam buah yang ada, lani mana ada dah. Dulu-dulu duk makan buah remia, buah rumbia, buah rambai, buah rotan, buah cermai, buah nona, buah jentik, buah jangguih...uihh macam-macam noo..budak lani mana kenai dah" balas saya sambil berhempas-pulas mengingat kembali bagaimana rupa buah-buah tempatan yang disebut tadi.












Hari ini, habis sahaja kerja di pejabat terus saya mencari melalui Google Image wajah buah-buahan yang cuba diingati semalam. Nampak gayanya bukan sahaja generasi sekarang yang tidak mengingati buah tempatan, saya yang otai ini juga nampaknya tergolong dalam kategori kelas "lupa asal usul". Lupa sejarah silam dan tidak pernah terfikir untuk memperturunkan sejarah yang indah tersebut kepada generasi akan datang.

Posting ini harapnya dapat mengimbau kembali kenagan manis kita di zaman kanak-kanak terutamanya kepada golongan otai-otai seperti saya. Zaman itu kemewahan tidak ternampak pada harta, namun pada budi bahasa, adat resam, permainan malahan jua pada buah-buahan yang kini boleh diibaratkan telah pupus pada hemat saya. Kanak-kanak dahulu hanya perlukan sedikit "kerajinan" untuk mendapatkan buah-buahan secara percuma di hutan atau di kawasan sekitar laman rumah. Kini semuanya berbayar, dikategorikan eksotik malah namanya sahaja sudah mulai dilupakan.

Tuesday, December 4, 2007

Umar Mukhtar, Singa di Padang Pasir


Bagi sesiapa yang pernah menonton filem Lion Of The Desert, pastinya terkesan dengan watak orang tua Badawi bernama Umar Mukhtar dilakonkan oleh Anthony Quinn. Filem ini menceritakan kesungguhan umat Islam menjaga kedaulatan negara dengan melawan pencerobohan tentera Itali di Libya yang dipimpin oleh Jeneral Rodolfo Graziani. Kisah ini berlaku sekitar tahun 1929 sewaktu Itali diperintah oleh pemimpin diktator bernama Benito Mussolini. Filem ini asalnya diharamkan tayangannya di Itali dan akhirnya dapat juga ditayangkan setelah pihak berwajib menyunting babak yang diklasifikasikan mencemar imej tentera dan kerajaan Itali.

Apa yang cukup menakjubkan apabila kita mengikuti kisah sebenar perjuangan Umar Mukhtar ini adalah kegigihan dan keupayaan seorang guru Al Quran yang berumur 67 tahun melawan musuh demi mempertahankan agama. Malah sikap beliau semasa di penjara setelah ditawan oleh tentera Itali juga menakjubkan pegawai yang menyoal siasatnya. Walaupun perit disiksa, beliau hanya membalas dengan membacakan petikan ayat-ayat suci Al Quran dengan air muka yang tenang. Kesabaran dan ketenangan yang ditunjukkan itu mungkin suatu yang terlalu jauh jika diukur dengan sikap kita di hari ini.



Akhir hayatnya sebelum dihukum gantung, beliau telah diminta memberikan kata-kata terakhir yang ingin diucapkannya. Dengan tenang jua, beliau membalas, "Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rojiuun". Sebagai mengenang jasa Umar Mukhtar, kerajaan Libya telah mengabadikan wajah beliau pada wang 10 Dinar Libya. Semoga Allah memcucuri Rahmat dan KeampunanNya terhadap As-Syahid Umar Mukhtar, ameeen...

Friday, November 16, 2007

Kisah Sahabat Nabi : Abdullah bin Huzafah al-Sahmi

Kisah ini dipetik semasa beliau bersama tentera Islam ditawan oleh tentera Rom di dalam satu peperangan untuk membebaskan Syam. Raja Rom mendapat khabar bahawa beliau adalah salah seorang sahabat Nabi S.A.W dan ingin menguji imannya. Lalu dibawa Ibnu Huzafah ke hadapan Harcules maka dikatanya,"Masuklah kepada agama kami maka engkau akan diberi apa sahaja harta yang engkau mahu". Tawaran ini ditolak oleh Ibnu Huzafah lalu Harcules menawarkan tawaran kedua dengan katanya, "Masuklah kristian maka engkau akan ku kahwinkan dengan puteriku". Tawaran ini juga ditolak oleh Ibnu Huzafah lalu Harcules menwarkan tawaran ketiga dengan katanya, "Masuklah kristian maka engkau akan berkongsi kuasa ini denganku". Namun begitu tawaran ini turut ditolak lalu ditawarkan yang keempat iaitu akan dapat berkongsi kuasa dan sebahagian daripada harta kekayaan Harcules tetapi tawaran ini juga ditolak mentah-mentah oleh Ibnu Huzafah. Beliau dengan tegas menjawab, "Sekiranya engkau menyerahkan semua apa yang engkau miliki kepadaku dan semua yang dimiliki oleh arab namun aku tidak akan berganjak sedikit pun daripada agama Muhammad walau pun sekelip mata".



Setelah kesemua tawarannya ditolak lalu Harcules mengugut untuk menyeksa dan membunuh Ibnu Huzafah yang tidak sekali-kali berganjak samada ditawarkan dunia ataupun diugut dengan siksaan. Setelah itu Ibnu Huzafah dipenjara dan tidak diberi makan dan minum selama tiga hari. Selepas itu dibawa arak dan daging babi untuk dimakan namun Ibnu Huzafah langsung tidak menjamah apa yang dihidangkan. Melihat perkara ini lalu Harcules memerintahkan agar dikeluarkan Ibnu Huzafah daripada tahanan lalu ditanya, "Mengapa engkau tidak makan daging babi dan arak yang dihidangkan sedangkan engkau kelaparan". Dengan tegas Ibnu Huzafah menjawab,"Walau pun Islam menghalalkan perkara tersebut kepadaku ketika dharurat tetapi aku bimbang jika aku menjamahnya maka engkau menganggap bahawa betapa hinanya Islam". Kemudian Ibnu Huzafah diikat pada kayu dan dipanah berhampiran tubuh Ibnu Huzafah bertujuan untuk menakutkannya. Harcules terus menawarkan agar beliau keluar dari Islam tetapi beliau tetap dengan pendiriannya.

Kemudian Harcules mencuba lagi untuk memurtadkan Ibnu Huzafah apabila dibawa bekas besar yang diisi air dan dipanaskan dengan bakaran kayu dibawahnya. Apabila air telah mendidih lalu dihumbankan seorang tawanan Islam ke dalamnya lalu mati dengan berkecai dagingnya. Kemudian dihumbankan tawanan Islam yang kedua di mana turut gugur syahid sebagaimana sebelum ini. Perkara ini disaksikan oleh Ibnu Huzafah tetapi beliau tidak merasa gerun malah bertambah tetap dengan Islam. Kemudian diperintah agar Ibnu Huzafah dihumbankan dalam air panas menggelegak itu lalu pengawal memegang Ibnu Huzafah. Ketika mahu dihumbankan lalu Ibnu Huzafah menangis dan diberitahu kepada Harcules tentang perkara ini lalu dia menyangka bahawa Ibnu Huzafah begitu takut mati sehingga beliau menangis dan bersedia untuk menerima tawaran untuk masuk kristian. Tetapi apabila ditawarkan untuk masuk kristian lalu dengan tegas Ibnu Huzafah menolaknya. Harcules terkejut lalu bertanya," Jika begitu, mengapa engkau menangis?. Ibnu Huzafah dengan ucapan mengkagumkan merungkai segala persoalan Harcules tentang sebab dia menangis dengan katanya, "Aku menangis keranaaku hanya mempunyai satu jiwa sahaja di mana aku begitu bersungguh menyerahkannya untuk pertahankan agamaku pada jalan Allah. Aku begitu mengharapkan agar dianugerahkan jiwa sebanyak jumlah rambutku agar aku dapat mempertahankan agamaku sehingga mati seluruh jiwaku pada jalan Allah".

Mendengar jawapan itu lalu bertambah yakinlah Harcules tentang ketetapan dan istiqamahnya Ibnu Huzafah dalam mempertahakan Islam lalu bagi menjaga kewibaannya maka ditawarkan kepada Ibnu Huzafah,"Wahai Ibnu Huzafah! Sanggupkah engkau mencium dahiku dan aku akan berhenti daripada menyeksamu disamping engkau akan kubebaskan". Lalu Ibnu Huzafah menjawab," Ya! aku sanggup dengan syarat akan dibebaskan juga kesemua tawanan muslimin "(jumlah mereka melebihi 300 orang). Kemudian Ibnu Huzafah mencium dahi Harcules lalu dia bersama tawanan muslimin yang lain dibebaskan.

Mereka pulang ke Madinah dan bertemu dengan Khalifah Umar R.A. dan memberitahu kisah yang telah berlaku. Kisah ini tersebar di kalangan penduduk Madinah yang sebahagiannya menyelar tindakan Ibnu Huzafah mencium dahi Harcules kerana ingin dibebaskan. Khalifah Umar bagaimanapun bersetuju dengan tindakan Ibnu Huzafah dan menghimpunkan penduduk Madinah seraya berkata, "Sesuatu yang hak bagi setiap muslim untuk mencium dahi Ibnu Huzafah dan aku yang akan memulakannya". Selepas daripada itu, sekelian penduduk Madinah datang mencium dahi beliau sambil memohon maaf di atas keterlajuran mereka menyangka buruk terhadap beliau.

Inilah ia sebuah kisah yang begitu mengkagumkan dan wajar diikuti oleh kita dalam memperjuangkan kebenaran. Sikap yang telah ditunjukkan oleh Ibnu Huzafah amat sukar untuk kita bandingkan dengan diri yang lemah ini. Bukan sekadar lemah melawan siksaan malahan lebih lagi untuk menahan cacian atau fitnah yang menimpa...

"Ya Allah, kurniakanlah hamba Mu yang lemah ini kekuatan dan kesabaran semasa menempuh dugaan daripadaMu samada kesusahan mahupun fitnah..Ameennn"

Friday, November 9, 2007

Keistimewaan Pokok Gharqad?






"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-umat Islam berperang dengan
orang-orang Yahudi (di sebuah tempat). Orang-umat Islam akan membunuh
mereka beramai-ramai sehinggakan apabila mereka bersembunyi di sebalik batu
dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu-batu itu bersuara menjerit
memanggil umat Islam agar membunuh orang-orang Yahudi itu, kecuali pokok
'Gharqad', kerana ia adalah pokok Yahudi".
Hadith riwayat Muslim:

Ini lah dia rupa bentuk pokok 'istimewa' bangsa yahudi digelar Gharqad atau nama saintifiknya African Boxthorn. Sehinggakan regim zionis telah mengumpul dana khas untuk membiayai penanaman pokok ini secara besar-besaran..(sila rujuk lawan web Jewish National Fund http://www.jnf.org )

Adakah mereka lebih beriman dengan sabda Nabi S.A.W lebih daripada kita atau mereka masih ragu-ragu tentang keupayaan sendiri mahupun memiliki kuasa persenjataan paling canggih di dunia. Wallahua'lam....

Friday, October 19, 2007

Gambar di dalam Kaabah ?


Salam buat semua, gambar di atas dikatakan telah dirakamkan ketika mana TV Saudi menyiarkan secara langsung suasana ketika Kaabah dibersihkan. Rakaman ini dibuat dengan kehadiran putera Saud di Makkah. Namun sya tak dapat memastikah kesahihan foto di atas, ia adalah sekadar untuk berkongsi info dengan sahabat sekalian sahaja.

Untuk makluman pembaca, saya pernah mendengar pengalaman Tuan Guru Pak Lang Hj Din (drpd Tanjung Bedil, Kedah) menceritakan semasa beliau berpeluang memasuki Kaabah, di dalamnya hanyalah lampu-lampu dan perhiasan lama yang disusuan seadanya. Tiada yang menarik di dalamnya namun pengalaman memasukinya sahaja cukup menyentuh rohani. Ini bukanlah bermakna terdapat keistimewaan bagi sesiapa yang memasuki Kaabah, ia hanyalah binaan manusia yang menjadi kiblat seluruh Umat Islam, namun jika dibandingkan pengalaman menaiki menara berkembar KLCC juga sudah dikira menarik, inikan pula pengalaman memasuki Kaabah.

Wallahua'lam..wassalam...

Wednesday, October 17, 2007

Dakwah Atau Dakyah?

Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”
Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.
Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Da’i Otak Fiqh. Bagi kita yang berperanan sebagai Da’i, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’i. Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.

Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa. Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Da’i tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR. Ini bukannya masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith.
Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para ustaz yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…

Seorang Da’i yang berjiwa Da’i akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa. Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?

Artikel di atas dipetik daripada ruangan Saifulislam.com untuk renungan bersama samada kita sedang berdakwah atau sedang menyebarkan dakyah yang menakutkan orang ramai terhadap Islam yang syumul ini....??

Salam Pembukaan Untuk Semua

Salam untuk semua,

Setelah setahun saya menjadi pembaca dan pengkomen untuk ruangan blog milik kenalan, izinkan buat kali pertamanya saya membuka sebuah ruang maya untuk para sahabat sekian agar dapat kita berkenalan, berkongsi pendapat, bertukar fikiran, berpesan demi kebaikan dan bepesan dengan kesabaran. Bukanlah diri ini seorang yang arif lagi mahir di dalam apa jua bidang melainkan niat ikhlas semata-mata untuk meningkatkan usaha ke jalan yang diredho Allah.

Kepada pembaca dan pelawat budiman, teruskanlah memberikan sumbangan anda dan teruskanlah sebarang usaha murni dengan cara yang murni agar mendapat bekal yang berlipat kali ganda di kemudian hari...sekian dari saya Abu Muhammad Nuruddin Al Fateh