Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Saturday, March 12, 2011

Set Rawatan Bekam


Salam Semua,

Jika anda ingin membeli set bekam berkualiti, kebiasaannya ia dijual di kedai yang menjual peralatan salun dan spa. Adakalanya set bekam yang lebih murah dijual di pasar malam atau pasar tani. harganya agak murah, namun besar kemungkinan pam vakum yang disediakan adalah jenis yang agak mudah rosak. Kualiti alat bekam bergantung kepada jenis pam dan bilangan cup, pilihan di tangan anda. Pen bekam dan lancet pula mudah didapati di mana-mana farmasi yang berdekatan. Anda juga boleh membeli alcohol swab di sana. Secara mudahnya, peralatan bekam bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dicari.

Jika anda inginkan cara yang lebih mudah, sila lawati blog Ustaz Ahmad di sini, dengan harga sekadar RM150 termasuk wang pos. Ustaz Ahmad seorang yang aktif menjalankan rawatan perubatan Islam di sekitar Lembah Klang dan tidak lokek berkongsi ilmu di ruang maya. Beliau juga merupakan salah seorang daripada guru saya. Selamat maju jaya buat Ustaz...wassalam.

Nota : Set rawatan bekam yang lengkap hanya digunakan bagi perawat sahaja. Bagi pembaca yang belum pernah mengikuti kelas berbekam, jangan cuba-cuba merawat!

Saturday, February 12, 2011

Rumah Sihat Bekam

Salam buat semua,

Sejak sekian lama, saya cuma mengetahui hanya klinik Akubekam (kendalian Dr Halena) sahaja yang menawarkan rawatan bekam secara profesional sepenuhnya. Namun bebaru ini saya dimaklumkan terdapat satu lagi pusat rawatan yang turut tak kurang hebatnya dengan peralatan dan bilik rawatan yang canggih iaitu Rumah Sihat Bekam (kendalian Tn Hj Mohd Yunus) yang beroperasi di sekitar Batu Caves.


Sila tontoni klip video di bawah untuk maklumat lanjut.


Monday, January 24, 2011

Dari Jari Terus Ke Hati…


Pernahkan anda terfikir betapa apabila kita gembira, yang dipetiknya adalah jari. Ketika marah pula jari telunjuk yang diacu-acukan. Ketika kita geram atau ‘frust’ diistilahkan pula ayat menggigit jari. Sehinggalah ada ketikanya apabila keenakan makanan itu boleh membuatkan kita asyik sampai menjilat jari…

Itulah dia peranan jari yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan hati. Hati yang dimaksudkan ini adalah hati yang membentuk perasaan jiwa manusia, bukan fizikal organ hati itu sendiri. Siapa sangka, hanya melalui jari- jemari ini terkandung satu rahsia alam yang Allah ciptakan untuk manusia. Siapa sangka, jari-jemari yang lembut ini boleh menggegarkan dunia.

Jejari kita setiap satunya ada fungsi dan kelebihan tersendiri. Kita sering melihat pasangan yang saling menyuap makanan pada hati pertama perkahwinan, jari disuap ke dalam mulut pasangan sacara zahir. Disebalik suapan jari-jemari itu, hati si penyuap sebenarnya bagaikan diikat bersama dengan hati pasangannya. Alangkah indahnya perkahwinan itu jika amalan ini dapat diteruskan biarpun sudah lama bersama.


Orang tua-tua juga pernah berpesan, agar ibuayah sentiasa memberi si anak kecil menghisap jari telunjuk yang dicalitkan dengan sedikit garam pada hujung jari tersebut. Hisapan jari itu katanya akan memahat kasih sayang yang istimewa di antara si anak dengan ibuayahnya. Saya sekadar menyarankan, agar pembaca boleh menukar sedikit amalan ini dengan mencalitkan sedikit madu ‘asli’ untuk dihisap oleh permata hati kita. Madu yang bersifat manis akan lebih mudah diterima oleh anak kecil itu dan boleh sahaja amalan ini dibuat dengan pasangan masing-masing. Kesannya secara fizikal sukar untuk ditafsirkan, namun secara dalaman (perasaan dan bahasa badan) Insya Allah berkesan.Selamat mencuba! Wassalam

Saturday, October 9, 2010

Makan Ubat Atau Makanan Jadi Ubat


Salam Semua,

Hari ni saya didatangi oleh 2 pelanggan bekam yang baru hasil promosi seorang rakan di pejabat. Umumnya ramai di kalangan masyarakat yang masih lagi dengan sindrom 'mahu tapi malu' dalam soal berbekam ini. Alhamdulillah, hari ini saya berjaya mengubah persepsi salah itu sekurang-kurangnya untuk 2 keluarga tersebut.

Jika anda jenis yang terlalu fanatik pada ubat-ubatan, kedoktoran atau jenis yang hanya menziarahi hospital pakar ketika sakit, cubalah baca arktikel di bawah untuk sedikit pencerahan dalam aspek kesihatan peribadi. Tak salah untuk kita berusaha, namun berpada-padalah. Janganlah kita berubat sampai keracunan ubat, besar punya musibat! Biarlah makanan yang dimakan itu yang menjadi ubat, pasti sihat dan selamat...InsyaAllah. Saya juga ingin memperkenalkan laman Sihat Selalu ini kepada semua pembaca budiman agar kita sama-sama dapat mengambil manfaat daripada artikel yang disiarkannya. Selamat membaca....



Sunday, June 28, 2009

Imunisasi...Pemulihan atau Industri?

Salam semua...

Dah lama sebenarnya saya nak buat satu posting berkaitan baik buruknya mendapatkan suntikan vaksin. Namun dek kerana terfikir, saya bukanlah jenis manusia yang suka membuat kajian ilmiah, saya kendurkan dahulu niat tersebut sehinggalah dah hampir setahun berlalu. Hampir 12 bulan lepas Reezam, seorang kawan saya di Kulim menelefon bertanyakan sebarang petua atau doa untuk anaknya yang demam tak kebah selepas di'cucok' imunisasi bulan yang ke-18. Pelbagai cara telah beliau usahakan untuk mengatasi masalah kesihatan anaknya yang datang silih berganti. Sejak daripada peristiwa itulah saya mula menelaah di Youtube...

Biarpun bacaan di Youtube bukanlah setaraf belajar dengan seorang guru mursyid, jauh sekali untuk saya yakini seratus peratus kebenarannya...saya tak boleh nak menolak 100% kandungannya. Dari Youtube jugalah saya mengetahui bahawa satu dunia dah dikelentong hidup-hiudp oleh Amerika dan konconya berhubung isu Pemanasan Global (satu isu yang saya sangat yakini mengarut sejak lama dahulu).

Sesungguhnya semua kuasa besar dunia moden ini bergantung kepada ekonomi! Bagi mereka ekonomi ada Tuhan! Mereka ini menguasi dunia dengan pegangan ekonomi mereka dan pengawalannya secara berleluasa (termasuklah dengan kuasa undang-undang) agar diterima pakai oleh manusia lain. Mungkin sahaja kita adalah antara manusia lain yang masih lemah pengetahuan (teknologi dan sebagainya) dan percaya bulat-bujur-melintang dengan apa sahaja isu yang dilagukan oleh puak 'dajjal' ini. Kesannya..habis duit sedunia dibelanjakan kepada sesuatu yang entah betul entahkan tidak....ala-ala membeli barangan "Direct Selling" la jugak.

Kembali kepada tajuk imunisasi, saya harap pembaca sekalian dapat berlapang dada dengan pandangan alternatif daripada Dr Leonard Horowitz. Isu ini dibawa sebagai pertanyaan yang perlu dicari sendiri jawapannya, samada pembaca nak percaya atau tidak...terpulanglah. Bacalah daripada sumber alternatif, lihat dari pelbagai sudut, berdoalah agar diberikan petunjuk dan akhirnya yakinlah dengan suara hati anda...Wallahua'lam dan wassalam.

Selamat bersiaran dan teruskanlah menelaah....

Monday, May 11, 2009

Wabak H1N1..atau manusia berhati "swine"


Salam semua....

Mungkin ada pembaca yang dah sedikit bosan menunggu artikel terkini daripada laman ini, maafkan saya...nak pohon derhaka pun malu, dah lama dahhhhhh. Cumanya saya pohon juga perhatian pembaca budiman untuk tidak menulis perihal politik negara yang dah terlebih kuah, daun kari dan yang seangkatan dengannya. Sungguhpun demikian, bohonglah saya andai kata sedikit perselisihan pendapat yang berlaku disebabkan artikel "Kerja-kerja bodoh di dalam PAS" tidak menarik perhatian ini. Saya sebenarnya dah kembali menjenguk ke blog politik disebabkan artikel ini semata-mata nak mengetahui perkembangan terkini dan kesannya terhadap parti PAS. (Meskipun suatu ketika dah 'declare' tak mau nak ambil pot lagi....merajuk la kunun)

Sebenarnya ada benda yang saya nak kongsi bersama pada posting terbaru ini, sesuatu yang sukar dibuktikan namun perlu difikirkan dan dikaji sendiri kebenarannya oleh pembaca . Saya pernah menulis tetang Spanish Flu, suatu masa dahulu dan saya juga pernah membayangkan konspirasi jahat yang berlaku di dalam dunia hari ini melibatkan juak-juak kuasa ekonomi besar dunia. Namun, jika anda klik pada semua pautan tersebut, saya tidak pernah sekalipun menceritakan secara detail bentuk dan program jahat yang dirancang oleh mereka ini. Apa paedahnya buat posting camni, sekadar nak kasi orang pening kepala baik tak payah. Bukan berniat untuk mengusutkan otak pembaca, saya lebih suka agar pembaca dapat membuat sedikit kajian sendiri berhubung sesuatu isu yang dilontarkan.

Untuk permulaan ini, saya cadangkan para pembaca sekalian cuba klik pada dua pautan di berikut berkenaan dengan kisah selsema babi dan konspirasi jahat Amerika di sebaliknya. Selepas anda membacanya, sila cari sendiri samada terdapat kebenaran pada artikel tersebut. Nasihat saya agar anda tidak terlalu runsing dan gelisah dengan sebarang konspirasi jahat manusia....Demi mengejar kemewahan, demi menambahkan laba, manusia boleh menjadi haloba dan tamak daripada babi. Semewah, sehaloba dan setamak mana sekalipun manusia, dia masuk kubur juga akhirnya. Sekian dulu buat malam ini, wassalam.

Tuesday, March 17, 2009

Virus adalah Jin....?


Salam semua...

Melihat tajuk posting kali ini boleh membuatkan sebahagian pembaca abu alfateh tejatuh kerusi. Manakan tidaknyer, sekali imbas saya seolahnya sedang membuat fatwa baru. Apa hal pulaknya jin, syaitan, hantu dan jembalang ini nak dikaitkan dengan virus, bakteria, kuman dan penyakit manusia ni...Dah terlebih zikir ke bapaknya si Fateh ni? Emmmm..bukan saya yang kata ye, saya sekadar mengulang apa yang dikatakan oleh pihak yang lebih maklum.

Sebenarnya minggu lepas saya berkesempatan mengikuti ceramah perubatan Islam di pejabat. Maka dari situlah juga dibahaskan betapa penyakit manusia yang di diagnos secara fizikal di hospital ini juga ada kaitannya dengan jin dan syaitan. Malah penceramah dengan penuh yakin turut menyamakan virus komputer juga katanya diilhamkan oleh jin. (Hal ini akan disambung pada posting berikutnya Insya Allah). Jika pembaca ingin mengetahui dengan lebih lanjut, silalah melawat sendiri laman web MORAPIS EDAR sebagai rujukan yang lebih sohihhhhhh..(bak kata ustaz gen Y).

Sejujurnya, saya tak kisahkan sangat samada anda percaya atau tidak dengan kenyataan tersebut. Sebabnya...saya sendiri pernah berfikiran sedemikian sejak beberapa tahun lepas, biarpun hakikat kebenarannya taklah mengujakan sangat. Namun perkaitan antara jin dan penyakit sebenarnya terlalu dekat untuk dibayangkan secara kasar. Jin menyerang menusia mengikut saluran darah, virus juga sama. Jin makan lebihan makanan, bakteria juga sedemikian. Jin boleh membuatkan ketidakseimbangan di dsalam badan, itulah juga tugas penyakit. Maka sifir mudahnya, jin dan rakan-rakan mungkin ada kaitannya dengan penyakit fizikal. Malah lebih kurang 10 tahun lepas, saya pernah terbaca di dalam akhbar Utusan Malaysia kisah seorang banduan yang dijangkiti virus AIDS sembuh hanya dengan solat hajat!! Jin (virus HIV) dah lari la kut....

Cukuplah dahulu sebagai pendahuluan, Insya Allah jika ada kelapangan nanti akan saya usahakan sedikt pencerahan berhubung tajuk ini seterusnya. Sekian dahulu wassalam.

Sunday, March 8, 2009

Rawatan Bekam - petikan dari Utusan Malaysia


Salam semua...
Dah lama saya tak berbicara bab rawatan bekam, kali terakhir adalah lebih setahun lalu iaitu di dalam posting Rawatan Bekam - Siri 3. Semuanya gara-gara kehilangan softcopy buku Rawatan Bekam yang saya susun hampir 5 tahun lepas. Hari ini entah apa mimpinya, saya kembali berminat mencari-cari topik bekam di sekitar laman web. Ahlamdulillah, nampaknya rawatan bekam dah mulai diterima oleh masyarakat. Semakin ramai yang mencuba kaedah ini dan menyarankannya kepada rakan taulan. Sebagai perawat bekam yang dah 'pencen', saya turut bersyukur dan mengharapkan lebih ramai lagi yang akan menceburkan diri sebagai perawat. Jika ada pembaca di sekitar Kuantan ini yang ingin mempelajarinya (secara percuma) atau ingin berkongsi pengalaman....janganlah segan silu menghubungi saya. Di bawah ini saya sertakan artikel ringkas daripada Utusan Malaysia berhubung kaedah rawatan bekam. Selamat membaca dan wassalam.


Utusan Malaysia 1 Nov 2008. SEREMBAN 31 Okt
. - Seorang pengamal rawatan tradisional di Seremban Jaya dekat sini menawarkan perubatan secara berbekam iaitu salah satu bentuk rawatan alternatif kepada mereka yang menghadapi pelbagai jenis penyakit. Pengamal rawatan tradisional berkenaan, Abdul Hadi Mohd. Isa berkata, sejak beliau menawarkan khidmatnya lima tahun lalu sambutan yang diberikan oleh orang ramai terutama masyarakat setempat amat menggalakkan. Malah, katanya, kebanyakan mereka yang pernah menggunakan khidmatnya akan mengulangi rawatan beberapa kali selepas merasakan keberkesanan rawatan tersebut terhadap penyakit yang dihadapi.''Rawatan ini dengan izin Allah boleh mengubati pelbagai jenis penyakit kecuali Aids dan Hepatitis B. Ia merupakan sejenis rawatan yang telah wujud sejak beribu tahun dahulu. ''Lebih istimewa lagi ia merupakan cara perubatan yang pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para Sahabat baginda. Saya terpanggil untuk meluaskan teknik ini kepada masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah, Abdul Hadi berkata, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi telah menyatakan ketika Rasulullah dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan. Beliau berkata, fungsi bekam adalah untuk mengeluarkan darah kotor yang mengandungi toksid dan jika dibiarkan boleh merosakkan sistem badan. ''Toksid adalah endapan racun yang tidak boleh ditapis oleh tubuh manusia. Ia berpunca daripada pencemaran air dan udara, zat pewarna dalam makanan, pengawet, perisa makanan, sayur yang diracun serta gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan menagih dadah. ''Bagi menghilangkan toksid rawatan secara berbekam adalah cara paling sesuai.
Ia selamat tanpa kesan sampingan yang ketara," katanya lagi. Beliau berkata, secara umumnya terdapat empat jenis bekam iaitu bekam basah, bekam kering, bekam luncur dan bekam tarik. ''Bekam basah bertujuan mengeluarkan darah kotor, bekam kering adalah untuk keluarkan angin manakala bekam luncur bertujuan melancarkan perjalanan darah di bahagian kedua urat belikat.''Kaedah bekam tarik pula digunakan untuk menghilangkan sakit kepala," katanya lagi. Mengenai alat untuk berbekam pula beliau menggunakan alat bekam moden yang perlu dipastikan tahap kebersihannya setiap masa bagi mengelakkan jangkitan. ''Setiap kali selesai digunakan alat tersebut akan direbus di dalam air mendidih 100 darjah Celsius selama 15 minit bagi menjamin kebersihannya. Sarung tangan dan jarum yang telah digunakan akan dibuang," ujarnya. Berhubung caj yang dikenakan, beliau berkata, setiap rawatan dikenakan bayaran sebanyak RM60. ''Namun begitu jika pesakit saya di kalangan mereka berpendapatan rendah saya tidak akan kenakan bayaran tetap sebaliknya mereka boleh membayar setakat mereka mampu," tambahnya.

Sunday, February 15, 2009

Dari Telinga wujudnya Chakra...



Salam semua...

Posting kali ini sepatutunya sambungan kepada posting Antara Telinga dan Mata yang telah disiarkan sejak sebulan lalu. Namun memandangkan jurang masa yang agak lama, saya memilih satu tajuk baru sekadar untuk menggamit perhatian pembaca. Bagi yang tak pernah mendengar perkataan Chakra, anda tak perlu bimbang atau malu kerana perkataan tersebut tak akan ditanya pun di dalam kubur nanti. Bagi (muslim) yang terlalu taksub dengan Chakra pula, anda dinasihatkan agar jangan terlalu ta'jub kerana sebarang kebolehan di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan bakal lenyap setelah masuk ke kubur.

Secara ringkasnya Chakra adalah 7 pusat tenaga di dalam tubuh manusia. Amalan tertentu yang bersifat meningkatkan 'tenaga dalam' contohnya melalui bunyian tertentu (mantra) yang dilafazkan oleh si pelaku akan mengaktifkan Chakra tersebut. Oleh kerana semua ini turut melibatkan amalan keagamaan terutamanya bagi agama Hindu dan Buddha, saya rasa cukuplah penerangan ringkas di atas sebagai pengenalan semata-mata. Anda boleh mendapatkan makluman lanjut di mana-mana enjin pencarian atau contohnya seperti di Wikipedia.

Saya sebenarnya nak kaitkan semua ini dengan zikir, doa munajat dan bacaan Al Quran. Sebenarnya Islam sebagai agama kehidupan telah menyediakan begitu banyak makanan rohani yang tak ternilai bandingnya. Namun dek kerana kejahilan diri sendiri, mudah benar kita teruja dengan amalan kerohanian lain seperti meditasi, yoga, reiki dan sebagainya. Ada juga yang seronok memperlekehkan (malah membidahkan) amalam bacaan Al Quran, zikir dan doa yang dibacakan secara beramai-ramai. Alunan merdu semua zikir ini sebenarnya ada fungsi tertentu sebagaimana yang dimaksudkan oleh perkataan Chakra tersebut (yang turut ada persamaan dengan teori sains moden). Chakra disamakan dengan Sistem Endokrin (sistem rembesan hormon). Secara mudahnya, berzikir atau membaca Al Quran dengan sempurna bakal mengaktifkan sistem rembesan hormon badan dan seterusnya meningkatkan kualiti kesihatan diri.



Saya dah tak mampu nak menulis lanjut, cukuplah sekadar di sini dahulu....Sesak juga sebenarnya nak mencari ayat sesuai bila bercerita bab chakra-menchakra ni. Silap haribulan, zikir tak kemana chakra pulak yang dicari. 'Pohon derhaka' andai ada yang 'murka' dengan posting kali ini, sedikit lain dari yang lain-lain. Kesimpulannya.....pikirlah sendiri ye.

Thursday, January 8, 2009

Antara Telinga dan Mata...


Salam semua...

Dah agak lama saya 'take cover' sejak berpindah di bandar Pekan yang nan indah dan ceria suasananya. Penduduk di Pekan kebanyakannya adalah orang tempatan, maka saya dapat merasakan betapa rakyat Pahang juga sebenarnya ramah tamah dan sangat prihatin . Berbanding di bandar Kuantan yang rata-rata penduduknya adalah penduduk 'bermukim' semata-mata, suasana kejiranan agak kurang meriah.

Namun posting kali ini bukan nak bercerita bab jiran, meriah ataupun orang Pekan. Saya nak berkongsi beberapa isu menarik berkenaan telinga manusia...yer jangan terkejut nooo. Katakanlah anda diminta membuat pilihan antara mata dan telinga, salah satunya perlu di buang. Yang mana satukah pilihan anda...(10 saat dari sekarang). Emmmm saya yakin majoriti akan memilih mata, termasuklah diri ini. Ramai yang menyangka mata terlalu penting sebagai sumber penglihatan dibandingkan dengan fungsi telinga yang nampak seakan tak berapa 'glamour'.

Saya tak nak berhujah panjang lebar dari sudut kepentingan telinga dan mata, kerana kedua-duanya pasti penting buat insan. Namun kita sering melupakan fungsi telinga. Mungkin kerana tak ramai yang menyedari betapa orang pekak sebenarnya lebih tak keruan daripada orang buta. Betapa ramai orang buta yang menjawat jawatan tinggi, menjadi pemimpin, jutawan malah sehinggakan boleh menghafaz Al Quran. Bahkan orang buta juga agak mudah mendapat ihsan masyarakat sekeliling kerana butanya. Bandingkan pula dengan orang pekak, berapa kalikah anda tersempak dengan al-hafiz yang berkeadaan pekak? Malah kebiasaannya, orang pekak menjadi bahan ketawa masyarakat dan kehidupannya jauh lebih sukar dari sudut emosi secara keseluruhan.

Mesej yang ingin saya sampaikan bukanlah untuk membandingkan keutamaan antara buta dan pekak. Saya sekadar nak mengingatkan diri sendiri dan semua pembaca budiman agar menjaga telinga masing-masing. Sebab utamanya adalah pekak tak akan sembuh....buta ada rawatannya malah orang buta lazimnya dikurniakan Allah dengan mata hati. Maka pesanan akhir daripada saya, selamat menjaga telinga. Setiap bunyian yang didengar bakal mengubah sikap dan perlakuan manusia..tak percaya? Percayalah.....wasslam.

Sunday, June 29, 2008

Spanish Flu dan Susu Lembu


Salam buat semua,

Pernahkah pembaca sekalian mendengar kisah Spanish Flu (SF) yang berlaku pada zaman perang Dunai Pertama sekitar tahun 1918? Emmm…saya sendiri hanya mendengarnya dalam satu kursus yang dihadiri minggu lepas. Kisah ini agak menarik dan ingin saya kongsi bersama dengan pembaca abu-alfateh.

Sebenarnya kewujudan wabak SF tiada kena mengena langsung dengan negara Sepanyol melainkan ramai rakyat Sepanyol meninggal kerananya. Al kisahnya, wabak itu bermula daripada negara Uncle Sam. Namun ketika Perang Dunia meletus, kerajaan Amerika telah menghantar pesakit dengan wabak SF ke medan perang untuk dikorbankan secara bermaruah la kununnya (strategi perang yang cukup menjijikkan). Pelik kan begitu, penyakitnya bermula di Amerika namun Sepanyol yang dipersalahkan. Dan yang lebih malang lagi, hampir 30 juta warga Sepenyol terkorban akibat penyakit ini meskipun Sepanyol langsung tidak terlibat di dalam kancah perang.

Apalah agaknya moral daripada cerita ini…? Emmmm fikirkanlah sendiri yer. Tak semua benda itu perlu diterangkan dan diheboh-hebohkan. Bak kata pantun moden nukilan daripada pepatah orang lama “Lembu punya susu, sapi dapat nama…. kalau dah lembu tak mengaku, sapi la yang nak kena"…Biarpun cerita ini disampaikan dengan nada santai, namun jika ia dikaitkan dengan suasana politik antarabangsa agak sensasi juga jadinya, sekian dahulu lah yer wassalam.

Tuesday, February 12, 2008

Rawatan Bekam - Siri 3

TATACARA RAWATAN

Jenis-Jenis Bekam
Bekam adalah suatu kaedah rawatan yang amat mudah dipelajari dan diamalkan. Mengikut kajian penulis, bekam boleh dilakukan dengan 3 cara iaitu :

1. Bekam angin - Ia merupakan kedah bekam ringkas dan paling asas kerana tidak melibatkan pengeluaran darah. Bekam angin perlu dilakukan berulang-ulang kali dalam suatu tempoh masa. Pengulangan ini perlu kerana ia tidak mengeluarkan kotoran dari tubuh secara terus sebagaimana bekam darah. Teknik ini lebih menumpukan kepada prinsip inflammation seperti yang telah diterangkan terdahulu. Kaedah bekam angin yang ringkas ini juga sesuai dipraktiskan oleh orang awam kerana ia tidak memerlukan latihan atau kepakaran khas.

2. Bekam darah – Ia adalah kaedah bekam asal seperti yang telah diterangkan pada Siri 1. Kaedahnya juga hampir sama dengan bekam angin cuma kali ini torehan dilakukan untuk menusuk kulit pesakit oleh perawat yang mahir. Torehan perlu dibuat dengan berhati-hati agar darah yang dikeluarkan hanyalah darah yang kotor di bawah kulit pesakit. Ada juga pembekam yang menggunakan pacat atau lintah untuk mengeluarkan darah. Kaedah ini juga amat berkesan namun tidak dibahaskan pada buku ini yang hanya akan menumpukan pada kaedah rawatan bekam menggunakan pam vakum dan lancet.

3. Urutan bekam – Kaedah ini sama seperti bekam angin cumanya cawan bekam digerakan seperti pergerakan mengurut. Sedikit minyak perlu digunakan agar kulit pesakit tidak melecur akibat pergerakkan cawan tersebut. Urutan bekam akan meninggalkan kesan inflammation yang agak serius namun masih relevan dan diterima sebagai terapi alternatif dengan kesan menakjubkan.

Kaedah Mengepam Darah
Terdapat 3 kaedah untuk mengepam darah yang biasa dipraktiskan kini iaitu menggunakan pam vakum , kaedah pembakaran dan hisapan. Penulis mencadangkan penggunaan pam vakum kerana tekanan kepada kulit dapat dilaraskan mengikut kesesuaian pesakit. Kaedah ini didapati lebih berkesan dan selamat daripada cara tradisi yang memerlukan api sebagai pemanas ataupun teknik hisapan tanduk. Pam ini boleh didapati dengan harga dari RM20 ke RM200 mengikut jenis, kualiti dan rekabentuk.

Cara Menggunakan Pam Vakum
Pam vakum manual amat mudah dipelajari dan digunakan. Ia menggunakan kekuatan tangan untuk mengepam keluar udara bagi menghasilkan keadaan vakum (kedap udara) di dalam cawan khas. Tanpa kehadiran seorang pakar, kita boleh berbekam (bekam angin) di tempat terpilih mengikut aturan yang ditetapkan.

Berikut adalah kaedah menggunakan pam vakum (Rujuk rajah pam) :
1. Masukkan piston ke gun entrance secara perlahan-lahan
2. Letakkan mulut cawan ke tempat yang hendak dibekam
3. Pam udara keluar dari cawan
4. Tanggalkan pam dari cawan dengan pusingan arah/lawan jam
5. Tekan tombol pada piston untuk menghalang udara keluar
6. Biarkan cawan melekap selama 10-15 min (proses bekam angin)
7. Kawasan kulit yang berbulu perlu dicukur untuk elakkan udara keluar
8. Tanggalkan cawan dengan menarik tombol piston
9. Cawan perlu ditarik perlahah-lahan agar kulit tak melecit
10. Sapukan pelembab atau minyak herba selepas selesai

Tatacara yang dinyatakan di atas adalah kaedah bekam angin yang boleh juga dilakukan berulang kali bagi setiap sesi rawatan. Bekam darah dibuat setelah selesai langkah terdahulu (bekam angin), dan disambung tatacaranya seperti berikut :
1. Sapukan larutan antiseptik pada kulit
2. Mulakan tusukan menggunakan lancet atau pisau belit
3. Pam semula kawasan tersebut dan biarkan darah keluar
4. Darah akan membeku setelah beberapa minit
5. Cuci kawasan bekam dengan larutan antiseptik/minyak herba

Peringatan :
"1. Kawasan yang dibekam akan mengalami kesan inflammation yang biasanya akan hilang dalam tempoh beberapa hari"

“2. Bekam darah perlu dilakukan oleh pembekam yang terlatih sahaja”

Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-4 : "Peraturan Rawatan"

Sunday, January 27, 2008

Rawatan Bekam - Siri 2

KEHEBATAN RAWATAN DARAH

Sistem peredaran darah

Sistem peredaran darah amat penting bagi manusia kerana ia berfungsi mengangkut oksigen dan zat ke seluruh badan. Manusia amat bergantung kepada darah yang bersih dan sistem pengangkutan darah yang cekap. Jantung, paru-paru, urat (ateri dan vena), ginjal,limpa dan hati memainkan peranan yang amat penting kepada kita. Tugas mereka selama 24 jam tanpa henti seringkali diabaikan kerana majoriti manusia kini hanya peka kepada kesihatan luaran. Produk kecantikan dan kelangsingan badan selalunya lebih menjadi rebutan pengguna kerana kesan cantik dan langsing mudah dilihat sedangkan kesihatan dalaman tak siapa yang tahu.

Tuhan yang Maha Agung telah membina makhluknya bernama manusia ini daripada sel-sel yang terhimpun dan terbentuk dengan unik. Sel-sel ini yang wujud dalam pelbagai bentuk seperti organ, daging, otot, tulang mahupun kulit. Darah adalah sumber makanan kepada sel. Namun darah juga boleh menjadi musuh tersembunyi kepada kita jika kebersihannya atau pengalirannya terabai. Sistem peredaran darah yang sepatutnya memberi zat kepada sel tubuh, boleh juga bertindak sebaliknya dengan membawa darah yang tercemar dengan toksid, kolesterol, asid urik dan sebagainya. Oleh itu kotoran pada darah perlu dielakkan untuk menghalang penyakit disebarkan melalui sistem peredaran darah.

Jika tubuh kita diandaikan seperti sebuah kereta, ia memerlukan petrol untuk menggerakkannya. Darah boleh kita diumpamakan seperti minyak petrol dan jantung yang mengepam darah seperti sebuah enjin. Ginjal dan hati yang berfungsi menapis serta mencuci darah bolehlah dianggap sebagai karburator atau filter. Urat darah (ateri & vena) pula diibaratkan seumpama saluran minyak. Cuba anda bayangkan keadaan sebuah kereta yang menggunakan petrol yang tercemar. Pergerakannya tentu tidak lancar dan pastinya akan lebih kerap ke bengkel daripada meluncur di atas jalan. Walaupun setelah diservis, jika petrolnya masih tercemar masalah tetap akan berlaku semula. Hal yang sama juga akan berlaku jika saluran minyak kereta telah tersumbat atau bocor. Gunalah apa jenis petrol sekalipun, engin tetap akan meragam.

Maka keadaan inilah yang berlaku di dalam tubuh kita. Kebersihan darah dan kelancaran sistem peredarannya amat penting untuk memastikan kita tidak perlu menjamah ubat seperti memakan nasi. Darah yang kotor adalah disebabkan oleh corak pemakanan dan penjagaan kesihatan yang terabai. Manakala saluran darah pula tersumbat atau bertakung (blood stasis) disebabkan darah yang kotor atau wujudnya gangguan seperti :
• kemalangan kenderaan, sukan lasak, hentakan atau perkara berkaitan
• pakaian atau kasut yang ketat
• penagihan dadah, alkohol, rokok dan ubatan tertentu yang berterusan
• kesan pada bayi dalam kandungan akibat sebab-sebab di atas


Kajian Mengenai Pengumpulan Darah Kotor

Sekumpulan pakar daripada Syiria yang diketuai oleh Prof. Abdul Kadir Alias Al-Dairani, telah mengkaji secara klinikal mengenai pengumpulan darah kotor di dalam badan manusia. Mengikut kajian mereka, kebanyakkan darah kotor di dalam tubuh akan terkumpul pada kawasan belakang badan seperti rajah di bawah

Menurut hasil kajian beliau, darah kotor terkumpul di kawasan tersebut pada waktu malam semasa tidur dengan secara fitrah. Hal ini tidaklah bermakna tiada darah kotor yang terdapat pada kawasan lain. Bahkan kita telah sedia maklum, bagi orang yang mengalami penyakit ghout, kekotoran ini terkumpul di sendi, trombosis pula di urat peha, migrain di kepala dan lain-lain penyakit.

Kajian mereka juga mendapati pengaruh graviti bulan memberi kesan kepada corak pengaliran darah. Mereka mendapati wujudnya perbezaan pengaliran darah pada kitaran bulan di separuh pertama (1-15) dengan separuh berikutnya (16-30). Kajian yang ini dibuat berasakan kepada hadith Nabi SAW yang menganjurkan berbekam pada hari yang ke 17, 19 dan 21 kalender Hijriah. Prof Abdul Kadir juga mendapati darah kotor akan mula terkumpul pada usia 20-an bagi lelaki dan 50-an (setelah putus haid) bagi wanita. Sehubungan itu mereka mencadangkan perawatan bekam dilakukan mengikut masa dan kawasan tertentu sahaja untuk mendapatkan manfaat yang maksima. Kaedah dan tatacara bekam yang dicadangkan beliau akan dibincangkan dengan lebih terperinci pada Siri 4.


Kebaikan Berbekam

Ahli perubatan tradisional biasanya menyatakan bahawa bekam boleh mengeluarkan angin, darah kotor dan racun di dalam badan dengan tidak dihuraikan secara terperinci bagaimana semua ini berlaku. Maka di bawah ini adalah beberapa penjelasan yang lebh mendalam berhubung keunikan rawatan darah ini :

1. Bekam menyebabkan imflammation (kawasan kulit menjadi lebam atau kemerahan), berpunca daripada pengaliran darah meningkat di kawasan tersebut akibat tarikan vakum. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak zat yang diperlukan oleh sel dibekalkan seterusnya meningkatkan metabolisma sel di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, otot dan sel akan kembali segar dan pulih seperti asal tanpa aplikasi ubat-ubatan.

2. Imflammation juga dapat menggalakkan rembesan hormon, enzim dan antibodi bagi tujuan kesembuhan secara fitrah. Prinsip ini juga menjadi asas kepada beberapa kaedah pengamal perubatan alternatif termasuklah kaedah akupuntur menggunakan lebah (bee acupunture).

3. Pengeluran darah melalui berbekam secara tidak langsung dapat meningkatkan penghasilan sel darah baru yang dapat memberi kesegaran semula jadi pada badan. Hal ini disebabkan sel darah akan mati setelah sekian lama bergerak di dalam tubuh. Sel yang mati perlu digantikan dengan penghasilan sel darah merah yang baru di sum-sum tulang.

4. Sejumlah kotoran yang terkumpul seperti diterangkan sebelum ini akan tertarik ke bawah kulit semasa berbekam. Kotoran ini boleh dikeluarkan dengan mudah apabila kulit ditusuk semasa berbekam. Jika kulit tidak ditusuk, kotoran ini tetap juga dikeluarkan pada suatu jangka masa melalui berpeluh.

5. Bekam juga dapat mengaktifkan pergerakan otot, saluran darah, saraf dan pengaliran cecair badan yang lain seperti cecair limfa. Cecair limpa telah dikenal pasti sebagai agen untuk melawan penyakit dan digerakkan ke suluruh tubuh melalui pergerakan otot. Oleh itu, bekam akan meningkatkan sistem ketahanan badan (imuniti) sekaligus memberi kesan positif secara fitrah.


Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-3 : "Tatacara Rawatan"

Wednesday, January 23, 2008

Rawatan Bekam - Siri 1



Sejarah Bekam

Bekam yang dikenali dengan nama Hijamah di dalam bahasa Arab, Cupping dalam bahasa Inggeris dan Gua Sha oleh bangsa Cina telah diamalkan sejak sekian lama di dalam peradaban manusia. Ada pendapat yang mengatakan bekam telah mula diamalkan sejak zaman tamadun Mesir purba iaitu di Lembah Sungai Nil dengan penggunaan tanduk binatang sebagai alat berbekam. Sejarah mencatatkan Hippocrates, selaku tokoh perubatan terbilang juga turut mempraktikkan kaedah ini sebagai rawatan.

Terdapat juga bukti yang menunjukkan bekam telah diamalkan oleh tamadun Cina sejak 2200 hingga 2600 tahun lalu. Penggunaan tanduk binatang sebagai alat bekam telah digantikan dengan penggunaan bekas yang diperbuat daripada buluh pada Dinasti Sui dan Tang. Pada Dinasti Ching, pembekam telah menggunakan peralatan yang diperbuat daripada tembikar, logam sehinggalah bekas kaca diperkenalkan. Bekam juga amat popular di Greek, Rom dan Eropah (1400 AD) sebagai rawatan alternatif mencuci darah selain daripada kaedah phlebotomy (pembuangan darah secara terkawal dengan cara menghiris urat tertentu). Pembekam biasanya terdiri daripada tukang-tukang gunting rambut yang menjalankan operasi bekam di pusat-pusat perhimpunan para bangsawan. Sign board berbelang merah putih berputar yang terdapat di luar kedai gunting di zaman itu pada asalnya bermaksud kedai tersebut menawarkan rawatan berbekam.

Bangsa Arab turut tidak ketinggalan mengamalkan bekam sebagai asas perawatan. Ia telah diperturunkan oleh lapisan generasi bangsa Arab sehinggalah kedatangan Islam di bumi Makkah. Semasa hayat Rasulullah SAW, baginda turut mempraktikkan rawatan bekam malah keutamaan bekam sebagai rawatan telah banyak diriwayatkan di dalam hadith.

Nabi S.A.W bersabda “Sebaik-baik sesuatu yang kamu gunakan sebagai ubat adalah berbekam” (H.R Bukhari & Muslim)

Terdapat beberapa hadith lain yang dikumpulkan pada Siri 5 menerangkan serba ringkas berhubung rawatan bekam mengikut pandangan Islam. Pembaca juga boleh merujuk kitab perubatan Islam karangan ulamak tersohor yang membahaskan tajuk ini adalah seperti Tibb An Nabawi karangan Imam Ibnu Qayyim (terjemahannya ada di pasaran) atau boleh juga cuba menyelak kitab Al Qaanun karangan Ibnu Sina jika berkemampuan.

Bekam juga tidak kurang popularnya di kepulauan Nusantara ini. Orang-orang Melayu khususnya, sejak sekian lama telah berbekam untuk mengeluarkan bisa binatang, menguatkan tubuh, menghilangkan penyakit malah untuk penjagaan kesihatan secara am. Namun kepercayaan kepada unsur-unsur tahyul telah menyebabkan ilmu warisan ini tidak berkembang sejajar dengan era kemodenan. Darah bekam dikaitkan dengan pemujaan atau amalan khurafat yang bercanggah dengan nilai agama. Kegagalan sebilangan pembekam tradisional memahami kaedah bekam yang sebenar dan menggunakan alatan yang tidak bersih menimbulkan kesan sampingan hingga menyebabkan masyarakat hilang minat untuk berbekam. Terlalu banyak ulasan yang salah berhubung kaedah perawatan ini, sehinggalah pada hari ini orang Melayu khususnya berfikiran negatif apabila membicarakan hal bekam.

Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-2 : "Kehebatan Rawatan Darah"

Friday, January 18, 2008

Rawatan Bekam - Suara Penulis


Salam untuk semua..
Artikel kali ini membicarakan koleksi tulisan saya bertajuk Rawatan Bekam-Mengungkap Rahsia Warisan Silam yang akan muncul di laman Abu Alfateh. Buku yang dikarang dengan niat untuk dipasarkan secara peribadi oleh penulis, namun sehingga kini usaha untuk mencetaknya pun belum tercapai. Idea menerbitkan buku ini di dalam blog muncul setelah layout printing yang pernah saya lakukan pada dua tahun lepas berjaya ditemui. Berbekalkan azam dan semangat baru, saya amat berharap perkongsian ilmu di blog akan lebih memberi makna.

Buku ini hanyalah susunan ringkas penulis sekadar memberi pengenalan kepada prinsip dan tata cara berbekam. Ia terbahagi kepada enam sub topik yang dikupas berdasarkan pengalaman peribadi menjalankan Klinik Rawatan Bekam secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu. Rujukan menghasilkan buku ini adalah daripada dua nota kursus yang pernah dihadiri penulis iaitu Kursus Bekam Inovatif anjuran Emtiaz Excel Sdn Bhd dan Kursus Intibah anjuran HPA Sdn Bhd. Jazakallah saya ucapkan kepada En Kosim daripada Emtiaz Excel dan juga buat Tn Hj Ismail, Pengarah Urusan Satu HPA yang telah sudi berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Selain itu beberapa artikel, rencana akhbar dan maklumat tambahan daripada laman web telah diadun seadanya untuk menjadikan persembahan buku ini lebih universal.

Oleh kerana kaedah berbekam bukanlah jenis rawatan tersohor dan kurang dikaji secara klinikal, saya andaikan buku ini bukanlah suatu rujukan yang sohih mutlak. Masih terdapat ruang untuk diperbaiki dan saya terbuka untuk menerima teguran yang membina. Demi niat untuk mempopularkan bekam sebagai rawatan alternatif, saya mengajak pembaca sekalian agar sudi melapangkan masa mengikuti enam siri yang bakal disisipkan iaitu :
1. Sejarah Bekam
2. Kehebatan Rawatan Darah
3. Tatacara Rawatan
4. Peraturan Bekam
5. Rawatan Holistik
6. Kawasan bekam mengikut titik akupuntur

Sudikanlah jua untuk bertanya, memberi komen dan berhubung terus dengan saya andai terdapat soalan yang bersifat peribadi. Sukar untuk saya bercerita panjang pada ruangan yang terhad ini kerana ilmu dan pengalaman sukar diterangkan sepenuhnya melalui penulisan di blog. Tambahan pula orang yang menulis sekadar mendapat markah D dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di universiti, pasti ada kesilapan yang mengundang resah para ahli bahasa.


Pengalaman menjalankan rawatan bekam membenarkan saya menempuhi beberapa keajaiban yang sebenarnya telah diungkapkan oleh baginda Nabi S.A.W. sejak 14 kurun yang lalu. Saya melihat sendiri di depan mata bagaimana kesembuhan yang segera berlaku dengan izin Allah setelah mendapat rawatan bekam. Rawatan klasik yang sering diabaikan dan mungkin juga dipandang serong oleh segelintir masyarakat ini telah berjaya dimodenkan. Hinggakan isteri sendiri yang mulanya sekadar menjadi patient VIP saya, telah mampu merawat pesakit wanita biarpun sekadar menerima bimbingan yang minimum. Saya juga bersyukur kerana bekam telah menemukan kami berdua dengan kenalan baru yang di antaranya telah berjaya mendapat zuriat melalui kaedah ini dengan izin Allah. Artikel ini diharapkan dapat menarik minat pembaca budiman agar sudi mengikuti buku "Rawatan Bekam-Mengungkap Rahsia Warisan Silam" yang akan muncul pada posting ke-20 nanti Insya Allah.

Tuesday, January 15, 2008

Rawatan Bekam - Mengungkap Rahsia Warisan Silam



Nantikan keluarannya di laman ini...insyaAllah