Friday, December 14, 2007

Masihkah kau ingat?



"Mai beli,mai beli...murah, murah.. dua kilo RM5" itulah kata-kata yang diulang-ulang oleh peniaga pasar malam berhampiran rumah saya di Permatang Pauh. Saya memandang wajah isteri dengan sedikit keliru memikirkan jenis buah yang jarang-jarang dijumpai dan ditulis Buah Setaq oleh peniaga tersebut. "Buah setaq ka buah remia ni?" tanya saya pada isteri."Setaq la tu, biji dia aja warna lain, rasa nak sama jugak" balas isteri saya sambil tersenyum dengan penuh yakin. Saya masih keliru namun untuk tidak mahu dilihat bodoh saya terus berlalu dan mengajak isteri membeli barangan lain yang masih dicari.


Bagi warga asal Alor Setar seperti saya, bukanlah suatu kewajipan untuk mengenali asal usul nama Bandaraya baru ini. Walaupun saya yakin, suatu ketika dahulu arwah ayah pernah membawa pulang buah setaq ini samata-mata untuk diperkenalkan kepada anak-anak yang lebih menunggu sesi memakannya."Buah setaq pun dah lupa no," celah isteri saya memecah kenangan silam di zaman kanak-kanak."Yeala, zaman tu macam-macam buah yang ada, lani mana ada dah. Dulu-dulu duk makan buah remia, buah rumbia, buah rambai, buah rotan, buah cermai, buah nona, buah jentik, buah jangguih...uihh macam-macam noo..budak lani mana kenai dah" balas saya sambil berhempas-pulas mengingat kembali bagaimana rupa buah-buah tempatan yang disebut tadi.












Hari ini, habis sahaja kerja di pejabat terus saya mencari melalui Google Image wajah buah-buahan yang cuba diingati semalam. Nampak gayanya bukan sahaja generasi sekarang yang tidak mengingati buah tempatan, saya yang otai ini juga nampaknya tergolong dalam kategori kelas "lupa asal usul". Lupa sejarah silam dan tidak pernah terfikir untuk memperturunkan sejarah yang indah tersebut kepada generasi akan datang.

Posting ini harapnya dapat mengimbau kembali kenagan manis kita di zaman kanak-kanak terutamanya kepada golongan otai-otai seperti saya. Zaman itu kemewahan tidak ternampak pada harta, namun pada budi bahasa, adat resam, permainan malahan jua pada buah-buahan yang kini boleh diibaratkan telah pupus pada hemat saya. Kanak-kanak dahulu hanya perlukan sedikit "kerajinan" untuk mendapatkan buah-buahan secara percuma di hutan atau di kawasan sekitar laman rumah. Kini semuanya berbayar, dikategorikan eksotik malah namanya sahaja sudah mulai dilupakan.

No comments: