Sifat asal kejadian manusia tidak akan berubah, namun sikap manusia tak pernah berhenti berubah...berubah dengan semangat HIJRAH
Sunday, December 30, 2007
Ada Apa Dengan Pembalut Buku
Saya ingin membawa memori pembaca sekalian kisah sewaktu kita semua memasuki alam persekolahan rendah suatu ketika dahulu. Sebelum hari persekolahan bermula, pastinya semua buku-buku akan dibalut terlebih dahulu oleh ayah, ibu, abang atau kakak masing-masing. Pada sekitar tahun 80an dahulu, buku kebanyakannya akan dibalut menggunakan kertas minyak sahaja. Pembalut plastik mula diperkenalkan pada tahun 90an. Kini pembalut plastik sudah hampir menggantikan sepenuhnya peranan kertas minyak, malah terdapat pelbagai jenis plastik yang beraneka corak kini di pasaran termasuklah pembalut jenis ready made
Kebanyakkan kita sekadar membalut buku dengan niat untuk menjaga dan melindunginya sahaja daripada rosak. Namun jarang difikirkan kesan psikologi apabila kita mengambil serius soal membalut buku ini. Kesan yang mungkin tidak patut dikaji oleh pakar psikologi kanak-kanak, namun saya sendiri dapat merasainya setelah menempuh alam dewasa. Nampak seperti saya ingin memperbodohkan diri sendiri dengan membuka topik ini sungguhpun saya terlalu yakin terdapat kesan psikologi dalam bab membalut buku ini.
Saya masih ingat pada tahun 1980 apabila arwah ayah dengan penuh kesungguhan mengajar abang cara-cara membalut buku teks pertamanya dan ia berlaku pada saya dua tahun berikutnya. Kesungguhan itu cukup pelik bagi saya kerana ayah begitu bersemangat menerangkan kaedah membalut buku dan menulis nama pada buku tersebut. Saya hanya sedar betapa seriusnya pekerjaan ini dan betapa bernilainya buku yang saya balut itu setelah hujung tahun. Apabila saya mendapati semua buku-buku saya masih elok dan nampak kemas, saya senyum kegembiraan malahan bangga pun ada. Tambah lega apabila cikgu yang bertugas menjaga buku teks memuji-muji saya di hadapan rakan-rakan lain sambil menyerahkan buku yang agak kemas juga untuk digunakan pada tahun berikutnya. Kesan daripada keseluruhan peristiwa ini melekat di dalam pemikiran separa sedar saya.
Namun hal sedemikian kurang berlaku kini, kerana operasi membalut buku sudah hampir diabaikan oleh ibu bapa. Kita lebih gemar membeli pembalut yang ready made. Kanak-kanak tidak didedahkan pengalaman menghargai nilai sesebuah buku dengan membalutnya. Malah kebanyakan buku-buku yang ada juga akan diganti dengan mudah oleh ibu bapa andai kata ia rosak atau dirosakkan. Betapa kita telah menikmati kemudahan yang pada hemat saya telah mengorbankan suatu detik pengajaran yang amat penting bagi seorang kanak-kanak.
Fikir-fikirkanlah....wassalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment