Terkejut saya apabila mendapat berita Frederick Kanoute (gambar di atas) yang merupakan antara penyerang terbaik di Liga Bolasepak Sepanyol (La Liga) adalah saudara seagama. Terkejut kerana saya tidak tahu beliau adalah Muslim dan tambah terkejut setelah mendapati beliau banyak menyumbang ke arah pembangunan Islam di bumi Andalus.
Mungkin bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan bolasepak, nama Frederick Kanoute agak asing. Saya teramat yakin semua peminat La Liga malah EPL (English Premier League) tentu sahaja kenal kelibat beliau yang merupakan fenomena hebat di Sepanyol. Hebat di padang selaku penjaring terbanyak La Liga pada musim lepas mengatasi kehebatan pemain terbaik dunia seperti Ronaldinho dan Samuel Etto. Tetapi itu belum cukup hebat dibandingkan kemampuan beliau bermain sambil berpuasa, bersolat walaupun sekadar di dalam bilik persalinan dan derma yang beliau lakukan. Sejumlah setengah juta Euro iaitu hampir setahun gajinya telah dibelanjakan untuk membeli sebuah masjid di Sevilla. Malah beliau juga membuat perjanjian dengan majikannya agar pihak penaja kelab bolasepak FC Seville iaitu 888.com (sebuah syarikat judi)menderma ke badan kebajikan Islam tempatan sebelum bersetuju untuk memakai jersi pasukan yang terdapat logo syarikat tersebut.
Pembaca boleh mengikuti berita ini di link berikut:
www.islamonline.net
Pada zaman yang penuh cabaran ini, cukup sukar untuk kita mencari ahli sukan atau personaliti popular tempatan yang mampu menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat. Apabila terdapat contoh yang cukup baik di peringkat antarabangsa, perkara ini bukanlah suatu yang harus kita pandang sebelah mata. Tidak mudah untuk menjadi popular dan dikenali ramai, kerana popular selalunya membawa rebah. Terlalu banyak contoh di depan mata yang boleh kita lihat untuk membuktikan 'rebahnya' jiwa manusia apabila berdepan dengan dunia glamour.
Pekerjaan sebagai pemain profesional dengan kelab ternama di liga bolasepak antarabangsa sudah cukup mencabar. Menjadi Muslim contoh apabila telah berjaya dengan kerjaya profesional itu lebih hebat dan merupakan suatu jihad besar (Jihadul Akbar) di zaman mutaakhir ini. Kerjaya sebagai ustaz atau penceramah tentu sahaja lebih mendapat tempat di hati masyarakat secara amnya, kerana fungsi dakwah yang dibawa amat jelas lagi bersuluh. Siapa sangka dengan menjadi seorang pemain bolasepak, Frederick Kanoute dan rakan-rakan lain seperti Yaya Toure (yang mempertahankan berpuasa tidak akan mengurangkan ketangkasannya bermain bola) dan Eric Abidal (yang sering dilihat membawa naskah Al-Quran untuk dibaca ketika berehat di padang) telah berjaya membawa mesej Islam pada skop yang lebih luas. Kerjaya yang tentu sahaja membuahkan ganjaran pahala berlipat-kali ganda Insya Allah...Ameenn
No comments:
Post a Comment