Saturday, January 12, 2008

Kalau Kail Panjang Sejengkal



Kita seringkali mendengar pepatah "kalau kail panjang sejengkal, lautan luas jangan diduga". Falsafah atau maksud pepatah tersebut sangat mudah difahami oleh jumhur rakyat Malaysia. Namun pada posting kali ini, izinkan saya berkongsi kaitan pepatah tersebut dengan kesanggupan saya terjun ke dunia cyber selaku blogger tua.

Kawan-kawan yang mengenali saya mungkin terasa sedikit pelik dengan munculnya laman abu-alfateh.blogspot.com , kerana mengetahui pemiliknya adalah insan yang paling tidak suka dengan kemajuan IT. Saya boleh dikatakan sebagai lembab IT, sewaktu di universiti dahulu kerana sikap saya yang bo layan terhadap perkembangan dunia cyber walaupun setelah melangkah ke alam pekerjaan. Namun segalanya berubah sekelip mata setelah secara tak sengaja saya tersempak dengan laman Saifulislam.Com. Hampir sebulan saya fana dengan ayat-ayat power Ustaz Hasrizal (UH) dan para pelawat di laman tersebut, sehinggakan hati ini mula terfikir betapa banyak masa yang saya telah bazirkan selama ini."Baik aku buat blog daripada duk merapu tak sudah", bisik hati saya sendirian.

Cabaran pertama berjaya dihadapi iaitu terpaksa belajar membina sebuah laman blog, yang boleh diumpamakan bagai satu mimpi ngeri. Setelah puas memotivasi diri dengan sedikit sentuhan rohani, maka lahirlah abu-alfateh.blogspot.com merangkak di celah jutaan laman blog yang sedia ada. Namun masih banyak cabaran yang menanti;
Siapa yang nak baca artikel dalam blog ni?
Mana aku nak cari artikel?
Bila masanya aku nak mengarang?
Nak karang bab apa?
Apa konsep blog aku? Agama? Politik?
Ada ka orang nak melawat laman ni?

Suara hati kali ini semacam memperli diri sendiri yang turut tidak mahu dikurniakan dengan gelaran SS, bukan Sohibus Samahah tetapi syok sendiri. Kalau tidak kerana sokongan isteri yang sudi menaja bil bulanan memasang broadband di rumah dan membeli modem, saya mungkin terus tutup kedai. Sukar sekali mencari masa sesuai untuk mencungkil idea menulis, melainkan dilakukan di rumah itupun setelah detik 12 malam.

Tahulah saya betapa kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan otai-otai blogger yang sering saya ziarah laman mereka. Laman berunsurkan politik dan agama mudah sekali mendapat tempat di hati pembaca. Tajuk kesenian, jenaka, aktiviti sosial atau kisah hidup juga turut menjadi pilihan. Apabila memikirkan konsep yang bakal menghiasi laman blog ini, terasa pendek pula kail saya untuk menduga lautan luas yang ada di hadapan. Di sebalik segala kedhaifan, kehadiran blog ini diharapkan tidaklah sekadar menjadi tatapan peribadi penulisnya semata. Kunjungan pembaca budiman memberi sokongan, amat saya hargai, teruskanlah memberi komen positif demi memperbaiki laman ini. Kita tidak dibayar dengan wang ringgit untuk masa yang kita peruntukkan di sini. Ilham yang dicampakkan Ilahi mengizinkan saya berkarya juga bukan untuk dijual beli. Saya berazam untuk menduga di lautan yang luas ini, walaupun sedar kail yang ada di tangan hanyalah sejengkal sahaja panjangnya. "Ya Allah andai ada kebaikan dalam amalan ku ini, Engkau kekalkanlah keikhlasanku dan Kau limpahkanlah kekuatan kepada ku untuk meneruskannya" Ameennn.....Wassalam

No comments: