Salam buat semua..
Penyangak yang melarikan adik Sharlinie, masih menjadi misteri sekalipun bagi pihak berwajib yang mengamalkan motto Betul, Cepat dan Mesra. Wajah sugul dan suram keluarga beliau ketika ditemuramah wartawan cukup menggambarkan betapa hibanya perasaaan mereka biarpun saban hari dikunjungi oleh para pempinan negara. Tak perlulah disorot kembali jumlah kes melibatkan kehilangan kanak-kanak ini, kerana sudah terlalu banyak analisis dan komen penuh emosi yang disuarakan. Hasilnya kes jenayah masih meningkat setiap hati dan kepercayaan kita kepada dua pihak di atas untuk menjaga keselamatan negara jatuh merudum.
Saya meramalkan wakil penjual CCTV bakal mendapat durian runtuh pada tahun ini kerana nampak seakan-akan pihak berwajib akan bergantung penuh kepada keupayaannya manjadi 'Superman' di Malaysia. Dengan semua pihak menyatakan kesediaan untuk memasang segera CCTV, nampak seakan-akan kes jenayah melibatkan kanak bakal terkawal. Superman ini akan diletakkan pada kawasan stategik dan hukuman yang lebih berat juga sedang dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan jenayah. Kedua-dua ini adalah engineering control dan admin control yang dirasakan amat sesuai.
Sila klik di link untuk mengikuti ulasan berkenaan perkara di atas.
Kita mengalu-alukan langkah pencegahan yang hendak dan akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Kita juga perlu bersedia dengan senjata terbaik untuk melawan si penyagak bedebah ini. Senjata terbaik yang saya maksudkan adalah dengan berdoa. Doa bukanlah penghalang mutlak kepada berlakunya jenayah, namun kita diingatkan untuk berdoa bagi mengelakkan sebarang kejahatan, kemusnahan atau mungkin juga bala. Setiap kejadian itu, Allah yang mengaturnya dan Dia lah jua yang akan memilih calon-calon sesuai untuk diuji. Andai kata kita diuji mahupun setelah berdoa, yakinlah bahawa pasti sahaja terdapat hikmah dan rahsia di sebalik kejadian yang menimpa. Perkara tersembunyi bersifat hikmah dan rahsia ini memerlukan ulasan lain yang Insya Allah akan dikongsi pada artikel mendatang.
Samalah keadaannya apabila kita membeli sebuah kereta yang dilengkapi dengan pelbagai sistem 'anti theft'. Alat tersebut hanyalah sebagai pencegahan semata, dan kita masih perlu berdoa agar kereta kita tidak menjadi pilihan. Tentu sahaja seorang pencuri profesional tidak akan bermasalah untuk mencuri kereta dengan apa jenis sistem pencegahan sekalipun. Kalau sudah pekerjaannya mencuri, dia pasti sedar akan bahaya menanti dan telah bersedia dengan kecekapnnya untuk mencuri. Maka cara terbaik setelah berusaha memasang sistem pencegahan adalah dengan bertawakkal kepada Ilahi melalui doa, agar kereta kita tidak terpilih. Saya yakin, di kalangan pembaca ada yang rajin mengikuti kuliah agama dan pernah mendengar huraian betapa pencegahan jenayah dapat dipertingkatkan dengan perlaksanaan hukum Hudud dan Qisos. Saya tidak arif untuk mengulas tentangnya namun bersetuju dengan maksud yang disampaikan.
Di bawah ini saya sertakan antara doa yang boleh kita jadikan amalan harian, kalaupun tidak versi Arabnya, makna yang disertakan bersama doa ini amat mudah kita zikirkan.
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, segala puji adalah semata-mata untuk Allah, Tuhan Pemerintah alam. Selawat dan salam adalah untuk junjungan besar semulia-mulia Nabi dan Rasul dan begitu juga ke atas keluarga serta sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah! Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon supaya Engkau memelihara kami. KepadaMulah kami pertaruh agama kami. Ahli keluarga kami, harta-harta kami. Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka itu di dalam pemeliharaan, perlindungan, keamanan dan penjagaanMu daripada semua syaitan, dan yang mempunyai mata yang mempunyai kedengkian dan yang mempunyai kejahatan. Sesungguhnya Engkau di atas tiap-tiap sesuatu itu Maha Berkuasa.”
Hikmah kesenangan atau kejayaan sepertimana artikel saya bertajuk Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari Yang Ku Hormati, terlalu mudah untuk direnungi. Namun apabila kita ditimpa kesusahan atau sesuatu kejahatan berlaku, sukar untuk mencari rahsia yang tersirat di sebaliknya. Sehebat mana pun perasaan kita yang melihat dari jauh ini tidak mungkin sama dengan kesedihan mereka yang menanggungnya. Marilah kita sama-sama berdoa agar adik Sharlinie dikembalikan ke pangkuan keluarganya dengan selamat. Berdoa agar kita dijauhkan daripada kejahatan serta musibah dan agar kita tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita hadapi....Ameeen..
No comments:
Post a Comment