Showing posts with label Orang Minyak. Show all posts
Showing posts with label Orang Minyak. Show all posts

Thursday, April 28, 2011

Pindah ke Batu Rakit


Salam semua...

Mulai 2hb Mei ini, saya akan berkhidmat dengan Institut Teknologi PETRONAS (INSTEP) di Batu Rakit, Kuala Terengganu. Biarpun sekali lagi terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak, kami berdoa moga perpindahan ini bakal memberi 'makna' yang besar. Cumanya secara kebetulan, saya berpindah pejabat setiap kali isteri mengandung. Teruja juga nak berkhidmat di institusi latihan setelah sekian lama saya menyimpan hasrat untuk mengajar atau bersama-sama dengan para pelajar...Alhamdulillah, lokasi yang diletakkan di dalam GPS minda ini semakin dihampiri. Kepada semua pembaca budiman, doakan saya berjaya dalam tugasan baru ini, ameen. Sekian wassalam.

Tuesday, December 15, 2009

PETRONAS : Retro sekejap bro...


Salam semua....

Hari ini saya nak kongsikan sejarah PETRONAS yang cukup mencabar di awal penubuhannya. Rasanya ramai yang tak tahu betapa hasil bumi Malaysia pada suatu ketika telah dikerjakan sewenang-wenangnya dengan cukup lumayan oleh syarikat asing. Saya terpanggil untuk menyiarkan kisah ini setelah membaca satu buku yang bertajuk Tuah dan Jebat di PETRONAS. Saya syorkan semua rakyat Malaysia membaca buku ini untuk sedikit pencerahan betapa selama ini negara kita telah dijajah dari luar dan dalam.

Saya terpanggil untuk menyiarkan temuramah ini yang baru sahaja ditemui di You Tube sebentar tadi. Sila klik di link untuk mendapatkan keseluruhan sessi temuramah ini. Bolehlah dikatakan satu ringkasan daripada kisah panjang yang telah ditulis di dalam buku tersebut. Selamat bersiaran.....wassalam.

Saturday, September 27, 2008

Hujan emas di negara orang..


Salam semua..

Baru sebentar telefon saya berdering menerima panggilan daripada seorang sahabat lama yang cukup diingati, Aris Arbai. Seronoknya dapat berbual kembali dengan sahabat ini kerana beliau sudah 14 bulan merantau ke Timur Tengah. Saya pada mulanya dahulu bagai tak percaya mendengar Aris terbang ke Saudi, mengenangkan betapa 'kepo'nye kawan saya yang seorang ni. Namun itulah yang dinamakan rezeki, tiada yang mustahil menurut kerja buat Allah. Alhamdulillah untuk sambutan raya tahun ini, beliau dibenarkan bercuti panjang oleh majikannya.

Aris adalah antara partner saya semasa di dalam ROTU. Partner dalam erti kata kategori yang masuk ROTU semata-mata nak tinggal di asrama. Kami sekadar layan je apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang, nak taksub lebih-lebih tu jangan haraplah. Namun mamat dari Johor ini sangat peramah dan sukar sekali nak marah kat orang. Setelah tamat belajar, saya sempat sekali berjumpa beliau di bandar Kuantan semasa saya masih berkhidmat dengan Pelabuhan Pulau Pinang. Aris yang saya kenali di unversiti, selepas grad dan yang baru bercakap di telefon kini masih sama perangainya....syukur.

Sebenarnya saya turut perhatikan perubahan sikap beberapa kengkawan lama setelah menyertai sektor Oil & Gas (OnG) ni. Terus-terang saya katakan, ada yang telah berubah dan saya rasa mereka juga mungkin tidak sedar perubahan itu berlaku. Sektor OnG ini selain daripada menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, turut memerlukan pekerja yang penuh dedikasi dan betul-betul profesional. Kemahiran teknikal mereka bakal tercabar dan cabaran ini mungkin sedikit sebanyak akan mengubah psikologi harian seseorang. Ada yang menjadi terlalu profesional dan hanya tumpukan kepada kerjaya. Ada juga yang menjadi terlalu self centered dan agak lupa asal usul. Hal ini bukanlah suatu yang pelik di kalangan orang minyak, biarpun majoritinya tidaklah begitu. Namun, hal ini hanyalah pendapat peribadi saya semata-mata yang baru 5 bulan menjadi orang minyak.

Pernah suatu hari saya hampir naik angin kerana ada seorang kenalan yang dengan tanpa segan silu mengutuk industri kereta negara. Hal ini berlaku semasa dia berbicara tentang polisi negara menyebabkan harga kereta import di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding di negara 'Mat Salleh' tempat beliau belajar dahulu. Secara tiba-tiba terpacul daripada mulutnya yang tak berfilter itu,"then they came out with the stupid Proton". Saya memerhatikan beliau atas bawah sambil berkata di dalam hati,"aku pun tak pakai Proton jugak, tapi tak dak la sampai nak sebut dengan bangganya perkataan STUPID tu". (Nasib baik jugalah saya sekarang dah sedikit pandai mengawal diri...kalu tidak maunye dipangkah teruk mamat yang lupa daratan ni). Saya terus beredar ke meja sebelah dan meninggalkan beliau berbicara mengikut seleranya.

Sebab itulah apabila dapat berbual dengan Aris sebentar tadi, saya rasa bersyukur kerana rakan saya ini masih tetap seperti dahulu. Aris yang penuh bersahaja, mesra dan berbangga menjadi rakyat Malaysia, biarpun beliau kini berkelana nun jauh di sana. Biarpun pendapatannya kini, emmmm tak payah nak ceritalah kat sini, biarpun tahap pekerjaannya sunggguh profesional, biarpun beliau ditimpa hujan emas di negara orang, beliau tetap Aris yang saya kenali dahulu. Kesempatan belajar di luar negara tidak sama keadaanya dengan kesempatan sebagai pekerja yer. Pelajar pergi ke sana dengan misi dan cabaran yang jauh berbeza dengan orang berkerja, terutamanya bagi yang telah bekeluarga. Namun masih ramai di kalangan profesional kita yang terbang ke sana dengan seribu harapan dan mereka bakal pulang dengan jutaan pengalaman nanti.

Sebab itu jugalah saya selitkan kisah sedih di gerai kuih pada posting lepas sekadar peringatan kepada diri sendiri dan semua pembaca agar sentiasa insaf dengan limpahan rezeki yang dinikmati kini. Tak kiralah samada kita dihujani emas, permata, batu cincin atau Zhulian sekalipun, janganlah dilupakan asal-usul. Dan jika asal usul kita juga sememangnya turut dilimpahi rezeki yang melimpah ruah, ingatlah pula masa depan di alam kubur. Harta tak bawa ke kubur, pangkat ditinggalkan, malaikat juga tak kenal yang mana manager yang mana satu cleaner. Semuanya sama di sisi Tuhan, melainkan mereka yang beriman dan bertaqwa. Emmm....harapnya sempatlah nanti berjumpa Aris sebelum beliau terbang kembali ke Saudi, banyak sangat benda yang nak ditanyakan nanti....sekian dahulu wassalam.

Sunday, September 7, 2008

Mengapa Kau Termenung...

Salam buat semua..

Biarpun Ramadhan baru 6 hari berlalu, orang ramai telah mula sibuk dengan persiapan raya, saya juga tidak ketinggalan. Persiapan saya yang utama hanyalah satu, tiket bas....yang telah habis dijual sejak minggu lepas. Apa kan daya, sedari dulu saya jenis yang tak pernah ambil pusing urusan cuti sebab dah terbiasa mudah. Kali ni padan muka saya...termenunglah sekejap mencari ilham untuk pulang berhari raya. Muktamadnya, saya kini sedang giat mencari teman-teman sekapai untuk berkongsi kereta ke Butterworth menjelang Syawal ini.

Biarpun ada yang sedikit sinis dengan istilah agak berada yang telah saya suarakan pada posting lepas, saya tidaklah berkecil hati. Manusia tak akan paham semua benda yang kita cuba sampaikan namun kita pula sebolehnya perlu mengelakkan diri daripada disalah erti. Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih berpijak di daratan dan berdoa agar ia kekal selamanya. Kesusahan lampau semasa kecil, keperitan menjadi siswazah ketika ekonomi gawat dan kepayahan memulakan kerjaya sebagai usahawan kecil dahulu tetap segar di ingatan. Sesekali kisah lampau ini akan dikongsikan dengan isteri hanya semata-mata untuk mengingatkan diri agar tidak lupa asal usul. Tidak perlulah dipanjangkan perbincangan sebegini memandangkan isu 'orang minyak' rupanya masih belum terpadam sepenuhnya.

Kepada pembaca yang mungkin menyedari sedikit perubahan kepada laman abu-fateh, diminta agar janganlah cepat melatah. Silalah baca beberapa posting sebelumnya yang sedikit menceritakan kenapa perubahan ini berlaku..semuanya berkaitan. Demi agar tidak disalah erti, saya sertakan di sini satu posting daripada laman Saifulislam sebagai iktibar buat semua terutamanya diri yang serba dhoif ini, Insya Allah...wassalam.


Saturday, August 9, 2008

Selamatkan dunia dengan berjimat...

Salam semua...


Izinkan saya berkongsi dua iklan komedi yang mengajak kita berjimat cermat...Iklan ini saya dapati semasa majlis perasmian Energy Day di pejabat pada minggu lepas. Peringatan kepada semua termasuk diri sendiri "Tak rugi berjimat, tak untung pun jika membazir". Selamat menonton yer.


Friday, July 11, 2008

Hajat Tak Kesampaian....


Salam semua...

Sebenarnya sejak dua menjak ni, saya kurang berbicara bab politik kerana sedikit kecewa kepada para pembesar Pakatan Rakyat. Bagi saya sebahagian mereka telah terlebih sudu dari pinggan dengan mengapi-apikan rakyat untuk menyalahkan Petronas....biarpun mereka tahu siapa pengkhianat negara yang sebenarnya.

Saya pernah terfikir sendirian kenapalah agaknya Petronas yang cuba dijadikan kambing hitam di dalam hal kenaikan harga minyak ini? Pasti ada rahsia di sebalik keghairahan menggila orang politik nie...Yang menariknya, menantu Memanda Menteri pun join sekali nak salahkan Petronas....kenapalah agaknyer yer? Nak jadi CEO? Nak ganti CEO sediada dengan orang politik? Nak kasi Petronas dipegang olah bangsa Malaysia? Entahlah hanya mereka dan keluarga mereka sahaja yang tahu jawapannya...

Saya sebenarnya masih menunggu mana-mana pimpinan PAS yang akan bangkit untuk mempertahankan warga kerja Petronas yang telah terinaya dalam permainan politik tak ikhlas ini...Dalam penantian saya selama sebulan ini, saya hampa.....Bahkan pesan saya kepada isteri, andai kata tiada pimpinan PAS yang membuat kenyataan agar jangan dipersalahkan orang Petronas secara melulu, saya akan memboikot Pilihanraya Umum seumur hidup.....

Mungkin ada pembaca yang merasakan saya over, namun mata memandang nampak tak berat pun...yang berat pada bahu yang duk pikul nie. Tak perlulah saya ceritakan apa yang warga Petronas lalui selama 2 bulan ini. Dalam emel pun dah belambak-lambak orang salahkan warga Petronas. Pelbagai fitnah yang langsung tak masuk akal bertebaran di sana sini sehinggalah ke tangga masjid, dah tak pelik apabila ada yang percaya...perghhhhhh.

Tunggu punya tunggu akhirnya hanya Tun Mahathir yang muncul secara terbuka membela warga Petronas. Sebagai penasihat Petronas, kenyataan Tun itu sememangnyalah antara tanggungjawab seorang penasihat. Berkecai harapan saya untuk meneruskan penantian ini...berkecai harapan untuk mendengar rayuan pimpinan PAS (yang sepatutnya menasihat) agar rakyat tidak salahkan kami. Nampak gayanya PRU 12 adalah yang terakhir buat diri ini. Saya petik sebahagian kata-kata Tun di bawah ini sekadar renungan bersama, sekian wasslam....

" Saya berasa amat sedih kerana ada orang menyalahkan Petronas kerana kenaikan harga minyak sehingga sanggup mengkasari beberapa pekerja Petronas yang memakai baju Petronas dan menolak-nolak mereka dalam keretapi komuter....." baca selanjutnya di sini

Sunday, July 6, 2008

Piper Alpha...tinggal kenangan

Salam semua...

Ketika mana majoriti rakan sibuk membicarakan bab liwat meliwat, sumpah menyumpah, tikam menikam.....dan ntah apa lagi cerita yang menyesakkan nafas, saya ingin kongsikan kisah kemalangan di pelantar minyak Piper Alpha. Kemalangan besar yang sering dijadikan iktibar di dalam industri minyak dan carigali. Sewaktu kali pertama saya menonton tragedi ini, air mata bagaikan mengalir tanpa dipaksa...entahlah, mungkin saya jenis yang sedikit sensitif.

Silalah ikuti slid di bawah untuk mengikuti kisah selanjutnya...




Ungkapan sakti yang sering menjadi penawar hati, iaitu "Unsung Hero" sering membuatkan diri ini insaf dan sedar. Hakikatnya betapa ramai manusia yang bekorban nyawa demi memakmurkan muka bumi Allah ini, dan jasa mereka tidak terbalas...Muga Allah Taala jualah yang membalas segala keikhlasan dan kebajikan mereka ini serta menjadikan bumi ini sentiasa aman dan makmur....amennn.

Tuesday, June 17, 2008

Amanat Seorang Ayah


Malam ini saya berkesempatan menonton rancangan bual bicara bersama Tan Sri Presiden Petronas di TV1 yang dihoskan oleh Datuk Johan Jaafar. Sambil Tan Sri sibuk menjawab deretan soalan daripada 2 orang wakil media yang turut bersama dalam rancangan tersebut, saya sibuk menjeling senarai SMS yang masuk di kaca tv. Alhamdulillah, ramai yang menghantar SMS tidak menyalahkan Petronas sepenuhnya, mungkin staff Petronas agaknya...hehehe.

Saya tulis posting ini bukan untuk menjelaskan sebarang polisi Petronas yang pada saat ini seolahnya menjadi pengkhianat negara, kerana tidak peka dengan kesengsaraan rakyat. Saya juga tidak berniat untuk menjawab dakwaan pemimpin PR tertentu, yang lebih sudu dari pinggan....hampeh betul. Posting ini ditulis kerana saya tersentuh dengan ucapan penutup daripada Tan Sri di dalam rancangan tersebut.

Tan Sri Hassan Merican menutup ucapannya malam ini dengan menceritakan rintihan anak-anak buahnya betapa rakyat sekarang melepas geram kepada staff Petronas....seperti yang saya sendiri alami. Saya berbangga kerana hal ini yang diucapkan sebagai kata-kata akhir, bukannya kesimpulan daripada perbincangan seperti yang biasa dilakukan dalam mana-mana rancangan bual bicara. Seolahnya, Tan Sri hadir di kaca tv malam ini semata-mata untuk memujuk rakyat Malaysia agar jangan tersilap sasaran. Inilah tindakan seorang ayah....

Pekerja Petronas di seluruh dunia berusaha keras untuk bersaing dengan syarikat minyak lain dan berjaya muncul sebagai syarikat global yang berjaya biarpun rizab minyak negara tidaklah sebanyak mana. Melalui usaha keras ini, Petronas telah banyak membantu negara sejak sekian lama dan perlu dikekalkan selama mungkin. Kalau rakyat nak marah juga silakan, itu hak anda...tapi dosa tanggung sendiri yer. Wassalam.

Thursday, June 12, 2008

Siri Motivasi Minyak Naik @ Naik Minyak

(Gambar dipetik daripada blog Hembusan)


Setelah harga minyak naik sejak seminggu lepas, rakyat dah mula naik minyak. Saya yang baru 2 bulan sertai Petronas pun turut terasa bahangnya..hehehe, siap kena bancuh lagi oleh seorang pakcik hari tu. Habis diungkitnya, daripada hal Malaysian Philharmonic Orchestra hinggalah kepada soalan yang tak terjangkau oleh minda. Dek kerana terlalu marah, ada yang dah terhilang arah, emmmm terpulanglah. Jangan sampai mengamuk kat station petrol dah la yer....Bangladesh tukang pam minyak tu tak salah apa-apa pun tau.

Kata saya di dalam hati kepada pakcik tadi "Sendri yang salah pangkah, orang lain pulak nak dipangkah aparaaaa....."