Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Monday, November 28, 2011

Siapalah Kita Tanpa Mereka...




Salam semua...


Alhamdulilah, dah 3 minggu saya dinaikan sket pangkat menjadi Tuan Sarjana. Bukan sarjana pendidikan dan bukan juga Tuan Sarjan ala-ala Sarjan Hassan. Tuan Sarjana ini adalah anugerah Ilahi setelah lahirnya anak ketiga yang sekian lama dinanti-nanti. Anak yang lahir tanggal hari Jumaat di bulan Zulhijjah, kami namakan puteri sulung ini Maryam A'qilah. Muga sifat mulia Maryam binti Imron, satu-satunya wanita yang namanya tersebut di dalam Al Quran ini dimiliki oleh si puteri. Ameeen...


Sejak Maryam A'qilah lahir, saya sering teringatkan arwah 'bapak' yang bersemadi di dalam dunianya. Saya teringatkan betapa arwah bapak sangat sayangkan anak-anaknya. Anak-anak bapak diajar cara memancing di lautan, menjala di sungai, menyembelih di reban, bercucuk tanam di kebun, bersilat di gelanggang, masak-memasak di dapur dan lain-lain kemahiran hidup termasuklah memperbaiki alatan rumah. Saya sejak dahulu (selaku anak kedua*) cuba sedaya mungkin untuk mendapatkan semua kemahiran tersebut. Hinggalah ke hari ini, saya baru tersedar betapa saya cuma mahir dalam bidang tertentu sahaja.


Seorang rakan sekerja saya pernah berkata,"Zam semua adik beradik-kita sebenaqnya membentuk diri kita. Apa yang depa buat dan tak buat akan bentuk diri kita pada hari ini". Rupa-rupanya, benar sangatlah apa yang dikatakan oleh rakan saya itu. Semua sikap samada baik atau buruknya pada satu keluarga seolahnya satu keseimbangan yang berlangsung di dalam keluarga tersebut. Pepatah orang tua ada berkata, "dalam setandan buah, adalah yang buruknya". Betapa benar pepatah ini, dan saya kini melihatnya dengan perspektif yang baru!

Dahulu, saya sering 'naik angin' jika ada perkara yang kurang menyenangkan berlaku di dalam keluarga melibatkan adik-beradik kami berempat. Kini, saya melihatnya sebagai satu proses untuk membentuk 'keseimbangan' hidup. Setiap yang berlaku adalah keperluan dan peluang yang diciptakan Ilahi khas untuk kita hidup secara 'seimbang'. Kini saya lebih memahami keindahan malam bersilih terang, kedamaian sunyi pagi bersilih riuh tengahari, keenakkan santan besilih basi, kesedapan manis bersilih pedas, keharuman bunga bersilih busuknya tandas, kehijauan alam bersilih bencana, kekayaan harta bersilih papa, dan segala keseimbangan yang membuatkan kita dapat merasai kebaikan di sebalik segala kekurangan.


Biarpun agak lambat aku belajar dari pelajaran kali ini, biarpun aku cuma sedar setelah lahirnya si puteri, biarpun aku dahulunya sombong dan berlagak baik dalam serba serbi, biarpun aku telah cuba menafsirkan sesuatu yang belum tentunya pasti...Saya cuba untuk belajar sesuatu malam ini, "tanpa mereka, siapalah diriku ini..."Ya Allah, Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, Kau bukalah pintu hidayah Mu buat diriku dan kaum keluarga ku, agar kami menjadi anak-anak yang soleh dan dapat menyenangkan hati ibu-bapa kami", ameeen...Sekian dahulu buat malam ini, wassalam.


* Anak kedua mempunyai kebiasaan sebagai seorang pesaing di dalam sesuatu keluarga.

Monday, October 31, 2011

Seloka Malam Selasa: Melihat dengan hati...


Salam semua,

Saya dan isteri kini sedikit debar dan gelabah. Bayi ketiga kami yang mengikut jangkanya seorang puteri Insya Allah. Isteri saya akhirnya memilih untuk bersalin di Kedah. Biarpun pada asalnya Kuantan menjadi pilihan nombor wahidah...

Betapa tidaknya kerana pembantu warga Kemboja yang dinanti tak kunjung tiba. Dek masalah birokrasi angkara rakyat Malaysia durjana...Ada kita terima, takda kita Redho.

Mungkin ada baiknya kami tidak dibantu, biarpun fikiran sedikit semak membayangkan penat yang bakal menunggu. Dengan dua lelaki pun kami adakalanya terbuntu, inikan pula ditambah lagi satu.

Saya melihat hikmah di sebalik semua ini, saya cuba melihat dengan hati. Barangkali Allah yang Esa ingin mendidik kami, agar lebih pandai dan tekun mengatur strategi.

Menjaga anak perempuan sudah semestinya tak sama dengan anak lelaki. Bagi kami pengalaman ini adalah yang pertama kali. Begitu juga bagi kaum keluarga di sebelah lelaki. Insya Allah kami bakal memecah tradisi.

Ya, keluarga sebelah saya belum pernah mendapat cucu perempuan. Semua anak emak segak dan tanpan. Hingga ke cucu pun semuanya perlu dikhatan. Pagi main kejar-kejar, malam sambung berlawan.

Kepada semua rakan dan taulan, ku pohon doa kesejahteraan dari kalian. Agar bayi dan emaknya selamat dibidan, biarpun si ayah masih berjauhan. Dari jauh aku berdoa, agar Allah merahmati kami sekeuarga. Bertambah rezeki bertambah bahagia, menyambut bayi yang dinanti semua...Sekian dulu seloka malam selasa...wassalam.

Monday, August 22, 2011

Ajarlah mereka berdoa...


Salam semua...


Hari ini INSTEP bakal mengadakan program meraikan anak yatim dan golongan dhaif di sekitar kawasan Batu Rakit. Saya mengambil masa ini sebelum pulang menukar 'jersi' sekadar untuk mengingatkan diri sendiri dan pembaca budiman berhubung perihal pendidikan anak-anak. Satu hal yang kita seringkali terlepas pandang adalah waktu kritikal umur anak dari sejak lahir hingga ke 6 tahun. Kritikal bermakna waktu ini adalah waktu untuk dimasukkan 'software' yang tepat.


Pemilihan 'sotfware' yang salah besar padahnya. Anak-anak di waktu ini akan menerima bulat-bulat apa sahaja yang diprogramkan ke dalam minda mereka kerana mengikut kajian, minda mereka berada pada tahap 'theta'. Tahap ini seumpama seorang yang sedang bermeditasi atau dalam istilah kita, mungkin sedang fana atau 'zauk'. Pada masa ini, pemikiran logik belum kuat di dalam minda, dan mereka sangat mudah menangkap maklumat yang disampaikan.


Anak kecil ini bukan sahaja sangat genius, malah lebih dekat dengan yang Esa kerana bersihnya hati mereka...Jangan pula kita menyangka kerana tubuh mereka yang kecil, anak-anak tidak mengetahui sesuatu apa pun. Saya berpegang bahawa manusia adalah ruh yang berada di dalam suatu jasad. Kewujudan secara ruh ini sudah lama dan hanya menunggu masa untuk ditiupkan ke dalam jasad semasa di dalam rahim ibu. Saya juga berpegang pada pendapat yang menggalakkan kita meminta agak si anak kecil ini berdoa ke hadrat Ilahi untuk sesuatu hajat yang kita perlukan. Masakan tidak, mereka seumpama wali! Putih bersih, suci berseri dan pastinya doa mereka seikhlas hati nurani mereka...


Jika anda inginkan penjelasan lanjut, carilah bahan bacaaan yang bertebaran di alam internet ini. Saya pasti tidaklah rugi untuk kita menghabiskan masa atau wang yang seadanya untuk pendidikan 'minda' anak-anak. Saya maksudkan pendidikan yer, bukan pembelajaran...Saya tidak begitu gemar dengan tindakan sesetengah ibu ayah yang terlalu agresif hal akademik di saat umur anak yang masih setahun jagung. Namun, pilihan di tangan masing-masing, dan setiap manusia membuat pilihan berdasarkan kepercayaannya.


Sunday, August 1, 2010

Keluarga Bahagia...kehendak siapa?




Salam semua...

Sejak 3 hari lepas, saya terlekat depan TV menonton program Tanyalah Ustaz jam 7.00 pagi. Hati mana yang tak sejuk jika dihidangkan santapan rohani daripada Ustaz Hanafi Abdul Malek yang cukup bersahaja tapi penuh isi. Dalam ramai-ramai ustaz yang berceramah kat TV sekarang, saya boleh bagi 10/10 pada Ust Hanafi. Mungkin pengalaman beliau sebagai Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia serta Pengarah Rumah Sahabat (SIDIM) banyak membantu dalam menghuraikan permasaalahan keluarga abad ini.

Beliau bukanlah pakar motivasi, bukan juga sarjana, bukan EXCO agama negeri, jauh sekali nak menagku tera. Namun bagi saya, terlau banyak mutiara yang beliau kongsikan sejak 3 hari lepas. Mungkin ada yang sedar atau buat-buat tak sedar, setiap kita mempunyai kelemahan tersendiri dalam membentuk keluarga. Bahkan, mungkin sahaja kita juga telah dilanggar ombak badai yang membuatkan keluarga huru hara.

Betapa tidaknya, anak sudah menendang ibu di muka, anak juga sudah pandai menetak si bapa, ayah pula sumbang dengan anak sendiri dan ibu pula enjoy tak sedar diri...Inilah realiti masyarakat kini, yang perlu kita hadapi. Ustaz Hanafi telah melaksanakan tanggungjawabnya bersama SIDIM, melayan karenah masyarakat yang tersesat. Sebab itu jualah beliau cukup mendalami permasaalahan keluarga yang dipandang enteng oleh sebahagian besar kita. Bila anak dah rosak, baru nak ternganga!

Saya tak berkesempatan nak catatkan segala celoteh Ustaz dalam posting yang ringkas ini. Sekadar nak ingatkan diri sendiri dan pembaca sekalian dengan satu pesanan ringkas daripada ustaz, "belajarlah cara sebenar untuk bekeluarga, berdoalah dan bersyukurlah sebanyak-banyaknya...Insya Allah, anda akan berjaya, ameen. Wassalam.

Sunday, January 31, 2010

Al Fatihah buat arwah ayah yang dirindui...




Diam tak diam sudah 18 tahun arwah ayah meninggalkan kami sekeluarga. Diam tak diam juga arwah ayah sudah bermenantu tiga dan 9 cucunya. Diam tak diam, aku sendiri sudah bergelar bapa. Ya Allah pohon pada Mu agar arwah ayah diampunkan segala dosa, diberikan nikmat berganda, bersama dengan insan-insan mulia, dijauhkan dari segala azab dan siksa dan dipermudahkan untuk ke syurga...ameen.

Wednesday, April 29, 2009

Rezeki bertambah..syukur (updated)


Salam semua...

Dah lebih sebulah laman ini tak di 'update', entah jin apalah yang menyerang saya sehinggakan setiap kali nak dikemaskini blog ada sahaja yang mengganggu samada dalam bentuk teknikal mahupun kesihatan fizikal. Emm....inilah antara sedikit dugaan yang perlu dihadapai apabila nak bercakap bab jin dan setan ni. Kalu tak tahan dugaan, kena duk diam-diam la dulu.

Namun hari ini saya sempatkan juga mengarang. Alhamdulillah, semalam lebih kurang jam 9.10 malam emaknya Muhammad Nuruddin Al Fateh dah selamat melahirkan anak kami yang kedua di Klinik Al Farabi, Kuantan. Dilahirkan hampir 2 minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan. Syukur sangat...... kerana mudah pula lahirnya adiknya Fateh, biarpun tak merasa lagi lah mak toknya di Kedah nak menimang cucu perempuan. Sangat mudah dilahirkan dan kami juga dipermudahkan pula dalam banyak urusan berkaitan biarpun kali ini berada jauh dari keluarga. Nanti saya 'update' berita berserta gambar wajah-wajah berseri pada bulan ini, insya Allah.


Terkini :

Izzuddin Abdus Salam, nama bersempena seorang tokoh ulama silam dipilih bagi bayi kami yang kedua ini. Biarpun namanya sedikit klasik, mudah-mudahan ketokohan dan ketaqwaan ulama silam itu dapat tertempias pula ke gerbang rumahtangga kami hendaknya. Buat masa ini, Izzudin dimasukkan semula ke hospital untuk rawatan Jaundis (penyakit kuning). Insya Allah, hari ini mungkin permata hati kami yang kedua ini dibenarkan keluar daripada hospital.

Sepertimana yang dijanjikan terdahulu, saya sertakan sedikit koleksi gambar keluarga untuk tatapan bersama. Saya dan isteri juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih dan jazakallah di atas doa kalian semua buat kami sekeluarga saya....wassalam.
Fateh : "Yeyey...bang long dapat adik..boleh lawan-lawan...."


Wajah Izzuddin Abdus Salam, (ikut mak dia la pulok)


Fateh : "Hmmm kecik tettt adik Izzuddin ni, boleh lawan-lawan ke ngan bang long?...."

Sunday, February 1, 2009

Selamat Tinggal Huggies, Selamat Tinggal Pekan....


Salam semua...

Pada posting lepas saya cuba untuk mencari alternatif kepada dua produk utama bayi iaitu lampin Huggies dan susu Lactogen. Alhamdulillah..setelah puas membelek-belek sekitar laman web, saya dipertemukan dengan produk bersesuaian. Sila klik kedai lampin Anis dan susu Biomil untuk dua produk alternatif tersebut. Tolong sebarkan maklumat sebegini kepada rakan-rakan dan bagi yang minat berniaga, pertimbangkan pula untuk menjadi pengedar. Harapnya semua pembaca abu alfateh juga dapat menyokong kempen 'boikot seumur hidup' kali ini...jangan pula bila perang dah nampak seolahnya berhenti, kita pun berhenti boikot...hampeh duk ada. Kalu nak seribu daya, dan daya ini bukannya untuk dipertimbangkan lagi. Boikot adalah satu kewajipan!

Bagi mereka yang masih ragu-ragu untuk membuat keputusan meninggalkan terus produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat 'sahabat yahudi' ini, sila klik di sini untuk sedikit pencerahan. Kalu tak mau jugak, hampa klik kepala sendiri sampai cerah....jangan marah nooo.

Saya juga pada pagi tadi telah meninggalkan bandar Pekan yang indah menawan. Kali ini saya berpindah pula ke Bukit Rangin, Kuantan. Lokasinya inilah yang lebih bersesuaian untuk didiami kerana isteri saya kini mengajar di Sek Men Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS). Biarpun terpaksa mengangkut barang dan berkemas buat sekian kalinya, saya redha dan bersyukur. Dibandingkan susah kami dengan susah saudara di Gaza, emmmm celah kuku jer la. Sekian dulu buat kali ni, mata dah kuyu, badan pun dah nak layu. Jangan lupa pesan awal tadi, 'boikot seumur hidup'. Wassalam...

Monday, December 15, 2008

Berehat setelah Berpenat....


Salam semua...

Terlebih dahulu saya memohon ampun dan maaf kerana dah tak terdaya nak kemaskini blog dalam masa terdekat. Buat masa ini, saya begitu sibuk dengan pelbagai program (di pejabat dan peribadi) termasuklah yang terkini memindahkan barang rumah ke Pekan, Pahang. Namun Alhamdulillah, semuanya selamat dipindahkan semalam. Dengan tenaga yang berbaki...saya dan beberapa ahli keluarga masih sempat mengecat rumah sewa kami di Taman Mentiga, Pekan. Semalam juga kami sempat menjamah murtabak istimewa hidangan khas dari Pekan, iaitu Murtabak Mengkasar. Kesedapan yang tak boleh nak diceritakan di blog....kena cuba sendiri, pasti nak lagi.


Jika anda belum pernah mendengarnya, emmm sila buka link berikut. Pesanan akhir dari saya sekeluarga, jemputlah berkunjung ke Pekan yer. Nanti kita boleh balun Murtabak Mengkasar bersama-sama.....wassalam.

Saturday, November 22, 2008

Saat Manis Bersama....Izra'il

Salam semua...


Hari ini saya sempat mengikuti Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Badan Kebajikan Islam Petronas (BAKAIP) di Masjid Balok Makmur. Kursus disampaikan oleh Pegawai Agama Kor Angkatan Tentera (KAGAT) iaitu Ustaz Arizal yang turut berasal dari negeri Jelapang Padi. Seharian kami belajar secara teori dan praktikal cara-cara mengendalikan mayat daripada sebelum meninggal sehinggalah ke tanah kubur. Rasa insaf dan terharu membuak-buak apabila ustaz bercerita beberapa pengalaman beliau mengendalikan mayat. Insaf memikirkan keadaan diri sendiri bila roh sudah meninggalkan jasad ini dan terharu pula mengenangkan jasa besar para pengurus jenazah. Bukan semua jenazah mudah untuk dikebumikan, dan bukan semua orang dapat mengendalikannya dengan baik. Pengurusan jenazah bukanlah suatu profesyen idaman, malah sangat berisiko tinggi terutamanya dengan perubahan sosial umat Islam kini(anda bisa dijangkiti penyakit seumpama AIDS jika tidak berhati-hati). Sungguhpun demikian, ustaz sentiasa mengingatkan kami semua dengan satu ungkapan hikmat iaitu "jangan panik".

Alhamdulillah, rasanya mulai hari ini saya sudah bersedia dan tidak lagi panik (gabra) untuk mengendalikan jenazah andai khidmat ini diperlukan. Kepada semua pembaca, sudi-sudikanlah mengikuti kursus seumpama ini sebagai persedian awal. Manalah tahu sedang kita berseronok suka, Malaikat Izra'il pula yang hadir bersama. Sebagai penutup, saya sertakan klip video di bawah ini untuk dijadikan iktibar dan renungan bersama. Selamat menonton dan Wassalamualaikum...



Monday, November 10, 2008

Sesuap nasi buat si anak kecil...


Salam buat semua....

Semasa berkhidmat di Penang Port, saya berkesempatan menjadi salah seorang Trainer bagi program Perubahan Minda yang dianjurkan oleh syarikat. Antara modul program adalah apabila peserta diminta untuk berkongsi pahit manis kisah lampau mereka dalam suatu kumpulan yang kecil. Boleh dikatakan majoriti peserta berkongsi pengalaman pahit mereka dan terdapat juga peserta yang tanpa sedar mengalirkan air mata tanda keinsafan.

Saya masih teringatkan satu kisah daripada salah seorang peserta kursus yang telah menimbulkan keinsafan pada diri ini. Kisah ringkas di zaman mudanya sebagai pelaut, mengembara ke pelusuk dunia yang penuh warna warni namun akhirnya beliau kembali ke pangkal jalan akibat satu peristiwa. Beliau insaf sendirian setelah melihat telatah anak kecilnya yang sedang belajar menyuap makanan. Setiap butiran nasi yang masuk ke mulut anaknya itu diamati dan setiap hayunan tangan anak kecil itu direnungnya dengan pandangan kasih sayang. Tanpa dipaksa, air matanya membasahi pipi menyedari betapa hebatnya kebesaran Allah yang telah memulakan hidup setiap insan di dunia sebagaimana anak kecil itu jua. Beliau bersyukur kerana setiap butiran nasi yang masuk ke mulut anaknya itu adalah hasil titik peluh daripada rezeki dan pendapatan yang halal.

Kisahnya ini saya abadikan di sini untuk renungan diri sendiri dan pembaca yang dihormati sekalian agar kita juga mampu menginsafi diri sebagaimana sahabat tadi. Ada kalanya hanya suatu peristiwa kecil sahaja dapat merubah watak dan keperibadian manusia. Ada kalanya nasihat daripada seorang musuh yang dibenci juga dapat dijadikan iktibar yang begitu bermakna. Ada kalanya wajah lembut si anak kecil mampu mengubati penyakit hati yang membungkam. Ada kalanya wajah keras sang pahlawan pula yang diperlukan untuk membenteras kezaliman yang mencengkam.

Hari ini saya membaca pelbagai cerita yang antaranya adalah kisah kematian Allahyarham Amrozi dan saudaranya, kisah Presiden Barak Hussain Obama, kisah pergelutan manusia yang tamak kuasa, kisah artis yang bercinta dan porak peranda dan kisah kegawatan ekonomi yang melanda dunia. Namun di sebalik semua kisah itu, jauh di sudut hati ini hanya terkenangkan perihal anak kecil saya dan butiran nasi yang disuapnya.....

Monday, November 3, 2008

Zaman dah berubah, dunia dah maju....

Salam semua....

Tersedak saya seketika membaca akhbar Kosmo sekembali daripada pejabat tadi. Manakan tidaknya, Kedah diberitakan setaraf dengan Kuala Lumpur sekarang ni. Tahap Gaban, kata anak muda sekarang....Namun yang sebenarnya segala mak nenek penyamun dah mula duk timbul kat negeri ku yang tercinta ini. Mungkinkah semua ini hasil sampingan yang perlu dirasai apabila "zaman dah berubah, dunia dah maju"?

Di dalam posting Sejenak Bersama Kumar, saya menulis untuk melegakan kesesakan nafas dek telatah warga kota. Posting kali ni pula, saya tersedak kambing kerana di Alor Setar pun dah muncul ramai penyamun tarbus. Kes ragut, samun, curi, dan pastinya jenayah tersempoi di abad ini, culik dah sampai ke Bandaraya Alor Setar. Kecut perut memikirkan nasib emak dan anak buah kesayangan yang tinggal di sana.

"Ya Allah, peliharakanlah kami insan yang lemah ini daripada bala dan bahaya, musibah dan petaka, kejahilan umat yang melanda, kebejatan dunia yang menggoda , kesesatan ilmu yang durjana , kerakusan nafsu menggila, kejahatan jin dan manusia...." ameen. Dah tak mampu rasanya nak teruskan menaip dengan sedak yang masih belum hilang ini...sekian dulu wassalam.

Thursday, September 25, 2008

Amukan di malam akhir Ramadhan...


Salam Ramadhan buat semua...

Saya masih ingat peristiwa di suatu pagi pada 5 tahun lepas ketika masih lagi bergelar pengantin baru. Saya bersama adik bongsu mengejar sekumpulan Mat dan Minah Rempit yang tak beradap atau kurang ajaq kat orang Kedah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, dengan hanya berpelikat dan baju panas celoreng, saya mengamuk bagaikan orang gila...dan saya rasa saya dah sedikit tak siuman pada malam itu...

Saya marahkan mereka kerana pada malam Aidulfitri yang sepatutnya digunakan untuk memohon keampunan Ilahi, mereka buat race haram di jalan besar hadapan rumah saya di Taman Wira Mergong. Saya tak kisah sangat jika mereka nak buat 2-3 lap, namun bila bilangan lap sudah mencecah belasan....tanpa sedar tangan ini terus mencapai parang tumpul di hadapan rumah. Hampr 15 minit rasanya amukan saya berlangsung....dan parang tersebut sempat terbang pada salah seorang Mat Rempit yang angkat tayar betul-betul di hadapan muka saya. Syukur Alhamdulillah, umur saya dan Mat Rempit tersebut masih panjang....Namun terkejut beruk juga sebilangan jiran saya yang terjaga mendengar anak Makcik Ani mengamuk pada malam raya.

Malu juga sebenarnya nak bercerita kisah buruk peribadi kepada satu dunia...namun hakikatnya inilah saya suatu ketika dahulu. Syukur kerana saya juga beristerikan seorang yang sabar dan mampu menerima diri ini seadanya. Saya pernah sekali memberitahu isteri, "waktu training askar dulu lagi gila....sikit-sikit cam ni tak heran lah". Emmm memang angkuh bunyinya, namun seperti yang pernah saya kongsikan pada posting lepas, latihan ROTU ada kalanya tak masuk akal. Sedikit sebanyak saya terpengaruh dan sesekali mengamuk tanpa sedar. Tak boleh juga rasanya disalahkan latihan ROTU kerana mungkin juga memang saya jenis yang menyimpan rasa dan boleh meletup. Mungkin saya menjadikan latihan ROTU sebagai alasan untuk saya mengamuk....emmm apa-apa pun kini segalanya dah berubah yer.

Semua ini kisah lama....(biarpun baru 5 tahun lepas) kisah sebelum isteri saya mengandungkan Muhammad Nuruddin Al Fateh. Sejak 2 tahun sudah, baran saya telah mampu dikawal...Demi anak tersayang, saya telah berjaya menghakis penyakit baran ini sehingga ke tahap 0.1% . Demi sayangkan anak dan isteri juga, saya berazam sepenuh hati agar dapat menunjukkan tauladan terbaik kepada mereka...tiada lagi amukan Insyaallah. Malah kini, cara saya memandu kereta juga telah berubah, tiada lagi sumpah seranah apabila dipotong que.

Bukan senang sebenarnya untuk bersikap tenang kerana kesabaran kita akan sentiasa diuji. Ujian akan datang dalam pelbagai rupa, namun tindakan kita perlu sentiasa sama...rilex la brader. Mungkin juga isteri saya sendiri turut mengamalkan doa tertentu untuk menenangkan suaminya ini, entahlah...yang penting kesabaran itu tak merugikan. Nanti bila ada masa terluang boleh dikongsikan kisah berkisar bab kesabaran pulok....Insyaallah. Untuk malam ni, cukuplah dulu rasanya, dah panjang pula posting malam ni. Kepada semua rakan taulan, sahabat handai, ipar duai...saya ucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Syawal Mulia. Moga kita diberikan kesempatan untuk menghabiskan Ramdhan dengan sempurna dan memulakan Syawal dengan gembira....ameen.

Wednesday, August 27, 2008

Al-kisah Si Orang Kaya...

Salam semua...

Mungkin ada dikalangan pembaca yang mengikuti abu fateh sedari dulu dapat merasakan betapa saya tidak begitu sebulu dengan golongan hartawan....Terdapat beberapa posting saya yang mungkin boleh mencetus rasa geram jika si pembacanya adalah hartawan meliana (bak kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee).. Hal ini disebabkan beberapa pengalaman yang tak dapat dilupakan sehingglah ke hari ini.

Hari ini, dalam diam tak diam...saya teringatkan kembali satu insiden berlaku hampir 17 tahun lepas melibatkan abang saya dengan salah seorang saudara terdekat yang bertandang ke pondok buruk kami di Taman Wira Mergong. Beliau datang untuk menziarahi arwah ayah yang ketika itu sedang terlantar di hospital, lantas dijemput ke rumah kami untuk bersarapan. Selesai sahaja sarapan, dia terus mencapai bekas tembakaunya dan menghisap paip di luar rumah tanpa menghiraukan tetamu lain yang makan sekali dengannya.

Selesai menghisap paip candunya itu, saudara tersebut dengan tanpa segan silu menyuruh emaknya yang juga adalah tok (nenek) kepada kami untuk menggosok bajunya. Biadap! mungkin ayat yang paling sesuai untuk tindakannya itu yang berlaku betul-betul di hadapan mata saya dan abang. Abang saya tanpa berlengah terus mengambil baju tersebut dan terus menggosoknya kerana tidak sampai hati untuk melihat kebiadapan seorang anak terhadap emak kandungnya sendiri. Saya yang masih mentah ketika itu memerhati dengan penuh geram dari jauh sambil pak menakan (bapa saudara) kami itu tanpa segan silu sanggup lagi memperli cara abang saya menggosok baju.

Sejak hari tu, saya akan keluar dari rumah setiap kali kehadiran pak menakan kami itu...dan perasaan berbulu pada golongan berada mula tersemai. Biarpun sekarang saya sendiri boleh dikatakan agak berada, namun api yang terpendam di hati ini masih belum padam. Marilah kita berdoa agar kita dijauhi Allah daripada sifat lalai, sombong dan takabbur setelah mendapat rezeki yang melimpah-ruah daripada Nya... dan moga Allah melimpahkan RahmatNya kepada abang saya yang telah menunjukkan tauladan kepada pak menakan dan adiknya ini suatu ketika dahulu..ameeen.

Sunday, August 17, 2008

Kasih Seorang Ayah.....

Salam semua..

Terkedu saya di muka TV menonton iklan terbaru Petronas bersempena 31 Ogos ini. Iklan menampilkan Afdlin Shauki sebagai seorang ayah yang berkerja sebagai penjual buah. Pelbagai permintaan hadiah daripada anaknya sejak kecil telah ditolak oleh ayah tersebut dengan penuh bersahaja dan sempoiii, namun dia menabung demi suatu impian yang teramat penting. Akhirnya impian kedua-dua anak dan ayah tersebut tercapai berkat kegigihan keduanya.

Tak perlulah saya mengulas motif iklan tersebut, mungkin ada yang dah menyampah mendengar ulasan saya berhubung Petronas.....Namun sebenarnya saya terkedu kerana kisah ini melibatkan seorang ayah yang gigih dan berwawasan. Saya sebenarnya teringatkan arwah ayah yang telah 15 tahun meninggalkan saya sekeluarga. Saya teringatkan betapa gigihnya arwah ayah membesarkan kami adik beradik dengan gaji yang tak cecah pun RM400 sebulan. Betapa saya sentiasa mengalirkan air mata setiap kali lagu 1234 nyanyian Aris Ariwatan berkumandang. Bait-bait lagu tersebut yang begitu menyentuh jiwa seolahnya diterjemahkan pula oleh iklan Petronas yang baru saya tonton ini

"Tiga lapar dan dahaga,
Rela berpayahan setianya ayah..."
"Ayah menghantar ke sekolah...
bergunalah ilmu bila dewasaaaaaa..." petikan lagu 1234

Namun kini ayah sudah tiada disisi, untuk sama-sama berkongsi kejayaan anaknya yang telah dewasa ini....sesuatu yang begitu menghiris perasaan saya mengenangkan kesusahan kami sekeluarga dahulu. "Ya Allah Kau limpahkanlah Rahmat dan Keampunan Mu kepada arwah ayahku, amankan dia di alam barzakh dan tempatkanlah ruhnya di kalangan orang yang Engkau Redhoi. Kau jadikanlah diri ini agar sentiasa mendoakan keampunan dan kesejahteraan kepada kedua ibu bapaku Ya Allah"...ameeeennn.

Petua Menghindari Penyakit A'in


Salam buat semua...

Pernahkah pembaca sekalian mendengar sesetengah orang tua kita memanggil seseorang bayi comel dengan panggilan busuk, masam, huduh dan sebagainya. Pernahkah anda terfikir dan bertanya mereka apakah sebabnya? Jawapan mereka mungkin berbeza versinya daripada seorang ke seorang, namun semuanya berkisar ke arah keselamatan dan kesejahteraan bayi tersebut. Di kampung isteri saya, ada seorang makcik yang dipanggil Kak Doh (singkatan daripada hodoh) sejak daripada kecil kerana mendapat gelaran tersebut daripada atuk dan neneknya. Adakah setelah bergelar atuk atau nenek kelak, kita juga akan bertindak sedemikian rupa? Sila baca seterusnya jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut...namun sekiranya anda tidak faham apa barang yang saya ceritakan ini, hentikan sahaja pembacaan anda....takut ada yang disampuk histeria pulak nanti (sekarang ni kan zaman histeria muncul kembali).

Saya pernah mengikuti ulasan Ustaz Fahmi Zam-Zam (daripada Pondok Derang, Kedah) membicarakan perkara di atas lebih kurang 9 tahun lepas, dan ingin berkongsi sedikit info sampingan daripada laman web. Sebenarnya semua inilah yang dikatakan sebagai Penyakit A'in yang tidak banyak diketahui umum, namun sangat rapat dengan kehidupan seharian kita. Secara ringkasnya penyakit A'in ini adalah gangguan fizikal yang terkena kepada seseorang akibat pandangan mata orang lain yang hasad, dengki atau mungkin jua cemburu dengan kelebihan yang ada pada mangsa tersebut. Ia bukanlah sihir atau jampi yang dikenakan, namun atas sifat cemburu atau sebarang pujian berlebihan tanpa bersandarkan kepada Allah s.w.t yang menjadikan sesuatu kelebihan pada makhluknya.

Maka secara ringkasnya A'in ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja, terutamanya kepada kanak-kanak. Saya dan isteri sentiasa ingat memperingati agar sentiasa berjaga-jaga agar tidak ditimpa penyakit A'in ini terutamanaya terhadap permata hati kami berdua. Malah tercatat di dalam sirah, sahabat baginda Nabi s.a.w juga pernah terkena A'in sepertimana yang berlaku kepada Sahl bin Hunaif. Saya sertakan di sini dua laman yang membicarakan perihal penyakit A'in ini untuk rujukan pembaca budiman sekelian di link1 dan link2. Sila ambil perhatian berhubung kaedah untuk melepas diri daripada A'in dan kaedah rawatannya menurut Islam.


Pesanan saya kepada pembaca sekelian dan diri sendiri agar kita berhati-hati semasa berkata-kata dan ucapkanlah Alhamdulillah jika menerima pujian yang tidak bersandarkan kepada Allah. Selain itu, jangan pula kita menyalahkan amalan orang tua dahulu yang nampaknya bersalahan dengan sunnah namun demikianlah penyebaran ilmu di zaman mereka. Menjadi tanggungjawab kita untuk memperbaiki sebarang yang kurang sempurna dengan berhikmah dan sejahtera, bukan dengan membid'ahkan pula atuk atau nenek kita terdahulu....sekian wassalam.

Tuesday, April 15, 2008

Perpisahan Yang Sukar

Salam semua,

Setibanya di bandar Kuantan semalam, perasaan sayu dan gembira bercampur baur bermain di dalam hati. Sehinggakan lampu isyarat hijau dan merah dah tak dapat dibezakan lagi, namun Alhamdulillah selamat jua saya akhirnya. Benar kata orang tua-tua, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan" dalam sungguh ayat orang-orang tua kita.

Perpisahan bukan sesuatu yang mudah buat saya, biarpun untuk sementara. Teringat pula kisah 7 tahun lalu ketika saya meninggalkan keluarga untuk mengikuti Kursus Asas Kebombaan di Kuala Kubu Bharu selama 6 bulan. Namun keadaan ketika itu suasananya lebih pilu, telefon dan sebarang perhubungan dengan dunia luar langsung tidak dibenarkan selama 3 bulan. Malah, nak ke kedai koperasi di sebelah asrama pun dilarang keras bagi kadet baru seperti kami. Saya hanya berkesempatan pulang ke kampung setelah 4 bulan di sana. Sedih mengenangkan anak saudara kesayangan yang masih kecil yang dah tak kenal lelaki hitam legam berkepala botak di hadapannya. Perghhh....tangkap pilu betoii...kalah filem Sembilu Kasih.

Kini keadaannya sedikit berbeza kerana saya sudah bekeluarga dan yang ditinggalkan adalah isteri dan anak sendiri. Namun dengan kecanggihan teknologi dan tiada sekatan yang dikenakan, saya berdoa agar penghijrahan kali ini akan membawa rahmat dan keberkatan yang berpanjangan. Biarpun saya terpaksa menanggung suatu Perpisahan Yang Sukar. Apa lah sangat nak dibandingkan dengan kengkawan yang meninggalkan keluarga demi berkhidmat atau belajar di luar negara. Nak balik pun tambang berjuta-jua (rupiah), sabor jer la yer...wassalam

" Sifat asal kejadian manusia tidak akan berubah,
namun sikap manusia tak pernah berhenti berubah,
berubah dengan semangat hijrah "

Monday, April 7, 2008

Rumah Nasi - Pesanan Emak Yang Cukup Bermakna

Salam semua,

Teringat pula kisah semasa kecil, sewaktu emak mengajar erti bersyukur apabila mendapat nikmat makanan. Kata emak "nasi ni teriak kalau kita makan dia tak habis, nanti dia tak mai dah kat rumah ni" (nasi akan menangis andai tidak habis dimakan dan nasi itu takkan datang kembali). Malah diajarnya juga cara menghabiskan sepinggan nasi biarpun kita sudah tidak berselera memakannya...dengan dibuatnya Rumah Nasi.

Rumah nasi dibuat dengan menghimpunkan nasi dan lauk yang masih berbaki di dalam pinggan secara berkelompok. Setiap kelompok nasi akan diandaikan sebagai sebuah rumah dan dimakan dengan sekali suap. Maka secara psikologinya, seorang anak kecil akan hanya melihat 3-4 kali suapan sahaja lagi untuk menamatkan hidangan. Memungkinkan selera makan si anak itu kembali, di samping dapat juga mengajar ilmu matematik di hadapan rezeki. Kaedah ini sangat berkesan terhadap saya...mudah sahaja kan begitu. Bagi pembaca yang berkenaan atau berkenan (berminat) dengan kaedah ini, selamatlah mencuba yer.

Terima kasih emak, di atas pesanan tersebut yang mengajarku agar tidak membazir dan bersyukur sejak kecil lagi. Lagu ini ku tujukan khas buat emak dan setiap insan bergelar ibu yang sudi membaca lamanku yang serba dhaif ini. Selamat berdendang.....



Friday, April 4, 2008

Kecerdikan Yang Menguji

Salam semua

Sejak semalam, saya telah mula berehat di rumah bagi menghabiskan cuti tahunan yang masih berbaki. Walaupun terdapat ruangan masa yang begitu luas untuk menambah posting di blog, saya kehilangan mood. Mood yang hilang kerana masih bersedih setelah membaca sorotan kisah Sufiah yang dirundung malang itu. Ulasan penuh ilmiah dengan komen-komen yang agak adil boleh dilawati link.


Saya sarankan agar pembaca budiman dapat mencari makna penyakit Ain seperti yang pernah ditulis pada posting lepas bertajuk Menjenguk Bayi Pintar. But life goes on...marilah kita doakan semoga Sufiah dan mereka yang senasib dengannya dikembalikan Allah ke jalan yang benar. Ameen....

Monday, March 24, 2008

Wajah Masa Depan


Apabila ku tatap wajah anak-anak ini, hatiku berkata sendirian...apakah nasib yang bakal ditempuhi oleh anak-anaku sendiri? Selamatkah iman mereka? Terbelakah aqidah mereka? Terjaminkah keselamatan mereka? Aku hanya mampu memikir, tiada sebarang jawapan yang ku temui.

Jauh disudut hati ini, timbul kerisauan akan nasib masa yang mendatang. Mereka ini adalah suara di masa hadapan, mereka juga adalah penyambung generasi dan mereka jualah bakal menemaniku di akhirat kelak.

Ya Allah, selamatkanlah anak-anak ini...ameen.

Sunday, February 3, 2008

Menjengok Bayi Pintar


Salam buat semua..
Terdetik hati ini memilih tajuk di atas setelah kisah adik Adi Putra disiarkan baru-baru ini. Saya tidak pernah bertemu Adi Putra atau meneliti kisahnya secara serius, sekadar melihat apa yang dipaparkan media semata-mata. Biarpun terdapat kata-kata sumbang di sebalik kisah anak pintar ini, saya memanjat doa agar dia tidak menerima nasib serupa seperti prodigy sebelumnya yang hanya menyerlah pada usia muda sahaja. Akhirnya tidak kemana, langsung tersasar daripada harapan tinggi keluarga dan angan-angan kosong pihak berwajib. Maafkan saya kerana sedikit terkasar, namun begitulah yang selalunya terjadi pada kanak-kanak pintar d negara ini. Sila rujuk Hadafi Syndrom , We Will Lose Adi Putra dan Link untuk mengkuti kisah tersebut. Tiada usaha serius dilaksanakan oleh pihak berwajib selain memberikan publisiti luar biasa dan kemudiannya diberikan bantuan pelajaran yang dicanang sedunia. Berbanding dengan negara Yahudi yang sejak 1973 telah menubuhkan sebuah Institusi Pendidikan Khas bagi menempatkan kanak-kanak pintar ini.


Teruja rasanya bila mengetahui kanak-kanak gifted atau pintar ini dilahirkan dalam nisbah 1:50, suatu angka yang agak tinggi. Mereka ini mempunyai IQ lebih tinggi daripada 130, namun tidaklah melebihi 180 yang kununnya dikelaskan untuk golongan genius sahaja...(saya kurang berminat mengukur kepintaran menggunakan kaedah empirik). Pengalaman semasa di USM membolehkan saya bersahabat dengan 3 manusia dalam kategori genius. Dua daripada mereka adalah siswa cemerlang biar pun belajar ala kadar sahaja dan seorang lagi memilih untuk menjadi dungu. Apabila ditanyakan sebab kemerosotannya, mudah sekali jawapan sahabat ini, "sajala...aku dah boring jadi pandai, tak rock la brader".

Cukuplah sekadar selingan, posting ini saya tujukan khusus kepada pembaca yang ingin mengenal pasti sifat-sifat seseorang bayi pintar. Oleh kerana bilangan bayi pintar yang lahir agak tinggi, tidak mustahil ia wujud di kalangan keluarga kita. Senarai di bawah adalah antara sifat bayi pintar yang boleh dikesan iaitu :

1. Teramat peka pada sekeliling, matanya akan kerap memandang persekitaran.
2. Tidur yang sedikit sahaja berbanding bayi biasa.
3. Sentiasa memerlukan belaian/perhatian semasa jaga.
4. Boleh membuat mimik bunyian pada awal usia.
5. Terlalu sensitif pada bunyian, bau, rasa dan jenis kain (pakaian/lampin)
6. Mudah teriak apabila mengesan perubahan pada perkara di atas. (Dabrowski's Supersensitivities)
7. Cekap menggunakan permainan dan cepat bosan dengannya.
8. Aktif yang bersebab, tetapi tidak hyper.
9. Suka menyiasat dan cekap menyelongkar kawasan persekitarannya.
10. Lebih cepat boleh berjalan atau bercakap berbanding kebiasaan.
11. Mungkin lambat boleh bercakap tetapi sebutan perkataannya lengkap.


Bagi ibu bapa yang ada bayi seumpamanya, jangan pula cepat syok sendiri, sebaliknya bersyukurlah kepada Allah sebanyak-banyaknya. Apabila ada yang memuji-muji bayi ini, cepat-cepat katakan Alhamdulillah...serahkan pujian itu kepada Allah yang menjadikannya. Hal ini akan mengelakkan penyakit Ain yang mungkin merosakkan masa depan anak-anak pintar ini sebagaimana yang terjadi kepada sahabat saya tadi dan yang seangkatan dengannya. Sekian dulu untuk kali ini, sudikanlah pembaca bertanya kepada yang alim berkenaan penyakit Ain untuk penerangan lanjut...sekian wassalam.