Showing posts with label Kisah dan Tauladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah dan Tauladan. Show all posts

Thursday, March 29, 2012

Bersyukur Tanpa Had...

Salam semua...


Bulan lepas saya sempat mendengar 'bayan' yang disampaikan oleh jemmah Tabligh di masjid Padang Tembusu. Sesekali dapat sentuhan rohani daripada geng tabligh, memang syahdu habis dan menginsafkan. Cuma saya nak berkongsi satu je antara bebanyak cerita yang disampaikan yang sangat melekat di hati, perihal Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah selain bergelar imam mujtahid di zamannya juga adalah seorang saudagar kain yang boleh tahan hebatnya.


Kisah ini berlaku semasa beliau sedang mengajar di masjid. Tetiba datang seorang lelaki menjerit, "Tok guru, kapal tok guru tenggelam"! "Alhamdulillah", balas Imam Abu Hanifah setelah teridam seketika. Tidak lama kemudian datang pula lelaki itu dan menjerit lagi, "Tok Guru, kapal dagang tok guru tak tenggelam. Kapal lain yang telah tenggelam." Setelah merenung sejenak, Imam Abu Hanifah terus mengucapkan Alhamdulillah sekali lagi.


Maka, muridnya yang berada di dalam majlis pengajian pun terasa sedikit pelik dengan dua ucapan syukur untuk dua keadaan yang sangat berbeza itu. Mereka cuba mendapatkan penjelasan tok guru. Imam Abu Hanifah kemudian menjelaskan, "Apabila diberitakan kepada ku tentang kapal dagang ku yang tenggelam, aku merenung sejenak untuk menentukan samada di dalam hatiku ini ada perasaan yang tidak tenteram akibat di timpa bala oleh Allah. Apabila aku dapati, tiada perasaan demikian, aku ucapkan Alhamdulillah. Demikian pulanya apabila diberitakan, aku masih berpeluang mendapat habuan nikmat akibat bala yang tidak menimpaku, aku kembali merenung diriku. Didapati, tidak sedikitpun aku merasa terkesan akibat penambahan harta itu, maka aku ucapkanlah Alhamdulillah".


Aduhai, betapa hebatnya kezuhudan sang imam yang mulia ini. Saya cuba cari kisah ini secara online untuk mengesahkan kebenarannya namun belum kedapatan. Jika ada pembaca yang sering membaca kisah-kisah ulamak dari mana-mana kitab Arab, pohon dicarikan kesahihannya. Biarpun kisah saya kutip daripada seorang yang bukannya berstatus ustaz, namun pengajarannya sangat menginsafkan. Sekian dahulu, wassalam.

Saturday, March 17, 2012

Khutbah Jumaat Kisah Abu Ubaidah Al Jarrah - Tangkap Leleh Beb...

Salam Semua...


Seingat amber, kali terakhir ambe menangis ketika khutbah adalah semasa di Mekah dahulu...Biarpun tak berapa paham isi khutbah, namun emosi khatib menyebabkan ramai yang mengalirkan air mata, termasuk ambe. Setibanya di Malaysia, suasana semasa khutbah Jumaat sangat-sangat berbeza. Biarpun 100% paham apa yang dikhutbahkan, hampir semua yang mendengar akan lena, termasuk ambe...Jika tidak lena sampai mengeroh, sekadar lena-lena ayam. Tak tahulah nak dikatakan makmum atau khatib yang memangnya CAP AYAM!


Namun semalam, ambe sangat tersedu takala mendengar khatib berkhutbah di atas mimbar. Khatibnya pun sangat ambe kenal, Ustaz Hishamuddin dari ECRO (PETRONAS Wilayah Pantai Timur). Beliau berkhutbah dengan bahasa yang sangat lunak dan penuh semangat. Kisah yang dikongsikan juga sangat terkesan sampai ke hati. Antara yang ambe tak dapat nak lupakan adalah kisah berkenaan seorang Sahabat Nabi yang bergelar Abu Ubaidah atau Abu Ubaidillah Amir Al Jarrah, seorang daripada 10 sahabat yang telah terjamin ke Syurga.

Diceritakan ketika pertempuran Badar, Abu Ubaidah telah berjaya menyebabkan beberapa tokoh panglima perang Quraish lari lintang pukang. Begitu gagah beliau bertempur dan nampak seolah-olahnya beliau langsung tidak hiraukan keselamatannya. Namun keadaannya berubah sama sekali apabila Abu Ubaidah berdepan dengan pakcik biasa di kalangan tentera musuh. Beliau pula yang lari lintang dikejar oleh pakcik tersebut sehinggalah sampai di satu kawasan di mana jalannya tersekat. Pakcik itu bertanya, "kemana lagi hendak kau lari, hai Abu Ubaidah?". Abu Ubaidah pun lantas menjawab yang dia taidak akan lari kemana-mana lagi malah akan bertempur dengan pakcik tua tersebut. Akhirnya Abu Ubaidah berjaya menewaskan musuh dihadapannya. Rupanya, Abu Ubaidah lari kerana musuh yang mengejarnya tadi adalah bapa kandungnya sendiri. Musuh yang dibunuhnya itulah ayahnya sendiri...Subhanallah!

Berikutan peristiwa ini, Allah telah berfirman di dalam surah Al Mujadilah ayat 22, yang ertinya:

"Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah SWT dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah memetri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahwa perajurit Allah pasti akan berjaya."



Ujian sebegini tidak berlaku kepada kita, malah ujian yang jauh lebih kecil pun kita masih lagi "tergagai". Sungguh berkatnya saya disempatkan mendengar khutbah pada tengahri Jumaat kelmarin. Sungguh berkatnya khatib yang berkhutbah, sungguh berkat pula masjid yang memanggil khatib tersebut. Insya Allah selepas ini, saya berazam untuk lebih kerap ke Masjid At Taqwa di Batu Enam biarpun jaraknya 4 kali ganda daripada masjid yang berdekatan. Sekian dahulu, Wassalam.

Nota : Kepada yang berminat membaca kisah tentang Abu Ubaidah boleh sahaja bertanya lanjut Pakcik Google. Antara yang saya ketemukan adalah seperti link di bawah: Selamat membaca...



Monday, May 16, 2011

Silalah datang curi lagi yer!

Salam semua,


Hari ini saya ingin kongsikan satu kisah bab pencuri yang sedikit pelik tapi tak ajaib...Kisah ini saya dengar dalam satu ceramah yang disampaikan oleh Dato' Tn Ibrahim Tn Man.


Pada suatu hari, seorang perompak dari daerah asing telah memasuki kota Baghdad untuk aktiviti rutinnya . Setelah puas mencari mangsa, dia masuk ke sebuah rumah yang tak berpenghuni di pinggir kota. Namun perompak tu merasa kecewa sebab tidak ada barang berharga dalam rumah itu. Hanya beberapa kain kasar dan sedikit barang keperluan. Ketika perompak itu sedang membungkus barang-barang yang dicurinya, datanglah seorang tua dibelakangnya dan melihat aktiviti haramnya itu. Namun, si tua tadi sebaliknya membantu perompak itu membungkus kain baju sambil berkata , "Tentu susah untuk engkau bawa barang itu berseorangan, biar aku tolong kamu membawanya". Perompak itu pun bersetuju dengan cadangan pakcik tua ini.


Setelah selesai membungkus, mereka berdua keluar berjalan ke tempat persembunyian si perompak. Sampai di tempat persembunyiannya ,dia pun memberi sedikit hasil curinya kepada pakcik tua sebagai tanda terima kasih. Tetapi pakcik tua itu menolak dengan baik sambil tersenyum dan berkata, "Sebenarnya akulah tuan rumah yang kamu curi itu. Aku beranggapan kamu tentunya sangat miskin dan terpaksa mencuri sebagai keperluan kamu. Tak mengapalah, kamu lebih memerlukannya berbanding aku". Perompak itu kebingungan lantas terus meminta maaf kepada pakcik tua tersebut...Malah si pakcik tua sempat berpesan seblum pulang agar si perompak datang lagi ke rumahnya jika ada keperluan tambahan.


Tak lama kemudian, si perompak tersebut pergi ke rumah jiran berdekatan dengan rumah itu dan bertanya siapakah sebenarnya pemilik rumah yang dimasukinya. Lalu jiran itu berkata rumah itu adalah rumah Junaid Al Baghdadi, seorang hamba Allah yang soleh dan terkenal di kampung itu. (Beliau juga merupakan salah seorang Wali Allah yang mahsyur kisahnya). Akhirnya perompak tersebut pergi mendapatkan Junaid memohon maaf serta bertaubat.


Kisah ini bukan sekadar untuk menjadi iktibar kepada kita, cubalah setidak-tidaknya berfikiran positif sebagaimana Junaid. Jikapun kita tidak mampu sesabar beliau, minda kita boleh jadi positif tahap Wali! Sekian dahulu, wassalam.

Tuesday, July 14, 2009

Steve Jobs yang pandai bersembang..

Salam semua...

Saya baru sahaja selesai menjalani satu latihan untuk menjadi 'Trainer' sepanjang minggu lepas. Selesai latihan, saya mula membelek-belek di You Tube perihal mereka yang pakar dalam bidang ini...maksud saya pakar sembang! Pakar sembang ini jauh bezanya dengan mereka yang sembang kemaih (cakap besar) mahupun yang loyar buruk (merapu).

Antara pakar (sembang) penyampai yang saya maksudkan adalah Steve Jobs, peneraju Apple Inc. Biarpun saya bukanlah penggemar mahupun pembeli 'gadget' keluaran Apple, namun teknik penyampaian CEO nya sesuatu yang perlu saya pelajari.

Silalah tonton klip di bawah untuk belajar beberapa teknik penyampaian berkesan daripada beliau...sekian wassalam.



Saturday, June 14, 2008

Ulat Dalam Batu Pun Pandai Cari Makan

Salam semua..

Sejak hidup merantau di Kuantan, saya mula rapat dengan kawan-kawan baru yang terdiri daripada pemandu bas. Saban minggu saya berulang alik daripada Kuantan ke Butterworth, pemandu bas pun dah cam muka mamat sorang ni. Tambahan sejak bermulanya musim cuti sekolah, tiket di kauter sentiasa habis. Tiket lagi dua minggu pun dah habis kena sapu....bukan oleh penumpang, disapu oleh ulat.

Yer, ulat-ulat yang bersepah di perhentian bas utama di Malaysia ni dah semacam raja di sana. Senang-senang dia naikkan harga tiket yang telah dibelinya sejak awal kepada pelanggan yang terdesak. Saya juga pernah menjadi salah seorang daripadanya...sebagai pembeli yer bukan ulat. Namun apa kan daya, kalu tak dibeli tiket dah habis...Nak naik ke Kl cari bas Butterworth di Puduraya, kat situ bukan ulat lagi dah, bapak naga yang menunggu. Bayangkanlah harga tiket ke KL-Butterworth sahaja dah mencecah RM50, kalah naik flight.

Ada juga member yang beri cadangan naik firefly, boleh terbang terus ke Penang....masalahnya jadual flight bukan nak ikut selera kita. Logistik ke airport juga terhad, parkingnya pula boleh tahan, sama dengan harga tiket bas sehala...parok gok kalau nak balik setiap minggu. Maka bas menjadi pengangkutan paling ideal bagi orang seperti saya, dan pemandu bas adalah penyelamat. Selamat semasa perjalanan dan selamat daripada menjadi mangsa ulat zaman moden.

Tak rugi saya berkenalan dengan abang-abang dreba ni, di saat genting ketiadaan tiket...saya sentiasa mendapat seat dreba (seat kecil bersebelahan tangga bas) biarpun tidaklah seselesa seat penumpang. Pernah sekali saya lihat seorang mamat Bangladesh terpaksa duduk di atas tangga kerana seat dreba dah penuh, saya tersenyum sendirian. Sebulan berlalu, giliran saya pula menggantikan seat VIP tu...heheh pada muka saya duk rajin senyum kat orang sangat. Sebenarnya pemandu bas tidak memberi seat VIP ini sembarangan, namun kerana kesian pada penumpang...terpaksalah membantu. Saya lebih suka mendapatkan seat dreba (atau seat VIP) daripada melayan ulat durjana yang mencekik darah. Kerana sikap kita yang memberi muka kepada mereka, ulat-ulat moden dalam (bangunan) batu ini hidup mewah.

Pesan saya kepada pembaca semua, pastikan anda membeli tiket lebih awal sebelum ingin menggunakan bas ekspress. Jika tiket dah habis dan anda (berseorangan) benar-benar perlu bermusafir....jumpa sahaja dengan pemandu bas. Mereka mungkin boleh membantu untuk memberikan seat dreba dengan harga yang berpatutan. Jangan layan si ulat atau bapak naga yang berkeliaran, dah banyak sangat mangsa yang mereka telannnnn...sekian wassalam.

Friday, January 11, 2008

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari Yang Ku Hormati


Tersenyum lebar saya apabila nama Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah Negara bagi tahun 1429H. Senyum bukan kerana saya turut berdarah hijau kuning sepertimana beliau. Tetapi senyum kesyukuran kerana bumi Malaysia ini masih terdapat tokoh Muslim yang bukan sahaja kaya pada harta malah kaya dengan sifat pemurah dan rendah diri seperti mana ditonjolkan oleh Tuan Syed.

Isteri saya acap kali menegur peel saya yang kurang enak iaitu agak dingin pada golongan berada, maafkan saya jika ada di kalangan pembaca yang berstatus berada. Perasaan peribadi ini bukan muncul secara tiba-tiba, ia lahir setelah meniti pelbagai pengalaman berdepan dengan golongan elit atau bangsawan Muslim. Saya jauh daripada menyimpan dendam atau berperasaan iri hati terhadap kejayaan orang lain. Cuma agak agak sedih mungkin kerana terlalu sukar untuk bertemu bangsawan yang betul-betul boleh ditauladani. Mungkin sahaja benchmark yang saya tetapkan agak tinggi atau mungkin juga saya tidak pernah mendapat ujian kelimpahan harta dunia sebagaimana mereka. Namun majoriti bangsawan hanyalah bersifat dermawan, tidak begitu agamawan dan sedikit sekali yang merendah diri.

Masih segar dalam ingatan ini pengalaman menganggotai PALAPES USM bersama Wan Azmir bin Dato' Seri Wan Mohammed, anak bekas MB Perak. Suatu hari kami ditugaskan sebagai anggota fitik yang bertanggungjawab mencuci dan membuang sampah. Saya bersama dua orang rakan lain termasuk beliau, terpaksa mengharungi jutaan ulat sampah yang hobinya suka menyelusup di pakaian kami. Oleh kerana sampah perlu dibersihkan sepenuhnya, Wan Azmir sanggup masuk ke dalam tong sampah tersebut yang baunya sahaja 'Masya Allah' tidak mampu saya gambarkan. Ketika beliau sibuk mencuci sampah di dalam tong, saya pula sibuk menahan sakit perut kerana meloya dan termuntah. Sukar sekali untuk mencari bangsawan sebegini sekarang.

Sikap rendah diri bukanlah sesuatu yang boleh diterapkan seharian, boleh dilatih atau dilakonkan sepertimana sandiwara murahan sebilangan ahli politik. Rendah diri adalah sikap yang apabila ia telah melekat di dalam hati, pasti terpancar pada bahasa lisan dan bahasa badan. Saya kaitkan sikap rendah diri pada artikel kali ini kerana pada hemat saya Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary bukan calang-calang bangsawan kerana beliau tidak mempamerkan status kebangsawanan untuk menunjukkan keberadaanya. Beliau lebih gemar bersederhana dan merendah diri . Bersederhana yang bukan bermaksud tidak mengecap kemewahan, tetapi kemewahan yang berpada-pada yang sesuai dengan keadaan. Merendah diri pula bukan bermaksud tidak elit, tetapi elit yang mengenal asal usul dan tidak terpesong dengan kebanggaan yang berlebihan akibat kemewahan.

"Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan", kata beliau apabila ditemuramah setelah menerima anugerah di atas. Kisah hidup Tuan Syed saya paparkan pada link di bawah ini untuk jadikan tauladan :

Kisah Hidup Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukahri dipetik daripada www.iluvislam.com

Saya memohon maaf sekali lagi andai kata artikel ini menghiris hati mana-mana pihak, ia tidak bermaksud untuk mengeneralist keseluruhan golongan berada, sekadar berkongsi perasaan dan saya ini sudi diperbetulkan, Insya Allah..Ameen.

Tuesday, December 4, 2007

Umar Mukhtar, Singa di Padang Pasir


Bagi sesiapa yang pernah menonton filem Lion Of The Desert, pastinya terkesan dengan watak orang tua Badawi bernama Umar Mukhtar dilakonkan oleh Anthony Quinn. Filem ini menceritakan kesungguhan umat Islam menjaga kedaulatan negara dengan melawan pencerobohan tentera Itali di Libya yang dipimpin oleh Jeneral Rodolfo Graziani. Kisah ini berlaku sekitar tahun 1929 sewaktu Itali diperintah oleh pemimpin diktator bernama Benito Mussolini. Filem ini asalnya diharamkan tayangannya di Itali dan akhirnya dapat juga ditayangkan setelah pihak berwajib menyunting babak yang diklasifikasikan mencemar imej tentera dan kerajaan Itali.

Apa yang cukup menakjubkan apabila kita mengikuti kisah sebenar perjuangan Umar Mukhtar ini adalah kegigihan dan keupayaan seorang guru Al Quran yang berumur 67 tahun melawan musuh demi mempertahankan agama. Malah sikap beliau semasa di penjara setelah ditawan oleh tentera Itali juga menakjubkan pegawai yang menyoal siasatnya. Walaupun perit disiksa, beliau hanya membalas dengan membacakan petikan ayat-ayat suci Al Quran dengan air muka yang tenang. Kesabaran dan ketenangan yang ditunjukkan itu mungkin suatu yang terlalu jauh jika diukur dengan sikap kita di hari ini.



Akhir hayatnya sebelum dihukum gantung, beliau telah diminta memberikan kata-kata terakhir yang ingin diucapkannya. Dengan tenang jua, beliau membalas, "Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rojiuun". Sebagai mengenang jasa Umar Mukhtar, kerajaan Libya telah mengabadikan wajah beliau pada wang 10 Dinar Libya. Semoga Allah memcucuri Rahmat dan KeampunanNya terhadap As-Syahid Umar Mukhtar, ameeen...

Friday, November 16, 2007

Kisah Sahabat Nabi : Abdullah bin Huzafah al-Sahmi

Kisah ini dipetik semasa beliau bersama tentera Islam ditawan oleh tentera Rom di dalam satu peperangan untuk membebaskan Syam. Raja Rom mendapat khabar bahawa beliau adalah salah seorang sahabat Nabi S.A.W dan ingin menguji imannya. Lalu dibawa Ibnu Huzafah ke hadapan Harcules maka dikatanya,"Masuklah kepada agama kami maka engkau akan diberi apa sahaja harta yang engkau mahu". Tawaran ini ditolak oleh Ibnu Huzafah lalu Harcules menawarkan tawaran kedua dengan katanya, "Masuklah kristian maka engkau akan ku kahwinkan dengan puteriku". Tawaran ini juga ditolak oleh Ibnu Huzafah lalu Harcules menwarkan tawaran ketiga dengan katanya, "Masuklah kristian maka engkau akan berkongsi kuasa ini denganku". Namun begitu tawaran ini turut ditolak lalu ditawarkan yang keempat iaitu akan dapat berkongsi kuasa dan sebahagian daripada harta kekayaan Harcules tetapi tawaran ini juga ditolak mentah-mentah oleh Ibnu Huzafah. Beliau dengan tegas menjawab, "Sekiranya engkau menyerahkan semua apa yang engkau miliki kepadaku dan semua yang dimiliki oleh arab namun aku tidak akan berganjak sedikit pun daripada agama Muhammad walau pun sekelip mata".



Setelah kesemua tawarannya ditolak lalu Harcules mengugut untuk menyeksa dan membunuh Ibnu Huzafah yang tidak sekali-kali berganjak samada ditawarkan dunia ataupun diugut dengan siksaan. Setelah itu Ibnu Huzafah dipenjara dan tidak diberi makan dan minum selama tiga hari. Selepas itu dibawa arak dan daging babi untuk dimakan namun Ibnu Huzafah langsung tidak menjamah apa yang dihidangkan. Melihat perkara ini lalu Harcules memerintahkan agar dikeluarkan Ibnu Huzafah daripada tahanan lalu ditanya, "Mengapa engkau tidak makan daging babi dan arak yang dihidangkan sedangkan engkau kelaparan". Dengan tegas Ibnu Huzafah menjawab,"Walau pun Islam menghalalkan perkara tersebut kepadaku ketika dharurat tetapi aku bimbang jika aku menjamahnya maka engkau menganggap bahawa betapa hinanya Islam". Kemudian Ibnu Huzafah diikat pada kayu dan dipanah berhampiran tubuh Ibnu Huzafah bertujuan untuk menakutkannya. Harcules terus menawarkan agar beliau keluar dari Islam tetapi beliau tetap dengan pendiriannya.

Kemudian Harcules mencuba lagi untuk memurtadkan Ibnu Huzafah apabila dibawa bekas besar yang diisi air dan dipanaskan dengan bakaran kayu dibawahnya. Apabila air telah mendidih lalu dihumbankan seorang tawanan Islam ke dalamnya lalu mati dengan berkecai dagingnya. Kemudian dihumbankan tawanan Islam yang kedua di mana turut gugur syahid sebagaimana sebelum ini. Perkara ini disaksikan oleh Ibnu Huzafah tetapi beliau tidak merasa gerun malah bertambah tetap dengan Islam. Kemudian diperintah agar Ibnu Huzafah dihumbankan dalam air panas menggelegak itu lalu pengawal memegang Ibnu Huzafah. Ketika mahu dihumbankan lalu Ibnu Huzafah menangis dan diberitahu kepada Harcules tentang perkara ini lalu dia menyangka bahawa Ibnu Huzafah begitu takut mati sehingga beliau menangis dan bersedia untuk menerima tawaran untuk masuk kristian. Tetapi apabila ditawarkan untuk masuk kristian lalu dengan tegas Ibnu Huzafah menolaknya. Harcules terkejut lalu bertanya," Jika begitu, mengapa engkau menangis?. Ibnu Huzafah dengan ucapan mengkagumkan merungkai segala persoalan Harcules tentang sebab dia menangis dengan katanya, "Aku menangis keranaaku hanya mempunyai satu jiwa sahaja di mana aku begitu bersungguh menyerahkannya untuk pertahankan agamaku pada jalan Allah. Aku begitu mengharapkan agar dianugerahkan jiwa sebanyak jumlah rambutku agar aku dapat mempertahankan agamaku sehingga mati seluruh jiwaku pada jalan Allah".

Mendengar jawapan itu lalu bertambah yakinlah Harcules tentang ketetapan dan istiqamahnya Ibnu Huzafah dalam mempertahakan Islam lalu bagi menjaga kewibaannya maka ditawarkan kepada Ibnu Huzafah,"Wahai Ibnu Huzafah! Sanggupkah engkau mencium dahiku dan aku akan berhenti daripada menyeksamu disamping engkau akan kubebaskan". Lalu Ibnu Huzafah menjawab," Ya! aku sanggup dengan syarat akan dibebaskan juga kesemua tawanan muslimin "(jumlah mereka melebihi 300 orang). Kemudian Ibnu Huzafah mencium dahi Harcules lalu dia bersama tawanan muslimin yang lain dibebaskan.

Mereka pulang ke Madinah dan bertemu dengan Khalifah Umar R.A. dan memberitahu kisah yang telah berlaku. Kisah ini tersebar di kalangan penduduk Madinah yang sebahagiannya menyelar tindakan Ibnu Huzafah mencium dahi Harcules kerana ingin dibebaskan. Khalifah Umar bagaimanapun bersetuju dengan tindakan Ibnu Huzafah dan menghimpunkan penduduk Madinah seraya berkata, "Sesuatu yang hak bagi setiap muslim untuk mencium dahi Ibnu Huzafah dan aku yang akan memulakannya". Selepas daripada itu, sekelian penduduk Madinah datang mencium dahi beliau sambil memohon maaf di atas keterlajuran mereka menyangka buruk terhadap beliau.

Inilah ia sebuah kisah yang begitu mengkagumkan dan wajar diikuti oleh kita dalam memperjuangkan kebenaran. Sikap yang telah ditunjukkan oleh Ibnu Huzafah amat sukar untuk kita bandingkan dengan diri yang lemah ini. Bukan sekadar lemah melawan siksaan malahan lebih lagi untuk menahan cacian atau fitnah yang menimpa...

"Ya Allah, kurniakanlah hamba Mu yang lemah ini kekuatan dan kesabaran semasa menempuh dugaan daripadaMu samada kesusahan mahupun fitnah..Ameennn"