Showing posts with label Palestin. Show all posts
Showing posts with label Palestin. Show all posts

Sunday, February 1, 2009

Selamat Tinggal Huggies, Selamat Tinggal Pekan....


Salam semua...

Pada posting lepas saya cuba untuk mencari alternatif kepada dua produk utama bayi iaitu lampin Huggies dan susu Lactogen. Alhamdulillah..setelah puas membelek-belek sekitar laman web, saya dipertemukan dengan produk bersesuaian. Sila klik kedai lampin Anis dan susu Biomil untuk dua produk alternatif tersebut. Tolong sebarkan maklumat sebegini kepada rakan-rakan dan bagi yang minat berniaga, pertimbangkan pula untuk menjadi pengedar. Harapnya semua pembaca abu alfateh juga dapat menyokong kempen 'boikot seumur hidup' kali ini...jangan pula bila perang dah nampak seolahnya berhenti, kita pun berhenti boikot...hampeh duk ada. Kalu nak seribu daya, dan daya ini bukannya untuk dipertimbangkan lagi. Boikot adalah satu kewajipan!

Bagi mereka yang masih ragu-ragu untuk membuat keputusan meninggalkan terus produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat 'sahabat yahudi' ini, sila klik di sini untuk sedikit pencerahan. Kalu tak mau jugak, hampa klik kepala sendiri sampai cerah....jangan marah nooo.

Saya juga pada pagi tadi telah meninggalkan bandar Pekan yang indah menawan. Kali ini saya berpindah pula ke Bukit Rangin, Kuantan. Lokasinya inilah yang lebih bersesuaian untuk didiami kerana isteri saya kini mengajar di Sek Men Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS). Biarpun terpaksa mengangkut barang dan berkemas buat sekian kalinya, saya redha dan bersyukur. Dibandingkan susah kami dengan susah saudara di Gaza, emmmm celah kuku jer la. Sekian dulu buat kali ni, mata dah kuyu, badan pun dah nak layu. Jangan lupa pesan awal tadi, 'boikot seumur hidup'. Wassalam...

Tuesday, January 27, 2009

Salam Buat Para Pejuang...



Salam semua....
Nampak gayanya saya perlu lebih kuat bermujahadah untuk mengadap komputer sejak bermulanya tahun 2009. Biarpun Israel dah angkat bendera putih di Palestin, nafsu dan syaitan kat dalam diri ini tak penah-pernah jemu menghalang posting baru keluar dari laman abu-alfateh. Kerap kalinya saya hanya tewas dengan dugaan kepenatan bekerja dan masa di hujung minggu pula dihabiskan bersama keluarga. Cumanya malam ini semangat untuk menulis kembali segar. Sesegar hirupan Kopi Radix "Mai Secawannn"...yang baru dinikmati sebentar tadi.

Namun sebenarnya 'cas' ini mungkin disebabkan semangat setelah pulang daripada majlis 'Solat Hajat dan Ceramah Perdana Palestin di Stadium Sultan Abdul Halim yang jaraknya cuma 500 meter daripada rumah saya di Taman Wira Mergong. Berkat doa beramai-ramai di tengah padang mungkin telah menggerakkan hati ini untuk kembali menaip. Selain berdoa, infaq dan boikot, satu lagi kudrat yang termampu dilakukan adalah sebaran semangat secara penulisan. Harapnya tiupan semangat kali ini akan dapat mengatasi perasaan letih dan mengantuk yang menyerang diri setaip kali hati ini terdetik untuk memblog.

Sambil berjalan pulang tadi juga, saya terfikir seorang diri perihal kempen boikot yang masih giat dilaungkan. Tanpa ingin menyalahkan orang lain, saya merujuk kepada diri sendiri yang masih kekal dengan produk lampin Huggies dan susu Lactogen yang syarikat pengeluarnya tersenarai sebagai penyokong Yahudi. Di saat saya mencemuh di dalam hati kepada para perokok yang tak pernah jemu penyumbang dana peluru dan bom kepada Yahudi, saya sendiri sebenarnya sudah hampir 19 bulan menyumbang ke dana yang sama. Pohon bantuan pengunjung budiman sekelian untuk memberikan maklumat alternatif yang bersesuaian bagi 2 produk penting ini untuk kita kongsikan kepada semua rakan bloggers yang lain. Sekian dulu buat malam (pagi) ini....saya nak mulakan pencarian di Goggle kalau-kalau terjumpa sedikit pencerahan. Wassalam.


Saturday, January 3, 2009

Manusia mudah lupa, atau tak mau beringat...


Salam semua....

Kelmarin saya berkesempatan solat Jumaat di Masjid Balok Makmor dengan isi khutbahnya penuh semangat mengajak para jemaah menghulurkan bantuan kepada saudara kita di Palestin. Khatib dengan penuh emosi menceritakan penderitaan dan perjuangan yang berlaku di tanah bumi Anbiya' itu. Kami sudahi solat Jumaat dengan bersama-sama mengaminkan 'Qunut Nazilah' dengan penuh harapan agar bumi Palestin kembali tenang.

Rasa benci, geram dan marah yang membuak-buak bagaikan memanggil jasad ini untuk turut serta di dalam perjuangan panjang yang telah berlangsung sejak 61 tahun demi membebaskan bumi Palestin. Perasaan bersalah dan malu pada diri sendiri turut menguasai diri ini yang sehingga kini tak terdaya untuk bersama-sama berjuang menentang kezaliman zionis dan para pengikutnya. Mujurlah getaran perasaan itu akhirnya dapat dilepaskan bersama-sama ungkapan doa dibacakan Imam yang menegakkan roma dan menghadirkan gelora.

Namun di sebalik semua yang berlaku di Palestin.....bumi Malaysia juga tak kurang bahangnya. Bahang kerakusan para pencinta keseronokan tanpa batas, kebebasan tanpa sempadan, akhlak yang tak berlandaskan hukum, moral yang tak berlapikkan adat dan hidup yang tak kenal ajal...Semuanya 'boleh' di bumi ini, yang penting 'hidup mau enjoy'....mudah sekali falsafah golongan ini. Samada mereka ini di dalam kejahilan atau mereka sengaja dibiarkan agar menjadi jahil sedemikian rupa, Tuhan sahajalah yang mengetahui.

Saya termenung sendirian memikirkan samada gelora dan bahang di Palestin bakal melanda rakyat Malaysia yang sedang seronok dibuai budaya 'happening' ini....entahlah Wallahu a'lam. Kepada semua pembaca abu-alfateh, marilah kita bersama-sama berdoa agar para Mujahideen di Palestin mendapat bantuan dan rahmat daripada Nya. Agar perjuangan mereka mendapat ganjaran dan pahala, agar ruh mereka yang gugur syahid dibalas dengan nikmat yang berlipat kali ganda dan agar kita di sini tak mudah lupa serta dijauhkan daripada bala dan bencana, ameennn ya Allah. Wassalam......

Monday, December 29, 2008

Hijrah ke Makan Angin...



Salam Hijrah buat semua..

Dah hampir 3 minggu blog ini sepi tanpa sebarang posting dek kerana penangan 'hijrah' ke bandar Pekan. Hari ini dengan penuh semangat saya cuba membelek blog dengan harapan untuk menghasilkan satu posting cerita lawan perang (PALAPES) . Namun hajat tak kesampaian lagi, cerita PALAPES terpaksa ditangguhkan buat sekian kalinya. Tak kena pulak rasanya saya nak berseronok suka dengan kisah silam di saat saudara seagama di Palestin gugur syahid angkara bom tentera Yahudi.

Saat duka buat umaat Islam di saat menyambut tahun baru Hijrah 1430, dan ia pastinya ini bukanlah duka yang terakhir. Seperti yang dijangka (oleh pengkaji Teori Konspirasi), Yahudi bakal memulakan beberapa siri peperangan baru setelah India meletup. Sasaran yang paling mudah...tak lain tak bukan negara Palestin. Selepas ini kita bakal melihat penglibatan negara uncle sam sebagai polis tak rasmi dunia dengan Presiden barunya .

Entah bila semua ini akan berubah, berubah dengan semangat 'hijrah'. Mungkin sahaja majoriti umat Islam lebih suka 'makan angin' daripada berhijrah...Tambahan pula dengan kempen pilihanraya kecil bakal bermula, angin yang dimakan pastinya tambah berkepul-kepul. Berhijah adalah ibadah, dan hijrah juga adalah sunnah...Samada kita sedar atau tidak, kita juga sedang berhijrah ke pengakhir umur dunia ini. Semakin hampir kita dengan umur dunia, semakin gawat jadinya. Bagi mereka yang masih makan angin inilah masanya untuk berhenti sejenak dan pikirkan sendiri, "bila lagi aku nak berhijrah?". Sekian dahulu, moga kita diberkati Allah hendaknya, ameen.....wassalam.

Monday, August 11, 2008

Mencari Kanisah Yang Hilang



Salam semua...

Sedang saya mencari-cari maklumat tentang negara Palestin dan menjejaki sejarah gemilangnya sejak zaman perutusan Nabi dan Rasul terjumpa pula sebuah buku yang penuh maklumat ini, "Mencari Kanisah Yang Hilang". Buku karangan Alias Jundullah yang diterbitkan oleh Pustaka Nusrullah. Saya cadangkan pembaca sekalian dapat mencarinya sendiri untuk mendapatkan maklumat jelas tentang sejarah Bani Israil dan bangsa Yahudi dengan lebih jelas.


Buku ini juga menjelaskan kenapa bangsa Yahudi begitu bermatian untuk mendapatkan negara Palestin terutamanya pada tapak Masjid Al Aqsa. Semuanya yang mungkin ada kaitannya dengan sebuah Kanisah.....yang dicari-cari oleh bangsa Yahudi. Insya Allah, jika ada kelapangan nanti kita akan membaca lebih banyak cerita mengenainya di dalam abu alfateh ini...tungguuuu. Wassalam.

Sunday, August 3, 2008

Perjuangan Membebaskan Bumi Palestin


Salam semua...

Hari cuti sebegini agak lapang bagi saya untuk mencoret 2 posting sekaligus, biarpun sukar mencari masa yang sesuai sebelumnya. Posting kali ini ingin memulakan topik baru berkisar kisah dari Bumi Anbiya' iaitu Palestin. Tujuan utama saya hanyalah untuk menggamit keprihatinan semua termasuk diri sendiri terhadap apa yang sedang berlaku di sana.

Biarpun saban hari kisah Palestin disiarkan di dada akhbar dan di kaca televisyen, apa yang kita baca atau saksikan tak semestinya sama dengan hakikat sebenarnya. Saya pernah mengikuti beberapa siri ceramah menyentuh kisah Palestin sebelum ini, namun kesannya tidak sekuat ceramah terakhir yang saya ikuti daripada Ustaz Hanafi (pendakwah daripada Terengganu) bebaru ini. Kesannya sungguh mengharukan bahkan lebih daripada itu rasanya. Ustaz bukan sekadar berkongsi cerita sedih daripada Palestin, malah turut menyorot sejarah kegemilangan Baitul Maqdis dan hubung kaitnya dengan Islam, Kristian dan Yahudi. Beliau juga menyentuh perkembangan semasa yang meyakinkan saya betapa bumi Palestin masih dilimpahi pemeliharaan Allah. Seperkara lagi yang beliau ingatkan adalah perihal Mahmoud Abbas sebagai Yahudi berbulu Arab yang terlalu jauh berbeza sikapnya dengan almarhum Yaseer Arafat. Nak tahu ceritanya.....emmm tunggulah apabila saya siap mengumpul faktanya kelak.

Agak sukar untuk saya nukilkan keseluruhan isi ceramah beliau, dalam sebuah posting ringkas ini. Namun saya berazam kali ini untuk mengumpul bahan agar dapat dikongsikan bersama pada ruangan khas yang membicarakan isu Palestin di Abu-alfateh, Insya Allah. Muga bumi Anbiya' ini akan mendapat pemeliharaan Allah di sebalik segala konspirasi, kebejatan dan tipu daya manusia durjana yang lupa pada kuasa Yang Maha Esa...ameeeen.