Friday, August 27, 2010

Melabur di dalam hutan...


Salam Ramadhan...

Sejak menjadi peminat Facebook, minat saya untuk mengarang mulai luntur bagaikan kain yang direndam 'klorox'. Mungkin kerana komen di Facebook agak cepat berbalas berbanding di blog membuatkan jiwa manusia lebih kuat tertarik pada laman ini. Ada yang bercerai berai kerananya malah ada yang terjumpa jodoh di sana. Biarpun begitu, bagi saya Facebook samalah seperti TV, ada baik dan buruknya. Terpulang kepada siapa anda dan sejauh mana nak dimanfaatkannya.

Sejak dua menjak ini, saya kembali mengingat memori lama. Antara yang kembali ke ingatan adalah pengalaman berkelana di dalam di hutan yang beratapkan dedaun dan berlantaikan tanah. Tambahan pula minggu lepas, saya mendapat inspirasi seorang teman lama di USM yang sama-sama bergelar 'askar pencen' sekarang. Biarpun di dalam ROTU beliau lebih senior dari saya, umurnya sebaya dan kami sama mendaftar ke USM dari negeri yang sama. Beliau memotivasikan saya kembali ke pentas blog untuk berkongsi cerita.

Kisah budak ROTU di hutan sebenarnya lebih perit dirasa dari dicerita. Namun apabila kami semua keluar sahaja dari hutan, semua kisah perit dan bahana belasahan pegawai menjadi tanda 'kehebatan' bagi si Pencerita. Bahkan ada juga yang menjadi bahan lawak jenaka setelah mengenang kembali saat-saat getir yang dilalui, termasuk sesetengah adegan ngeri yang boleh mencabut nyawa...

Dalam semua peristiwa semasa di ROTU, yang paling terkesan di hati saya adalah semasa khemah tahunan ke-2. Kami dikerahkan ke hutan Grik (kalu tak silap saya) dan dipecahkan kepada 3 Kompeni dengan kawasan pertahanan masing-masing. Kompeni saya agak malang kerana terpaksa bergerak jauh ke atas bukit sementara 2 kompeni lain sekadar di tepi sungai dan di kaki bukit sahaja. Sebelum bergerak lagi kami mendapat ujian pertama apabila hampir separuh skot saya telah cirit-birit angkara sayuran makan tengahari yang dijamah sehari sebelumnya. Saya bernasib baik tak terkena kerana saya kurang memakan sayur, tapi masih perlu membantu membawa barangan kengkawan yang sudah lembik akibat cirit.

Melihat nasib kengkawan sedemikian, kami cuma pasrah menanti perit berikutnya kerana tempat tujuan masih lagi rahsia dan belum diketahui keadaannya. Kami semua cuma mendaki mengikut langkah jurulatih yang terkenal dengan mulut 'capoi'nya, Staff Salleh. Biarpun kami dalam keadaan perit, Staff sempat lagi membaling bom mortar secara tiba-tiba menandakan kami telah diserang. "Adoihhh, belum masuk hutan dah kena!", saya merungut sendirian. Namun semua kami sudah dilatih dengan prosidur TSM (tindakan serta merta) semasa diserang. Setelah selesai bertahan dan keadaan terkawal, kami pun membuat 'grouping' bersama-sama ketua kompeni. Didapati dua orang anggota telah hilang, termasuklah 'buddy' saya Pok Ya yang berasal dari Kelantan. "Mampuih dah aku", bisik hati saya, memikirkan balasan yang bakal diterima dari staff. Namun belum pun sempat saya dibelasah, Pok ya muncul dari dalam semak dengan muka yang masih pucat dan melapor diri. "Saya pergi melabor staff", jerit Pok Ya sambil sedikit tersenyum. "Mana lagi sekor (seorang)?" balas Staff Salleh. "Dia ada duit banyak staff, belum habis lagi melabor", kata Pok Ya dengan senyuman yang makin melebar. Melihatkan Staff Salleh tersenyum lebar, hati saya kembali lega..."habis dah satu bala".

Kami semua diminta berehat di situ dan Staff Salleh hilang entah ke mana. Setelah kembali, dia membawa bekalan ubat untuk diberikan kepada skot yang 'tercirit' sebelum berjuang. Kami dimaklumkan akan kembali bergerak selepas makan tengahari kerana terlalu ramai skot yang masih keletihan akibat terlebih 'melabor'. Sebenarnya Staff Salleh memang terkenal dengan perangainya yang sedikit pelik. Ada masanya kami akan melihat dia berqiamullail di surau, solat bejemaah lima waktu solat malah turut mengikuti usrah bersama-sama mahasiswa lain. Namun, bila sahaja dipakainya uniform, waraknya hilang sepantas coklat chipsmore. Maki hamun beliau adalah yang ter'power' di kalangan semua jurulatih kami. Makiannya semakin menjadi-jadi jika skot wanita yang buat hal. Saya beranggapan Staff Salleh bertindak sedemikian kerana beliau tak begitu gemar wanita menyertai kadet ROTU. Syukurlah kerana kompeni kami hari itu tak disertai oleh kadet wanita, menandakan langit bakal cerah buat kami semua di dalam hutan nanti.

Setelah siap berehat dan menjamu selera, kami bersiap untuk bergerak ke destinasi yang masih dirahsiakan. Baru 20 minit bergerak, kami dikejutkan lagi oleh satu jeritan...kisahnya akan disambung selepas terawih nanti Insya Allah.


No comments: