Monday, September 1, 2008

Puasa atau Puas aaa..(Siri 1)

Salam semua..

Lega sangat rasanya setelah tugas penting mengepalai kawad kemerdekaan Petronas Pahang selesai dengan jayanya semalam (berjaya la..mengikut perkiraan saya). Habis sahaja berkawad, saya terus bersiap-siap untuk meneruskan tugasan lain yang tak kurang pentingnya sebagai seorang suami dan ayah. Biarpun tiket untuk pulang ke Butterworth sudah habis sejak minggu lepas, saya nekad menuju ke terminal bas bersama harapan yang menggunung. "Perjalanan dengan niat yang baik akan berakhir dengan baik", kata-kata semangat yang kuat membisik di dalam hati . Alhamdulillah pada hari pertama Ramadhan tahun ini, saya sempat juga untuk bersama-sama dengan keluarga di Permatang Pauh.

Suasana di sini nampaknya kembali tenang, tiada lagi kelihatan poster pilihanraya kerana orang ramai sedang sibuk nak menyambut Ramadhan. Surau Taman Pauh Indah yang berhampiran rumah saya penuh sesak semalam, sepertimana biasalah pada awal Ramadhan. Ramailah jemaah baru yang bertamu ke surau dan akan cuba-cuba memberanikan diri mendengar tazkirah pada saban malam yang mendatang. Yer...perlu ada keberanian yang tinggi untuk menghadiri tazkirah kerana ada kala, isinya cukup tajam menikam. Baru jer nak jengukkan muka di surau dah dibelasah oleh penceramah jemputan...."korbau pun mampuihhh".


Saban tahun tazkirah diadakan dengan niat untuk mengajak jemaah semakin rapat ke surau, namun sesekali menjadi medan untuk meluahkan segala amarah terpendam terhadap parti pemerintah. Saya sendiri biarpun berkongsi perasaan yang sama, terasa juga betapa penceramah sebegini juga mungkin penyebab orang takut ke majlis ilmu. Alasan yang diberi oleh si penceramah mudah sangat bunyinya, "kotoran degil kena basuh dengan klorox, baru mudah tanggal". Seolahnya beliau lupa bagaimana Nabi dan para Sahabat berdakwah dahulu. Namun untuk bermuqobalah dengan penceramah sebegini bukan mudah, silap-silap kita dimunafiqkannya pula. Bagi sebahagian jemaah lagi, tazkirah sebegitulah yang dicari-cari..."Puasss aaa tazkirah macam ni, dia go straight no belok-belok", kata mereka. Ikut suka hang la Labu...

Semalam, saya hanya mampu bertarawikh di dalam bas...solat sambil duduk sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi s.a.w semasa bermusafir. Biarpun terasa kurang pula khusyuknya bersolat di atas bas, sekurang-kurangnya menjadi latihan buat saya yang masih mentah ini untuk meneruskan amalan sunat di dalam keadaan yang kurang sempurna. Doa saya semasa solat hanyalah satu...agar selamat di dalam perjalanan dan saya sekeluarga sentiasa mendapat pemeliharaanNya. Hakikatnya, bukan semua perjalanan atas niat yang baik berakhir dengan baik. Berita rampasan dua buah kapal MISC di perairan Teluk cukup mengharukan.

Marilah kita sama-sama doakan kesejahteraan anak-anak kapal tersebut agar mereka semua dibebaskan segera dan pulang ke tanah air dengan selamat...ameennn.
Selamat Berpuasa kepada semua sahabat Muslim....

No comments: