Saturday, September 27, 2008

Touching Video Clips on Road Accident

Salam to all...

I got nothing to comment on the video clips below but only to agree. And for myself, Insyallah by tonight at 8.15pm I shall be leaving Kuantan and going back home on an extra bus. Do wish me a safe journey and have a nice day to all my beloved readers. My last advise before leaving, emmmm please watch the clips and kindly share it with others as well...wassalam.
"Safety is for everybody, accidents is for nobody"






Hujan emas di negara orang..


Salam semua..

Baru sebentar telefon saya berdering menerima panggilan daripada seorang sahabat lama yang cukup diingati, Aris Arbai. Seronoknya dapat berbual kembali dengan sahabat ini kerana beliau sudah 14 bulan merantau ke Timur Tengah. Saya pada mulanya dahulu bagai tak percaya mendengar Aris terbang ke Saudi, mengenangkan betapa 'kepo'nye kawan saya yang seorang ni. Namun itulah yang dinamakan rezeki, tiada yang mustahil menurut kerja buat Allah. Alhamdulillah untuk sambutan raya tahun ini, beliau dibenarkan bercuti panjang oleh majikannya.

Aris adalah antara partner saya semasa di dalam ROTU. Partner dalam erti kata kategori yang masuk ROTU semata-mata nak tinggal di asrama. Kami sekadar layan je apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang, nak taksub lebih-lebih tu jangan haraplah. Namun mamat dari Johor ini sangat peramah dan sukar sekali nak marah kat orang. Setelah tamat belajar, saya sempat sekali berjumpa beliau di bandar Kuantan semasa saya masih berkhidmat dengan Pelabuhan Pulau Pinang. Aris yang saya kenali di unversiti, selepas grad dan yang baru bercakap di telefon kini masih sama perangainya....syukur.

Sebenarnya saya turut perhatikan perubahan sikap beberapa kengkawan lama setelah menyertai sektor Oil & Gas (OnG) ni. Terus-terang saya katakan, ada yang telah berubah dan saya rasa mereka juga mungkin tidak sedar perubahan itu berlaku. Sektor OnG ini selain daripada menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, turut memerlukan pekerja yang penuh dedikasi dan betul-betul profesional. Kemahiran teknikal mereka bakal tercabar dan cabaran ini mungkin sedikit sebanyak akan mengubah psikologi harian seseorang. Ada yang menjadi terlalu profesional dan hanya tumpukan kepada kerjaya. Ada juga yang menjadi terlalu self centered dan agak lupa asal usul. Hal ini bukanlah suatu yang pelik di kalangan orang minyak, biarpun majoritinya tidaklah begitu. Namun, hal ini hanyalah pendapat peribadi saya semata-mata yang baru 5 bulan menjadi orang minyak.

Pernah suatu hari saya hampir naik angin kerana ada seorang kenalan yang dengan tanpa segan silu mengutuk industri kereta negara. Hal ini berlaku semasa dia berbicara tentang polisi negara menyebabkan harga kereta import di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding di negara 'Mat Salleh' tempat beliau belajar dahulu. Secara tiba-tiba terpacul daripada mulutnya yang tak berfilter itu,"then they came out with the stupid Proton". Saya memerhatikan beliau atas bawah sambil berkata di dalam hati,"aku pun tak pakai Proton jugak, tapi tak dak la sampai nak sebut dengan bangganya perkataan STUPID tu". (Nasib baik jugalah saya sekarang dah sedikit pandai mengawal diri...kalu tidak maunye dipangkah teruk mamat yang lupa daratan ni). Saya terus beredar ke meja sebelah dan meninggalkan beliau berbicara mengikut seleranya.

Sebab itulah apabila dapat berbual dengan Aris sebentar tadi, saya rasa bersyukur kerana rakan saya ini masih tetap seperti dahulu. Aris yang penuh bersahaja, mesra dan berbangga menjadi rakyat Malaysia, biarpun beliau kini berkelana nun jauh di sana. Biarpun pendapatannya kini, emmmm tak payah nak ceritalah kat sini, biarpun tahap pekerjaannya sunggguh profesional, biarpun beliau ditimpa hujan emas di negara orang, beliau tetap Aris yang saya kenali dahulu. Kesempatan belajar di luar negara tidak sama keadaanya dengan kesempatan sebagai pekerja yer. Pelajar pergi ke sana dengan misi dan cabaran yang jauh berbeza dengan orang berkerja, terutamanya bagi yang telah bekeluarga. Namun masih ramai di kalangan profesional kita yang terbang ke sana dengan seribu harapan dan mereka bakal pulang dengan jutaan pengalaman nanti.

Sebab itu jugalah saya selitkan kisah sedih di gerai kuih pada posting lepas sekadar peringatan kepada diri sendiri dan semua pembaca agar sentiasa insaf dengan limpahan rezeki yang dinikmati kini. Tak kiralah samada kita dihujani emas, permata, batu cincin atau Zhulian sekalipun, janganlah dilupakan asal-usul. Dan jika asal usul kita juga sememangnya turut dilimpahi rezeki yang melimpah ruah, ingatlah pula masa depan di alam kubur. Harta tak bawa ke kubur, pangkat ditinggalkan, malaikat juga tak kenal yang mana manager yang mana satu cleaner. Semuanya sama di sisi Tuhan, melainkan mereka yang beriman dan bertaqwa. Emmm....harapnya sempatlah nanti berjumpa Aris sebelum beliau terbang kembali ke Saudi, banyak sangat benda yang nak ditanyakan nanti....sekian dahulu wassalam.

Friday, September 26, 2008

Kisah sedih di gerai kuih....

Gambar hiasan daripada Utusan Malaysia: Mat menyara 8 adiknya
Salam semua...

Hari ini saya sempat mengikuti majlis CEO Engagement di pejabat. Majlis begitu ceria dan penuh persembahan montaj daripada pelbagai jabatan termasuklah daripada jabatan kami di Health Safety and Environment (HSE). Hampir 2 jam majlis berlangsung yang dimulai dengan tazkirah ringkas daripada Uztaz Ahmad Syukri. Kisah saya ingin kongsikan di sini adalah daripada seorang rakan lain iaitu Pengurus Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Ir. Che Ujang Ibrahim. Beliau menyampaikan sebuah sajak yang menurutnya telah disimpan sejak 6 tahun lepas. Hari ini beliau sudi berkongsi sajak tersebut buat kali pertamanya di khalayak.

Sajak itu tidaklah begitu istimewa kerana sebagai seorang jurutera elektrik, Ir. Che Ujang seperti saya jua agak rabun seni. Namun kisah di sebalik sajak tersebut begitu menyentuh hati....saya dapati beberapa hadirin yang menitis air mata mendengarnya. Kisah ini berlaku pada 6 tahun lepas semasa beliau singgah di sebuah pasar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Terdapat 2 kanak-kanak lelaki yang berada di hadapan beliau dengan berpakaian comot namun terpancar cahaya keanakan pada wajah mereka. Kedengaran suara lembut si abang bertanya adiknya kuih yang ingin mereka beli sambil memegang sekeping wang RM1. Si adik berkata beliau teringin sangat nak menjamah nasi sebagai juadah berbuka, dengan wajah yang penuh harapan. Si abang membalas,"adik, abang cuma ada satu ringgit sahaja, tak boleh lah beli nasi. Kita makan kuih saja lah"..

Che Ujang dengan suara yang penuh sebak menambah,"mendengar perbualan anak-anak ini, saya teringatkan keadaan saya sendiri semasa kecil. Mungkin sahaja Allah Taala sengaja nak mengingatkan saya melalui anak-anak ini. Selepas daripada itu Che Ujang berhenti seketika sambil menahan nafas sebaknya dan suasana dewan sunyi sepi...Beliau menyambung, "bukan semua harta yang ada di tangan kita itu adalah untuk kita, sebahagiannya adalah untuk dibahagikan kepada mereka yang lebih memerlukan".

Setelah mendengar luahan hati beliau, saya termenung seketika sambil teringatkan sebuah hadith yang disampaikan pada tazkirah Ramadhan beberapa malam sudah. Ustaz menceritakan bahawa suatu hari Nabi s.a.w. telah berkata kepada para sahabat, "kamu semua terlalu sayangkan harta orang lain". Para Sahabat berasa pelik sambil menafikan pernyataan tersebut biarpun dua kali baginda mengulanginya, mereka lantas bertanya maksud baginda. Nabi s.a.w. menerangkan maksudnya ayat tersebut yang lebih kurang begini maknanya; kita sayangkan harta yang ada di tangan, sedangkan harta itu adalah harta orang lain. Apabila kita mati kelak harta itu akan sampai ke tangan orang. Harta kita yang sebenar adalah harta yang telah disedekahkan, pahalanya akan menemani kita sehinggalah ke akhirat kelak".

Saya tiada ulasan untuk posting ini, motifnya teramat terang lagi bersuluh. Sama-samlah kita hayati maksud hadith di atas dan kisah sedih di gerai kuih ini yer...wassalam.

Thursday, September 25, 2008

Amukan di malam akhir Ramadhan...


Salam Ramadhan buat semua...

Saya masih ingat peristiwa di suatu pagi pada 5 tahun lepas ketika masih lagi bergelar pengantin baru. Saya bersama adik bongsu mengejar sekumpulan Mat dan Minah Rempit yang tak beradap atau kurang ajaq kat orang Kedah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, dengan hanya berpelikat dan baju panas celoreng, saya mengamuk bagaikan orang gila...dan saya rasa saya dah sedikit tak siuman pada malam itu...

Saya marahkan mereka kerana pada malam Aidulfitri yang sepatutnya digunakan untuk memohon keampunan Ilahi, mereka buat race haram di jalan besar hadapan rumah saya di Taman Wira Mergong. Saya tak kisah sangat jika mereka nak buat 2-3 lap, namun bila bilangan lap sudah mencecah belasan....tanpa sedar tangan ini terus mencapai parang tumpul di hadapan rumah. Hampr 15 minit rasanya amukan saya berlangsung....dan parang tersebut sempat terbang pada salah seorang Mat Rempit yang angkat tayar betul-betul di hadapan muka saya. Syukur Alhamdulillah, umur saya dan Mat Rempit tersebut masih panjang....Namun terkejut beruk juga sebilangan jiran saya yang terjaga mendengar anak Makcik Ani mengamuk pada malam raya.

Malu juga sebenarnya nak bercerita kisah buruk peribadi kepada satu dunia...namun hakikatnya inilah saya suatu ketika dahulu. Syukur kerana saya juga beristerikan seorang yang sabar dan mampu menerima diri ini seadanya. Saya pernah sekali memberitahu isteri, "waktu training askar dulu lagi gila....sikit-sikit cam ni tak heran lah". Emmm memang angkuh bunyinya, namun seperti yang pernah saya kongsikan pada posting lepas, latihan ROTU ada kalanya tak masuk akal. Sedikit sebanyak saya terpengaruh dan sesekali mengamuk tanpa sedar. Tak boleh juga rasanya disalahkan latihan ROTU kerana mungkin juga memang saya jenis yang menyimpan rasa dan boleh meletup. Mungkin saya menjadikan latihan ROTU sebagai alasan untuk saya mengamuk....emmm apa-apa pun kini segalanya dah berubah yer.

Semua ini kisah lama....(biarpun baru 5 tahun lepas) kisah sebelum isteri saya mengandungkan Muhammad Nuruddin Al Fateh. Sejak 2 tahun sudah, baran saya telah mampu dikawal...Demi anak tersayang, saya telah berjaya menghakis penyakit baran ini sehingga ke tahap 0.1% . Demi sayangkan anak dan isteri juga, saya berazam sepenuh hati agar dapat menunjukkan tauladan terbaik kepada mereka...tiada lagi amukan Insyaallah. Malah kini, cara saya memandu kereta juga telah berubah, tiada lagi sumpah seranah apabila dipotong que.

Bukan senang sebenarnya untuk bersikap tenang kerana kesabaran kita akan sentiasa diuji. Ujian akan datang dalam pelbagai rupa, namun tindakan kita perlu sentiasa sama...rilex la brader. Mungkin juga isteri saya sendiri turut mengamalkan doa tertentu untuk menenangkan suaminya ini, entahlah...yang penting kesabaran itu tak merugikan. Nanti bila ada masa terluang boleh dikongsikan kisah berkisar bab kesabaran pulok....Insyaallah. Untuk malam ni, cukuplah dulu rasanya, dah panjang pula posting malam ni. Kepada semua rakan taulan, sahabat handai, ipar duai...saya ucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Syawal Mulia. Moga kita diberikan kesempatan untuk menghabiskan Ramdhan dengan sempurna dan memulakan Syawal dengan gembira....ameen.

Terima Kasih Jemaah Tabligh...


Salam semua...

Biarpun saya dikira gagal dalam percubaan memasukkan widget imeem dalam posting lepas, saya tetap bersyukur kerana dapat menyedari sesuatu. Saya tersedar tentang sesuatu yang telah lama saya lupakan. Saat saya mula rapat ke rumah Allah hampir 20 tahun yang lepas.... (dah tua rupanya bapak si fateh ni).

Saya mula beristqomah berulang alik ke masjid berpunca daripada dorongan oleh satu kumpulan iaitu Jemaah Tabligh. Semasa kecil, saya masih teringat betapa rumah kami sering diziarahi oleh sekumpulan pak lebai yang jernih sangat air mukanya. Pak-pak lebai ni tak lain tak bukan adalah Jemaah Tabligh yang mulai aktif berdakwah pada awal tahun 80an dahulu. Biarpun arwah saya bukanlah pengikut mereka, namun setiap ziarah ke rumah tetap dilayan dengan baik dan sesekali ayah turut serta ke surau menjengok program yang mereka lakukan. Namun ketika itu saya belum pun mencecah usia aqil baligh. Segalanya berubah setelah saya berpeluang masuk ke SMKA untuk pendidikan menegah.

Semasa mula menjejakkan kaki ke SMKA sewaktu di tingkatan satu dahulu tahap kejahilan saya berbanding pelajar lain teramatlah tinggi. Pelajar SMKA lebih ramai yang berasal daripada kawasan pendalaman dan mereka mempunyai pengetahuan agama yang boleh dikatakan tahap superb...Saya dan sebilangan kengkawan yang datang dari pekan Alor Setar pula 'tercengang beruk' bila kali pertama perkataan Qiamullail disebut ustaz. Namun dek kerana dah 'termasuk' ke SMKA, kami semua layannn jerr...

Perkara ini berlarutan sehingglah saya berada di tingkatan dua dan berkesempatan mendengar tazkirah daripada salah seorang guru Matematik yang bernama Cikgu Rahim. Cikgu Rahim sebenarnya adalah otai Jemaah Tabligh di Kedah, semua orang Tabligh kenai dia. Kami menggelarnya Professor Serba Tau (PST), kerana janggut panjangnya yang sebijik ala-ala PST di dalam majalah Gila-Gila. Namun setelah beberapa kali mendengar tazkirah (orang Tabligh namakannya Bayan) yang disampaikan beliau, saya terdetik untuk mula berjemaah ke masjid semasa di rumah.

Sejak itulah saya mula berjinak-jinak dengan masjid dan berpeluang pula mengikuti pelbagai majlis ilmu tidak formal yang mengatasi silibus pelajaran agama di SMKA. Bukanlah niat untuk memperkecilkan silibus di SMKA, ketika itu SMKA masih di tahap percubaan dan kurang mendapat tempat di kalangan ibu bapa. Pada masa itu juga bukan semua pelajar SMKA yang ada asas agama secukupnya. Ada seorang kawan saya sampai ke sudah masih tak mampu menyebut perkataan 'Al lughatul Arobiyyah' dan akhirnya terpaksa bertukar sekolah sebelum menduduki peperiksaan SRP.

Saya menyedari betapa Jemaah Tabligh lah yang telah menghubungkan nur hidayah kepada insan kerdil ini. Sehingga kini, saya amat menghormati Jemaah Tabligh biarpun tidak terlibat sebagai ahli. Berdesing telinga ini apabila sesekali mendengar kata-kata sumbang daripada mulut sesetengah para pendakwah yang memandang sinis aktiviti mereka. Bagi saya, ambil sahaja yang positif daripada aktiviti mereka, jangan nak borong semuanya tak relevan, tak ada dalil dan pelbagai alasan lain. Tak perlulah pula kita nak menjadi jaguh mengaudit tiap kesalahan yang kita sendiri tak begitu pasti isunya. Emmm....dah terpanjang la pulak posting pagi ini, harapnya adalah yang sudi membacanya sehingga ke huruf terakhir. Sekian dulu untuk kali ni tuan-tuan yang mulia, mudah-mudahan apa yang baik dapat kita sampaikan pada rakan-rakan yang tiada di sini...Insya Allah. Wasslamualaikum.

Wednesday, September 24, 2008

Saya Anak Malaysia...

Salam Semua....

Minggu ni saya agak kering idea untuk mengarang, mungkin mood nak beraya sudah mari..biarpun sepatutnya mood Lailatul Qadar yang dicari. Apa-apa pun niat nak berkongsi cerita di abu-alfateh masih membara.

Posting kali ni saya nak mencuba masukkan lagu tanpa klip You Tube, biarpun dah ramai blogger yang mahir bab ni, saya baru nak cuba try test tengok... (update : Syukur...dengan bantuan bro Tawel, impianku tercapai) kalu menjadi ekperimen hari ni, abu-alfateh bakal bergegar....Namun untuk posting hari ni, saya tujukan sebuah lagu daripada Dr Sam bertajuk Saya Anak Malaysia. Lagu yang ditujukan khas buat teman-teman dimana jua anda berada. Selamat bersiaran.....

Saya Anak Malaysia - Dr. Sam



p.s : Sejak kecil lagi saya dah minat lagu ni, sungguh tak ku sangka masa belajor kat Toronto (Tronoh la tu) sempat pula berjumpa Dr Sam kat tangga School EE. Dia dah jadi orang kuat Jemaah Tabligh dan ke sana untuk berjumpa kawan sejemaah (School EE adalah pusat jemaah Tabligh di Tronoh)

Wednesday, September 17, 2008

Puasa Atau Puas aaa...(Siri 3)


Salam Ramadhan buat semua...

Sedar tak sedar, kita kian menghampiri fasa terakhir Ramadhan. Fasa yang dijanjikan balasan pembebasan daripada api neraka kepada umat Islam yang berpuasa. Sungguhpun demikian, hanya Allah yang lebih mengetahui ganjaran sebenar untuk puasa yang dilakukan hambaNya. Syukur kehadratNya kerana tidak memberi ganjaran secara tunai misalnyaRM1000 kepada setiap orang yang berpuasa....bikin ribut nanti. Kalu anda tak percaya, sila baca artikel ini. Jangankan untuk RM1000, untuk beberapa ringgit sahaja manusia sanggup bermatian.


Jika orang miskin bermatian berebutkan sedikit harta , orang kaya pula berebutkan populariti, jawatan, politik, harta benda dan segala mak nenek yang berkaitan dengannya. Maka puasa mengajar kita untuk berlapang dada dan bertenang terutamanya pada saat genting dan kritikal. Apalah sangat nak yang direbut-rebut, dikalut-kalut dan dijaja-jaja sampai satu dunia kecoh dibuatnya. Mungkin bagi pihak yang berebut akan berasa puas apabila cita-citanya menjadi kenyataan setelah sekian lama menanti dengan penuh harapan. Cumanya, Lailatulqadar yang dipenuhi jutaan rahmat dan hanya muncul di malam Ramadhan ni tak ramai pula orang nak berebut yer. Ikut suka hampa lah, dari sibuk fikirkan soal perebutan....lebih baik aku betulkan puasa aku nie. Wallahua'lam, wassalam.

Tuesday, September 16, 2008

Adakah Semua Syaitan Dirantai...?

Salam semua...

Saya mulakan posting dengan petikan sebuah hadith daripada baginda yang bermaksud :

“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai para syaitan.” (al-Bukhari dan Muslim)


Saya bukanlah alim ulamak nak mengupas hadith
tersebut, namun suatu ketika dulu saya tercari-cari maksud sebenar hadith ini. Terdapat banyak kupasan ulamak berhubung ayat dirantai ini, ada yang menafsirkan perkataan dirantai itu dengan dibelenggu. Maka ayat dibelenggu hanyalah menyatakan keadaan kepayahan bukannya terhalang secara mutlak. Ada juga pendapat yang mengatakan biarpun syaitan itu dirantai, ia masih boleh bertindak dengan membandingkan seekor anjing yang dirantai. Biarpun anjaing dirantai, ia masih boleh menyalak dan berkejar-kejar dalam lingkungan rantaiannya. Perbahasan beberapa tokoh ulamak boleh didapati di sini sebagai panduan dan sedikit pencerahan.


Namun sebenarnya saya teringatkan hadith ini setelah membaca beberapa kes histeria yang masih belum reda di kawasan Pantai Timur ini biarpun di bulan Ramadhan. Kes yang kini telah menggamit tenaga warga kampus untuk mengkaji lebih lanjut sebab musababnya berlaku terutamanya kepada umat Islam semta-mata. Saya pernah sekali dipanggil untuk menenangkan seorang pekerja kilang yang disampuk jin suatu ketika dahulu. Keadannya agak menggerunkan, dan saya berdoa agak Allah tidak menjadikan saya sebagai salah seorang ghost buster di muka bumi ini. Cukuplah sekali tu...seminggu juga lamanya saya nak melepas diri daripada gangguan lain yang muncul sejak berlakunya kes pertama.


Pengalaman diganggu jin di bulan Ramadhan sebenarnya masih kuat melekat di fikiran saya. Kejadian yang berlaku semasa di STAR Ipoh, ketika menjadi pelajar Matrikulasi USM. Sejak kes itu (yang tak perlu rasanya diceritakan di sini) saya yakin bahawa sememangnya tak semua jin yang dirantai semasa Ramadhan. Maka sewajarnya kita sentiasa beringat-ingat dan menuruti ajaran Islam untuk mengelakkan gangguan samada jin, binatang buas, hasad manusia, penyakit Ain, khianat dan sebagainya. Senjata kita sebagaimana yang disarankan oleh junjungan Nabi s.a.w. hanyalah dengan berdoa dan meminta pertolongan Ilahi. Nak tahu doanya? Emmm, rajin-rajinlah bertanya pada ustaz yer...saya dah lambat nak ke majlis berbuka ni, sekian wassalam.

Monday, September 15, 2008

Menanti Hasil Doktrin TV Nasional...


Semakin lama diperantauan saya semakin kurang menonton TV, mungkin kerana pengaruh Ramadhan atau mungkin dah takdak apa yang nak ditonton. Buka jer siaran semuanya cerita hantu, seram, dukun, pawang, saka, susuk, misteri dan segala yang berkait dengannya. Sekarang ni stesen TV di Malaysia seolahnya dirasuk hantu. Entahlah, mungkin itu jer bentuk rancangan yang mudah diterima oleh masyarakat Malaysia...atau semua pengarah nak menceduk idea David Teo bikin filem.

Sedang kita kecoh mencari penawar kejadian misteri di Tanjung Lumpur, stesen TV pula berperang buat cerita alam misteri. Daripada majalah, komik, novel, stesen radio, panggung wayang hinggalah ke stesen TV, masing-masing berebut nak pastikan cerita merekalah yang paling berpuaka. Saya ternanti-nanti juga apa agaknya respon dari pak Menteri, emmm takkan nak kena tunggu selepas 16 September lah kut (esok jer pon).


Namun berita kewujudan satu doktrin baru yang diwujudkan untuk mengawal kegiatan seni ini sedikit melegakan. Mungkinlah selepas ini ada satu hala tuju yang ditunjukkan oleh stesen TV tempatan? Entahlah....sekurang-kurangnya doktrin dah ada, cuma nak cari doktornya pula....bak kata si Nabil," Lu fikirlah sendiri......" sekian wassalam.

Harga Tiket Naik, Alhamdulillah.....

Salam semua....

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya membeli tiket untuk balik raya buat kali pertama di perantauan ni (setelah bekerja)...biarpun harganya sedikit 'up' namun bagi saya ia berbaloi. Berbaloi kerana tak perlu berkongsi kereta sambil bertarung nyawa memandu ke Butterworth. Entahlah, kebiasaannya saya cuma boleh bertahan paling kuat pun 3 jam sahaja sebelum mata mula layu bak si mata ikan puyu ketika memnadu. Untuk perjalanan jarak jauh sebegini, saya perlukan ihsan si abang dreba.

Dek kerana lambat mendapat pelepasan cuti, saya boleh berselamba rock ketika kaunter khas tiket raya mula dibuka. Namun baru sehari kaunter dibuka, tiket ke Utara terus habis dipasaran bagaikan ayam golek panas. Ketika itu, termenung jugalah sekejap memikirkan strategi nak balik beraya. Mengimbas kembali kenangan semasa menuntut di Tronoh dulu, masalah sebegini tak pernah timbul langsung. Sesiapa yang nak balik beraya, jauh mana sekalipun tak menjadi masalah. Semuanya setel semudah ABC, naik kapcai jer beramai-ramai...hujan panas, ribut petir, kilat menyambung tak pernah menghalang program kami. Malah terdapat juga sebahagian kengkawan yang berkapcai sedari Skudai. Bila umur dah kian lanjut, tulang yang yang mula mereput, muka dah mula berkedut...jangankan berkapcai, nak berkereta pun terkemut-kemut.

Kini dengan tiket dah tersemat di dalam dompet, bahkan dengan harga yang bagi saya amat berpatutan berbanding yang dijual oleh sang ulat. Tambahan pula tiket sang ulat berubah-ubah waktunya, dan mungkin bas yang ditunggu tak kunjung tiba. Dibandingkan pula dengan kos flight tambang murah yang tersedia, hampir sepertiga sahaja kosnya. Saya berpendapat, kenaikan harga tambang secara sah ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah agihan tiket semasa musim perayaan. Harga yang ditawarkan kini lebih realistik, dan bersifat menang-menang untuk kedua-dua pihak. Jika ada pengguna yang membebel berhubung perkara ini, saya teramat yakin mereka hanyalah pengguna bermusim yang setahun sekali balik kampung. Bagi pengguna yang hampir setiap minggu berkunjung ke terminal bas ekspress seperti saya, bebelan tersebut mengarut. Anda tak percaya? Percayalah.....

Wednesday, September 10, 2008

Puasa Atau Puas aaa...(Siri 2)


Salam semua...

Semalam saya sempat mengikuti tazkirah Ramadhan yang agak menarik juga isinya untuk dikongsi bersama. Penceramah menceritakan hikmah di sebalik berpuasa yang jarrang sekali disentuh sebelum ini, atau mungkin saya sendiri yang tak terjumpa kot....Kata beliau, "dengan berpuasa, kita sebenarnya bersedia untuk lebih giat beribadat di sebelah malam. Perut yang lapar akan lebih mudah beribadat. Namun, kita pula terlebih makan pula ketika berbuka, ibadat pun entah ke mana". Emmm...termenung sendirian saya mendengar nasihat penceramah, seolahnya tepat kena batang hidung sendiri. Jauh sangat bezanya amalan berbuka yang dipraktikkan selama ini, lebih kepada melantak dan bersedia untuk terlentar. Melantak sampai habis semua juadah yang tersedia, terlentar bila nak solat Taraweh. Korbou pun mampuih....aduihhh.

Sunday, September 7, 2008

Mengapa Kau Termenung...

Salam buat semua..

Biarpun Ramadhan baru 6 hari berlalu, orang ramai telah mula sibuk dengan persiapan raya, saya juga tidak ketinggalan. Persiapan saya yang utama hanyalah satu, tiket bas....yang telah habis dijual sejak minggu lepas. Apa kan daya, sedari dulu saya jenis yang tak pernah ambil pusing urusan cuti sebab dah terbiasa mudah. Kali ni padan muka saya...termenunglah sekejap mencari ilham untuk pulang berhari raya. Muktamadnya, saya kini sedang giat mencari teman-teman sekapai untuk berkongsi kereta ke Butterworth menjelang Syawal ini.

Biarpun ada yang sedikit sinis dengan istilah agak berada yang telah saya suarakan pada posting lepas, saya tidaklah berkecil hati. Manusia tak akan paham semua benda yang kita cuba sampaikan namun kita pula sebolehnya perlu mengelakkan diri daripada disalah erti. Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih berpijak di daratan dan berdoa agar ia kekal selamanya. Kesusahan lampau semasa kecil, keperitan menjadi siswazah ketika ekonomi gawat dan kepayahan memulakan kerjaya sebagai usahawan kecil dahulu tetap segar di ingatan. Sesekali kisah lampau ini akan dikongsikan dengan isteri hanya semata-mata untuk mengingatkan diri agar tidak lupa asal usul. Tidak perlulah dipanjangkan perbincangan sebegini memandangkan isu 'orang minyak' rupanya masih belum terpadam sepenuhnya.

Kepada pembaca yang mungkin menyedari sedikit perubahan kepada laman abu-fateh, diminta agar janganlah cepat melatah. Silalah baca beberapa posting sebelumnya yang sedikit menceritakan kenapa perubahan ini berlaku..semuanya berkaitan. Demi agar tidak disalah erti, saya sertakan di sini satu posting daripada laman Saifulislam sebagai iktibar buat semua terutamanya diri yang serba dhoif ini, Insya Allah...wassalam.


Monday, September 1, 2008

Puasa atau Puas aaa..(Siri 1)

Salam semua..

Lega sangat rasanya setelah tugas penting mengepalai kawad kemerdekaan Petronas Pahang selesai dengan jayanya semalam (berjaya la..mengikut perkiraan saya). Habis sahaja berkawad, saya terus bersiap-siap untuk meneruskan tugasan lain yang tak kurang pentingnya sebagai seorang suami dan ayah. Biarpun tiket untuk pulang ke Butterworth sudah habis sejak minggu lepas, saya nekad menuju ke terminal bas bersama harapan yang menggunung. "Perjalanan dengan niat yang baik akan berakhir dengan baik", kata-kata semangat yang kuat membisik di dalam hati . Alhamdulillah pada hari pertama Ramadhan tahun ini, saya sempat juga untuk bersama-sama dengan keluarga di Permatang Pauh.

Suasana di sini nampaknya kembali tenang, tiada lagi kelihatan poster pilihanraya kerana orang ramai sedang sibuk nak menyambut Ramadhan. Surau Taman Pauh Indah yang berhampiran rumah saya penuh sesak semalam, sepertimana biasalah pada awal Ramadhan. Ramailah jemaah baru yang bertamu ke surau dan akan cuba-cuba memberanikan diri mendengar tazkirah pada saban malam yang mendatang. Yer...perlu ada keberanian yang tinggi untuk menghadiri tazkirah kerana ada kala, isinya cukup tajam menikam. Baru jer nak jengukkan muka di surau dah dibelasah oleh penceramah jemputan...."korbau pun mampuihhh".


Saban tahun tazkirah diadakan dengan niat untuk mengajak jemaah semakin rapat ke surau, namun sesekali menjadi medan untuk meluahkan segala amarah terpendam terhadap parti pemerintah. Saya sendiri biarpun berkongsi perasaan yang sama, terasa juga betapa penceramah sebegini juga mungkin penyebab orang takut ke majlis ilmu. Alasan yang diberi oleh si penceramah mudah sangat bunyinya, "kotoran degil kena basuh dengan klorox, baru mudah tanggal". Seolahnya beliau lupa bagaimana Nabi dan para Sahabat berdakwah dahulu. Namun untuk bermuqobalah dengan penceramah sebegini bukan mudah, silap-silap kita dimunafiqkannya pula. Bagi sebahagian jemaah lagi, tazkirah sebegitulah yang dicari-cari..."Puasss aaa tazkirah macam ni, dia go straight no belok-belok", kata mereka. Ikut suka hang la Labu...

Semalam, saya hanya mampu bertarawikh di dalam bas...solat sambil duduk sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi s.a.w semasa bermusafir. Biarpun terasa kurang pula khusyuknya bersolat di atas bas, sekurang-kurangnya menjadi latihan buat saya yang masih mentah ini untuk meneruskan amalan sunat di dalam keadaan yang kurang sempurna. Doa saya semasa solat hanyalah satu...agar selamat di dalam perjalanan dan saya sekeluarga sentiasa mendapat pemeliharaanNya. Hakikatnya, bukan semua perjalanan atas niat yang baik berakhir dengan baik. Berita rampasan dua buah kapal MISC di perairan Teluk cukup mengharukan.

Marilah kita sama-sama doakan kesejahteraan anak-anak kapal tersebut agar mereka semua dibebaskan segera dan pulang ke tanah air dengan selamat...ameennn.
Selamat Berpuasa kepada semua sahabat Muslim....