Monday, December 29, 2008

Hijrah ke Makan Angin...



Salam Hijrah buat semua..

Dah hampir 3 minggu blog ini sepi tanpa sebarang posting dek kerana penangan 'hijrah' ke bandar Pekan. Hari ini dengan penuh semangat saya cuba membelek blog dengan harapan untuk menghasilkan satu posting cerita lawan perang (PALAPES) . Namun hajat tak kesampaian lagi, cerita PALAPES terpaksa ditangguhkan buat sekian kalinya. Tak kena pulak rasanya saya nak berseronok suka dengan kisah silam di saat saudara seagama di Palestin gugur syahid angkara bom tentera Yahudi.

Saat duka buat umaat Islam di saat menyambut tahun baru Hijrah 1430, dan ia pastinya ini bukanlah duka yang terakhir. Seperti yang dijangka (oleh pengkaji Teori Konspirasi), Yahudi bakal memulakan beberapa siri peperangan baru setelah India meletup. Sasaran yang paling mudah...tak lain tak bukan negara Palestin. Selepas ini kita bakal melihat penglibatan negara uncle sam sebagai polis tak rasmi dunia dengan Presiden barunya .

Entah bila semua ini akan berubah, berubah dengan semangat 'hijrah'. Mungkin sahaja majoriti umat Islam lebih suka 'makan angin' daripada berhijrah...Tambahan pula dengan kempen pilihanraya kecil bakal bermula, angin yang dimakan pastinya tambah berkepul-kepul. Berhijah adalah ibadah, dan hijrah juga adalah sunnah...Samada kita sedar atau tidak, kita juga sedang berhijrah ke pengakhir umur dunia ini. Semakin hampir kita dengan umur dunia, semakin gawat jadinya. Bagi mereka yang masih makan angin inilah masanya untuk berhenti sejenak dan pikirkan sendiri, "bila lagi aku nak berhijrah?". Sekian dahulu, moga kita diberkati Allah hendaknya, ameen.....wassalam.

Monday, December 15, 2008

Berehat setelah Berpenat....


Salam semua...

Terlebih dahulu saya memohon ampun dan maaf kerana dah tak terdaya nak kemaskini blog dalam masa terdekat. Buat masa ini, saya begitu sibuk dengan pelbagai program (di pejabat dan peribadi) termasuklah yang terkini memindahkan barang rumah ke Pekan, Pahang. Namun Alhamdulillah, semuanya selamat dipindahkan semalam. Dengan tenaga yang berbaki...saya dan beberapa ahli keluarga masih sempat mengecat rumah sewa kami di Taman Mentiga, Pekan. Semalam juga kami sempat menjamah murtabak istimewa hidangan khas dari Pekan, iaitu Murtabak Mengkasar. Kesedapan yang tak boleh nak diceritakan di blog....kena cuba sendiri, pasti nak lagi.


Jika anda belum pernah mendengarnya, emmm sila buka link berikut. Pesanan akhir dari saya sekeluarga, jemputlah berkunjung ke Pekan yer. Nanti kita boleh balun Murtabak Mengkasar bersama-sama.....wassalam.

Monday, December 8, 2008

Ibadah Haji, Raya Haji atau Pak Aji....


Salam semua...

Saya menulis posting ini dengan fikiran yang masih kelabu, memikirkan sebab musabab betapa bongkaknya segelintir manusia di hari ini. Mungkin kerana mereka ini merasakan telah terlalu 'cerdik' dan ingin berkongsi 'kecerdikan' tersebut menerusi laman blog. Mungkin juga mereka ini mempunyai 'muslihat sulit', yang mana mungkin untuk kita fikirkan melainkan Allah jua yang tahu sebabnya. Buat pembaca budiman yang masih kelabu asap dengan ngomelan ini, sila layari laman berikut untuk mengetahui selanjutnya.

Pelik juga memikirkan motif sebenar seorang bukan Islam yang mengkritik secara terbuka amalan utama Islam di sebuah negara yang majortinya beragama Islam. Lebih pelik memikirkan jika mamat ini akan terlepas begitu sahaja kerana kita masih sibuk dengan bicara bab naik turun harga minyak vs harga barang (betul jugak kata si Sebol ni). Paling pelik bin ajaib andai kata beliau terlepas begitu sahaja kerana 'majorti' kita lebih peka dengan pertandingan Sehati Berdansa daripada soal maruah agama. Namun tidaklah pelik andai kata beliau ini mempunyai niat jahat yang terancang....apa niat dan rancangannnya, wallahua'lam.

Kepada pembaca bukan Islam yang mengikuti abu-alfateh, sudi-sudikanlah untuk mencari makna di sebalik Ibadah Haji yang merupakan salah satu daripada rukun Islam. Janganlah di sebabkan emosi atau khabaran orang semata, kita bertindak melulu dan menulis tanpa berlandaskan fakta dan akal. Janganlah kita terlalu terbawa-bawa dengan istilah kebebasan bersuara sehingga sanggup melukakan hati mereka yang tidak berdosa. Kepada pembaca Islam pula, marilah kita semua mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Pasti ada hikmahnya (atau muslihatnya), namun ia berlaku di saat kita sedang meraikan Hari Raya Haji. Cukup-cukuplah kita sekadar menjadi Pak Aji dam....yang kerjanya sekadar 'mengabehkan boreh' di kedai kopi sahaja. Berikhtiarlah agar hidup ini lebih memberi erti selain daripada makan, tidur, berak dan beranak (ampun dan maaf dipinta andai terkasar bahasa).......sekian wassalam.

Tuesday, December 2, 2008

Mumbai oh Mumbai....

Salam semua...

Di saat ramai sedang menunggu negara Islam mana yang bakal diserang oleh Amerika dan sekutunya, Mumbai pula yang tetiba meletup. Anehnya sebuah kumpulan yang kurang dikenali, atau lebih tepatnya...tak terkenal langsung pula mengaku bertanggungjawab. Secara tetiba juga nama Deccan Mujahideen meletup di serata pelusuk dunia, sebagaimana meletupnya nama Al Qaeda selepas peristiwa 911. Biarpun toeri konspirasi Al Qaeda dan kaitannya dengan peristiwa pengeboman di sana sini telah menjadi berita lapuk, namun kesinambungan cerita dongeng ini nampaknya tiada penghujung. Sentiasa sahaja muncul suatu kumpulan militan Muslim yang mengku bertanggungjawab terhadap sesuatu peristiwa berdarah di dunia hari ini. Islam dan Muslim boleh dikatakan agak serasi dengan kejadian pengeboman dan pengganas.

Mungkin juga "apa ke jadahnya" (yang dipopularkan oleh rancangan Edisi Siasat) adalah ayat yang paling tepat untuk mengungkap peraasan tersirat di hati ini. Saya bagaikan dah terbayang-bayang wajah dalang sebenar di sebalik peristiwa berdarah yang berlaku di Mumbai. Biarpun dah penat melayan Teori Konspirasi ini, namun saya bersyukur kerana telah diketemukan (secara maya) dengan Dr Zakir Naik, seorang mubaligh terkenal dari India. Bagi pembaca yang ingin mencari sedikit pencerahan berhubung perbandingan agama dan soalan panas tentang Islam, sudi-sudikanlah menonton beberapa klip video di bawah ini yang memaparkan siri ceramah beliau. Selamat bersiaran dan Wassalam.





Saturday, November 22, 2008

Saat Manis Bersama....Izra'il

Salam semua...


Hari ini saya sempat mengikuti Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Badan Kebajikan Islam Petronas (BAKAIP) di Masjid Balok Makmur. Kursus disampaikan oleh Pegawai Agama Kor Angkatan Tentera (KAGAT) iaitu Ustaz Arizal yang turut berasal dari negeri Jelapang Padi. Seharian kami belajar secara teori dan praktikal cara-cara mengendalikan mayat daripada sebelum meninggal sehinggalah ke tanah kubur. Rasa insaf dan terharu membuak-buak apabila ustaz bercerita beberapa pengalaman beliau mengendalikan mayat. Insaf memikirkan keadaan diri sendiri bila roh sudah meninggalkan jasad ini dan terharu pula mengenangkan jasa besar para pengurus jenazah. Bukan semua jenazah mudah untuk dikebumikan, dan bukan semua orang dapat mengendalikannya dengan baik. Pengurusan jenazah bukanlah suatu profesyen idaman, malah sangat berisiko tinggi terutamanya dengan perubahan sosial umat Islam kini(anda bisa dijangkiti penyakit seumpama AIDS jika tidak berhati-hati). Sungguhpun demikian, ustaz sentiasa mengingatkan kami semua dengan satu ungkapan hikmat iaitu "jangan panik".

Alhamdulillah, rasanya mulai hari ini saya sudah bersedia dan tidak lagi panik (gabra) untuk mengendalikan jenazah andai khidmat ini diperlukan. Kepada semua pembaca, sudi-sudikanlah mengikuti kursus seumpama ini sebagai persedian awal. Manalah tahu sedang kita berseronok suka, Malaikat Izra'il pula yang hadir bersama. Sebagai penutup, saya sertakan klip video di bawah ini untuk dijadikan iktibar dan renungan bersama. Selamat menonton dan Wassalamualaikum...



Friday, November 21, 2008

Lagi-lagi Dajjal...


Salam semua...

Dah lama saya tak mengikuti perihal Teori Konspirasi tentang Dajjal. Namun sejak ekonomi dunia jatuh merudum, saya sedikit obsess mencari rahsia di sebalik keajiaban yang berlaku secara tiba-tiba ini. Akhirnya saya ditemukan dengan Teori Konspirasi yang pada asalnya diwar-warkan oleh penganalisis barat. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan Anti Sematik, ataupun anti Yahudi. Banyak juga fakta bersifat 'underground' dikemukan oleh kumpulan ini yang boleh dikatakan logik malah selari dengan situasi sebenar dunia hari ini. Secara peribadi, saya memilih untuk berhati-hati di dalam menerima fakta yang dikemukakan mereka kerana 'mustahil' keseluruhannya adalah benar.....

Saya syorkan setiap pembaca melawat blog ini dan sila buat kesimpulan sendiri. Pengalaman bersahabat dengan orang anggota pasukan keselamatan membolehkan saya mengetahui sedikit sebanyak pergolakan di dalam negara termasuklah perihal antarabangsa. Apabila fakta ini cuba dibandingkan dengan maklumat yang saya perolehi daripada internet, tak tidur malam juga dibuatnya. Cukuplah sekadar saya katakan kita tak perlu mengetahuinya secara mendalam. Lagi banyak yang kita tahu, lagi gerun jadinya. Kalu tahu sekalipun, tak membawa sebarang makna jika hanya digunakan sekadar untuk berbual kosong.

Namun seperti yang telah dijanjikan Allah kepada semua orang beriman, doa adalah senjata utama kita. Biarlah sehebat manapun teknologi, rangkaian hubungan, muslihat dan perencanaan yang dimiliki musuh (Dajjal dan sekutunya), mereka hanyalah makhluk Allah semata-mata. Apa sangatlah hebatnya makhluk ini berbanding Penciptanya sendiri. Biarpun perencanaan mereka sentiasa bergerak aktif di seluruh dunia, mereka hanya mampu merancang. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersedia sewajarnya menghadapi situasi ini selain memohon bantuan daripada yang Esa. Saya masih ingat pesan ustaz perihal maksud sebuah Hadith yang dipelajari semasa di sekolah dahulu, "Kalau seluruh penduduk dunia berhimpun untuk menyakitimu namun Allah tidak izinkan, maka tidaklah kamu akan disakiti sedikit pun. Kalau seluruh penduduk dunia berhimpun untuk menolong kamu tanpa keizinan Allah, maka tiada siapa jua yang boleh menolongmu".

Saya sudahi posting ini dengan seruan agar kita semua bersama-sama mendoakan keselamatan diri sendiri dan keluarga daripada fitnah Dajjal. Silalah berjumpa dengan mereka yang lebih alim dan fakih untuk mendapatkan doanya itu. Paling tidak pun, sila layari blog yang saya cadangkan di atas kerana terlalu sukar buat saya untuk meringkaskan kesemua maklumat di dalam satu posting. Malah laman blog tersebut juga menyediakan beberapa amalan khusus yang dianjurkan baginda Nabi s.a.w. untuk menghalang fitnah Dajjal laktullah ini. Sekian dahulu buat hujung minggu ini, wassalam.

Monday, November 17, 2008

Antichrist a.k.a. Dajjal ...

Salam semua....


Bagi mana-mana anak Kedah tulen, perkataan 'dajei' bukanlah sesuatu yang asing keluar dari mulut rakyat kebanyakan termasuklah saya sendiri. Kalau dah terlalu marahkan sesuatu, maka itulah antara perkataan paling sedap dilepaskan secara percuma. Namun untuk menyebut perkataan 'dajjal' saya akan berfikir 10x....

Mungkin salah satu sebabnya, kerana sejak kecil saya telah dipesan agar tidak berulang-ulang kali menyebut nama tersebut. Kata orang tua-tua, jika kita berulang-ulang menyebut nama dajjal maka ia akan makin membesar dan akan menguasai dunia. Biarpun saya tak begitu jelas perihal kisah 'dajjal' yang merupakan petanda besar hampirnya Kiamat, doa mengelakkan fitnahnya masih tetap diamalkan. Malah saya juga pernah terbaca suatu buku karangan Dr Muhammad Isa Dawwud yang mendakwa dajjal ini bakal muncul di Bermuda Triangle dan kitannya dengan fenomena UFO. Sejauh mana kebenarannya fakta dan dakwaan buku ini, hanya Allah yang lebih mengetahui...Sila klik laman berikut untuk pembacaan lanjut teori moden berkenaan makhluk laknatullah ini. .

Sehinggalah minggu lepas setelah terjumpa secara tidak sengaja perkataan Antichrist , saya baru terperasan bahawa ia juga sebenarnya merujuk kepada makhluk dajjal ini. Pertama kali saya mendengar perkataan antichrist ini adalah semasa di Matrikulasi USM dahulu. Sesekali melayan lagu berirama underground ada di antaranya yang mempunyai lirik sebegini. Dengan berlambangkan salib terbalik, sangkaan saya antichrist adalah fahaman golongan yang anti agama khususnya agama Kristian. Rupanya sangkaan saya meleset jauh beribu batu. Terkini, banyak kedapatan klip video di YouTube yang menceritakan perihal antichrist dan Illuminati biarpun kesahihan faktanya tak perlu diterima bulat-bulat.

Namun saya nasihatkan bawa-bawahlah belajar kepada ustaz dan orang alim untuk mengetahui dengan terang dan jelas. Sekarang ni, macam-macam ilmu songsang dah wujud kat dunia. Kalu sekadar tengok video YouTube pun kita dah gelabah, kena lah periksa diri kut-kut ada yang bermasalah. Pesan akhir buat semua pembaca dan diri ini, kalau takutkan fitnah dajjal, janganlah berperangai seperti dajei....(Kerana hanya orang beriman sahaja yang dapat membezakan di antara fitnah dajjal atau sebaliknya). Sekian wassalam.


Wednesday, November 12, 2008

Apo nak di kato?.....

Salam semua...

Pernah suatu malam saya ke surau untuk mengikuti satu ceramah motivasi remaja yang disampaikan oleh seorang "ustaz cyber" yang agak terkenal di kawasan Seberang Perai. Biarpun saya pernah mendengar sedikit cerita tak berapa elok tentang cikgu Sains yang dah bergelar ustaz ini sebelumnya, saya kuatkan diri untuk mengikuti ceramah motivasi beliau.

Pada mulanya ceramah berjalan lancar apabila ustaz bercerita kisah seorang pemuda yang sanggup meninggalkan ilmu sihir yang dipelajarinya dengan pembiayaan pihak istana demi cahaya keimanan. Pemuda ini akhirnya mati dibunuh atas arahan sang Raja lantas hal ini menjadi sebab kepada berimannya sekian ramai penduduk negeri tersebut. Kisah ini adalah petikan daripada surah Al-Buruj yang berjaya disampaikan dengan penuh emosi oleh beliau. Namun babak kedua ceramah penuh caca merba......

Beliau mula menunjukkan klip video yang entah apa-apa, termasuklah daripada rancangan Seekers versi Indonesia. Saya seolahnya sedang menonton sebuah filem seram di surau tersebut dan keadaan makin bercelaru apabila beberapa rakaman suara-suara yang kununnya daripada alam kubur (yang dirakam secara tidak sengaja) mula diperdendangkan. Saya sangat kecewa dengan kandungan ceramah motivasi ini yang begitu "tak masuk akal malah tak berlandaskan nas langsung".

Biarpun saya bukanlah termasuk daripada golongan (yang mengaku) 'salafi', namun hati ini turut merasa betapa kuliah tersebut begitu jauh menyimpang daripada kebenaran. Malam ini, apabila Menteri Pelajaran pula bercakap berhubung klip video alam barzakh yang mendapat bantahan daripada segelintir ibu bapa, saya teringatkan kembali ceramah pada malam itu. Daripada berita yang digambarkan media, rasanya ia bukanlah daripada klip video yang sama (mungkin sahaja seperti klip video You Tube seperti di bawah) dan rasanya lebih bermanfaat daripada klip video yang saya tonton pada malam ceramah lepas. Tentunya ia juga lebih jauh bermanfaat daripada lambakan klip video 3gp panas yang sering dikongsi oleh para pelajar sekolah kini.

Yang peliknya, apabila timbul kes rakaman aksi lucah pelajar sekolah yang kini hangat di pasaran ni, tak ramai yang berani komen. Namun untuk kontroversi melibatkan klip video alam barzakh ini, awal-awal lagi Pak Menteri dah bagi 'statement'....apo nak di kato, korbou pun mampuihhhhhh.



Monday, November 10, 2008

Sesuap nasi buat si anak kecil...


Salam buat semua....

Semasa berkhidmat di Penang Port, saya berkesempatan menjadi salah seorang Trainer bagi program Perubahan Minda yang dianjurkan oleh syarikat. Antara modul program adalah apabila peserta diminta untuk berkongsi pahit manis kisah lampau mereka dalam suatu kumpulan yang kecil. Boleh dikatakan majoriti peserta berkongsi pengalaman pahit mereka dan terdapat juga peserta yang tanpa sedar mengalirkan air mata tanda keinsafan.

Saya masih teringatkan satu kisah daripada salah seorang peserta kursus yang telah menimbulkan keinsafan pada diri ini. Kisah ringkas di zaman mudanya sebagai pelaut, mengembara ke pelusuk dunia yang penuh warna warni namun akhirnya beliau kembali ke pangkal jalan akibat satu peristiwa. Beliau insaf sendirian setelah melihat telatah anak kecilnya yang sedang belajar menyuap makanan. Setiap butiran nasi yang masuk ke mulut anaknya itu diamati dan setiap hayunan tangan anak kecil itu direnungnya dengan pandangan kasih sayang. Tanpa dipaksa, air matanya membasahi pipi menyedari betapa hebatnya kebesaran Allah yang telah memulakan hidup setiap insan di dunia sebagaimana anak kecil itu jua. Beliau bersyukur kerana setiap butiran nasi yang masuk ke mulut anaknya itu adalah hasil titik peluh daripada rezeki dan pendapatan yang halal.

Kisahnya ini saya abadikan di sini untuk renungan diri sendiri dan pembaca yang dihormati sekalian agar kita juga mampu menginsafi diri sebagaimana sahabat tadi. Ada kalanya hanya suatu peristiwa kecil sahaja dapat merubah watak dan keperibadian manusia. Ada kalanya nasihat daripada seorang musuh yang dibenci juga dapat dijadikan iktibar yang begitu bermakna. Ada kalanya wajah lembut si anak kecil mampu mengubati penyakit hati yang membungkam. Ada kalanya wajah keras sang pahlawan pula yang diperlukan untuk membenteras kezaliman yang mencengkam.

Hari ini saya membaca pelbagai cerita yang antaranya adalah kisah kematian Allahyarham Amrozi dan saudaranya, kisah Presiden Barak Hussain Obama, kisah pergelutan manusia yang tamak kuasa, kisah artis yang bercinta dan porak peranda dan kisah kegawatan ekonomi yang melanda dunia. Namun di sebalik semua kisah itu, jauh di sudut hati ini hanya terkenangkan perihal anak kecil saya dan butiran nasi yang disuapnya.....

Saturday, November 8, 2008

Lagi-lagi Generasi Z...

Salam semua...

Saya tak sempat untuk mengulas panjang mengenai istilah Gen Z yang pertama kalinya disebut pada posting lepas. Mungkin kerana ketiadaan rujukan atau saya sendiri yang sekadar merujuk kepada pengalaman dan pemerhatian sendiri semata-mata. Hal ini bukanlah bermaksud untuk menolak penerimaan umum tentang Gen X dan Y, saya sekadar berhipotesis.

Satu contoh yang mungkin boleh sedikit menjelaskan hipotesis saya ini adalah perbezaan antara siaran TV1, TV3 dan TV9. Ketiga-tiga siaran ini mensasarkan kelompok darpada 3 generasi yang berbeza. TV9 jika anda perhatikan pembawaannya lebih mirip kepada gaya Gen Y dan bezakanlah sendiri TV1 dan TV3 untuk generasi mana yer. Cubalah perhatikan gaya bahasa para hosnya, programnya bahkan klip iklan TV9 itu sendiri. Jika anda sukakan siri dakwah pula, cuba perhatikan siaran Marilah Mengaji yang dihoskan oleh Ustaz Zamri...Rasanya cara yang sama jika dipraktikkan 10 tahun lepas mungkin sahaja akan dianggap *%$# oleh para penonton. Namun kini mungkin pula cara terbaik untuk menarik anak-anak Gen Z belajar mengaji.

Dalam bentuk negatif pula contohnya tak terkiralah pula banyaknya....saya anggap semua pembaca dah sedia maklum. Namun saya masih optimis jika kita berusaha untuk memahami citarasa Gen Z ini, jurang perbezaan antara setiap genarasi samada X, Y dan Z dapat diatasi. Jika dahulu arwah ayah berjaya mendidik saya di zaman Gen Y, kini tugas mendidik anak di zaman Gen Z menjad tanggungjawab saya dan semua penbaca sekelian. Seperti yang saya katakan dahulu anak-anak Gen Z ini berfikiran terbuka dan perlukan penjelasan untuk hampir semua perkara....Klip video di bawah ini saya sertakan untuk anda fikirkan bersama....sekian wassalam.


Tuesday, November 4, 2008

Generasi XYZ.....


Salam semua...

Semasa mengikuti kelas Jurutera Dalam Masyarakat di USM dahulu saya belajar istilah Generasi X dan Generasi Y. Ada jurang antara keduanya dan kami para telah diajar betapa perlunya dikenali perbezaan antara kedua-dua generasi ini. Namun saya masih tertanya-tanya samada hanya dua generasi ini sahaja yang wujud apabila kita berada di lingkungan 'zaman dah berubah, dunia dah maju' ini? Mungkinkah kini telah wujud generasi yang ketiga, yang jauh berbeza dengan dua generasi sebelumnya.

Kalau tak salah, istilah "wannabe" merujuk kepada golongan muda dengan gaya hidup metropolitan. Mereka inilah yang saya kelaskan sebagai Gen Z, biarpun umum masih menerima pakai istilah Gen Y sahaja. Rasanya, tak sampai 1% pun pembaca abu-alfateh terdiri daripada Gen Z yang serba moden dan canggih ini. Mereka bersifat terbuka dan mampu berevolusi begitu pantas mengikut rentak teknologi dan perkembangan semasa dunia tanpa batas ini. Hal ini sebenarnya suatu perkembangan positif namun boleh bertukar menjadi tsunami jika kita masih kekal dengan kefahaman lama generasi X dan Y semata-mata.

Tak ramai 'uncle' dan 'otai' termasuk saya sendiri yang mampu berhadapan dengan perubahan pantas dunia moden. Maka tak mustahil jurang komunikasi antara tiga generasi X, Y dan Z ini akan semakin melebar. Hasilnya, ada antara anak Melayu sekarang yang tidak pernah kenal pun beza antara tebu dengan ubi kayu, semut dengan kerengga, kangkung dengan bayam, malah paling kronik adalah perbezaan antara lelaki dengan wanita. Saya pernah terbaca satu artikel yang mungkin sedikit berkaitan dengan apa yang saya maksudkan di atas di dalam blog al-bakistani.

Kalau anda tak nak ambil peduli terpulanglah itu hak anda, namun jangan pula tersedak nanti jika fenomena ini secara tetiba dah melanda orang tersayang yang berada disekeliling kita. Di saat sebahagian YB Pakatan Rakyat duk mencanang pembubaran Dewan Negara, tarikh sesuai peralihan kuasa, mengkoreksi belanjawan negara, kalut siapa nak jadi Presidan Amerika, anak-anak muda kita duk sibuk dengan dunia mereka yang jauh untuk difahami oleh generasi lama X dan Y.

Saya sering berkongsi idea dengan isteri yang bertugas sebagai seorang pendidik tentang cara terbaik untuk menarik perhatian anak-anak buahnya di sekolah. Perbincangan ini membuahkan hasil yang cukup positif dan saya turut merasa gembira setiap kali isteri saya 'melaporkan' kisah yang berlaku di dalam kelas. Itu sahaja daya yang mampu saya lakukan setakat hari ini demi untuk generasi masa hadapan. Saya yakin setiap kita bertanggungjawab dengan usaha dan cara tersendiri mengikut kemampuan masing-masing. Apa lagi cara yang lain? Emmm lu pikir la sendiri.......(maaf yer, gurau gen Z ni) Sekian, wassalam.

Monday, November 3, 2008

Zaman dah berubah, dunia dah maju....

Salam semua....

Tersedak saya seketika membaca akhbar Kosmo sekembali daripada pejabat tadi. Manakan tidaknya, Kedah diberitakan setaraf dengan Kuala Lumpur sekarang ni. Tahap Gaban, kata anak muda sekarang....Namun yang sebenarnya segala mak nenek penyamun dah mula duk timbul kat negeri ku yang tercinta ini. Mungkinkah semua ini hasil sampingan yang perlu dirasai apabila "zaman dah berubah, dunia dah maju"?

Di dalam posting Sejenak Bersama Kumar, saya menulis untuk melegakan kesesakan nafas dek telatah warga kota. Posting kali ni pula, saya tersedak kambing kerana di Alor Setar pun dah muncul ramai penyamun tarbus. Kes ragut, samun, curi, dan pastinya jenayah tersempoi di abad ini, culik dah sampai ke Bandaraya Alor Setar. Kecut perut memikirkan nasib emak dan anak buah kesayangan yang tinggal di sana.

"Ya Allah, peliharakanlah kami insan yang lemah ini daripada bala dan bahaya, musibah dan petaka, kejahilan umat yang melanda, kebejatan dunia yang menggoda , kesesatan ilmu yang durjana , kerakusan nafsu menggila, kejahatan jin dan manusia...." ameen. Dah tak mampu rasanya nak teruskan menaip dengan sedak yang masih belum hilang ini...sekian dulu wassalam.

Thursday, October 30, 2008

Tanam Anggur dan Tikar Mengkuang....

Salam buat semua...
Apabila negara dilanda krisis ekonomi pada tahun 98-99, saya adalah antara salah seorang yang turut merasa tempiasnya. Biarpun tempoh saya menanam anggur (mengangggur) tidak lama, saya juga tak berupaya mencari perkerjaan yang bersesuaian biarpun jenuh mengusung fail dan bertali leher mengejar peluang pekerjaan. Pada masa itu timbul pula sedikit rasa geram dan kecewa pada segulung ijazah yang diperolehi, bagaikan tidak memberi sebarang makna. Akhirnya saya memilih untuk berdikari dan memulakan perniagaan sendiri secara kecilan. Ini kisah lama, setiap orang pasti ada kisahnya tersendiri dan pengalaman yang cukup beharga untuk dijadikan iktibar.


Saya sekadar ingin menyuarakan kebimbangan betapa krisis ekonomi kali ini bakal lebih teruk dan panjang daripada sebelumnya. Daripada apa yang saya baca dan cakap-cakap dengan orang yang lebih arif dalam bab ekonomi, mungkin tempoh muram kali ini berpanjangan sehingga ke 10 tahun. Entahlah, saya bimbang kerana suasana di Malaysia masih tenang dan tenteram....walhal betapa banyak syarikat gergasi dunia yang dah gulung tikar mengkuang. China dilaporkan mengalami impak yang begitu teruk berikutan krisis ekonomi yang mengejut ini . Malah laporan akhbar mereka menyatakan hampir 20 juta pekerja di sana kini menganggur. Bilakah agaknya kesan krisis ini bakal sampai ke Malaysia?....Entahlah, kalau anda masih seronok menanti juara Raja Lawak musim ke-3, anda gelaklah sorang-sorang nanti yer...wassalam.

Saturday, October 25, 2008

Kisah Dua Orang Askar Lembut..



Salam buat semua...

Semalam dalam perjalanan pulang ke Butterworth, saya sempat berborak kosong dengan abang Kamal, si pemandu bas. Sebenarnya saya kenal dengan hampir kesemua pemandu syarikat Bas Utama Sdn Bhd kerana dah terlalu kerap berulang alik sejak 6 bulan ini. Bas Utama menjadi pilihan saya kerana pemandunya pasti akan berhenti untuk solat Subuh dan kebanyakan pemandunya adalah dreba otai. Dalam seronok berbual tu, keluarlah kisah dua orang mamat askar yang ingin saya kongsi bersama pembaca sekalian.

Menurut abang Kamal, pada hari raya lepas ada seorang makcik yang berkeras nak balik ke Kedah biarpun tak ada tiket. Makcik ini merayu untuk dapatkan driver seat (kerusi kecil di sebelah pemandu yang pernah saya ceritakan dulu) biarpun telah berkali ditolak oleh abang Kamal dengan baik. Akhirnya makcik ini tak mahu mengalah juga, dan mula membuat kecoh dengan tidak mahu turun daripada bas. "Apa jadi pun makcik nak balik juga malam ni', kata makcik tersebut dengan nada agak keras. Abang Kamal mula serba salah kerana kerusi pemandu sangat tidak selasa untuk perjalanan sehingga ke Alor Setar. Kalaupun dijual hanya kepada orang muda dan pastinya untuk lelaki sahaja.

Oleh kerana makcik tersebut dah berkeras, abang Kamal terpaksa mengalah. Maka duduklah si makcik tersebut di atas kerusi kecil berlipat di sebelah tangga itu. Andai kata bas dibrek secara mengejut, pastilah terpelanting ke depan makcik yang keras kepala ini. Namun menariknya, belum pun sempat bas keluar dari pekan Kuantan, ada seorang mamat tentera yang datang menawarkan kerusinya kepada makcik tersebut."Makcik nak duduk sini, makcik dah bayar untuk duduk sini, tak pala anak nooo terima kasih banyak la....", balas makcik tersebut dengan tegas. Melihatkan pelawaan tersebut tak menjadi, seorang lagi mamat askar turun ke hadapan makcik tersebut dan berkata, "Kalau makcik tak mau pindah tempat, kami dua orang akan duduk atas tangga nie sampai ke Alor Setaq".

Maka mengalah juga makcik tersebut akhirnya dengan kelembutan hati yang ditunjukkan oleh dua orang warga tentera itu. Masakan mereka sanggup untuk melihat seorang makcik tua duduk di atas kerusi kecil di sebelah tangga. Mendengar kisah darpada abang Kamal itu, hati saya lega kerana mash ada pemuda tempatan yang berhati lembut, sopan dan mengekalkan budaya masyarakat timur. Sejak balik daripada KL beberapa hari lepas, saya agak berserabut memikirkan masa depan generasi akan datang. Perubahan budaya yang berlaku di sana begitu menyesakkan dada, namun itulah hakikat keadaan manusia alaf moden. Kalau keras tak kenal sopan, kalau lembut dah nak semacam pondan...nak termuntahhhhh iiiii. Yang peliknya, buruh Vietnam pun dah ada yang masuk dalam kategori separa pondan ni, seram bulu roma tengok depa naik LRT depan kita.


(Gambar berkumpulan selepas latihan menembak menggunankan senjata Carl Gustav)


Sebagai askar pencen (bekas ROTU), saya sedikit terasa bangga mendengar kisah abang Kamal tadi. Biarpun latihan keras dilalui oleh pasukan beruniform, namun hasilnya adalah insan yang berhati waja dengan sifat kemanusiaan yang tinggi. Biarpun diajar untuk melawan musuh, sifat setiakawan dan bantu membantu adalah asas dalam latihan ketenteraan. Inilah yang dinamakan dengan 'Esprit de Corps'.....maksudnya mungkin lebih kepada semangat setiakawan, namun sebenarnya lebih meluas jika dihayat dalam kehidupan. Sekian dulu buat kali ini..Gempur Wira3x, Maju!....wasslam.

Wednesday, October 22, 2008

Sejenak Bersama Kumar - Siri 2

Salam semua....

Ada satu lagi pelajaran yang tak dapat saya nak lupakan setelah berborak bersama Kumar. Beliau berkali-kali ingatkan saya tentang 'cakap', maksudnya apa yang kita cakap pasti akan berlaku....Pada mulanya saya hanya mengangguk sahaja melayan celoteh Kumar yang entah benar entah tidaknya itu. Namun setelah masuk kali ketiga beliau tekankan perkara yang sama, saya mula memberi tumpuan.

Kumar memberi contoh apa yang berlaku kepada dirinya sendiri dan beberapa ahli keluarganya. Kata Kumar,"percayalah, apa yang you cakap pasti akan berlaku, only a matter of time". Entahlah...bila difikirkan kembali dan dikaitkan dengan ajaran Islam, mungkin ada benarnya juga kata Kumar ini. Saya bukan ahli dalam bidang agama, tidak selayaknya saya mengeluarkan hukum behubung hal ini, hanyalah pendapat peribadi semata-mata.

'Cakap' berkemungkinan juga 'doa' dalam bahasa Islam....dan saya percaya ada kaitan rapat antara keduanya. Apabila kita berniat sesuatu, kita bercakap mengenainya, dan ia menjadi suatu doa. Kita semua maklum, doa tak semestinya dilafazkan secara khusus, sebarang percakapan kita juga boleh menjadi doa. Cubalah anda bandingkan dengan cakap si ibu pada anaknya, tersilap cakap kan buruk akibatnya. Hal ini tentunya kerana cakap si ibu tadi yang menjadi doa mustajab....Kata seorang ustaz, andai kata kita diberikan ilham untuk mendoakan sesuatu, ia adalah suatu tanda bahawa doa itu telah termakbul. Wallahua'lam...saya tidak tahu benar tidaknya, sahih mauduknya...cuma saya yakin dengan kata-kata ustaz tersebut.

Maka setelah Kumar mengingatkan kembali kepada saya kuasa yang ada pada sesuatu 'percakapan', saya rasa ada kebenarannya di situ. Biarpun kefahaman saya tak semestinya sama dengan kefahaman yang ada pada Kumar, saya tetap berterima kasih kerana tazkirah ringkas beliau semasa di dalam perjalanan selama 45 minit itu. Nasihat ringkas buat diri ini dan semua pembaca , "Cakaplah apa yang diingini, doalah apa yang dihajati, redholah pada apa yang diberi "...Sekian dulu untuk kali ini..wassalam.