Tuesday, November 4, 2008

Generasi XYZ.....


Salam semua...

Semasa mengikuti kelas Jurutera Dalam Masyarakat di USM dahulu saya belajar istilah Generasi X dan Generasi Y. Ada jurang antara keduanya dan kami para telah diajar betapa perlunya dikenali perbezaan antara kedua-dua generasi ini. Namun saya masih tertanya-tanya samada hanya dua generasi ini sahaja yang wujud apabila kita berada di lingkungan 'zaman dah berubah, dunia dah maju' ini? Mungkinkah kini telah wujud generasi yang ketiga, yang jauh berbeza dengan dua generasi sebelumnya.

Kalau tak salah, istilah "wannabe" merujuk kepada golongan muda dengan gaya hidup metropolitan. Mereka inilah yang saya kelaskan sebagai Gen Z, biarpun umum masih menerima pakai istilah Gen Y sahaja. Rasanya, tak sampai 1% pun pembaca abu-alfateh terdiri daripada Gen Z yang serba moden dan canggih ini. Mereka bersifat terbuka dan mampu berevolusi begitu pantas mengikut rentak teknologi dan perkembangan semasa dunia tanpa batas ini. Hal ini sebenarnya suatu perkembangan positif namun boleh bertukar menjadi tsunami jika kita masih kekal dengan kefahaman lama generasi X dan Y semata-mata.

Tak ramai 'uncle' dan 'otai' termasuk saya sendiri yang mampu berhadapan dengan perubahan pantas dunia moden. Maka tak mustahil jurang komunikasi antara tiga generasi X, Y dan Z ini akan semakin melebar. Hasilnya, ada antara anak Melayu sekarang yang tidak pernah kenal pun beza antara tebu dengan ubi kayu, semut dengan kerengga, kangkung dengan bayam, malah paling kronik adalah perbezaan antara lelaki dengan wanita. Saya pernah terbaca satu artikel yang mungkin sedikit berkaitan dengan apa yang saya maksudkan di atas di dalam blog al-bakistani.

Kalau anda tak nak ambil peduli terpulanglah itu hak anda, namun jangan pula tersedak nanti jika fenomena ini secara tetiba dah melanda orang tersayang yang berada disekeliling kita. Di saat sebahagian YB Pakatan Rakyat duk mencanang pembubaran Dewan Negara, tarikh sesuai peralihan kuasa, mengkoreksi belanjawan negara, kalut siapa nak jadi Presidan Amerika, anak-anak muda kita duk sibuk dengan dunia mereka yang jauh untuk difahami oleh generasi lama X dan Y.

Saya sering berkongsi idea dengan isteri yang bertugas sebagai seorang pendidik tentang cara terbaik untuk menarik perhatian anak-anak buahnya di sekolah. Perbincangan ini membuahkan hasil yang cukup positif dan saya turut merasa gembira setiap kali isteri saya 'melaporkan' kisah yang berlaku di dalam kelas. Itu sahaja daya yang mampu saya lakukan setakat hari ini demi untuk generasi masa hadapan. Saya yakin setiap kita bertanggungjawab dengan usaha dan cara tersendiri mengikut kemampuan masing-masing. Apa lagi cara yang lain? Emmm lu pikir la sendiri.......(maaf yer, gurau gen Z ni) Sekian, wassalam.

No comments: