Salam buat semua....
Semasa berkhidmat di Penang Port, saya berkesempatan menjadi salah seorang Trainer bagi program Perubahan Minda yang dianjurkan oleh syarikat. Antara modul program adalah apabila peserta diminta untuk berkongsi pahit manis kisah lampau mereka dalam suatu kumpulan yang kecil. Boleh dikatakan majoriti peserta berkongsi pengalaman pahit mereka dan terdapat juga peserta yang tanpa sedar mengalirkan air mata tanda keinsafan.
Saya masih teringatkan satu kisah daripada salah seorang peserta kursus yang telah menimbulkan keinsafan pada diri ini. Kisah ringkas di zaman mudanya sebagai pelaut, mengembara ke pelusuk dunia yang penuh warna warni namun akhirnya beliau kembali ke pangkal jalan akibat satu peristiwa. Beliau insaf sendirian setelah melihat telatah anak kecilnya yang sedang belajar menyuap makanan. Setiap butiran nasi yang masuk ke mulut anaknya itu diamati dan setiap hayunan tangan anak kecil itu direnungnya dengan pandangan kasih sayang. Tanpa dipaksa, air matanya membasahi pipi menyedari betapa hebatnya kebesaran Allah yang telah memulakan hidup setiap insan di dunia sebagaimana anak kecil itu jua. Beliau bersyukur kerana setiap butiran nasi yang masuk ke mulut anaknya itu adalah hasil titik peluh daripada rezeki dan pendapatan yang halal.
Kisahnya ini saya abadikan di sini untuk renungan diri sendiri dan pembaca yang dihormati sekalian agar kita juga mampu menginsafi diri sebagaimana sahabat tadi. Ada kalanya hanya suatu peristiwa kecil sahaja dapat merubah watak dan keperibadian manusia. Ada kalanya nasihat daripada seorang musuh yang dibenci juga dapat dijadikan iktibar yang begitu bermakna. Ada kalanya wajah lembut si anak kecil mampu mengubati penyakit hati yang membungkam. Ada kalanya wajah keras sang pahlawan pula yang diperlukan untuk membenteras kezaliman yang mencengkam.
Hari ini saya membaca pelbagai cerita yang antaranya adalah kisah kematian Allahyarham Amrozi dan saudaranya, kisah Presiden Barak Hussain Obama, kisah pergelutan manusia yang tamak kuasa, kisah artis yang bercinta dan porak peranda dan kisah kegawatan ekonomi yang melanda dunia. Namun di sebalik semua kisah itu, jauh di sudut hati ini hanya terkenangkan perihal anak kecil saya dan butiran nasi yang disuapnya.....
No comments:
Post a Comment