Wednesday, April 29, 2009

Rezeki bertambah..syukur (updated)


Salam semua...

Dah lebih sebulah laman ini tak di 'update', entah jin apalah yang menyerang saya sehinggakan setiap kali nak dikemaskini blog ada sahaja yang mengganggu samada dalam bentuk teknikal mahupun kesihatan fizikal. Emm....inilah antara sedikit dugaan yang perlu dihadapai apabila nak bercakap bab jin dan setan ni. Kalu tak tahan dugaan, kena duk diam-diam la dulu.

Namun hari ini saya sempatkan juga mengarang. Alhamdulillah, semalam lebih kurang jam 9.10 malam emaknya Muhammad Nuruddin Al Fateh dah selamat melahirkan anak kami yang kedua di Klinik Al Farabi, Kuantan. Dilahirkan hampir 2 minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan. Syukur sangat...... kerana mudah pula lahirnya adiknya Fateh, biarpun tak merasa lagi lah mak toknya di Kedah nak menimang cucu perempuan. Sangat mudah dilahirkan dan kami juga dipermudahkan pula dalam banyak urusan berkaitan biarpun kali ini berada jauh dari keluarga. Nanti saya 'update' berita berserta gambar wajah-wajah berseri pada bulan ini, insya Allah.


Terkini :

Izzuddin Abdus Salam, nama bersempena seorang tokoh ulama silam dipilih bagi bayi kami yang kedua ini. Biarpun namanya sedikit klasik, mudah-mudahan ketokohan dan ketaqwaan ulama silam itu dapat tertempias pula ke gerbang rumahtangga kami hendaknya. Buat masa ini, Izzudin dimasukkan semula ke hospital untuk rawatan Jaundis (penyakit kuning). Insya Allah, hari ini mungkin permata hati kami yang kedua ini dibenarkan keluar daripada hospital.

Sepertimana yang dijanjikan terdahulu, saya sertakan sedikit koleksi gambar keluarga untuk tatapan bersama. Saya dan isteri juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih dan jazakallah di atas doa kalian semua buat kami sekeluarga saya....wassalam.
Fateh : "Yeyey...bang long dapat adik..boleh lawan-lawan...."


Wajah Izzuddin Abdus Salam, (ikut mak dia la pulok)


Fateh : "Hmmm kecik tettt adik Izzuddin ni, boleh lawan-lawan ke ngan bang long?...."

Sunday, March 22, 2009

Seni warisan Melayu


Salam semua...

Hampir semua berita di akhbar setiap hari sibuk membicarakan bab pemilihan ketua dan pemimpin. Saya mengambil kesempatan nak mewar-warkan salah satu ciri utama pemilihan ketua bagi orang Melayu. Sesuatu yang dah dilupai oleh generasi moden kini iaitu pemilihan ketua berasaskan kepada ketangkasan berpencak silat. Mungkin anak Melayu kini lebih berbangga dengan seni bela diri yang diimport, tanpa mengkaji kehebatan yang ada di bumi sendiri. Mungkin juga sebahagiannya merasakan seni silat agak lapok, kuno atau tak 'kool' untuk dipelajari dan diamalkan. Terpulanglah, jika tak kenal mana nak datangnya cinta.

Berbalik kepada soal nak memilih ketua tadi, bayangkanlah jika kehebatan tahap Hang Tuah sekadar memadai untuk dilantik sebagai Laksamana (Menteri Pertahanan)....nak jadi Perdana Menteri macam mana agaknya ya? Dengan teknologi YouTube anda dah tak perlu nak dibayangkan lagi. Saksikanlah sendiri ilmu kepahlawanan anak Melayu yang telah diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa...Selamat memilih pemimpin dan selamat bersiaran. Wassalam.


Tuesday, March 17, 2009

Virus adalah Jin....?


Salam semua...

Melihat tajuk posting kali ini boleh membuatkan sebahagian pembaca abu alfateh tejatuh kerusi. Manakan tidaknyer, sekali imbas saya seolahnya sedang membuat fatwa baru. Apa hal pulaknya jin, syaitan, hantu dan jembalang ini nak dikaitkan dengan virus, bakteria, kuman dan penyakit manusia ni...Dah terlebih zikir ke bapaknya si Fateh ni? Emmmm..bukan saya yang kata ye, saya sekadar mengulang apa yang dikatakan oleh pihak yang lebih maklum.

Sebenarnya minggu lepas saya berkesempatan mengikuti ceramah perubatan Islam di pejabat. Maka dari situlah juga dibahaskan betapa penyakit manusia yang di diagnos secara fizikal di hospital ini juga ada kaitannya dengan jin dan syaitan. Malah penceramah dengan penuh yakin turut menyamakan virus komputer juga katanya diilhamkan oleh jin. (Hal ini akan disambung pada posting berikutnya Insya Allah). Jika pembaca ingin mengetahui dengan lebih lanjut, silalah melawat sendiri laman web MORAPIS EDAR sebagai rujukan yang lebih sohihhhhhh..(bak kata ustaz gen Y).

Sejujurnya, saya tak kisahkan sangat samada anda percaya atau tidak dengan kenyataan tersebut. Sebabnya...saya sendiri pernah berfikiran sedemikian sejak beberapa tahun lepas, biarpun hakikat kebenarannya taklah mengujakan sangat. Namun perkaitan antara jin dan penyakit sebenarnya terlalu dekat untuk dibayangkan secara kasar. Jin menyerang menusia mengikut saluran darah, virus juga sama. Jin makan lebihan makanan, bakteria juga sedemikian. Jin boleh membuatkan ketidakseimbangan di dsalam badan, itulah juga tugas penyakit. Maka sifir mudahnya, jin dan rakan-rakan mungkin ada kaitannya dengan penyakit fizikal. Malah lebih kurang 10 tahun lepas, saya pernah terbaca di dalam akhbar Utusan Malaysia kisah seorang banduan yang dijangkiti virus AIDS sembuh hanya dengan solat hajat!! Jin (virus HIV) dah lari la kut....

Cukuplah dahulu sebagai pendahuluan, Insya Allah jika ada kelapangan nanti akan saya usahakan sedikt pencerahan berhubung tajuk ini seterusnya. Sekian dahulu wassalam.

Sunday, March 8, 2009

Rawatan Bekam - petikan dari Utusan Malaysia


Salam semua...
Dah lama saya tak berbicara bab rawatan bekam, kali terakhir adalah lebih setahun lalu iaitu di dalam posting Rawatan Bekam - Siri 3. Semuanya gara-gara kehilangan softcopy buku Rawatan Bekam yang saya susun hampir 5 tahun lepas. Hari ini entah apa mimpinya, saya kembali berminat mencari-cari topik bekam di sekitar laman web. Ahlamdulillah, nampaknya rawatan bekam dah mulai diterima oleh masyarakat. Semakin ramai yang mencuba kaedah ini dan menyarankannya kepada rakan taulan. Sebagai perawat bekam yang dah 'pencen', saya turut bersyukur dan mengharapkan lebih ramai lagi yang akan menceburkan diri sebagai perawat. Jika ada pembaca di sekitar Kuantan ini yang ingin mempelajarinya (secara percuma) atau ingin berkongsi pengalaman....janganlah segan silu menghubungi saya. Di bawah ini saya sertakan artikel ringkas daripada Utusan Malaysia berhubung kaedah rawatan bekam. Selamat membaca dan wassalam.


Utusan Malaysia 1 Nov 2008. SEREMBAN 31 Okt
. - Seorang pengamal rawatan tradisional di Seremban Jaya dekat sini menawarkan perubatan secara berbekam iaitu salah satu bentuk rawatan alternatif kepada mereka yang menghadapi pelbagai jenis penyakit. Pengamal rawatan tradisional berkenaan, Abdul Hadi Mohd. Isa berkata, sejak beliau menawarkan khidmatnya lima tahun lalu sambutan yang diberikan oleh orang ramai terutama masyarakat setempat amat menggalakkan. Malah, katanya, kebanyakan mereka yang pernah menggunakan khidmatnya akan mengulangi rawatan beberapa kali selepas merasakan keberkesanan rawatan tersebut terhadap penyakit yang dihadapi.''Rawatan ini dengan izin Allah boleh mengubati pelbagai jenis penyakit kecuali Aids dan Hepatitis B. Ia merupakan sejenis rawatan yang telah wujud sejak beribu tahun dahulu. ''Lebih istimewa lagi ia merupakan cara perubatan yang pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para Sahabat baginda. Saya terpanggil untuk meluaskan teknik ini kepada masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah, Abdul Hadi berkata, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi telah menyatakan ketika Rasulullah dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan. Beliau berkata, fungsi bekam adalah untuk mengeluarkan darah kotor yang mengandungi toksid dan jika dibiarkan boleh merosakkan sistem badan. ''Toksid adalah endapan racun yang tidak boleh ditapis oleh tubuh manusia. Ia berpunca daripada pencemaran air dan udara, zat pewarna dalam makanan, pengawet, perisa makanan, sayur yang diracun serta gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan menagih dadah. ''Bagi menghilangkan toksid rawatan secara berbekam adalah cara paling sesuai.
Ia selamat tanpa kesan sampingan yang ketara," katanya lagi. Beliau berkata, secara umumnya terdapat empat jenis bekam iaitu bekam basah, bekam kering, bekam luncur dan bekam tarik. ''Bekam basah bertujuan mengeluarkan darah kotor, bekam kering adalah untuk keluarkan angin manakala bekam luncur bertujuan melancarkan perjalanan darah di bahagian kedua urat belikat.''Kaedah bekam tarik pula digunakan untuk menghilangkan sakit kepala," katanya lagi. Mengenai alat untuk berbekam pula beliau menggunakan alat bekam moden yang perlu dipastikan tahap kebersihannya setiap masa bagi mengelakkan jangkitan. ''Setiap kali selesai digunakan alat tersebut akan direbus di dalam air mendidih 100 darjah Celsius selama 15 minit bagi menjamin kebersihannya. Sarung tangan dan jarum yang telah digunakan akan dibuang," ujarnya. Berhubung caj yang dikenakan, beliau berkata, setiap rawatan dikenakan bayaran sebanyak RM60. ''Namun begitu jika pesakit saya di kalangan mereka berpendapatan rendah saya tidak akan kenakan bayaran tetap sebaliknya mereka boleh membayar setakat mereka mampu," tambahnya.

Saturday, March 7, 2009

Raja kertas...


Salam semua...
Maka tersebutlah kisah pada hari ini berhimpunnya sekelian rakyat jelata yang hina dina merentasi gelombang pahlawan berkepala merah yang taat lagi patuh kepada Raja. Rajanya itu bukanlah sekadar pemerintah negara, bukan Raja Melayu yang sedang murka kununnya diderhaka, bukan juga Raja Kapoor si filem star dan sudah barang tentu pasti bukannya raja spade permainan poka. Raja kepada sekelian pahlawan gagah perkasa lagi taat perintah ini adalah raja kertas.

Raja kertaslah yang memerintah mereka supaya melakukan segalanya. Raja kertas juga yang menyuruh mereka menyembur pemedih mata di Masjid Negara dan menangkap sesiapa sahaja yang derhaka. Raja kertas adalah bisa segala bisa, puaka segala puaka dan raja segala raja. Bikin orang hilang kawalan, kewarasan, teman, kesopanan dan kasih sayang. Mereka bahkan sanggup gadaikan masa depan anak bangsa dengan alasan kununnya nak majukan negara. Sila klik di sini untuk mengetahui apa yang bakal dipersoalkan oleh anak cucu kita nanti.



Porahhhhhhh....hanya kerana kepingan kertas bedebah, manusia sanggup gadaikan maruah. Lupa mana benar mana yang salah, lupa nak taat perintah Allah. Malang sungguh kepada pengikut raja kertas ini, malang yang tak ke sudah. Serangkap peribahasa moden dari saya, "Harimau mati tinggalkan belang, manusia mati pecah tembelang". Sekian dulu wassalam.

Friday, March 6, 2009

Angan-angan ku di suatu masa...

Salam semua...

Ketika posting ini dicatat, saya baru sahaja pulang daripada kedai gunting rambut. Terasa seronok pula dapat berbual dengan tukang gunting yang dah bergelar 'tokey' dalam usia 20an. Beliau pun agak sama seronoknya mendapat pelanggan yang bergitu tekun dan berminat mendengar kisah asal-usul kerjayanya bermula. Kerjaya yang sebenarnya pernah menjadi salah satu daripada 3 cita-cita saya ketika kecil. Namun dek kerana terlebih 'study', cita-cita tersebut berkubur secara rasmi....secara tak rasmi masih ada sebenarnya. (Antara tugas tak rasmi saya kini adalah menggunting rambut emak, isteri, Fateh, anak-anak saudara sehinggalah ke bapak mertuaku yang berada di kampung )

Saya sukakan seni, dan senilah yang kuat mendorong setiap kali tangan ini memegang gunting atau mesin rambut. Apabila sesekali berkesempatan melihat para pramugari bergaya semasa di dalam penerbangan, gaya rambut merekalah yang cuba saya jelmakan semula kepada emaknya si Fateh. Pendandanan saya tidaklah sehebat mana pun , namun perasaan seronok (atau lebih kepada syok sendiri) timbul setiap kali melihat kerja seni yang terhasil. Cerita bab bergunting ni, teringat pula kisah semasa di kampus. Semasa 3 tahun mengikuti latihan ROTU, rambut kami semua perlu ditebas setiap minggu. Antara penebas rambut tersohor ini termasuklah mereka-mereka yang kini dah bergelar Dr (PhD)...wow!

Mulia sebenarnya kerjaya penggunting ni, namun tak ramai pula yang menaruh minat atau bercita-cita untuk menjadikannya sebagai suatu kerjaya. Kepada pembaca yang nak ada niat nak mengubah kerjaya atau kepada yang masih mencari-cari kerjaya sesuai, cuba-cubalah berjinak memegang gunting. Kalau tak dapat jadi tukang gunting profesional pun, gunting ajalah rambut anak-anak kat rumah tu. Duit jimat, badan tak penat, masa cepat, pahala pun dapat. Dah kerap saya cadangkan kepada saudara mara di kampung untuk mempertimbangkan kerjaya sebagai tukang gunting, satu pun tak lekat. Orang lagi suka makan gaji daripada jadi 'tokey', ramai juga yang memandang tukang guntuing sebelah mata. Sedangkan, hakikatnya kerjaya tukang gunting ni 'masyuk baguih punya dok ada'. Anda tak percaya?...emm percayalah. Sekian dahulu, wassalam.



Saturday, February 28, 2009

Malang Pak Belalang - Siri 2

Salam semua...
Baru sehari pak menteri mengumumkan tol bakal naik, PM dengan bangganya dah 'cancel'....tak jadi naik pulok dah. Nampaknya kisah drama ulangan 2008 lalu ditayangkan kembali. Bagi segelintir manusia yang dah tak ingat drama ulangan ini, bersyukur tak sangka lah mereka. Puji melambung-lambung langkah yang disifatkan baik dan tepat pada masanya ini. Apa yang tepat entah dia tahu ke idak.
Yang pasti perjanjian dah dibuat, samada naik tak naik....bayarannya sama jer. Syarikat konsesi tol dapat serupa jer. Sapa kata kita tak bayar, kena hantuk kepala kuat-kuat kat dinding. Fikirkan balik kalaulah pengguna tak perlu bayar, sapa yang tolong bayarkan yer? Kalau masih tak faham, naik rumah flat tingkat 17 dan cuba buat terjunan bebas. Mengabehkan boreh jer.....cukuplah dulu yer. Pak Belalang dah tersyasul plak nie....sekian, wassalam

Friday, February 27, 2009

Malang Pak Belalang...

Salam semua...

Apabila kita berjanji dengan seseorang, pastikan perjanjian tersebut tidak memakan diri seperti kisah Pak Belalang. Pak Belalang tak terjerat di dalam kisah tersebut kerana diselamatkan oleh nasibnya yang agak baik (dan dengan bantuan skrip). Andai kata nasibnya malang, maka seluruh negara akan dijual...perghhhh.

Sebenarnya saya nak bercakap bab perjanjian konsensi tol. Al kisah tol ini sepatutnya dinaikkan pada 1 Januari 2008, tak jadi. Kini katanya nak naik 68 sen/km pulak dah..Perghhh, malang sungguh Pak Belalang...(dah tak tau nak kata apa). sekian dulu, wassalam.

Saturday, February 21, 2009

Hijau Bumi Tuhan....

Salam semua....
Andai ada yang bertanya pada kita, siapakah yang memiliki alam ini dan segala yang terkandung didalamnya? Jawapannya pasti mudah bukan....anak kecil yang baru masuk PASTI pun tahu jawapannya. Namun sayang seribu kali sayang....ramai yang hanya tahu menjawab, bercakap, bermesyuarat, berdebat, merencana, menganalisa, berhujjah, naik turun mahkamah, sumpah dan seranah, berkonspirasi dan menabur fitnah, rasuah dan pecah amanah, alasan demi alasan...korbou pun dah bosan.

Di saat ekonomi dunia sedang gawat, ekonomi negara sedang tenat, pekerja-pekerja dah mula dipecat, peniaga-peniaga pun untungnya dah singkat, tajuk muka depan akhbar duk asyik keluar cerita bab khalwat. Mungkin itu sahaja strategi yang buleh menggamit pembaca, atau mungkin juga depa pun dah takda idea....entahlah. Cerita sensasi tak akan menutup kegawatan yang sedang berlaku, malah makin parah adalah. Kehangatan emosi yang sedang diapi-apikan kini adalah strategi yang agak membahaya...(saya tak pasti andai maksud sebenar ayat ini difahami). Di saat semakin ramai pekerja (swasta) yang bakal diberhentikan atau telahpun diberhentikan, tak nampak pun sebarang langkah serius secara kolektif sedang dilakukan oleh mana-mana pihak. Hampir semua manusia yang dilantik rakyat sebagai pemimpin pada PRU lepas masih berbulan madu dan seolahnya terlupa tugas besar di hadapan, di belakang dan di mana sahaja mereka berada.

Saya sekadar makan gaji dan menjadi kuli di tempat kerja, namun tanggungjawab untuk memastikan syarikat maju dan berjaya tidak mengenal kuli atau majikan. Jika kuli atau majikan duk sibuk dengan hal-hal remeh, hal-hal hampeh, sibuk nak rebut jawatan, sibuk dengan agenda peribadi, sibuk nak rebut segunung impian atau ber"bukit" Dewan Undangan...jawapannya, "jawablah sendiri". Kegawatan ekonomi akan mengundang kegawatan sosial, kegawatan sosial akan meninggikan tekanan perasaan, tekanan perasaan akan mewujudkan kucar kacir, kucar-kacir adalah alamat nak melingkupnya sesebuah negara. Jika ada pembaca masih lagi tak paham maksud sebenar artikel songsang ini, mudah sahaja..."Lu pikirlah sendiri"....Pohon derhaka dan selamat berdendang dengan lagu di bawah dendangan XPDC. Sekian, wassalam.


Sunday, February 15, 2009

Dari Telinga wujudnya Chakra...



Salam semua...

Posting kali ini sepatutunya sambungan kepada posting Antara Telinga dan Mata yang telah disiarkan sejak sebulan lalu. Namun memandangkan jurang masa yang agak lama, saya memilih satu tajuk baru sekadar untuk menggamit perhatian pembaca. Bagi yang tak pernah mendengar perkataan Chakra, anda tak perlu bimbang atau malu kerana perkataan tersebut tak akan ditanya pun di dalam kubur nanti. Bagi (muslim) yang terlalu taksub dengan Chakra pula, anda dinasihatkan agar jangan terlalu ta'jub kerana sebarang kebolehan di dunia ini hanyalah bersifat sementara dan bakal lenyap setelah masuk ke kubur.

Secara ringkasnya Chakra adalah 7 pusat tenaga di dalam tubuh manusia. Amalan tertentu yang bersifat meningkatkan 'tenaga dalam' contohnya melalui bunyian tertentu (mantra) yang dilafazkan oleh si pelaku akan mengaktifkan Chakra tersebut. Oleh kerana semua ini turut melibatkan amalan keagamaan terutamanya bagi agama Hindu dan Buddha, saya rasa cukuplah penerangan ringkas di atas sebagai pengenalan semata-mata. Anda boleh mendapatkan makluman lanjut di mana-mana enjin pencarian atau contohnya seperti di Wikipedia.

Saya sebenarnya nak kaitkan semua ini dengan zikir, doa munajat dan bacaan Al Quran. Sebenarnya Islam sebagai agama kehidupan telah menyediakan begitu banyak makanan rohani yang tak ternilai bandingnya. Namun dek kerana kejahilan diri sendiri, mudah benar kita teruja dengan amalan kerohanian lain seperti meditasi, yoga, reiki dan sebagainya. Ada juga yang seronok memperlekehkan (malah membidahkan) amalam bacaan Al Quran, zikir dan doa yang dibacakan secara beramai-ramai. Alunan merdu semua zikir ini sebenarnya ada fungsi tertentu sebagaimana yang dimaksudkan oleh perkataan Chakra tersebut (yang turut ada persamaan dengan teori sains moden). Chakra disamakan dengan Sistem Endokrin (sistem rembesan hormon). Secara mudahnya, berzikir atau membaca Al Quran dengan sempurna bakal mengaktifkan sistem rembesan hormon badan dan seterusnya meningkatkan kualiti kesihatan diri.



Saya dah tak mampu nak menulis lanjut, cukuplah sekadar di sini dahulu....Sesak juga sebenarnya nak mencari ayat sesuai bila bercerita bab chakra-menchakra ni. Silap haribulan, zikir tak kemana chakra pulak yang dicari. 'Pohon derhaka' andai ada yang 'murka' dengan posting kali ini, sedikit lain dari yang lain-lain. Kesimpulannya.....pikirlah sendiri ye.

Friday, February 13, 2009

Ubat penyakit gagap....

Salam semua...
Di saat ramai peminat politik yang menunggu dan memerhatikan perkembangan negara menjelang 7hb April nanti, tak kurang ramainya juga yang kemaruk nak meraikan hari 'apa ke jadahnya tah' esok hari. Namun ada pula sebahagian lagi daripada golongan Melayu Celup yang sibuk dengan agenda 'gender' yang tak reti nak duk diam. Di saat orang tengah sibuk, masa ni jugaklah dia nak buat-buat sibuk dengan agenda gendernya yang dah basi dan lapok. Bagi golongan Melayu Celup ni, apa sahaja isu bisa dihangatkan...sebab depa ni kaki jihad. Jihad utama puak ni adalah membantah apa sahaja hukum yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Yang pastinya, tanda-tanda kebinasaan manusia semakin nyata. Manusia semakin biadap, umat Islam semakin bengap, para alim ulamak pula ramai yang dah terkena penyakit gagap. Sebut pasai gagap ni, saya teringatkan kisah seorang sahabat lama yang dahulunya gagap namun kini dah berstatus 'celeberiti'. Kegagapan beliau dahulu kini hilang 100% hasil mengamalkan ubat khas yang rasanya cukup alergik bagi golongan Melayu Celup. Rahsianya hanyalah menjadikan Al Quran sebagai santapan rohani harian dan menghafalnya sebanyak mungkin. Kini, beliau adalah di antara penceramah terkenal dan sering ke udara di corong radio saban hari. Anda tak percaya? Percayalah......wassalam.

(Disertakan juga di bawah ini klip video YouTube perihal 'celebriti' gagap dan biadap masa kini)

Tuesday, February 10, 2009

Minta bertempat...barulah berkat

Salam semua...

Seketika apabila ribut melanda di beberapa negeri di Utara...saya teringatkan sesuatu. Saya teringatkan sahabat kisah saya Harizan. Saat kami semua dibelasah teruk di kaki Bukit Asahan dengan aksi Commando Rest, beliau dengan penuh selamba tersenyum sambil berkata pada saya,"aku doa Allah bagi aku jadi pandai, ameen...".

Moral ceritanya, apabila kita ditimpa musibah atau dizalimi, berdoalah. Ketika ini, doa kita Insya Allah teramat makbul. Begitulah jua keadaannya apabila kita kehilangan sesuatu, berdoalah agar Allah gantikan dengan yang lebih baik. Pastinya sesuatu yang lebih baik akan disampaikan jua. Minta biar bertempat, dendam bergantikan berkat, hilang bergantikan cepat, marah bergantikan nasihat, meluat tetaplah meluat. Namun persoalannya sejauh manakah kita semua yakin dan percaya? Percayalah....wassalam.



Friday, February 6, 2009

Kawan Makan Kawan....

Salam semua...

Saya dah tak minat nak mengulas perihal menceritakan drama 'Lompat si Katak Lompat' atau 'Kejor Yop Kejor' yang nampaknya masih belum selesai. Sekadar nak berkongsi satu klip video yang agak menarik di YouTube menceritakan betapa pentingnya sebuah persepakatan atau bahasa mudahnya 'Pakatan'. Andai kita tersilap pilih partner, alahai alamat kena makan la kome...Selamat bersiaran, wassalam.



Wednesday, February 4, 2009

Dalam susah ada senang....

Salam semua...

Setelah beberapa hari berlalu dengan penuh sengal di negeri Darul Ridzuan...YAB MB Perak telah diilhamkan untuk membuat suatu keputusan yang cukup sukar sebenarnya. Keputusan yang terkandung sifat baik dan buruknya, mahupun susah dan senangnya yang tersendiri. Mungkin ramai yang bimbang perjuangan PR di Perak di saat (menanti) tumbang, saya berfikir sebaliknya. Bagi saya, biarlah kita nampak beralah dan berhemah daripada sengal. Pasti terdapat hikmah di sebalik gerhana ini yang mungkin kita sebagai insan biasa tidak mengerti untuk menafsirkannya. Apatah pula apabila terdapat unsur kegelojohan dan ketamakkan yang dah tak dapat nak dibendung lagi.

Jika Allah bakal mengizinkan negeri Perak untuk dipimpin oleh seorang yang sehebat Ir Nizar di masa akan datang, saat itu pasti datang. Biarlah kesemua itik nila, ayam pepiru, badak sumbu, tapir, cipan, orang utan dan mana-mana haiwan bertopengkan manusia yang bergelar YB dapat dikenal pasti betul-betul. Biarlah kita betul-betul balajar jatuh bangun dalam politik sebelum beriya-iya nak ke Putrajaya. Biarlah rakyat seluruh negara menilai sendiri betapa tamak dan gelojohnya segelintir pemimpin politik jenis cap ayam. Saya bukannya menyeru agar kita mudah mengalah atau takut pada cabaran...sekadar menyuarakan pendapat peribadi yang tersemat di hati. Sifirnya mudah sahaja :

Menang di dunia + menang di akhirat = amanah
Menang di dunia + kalah di akhirat = pecah amanah (cap ayam)
Kalah di dunia + menang di akhirat = mehnah (dugaan)
Kalah di dunia + kalah di akhirat = punahhhh....
Sekain dahulu wassalam.....

Biar bodoh daripada kurang ajar..

Salam semua...

Sehari dua ni, perkembangan politik negara agak panas. Panas dengan berita pelik dan ajaib, lucu dan mengarut, sedih dan sayu, menyampah dan mual, atau bak kata budak-budak sekarangan...sengal. Anda boleh melihat betapa kuasa dan harta boleh menyebabkan manusia jadi tak berkemaluan, tak bertamaddun dan yang paling dahsyat lagi tak beradap. Dengan sedikit harta dan kuasa juga, manusia boleh bercakap semberono dan bertindak semahunya. Kes sebeginilah antaranya yang menyebabkan saya dah sengal nak ambil pusing bab politik.

Saya teringatkan satu tazkirah di pejabat mengungkap kata-kata Imam Ghazali berhubung perangai manusia. Katanya lebih kurang begini: "Orang bodoh adalah mereka yang tak belajar daripada kesalahannya. Orang pandai adalah mereka yang belajar daripada kesalahan diri sendiri. Orang cerdik adalah mereka yang belajar daripada kesalahan sendiri dan kesalahan orang lain". Sedikit tambahan kepada maksud mutiara kata tersebut daripada saya : "Orang kurang ajar adalah mereka yang tak pernah rasa bersalah dengan kesalahannya dan kesalahan orang lain". Kalau di dalam pasukan berunifom, falsafahnya mudah sahaja, "bodoh takpa, jangan kurang ajaq....!".

Rasanya saya perlu berhenti di sini dahulu, dah naik pulak tiba-tiba tekanan darah ni. Harapnya kita semua belajar daripada kesilapan besar yang berlaku di sana, dan tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan yang masih belum selesai. Semoga Allah melimpahkan ilham, kesabaran dan kekuatan spiritual kepada YAB MB Perak dan para pejuang keadilan di sana...Ameen. Disertakan di bawah ini sebuah lagu perihal perjuangan Palestin untuk menurunkan sedikit tekanan darah, sekian Wassalam.