Salam semua,
Hari ni saya nak kongsi satu persepsi yang salah tentang ibadah haji, yang selama ini saya juga telah tersilap sangka. Sangka saya, nak kerja Haji kena menyimpan duit. Sangka saya, nak pergi ke Mekah kena hartanya melimpah-limpah. Sangka saya, ibadat haji perlukan duit yang mencukupi di Tabung Haji...
Setelah sampai ke Mekah, saya diketemukan dengan jemaah haji yang pelbagai latar belakangnya. Rupa-rupanya ramai juga yang datang ke Mekah menjadi pekerja di muassasah, ada yang berkhidmat dengan syarikat pakej haji dan umrah, ada pula yang ditaja oleh Dato' YB, ada yang mengikuti rombongan pak menteri, ada yang ditaja oleh ahli korporat, ada juga yang di'sponsor' untuk berkhidmat, ada yang bertugas memantau kesihatan, ada yang bertugas menyediakan makanan, malah ada juga yang bertugas sebagai pekerja am di hotel Sevilla Barakat yang menjadi tempat istirehat kami di Mekah. Kesemua mereka ini menunaikan haji di Mekah secara percuma! Saya percaya hampir 10 peratus jemaah dari Malaysia datang dalam kategori ini...
Kalau nak diceritakan kisah mereka ini satu persatu, mungkin 10 posting pun masih belum tentu mencukupi. Cukuplah sekadar saya kongsikan, mereka ini tidak menyangka begitu mudahnya rezeki yang diberikan Allah untuk mereka menunaikan haji. Malah ada yang telah 10 tahun berturut-turut mengerjakan haji secara percuma. Kebanyakan jemaah 'haji percuma' saya jumpa, orangnya biasa-biasa sahaja namun hatinya mulia! Hampir kesemuanya dari jenis yang ringan tulang!
Kesimpulan mudah saya, tak semua yang menjadi tetamu Allah itu perlu menyimpan wang secukupnya. Ber'wang' bukanlah suatu syarat, hanya dijadikan sebagai alat. Andaikata 'ongkos'nya masih belum mencukupi, banyakkanlah berdoa dan memasang niat untuk melengkapkan rukun Islam yang ke lima ini. Kepada semua pembaca budiman, saya sarankan sekali lagi agar kita semua untuk terus memasang angan-angan dan ringan-ringanlah tulang...Berniatlah dengan seikhlas hati untuk ke Tanah Suci, Insya Allah sampailah segala yang anda hajati. Ammen, wassalam.
1 comment:
Makluman: Buku teori konspirasi dari Ibnuyaacob kini di Pesta Buku Antarabangsa.
http://ibnuyaacob.com/?p=1680
Post a Comment