Salam semua,
Hari ini saya ingin mengajak pembaca budiman untuk mengenali kehebatan minda. Biarpun saya masih lagi dalam proses pembelajaran, perkongsian ini harapnya akan memanfaatkan kita semua. Mari kita bermula dengan satu ujian mudah:
1) Cuba anda JANGAN bayangkan seekor GAJAH PUTIH! Apa yang anda nampak sekarang?
2) Cuba bayangkan pula anda sedang menikmati aiskrim yang paling sedap pernah anda makan...Apa pula yang anda nampak?
Saya cuma ingin anda yakin kita sebenarnya dapat melihat apa yang kita mahu dan tidak mahu fikirkan. DAlam ujian ini, 'minda sedar' akan menolak kehadiran seekor gajah putih di fikiran, namun minda separa sedar atau 'minda segar' pula pantas mencari gambar gajah tersebut. Minda sedar akan memikirkan dengan logik, manakala minda segar menerima apa sahaja yang terlintas.
Kedua-dua perbezaan di atas perlu diguna dengan berkesan jika kita mengidam untuk hidup secara 'luar biasa'. Hal ini akan menetukan kehidupan kita seharian, apa yang kita katakan atau nafikan kepada diri kita akan sentiasa bermain di dalam minda segar kita. Secara purata, 70 peratus daripada komunikasi seorang manusia berlegar pada dirinya sendiri. Pastinya kita perlu memilih kata-kata yang cukup positif untuk memastikan minda segar kita berfikir secara positif.
Manusia yang berfikiran negatif akan sentiasa memasukkan elemen negatif pada minda sedar dan segarnya. Pemikiran sebegini akan membentuk tindakan yang negatif dan tentu sahaja menarik kesudahan yang penuh kedukaan. Bak kata pepatah; sudah jatuh di timpa tangga, di manakah kebenarannya? Kebenarannya adalah pada cara berfikir dan apa yang diprogramkan ke dalam minda. Manusia yang berfikiran negatif akan sentiasa diselubungi perasaan negatif terhadap setiap yang berlaku disekelilingnya. Baginya semua cubaan adalah malang dan membawa masalah besar kepadanya. Berlawanan dengan insan hebat yang berfikiran positif, mereka melihat segala macam yang berlaku di dunia ini sebagai cabaran kecil yang ada rahmat tersembunyi.
Untuk berjaya, kita perlu sentiasa fikirkan kejayaan. Untuk memikir kejayaan, setiap deria perlukan sentuhan kejayaan. Untuk menjaga deria, kita perlu fokuskan mata, telinga dan kata-kata agar yang masuk dan keluar adalah perkara yang positif dan hebat. Biarpun dikatakan hanya 5 peratus sahaja daripada jumlah semua manusia berfikir sebegini, kita boleh sahaja masuk ke dalam kumpulan ini dengan izin Allah.
Kitalah insan hebat yang dipilih Allah satu daripada 300 juta sel mani, sebelum disenyawakan di tempat yang mulia di dalam rahim. Kitalah bayi yang pernah dikandung 9 bulan dengan penuh pengharapan dan dilahirkan dengan penuh kesyukuran. Kitalah anak kecil yang mendapat segala belaian dan dicurahkan segala kasih sayang. Kitalah manusia hebat yang diamanahkan untuk memerintah dunia ini dengan sunnah dan syariat Allah. Kitalah yang memilih untuk mengikuti jalan yang benar atau jalan yang salah...Sekian dahulu, wassalam.
No comments:
Post a Comment