Sunday, April 17, 2011

Nasihat dari 'Wali Allah' untuk bakal Haji...


Salam semua,

Minggu lepas saya tersempak dengan Ustaz Zawawi yang menjadi guru pembimbing kami di Mekah. Rupanya beliau sedang bersiap untuk mengadakan kelas bimbingan di Masjid Negeri untuk sesi petang. Sekejap sahaja rasanya berlalu musim Haji lepas, kini para bakal haji kembali giat berkursus. Syahdu juga mengenangkan kisah di Mekah dan Madinah, biarpun saya sebelum ini lebih suka menyimpan semua kisah tersebut secara peribadi.

Tahun lepas, saya sebenarnya cuma sekadar mengikuti kelas intensif untuk bakal haji dalam kategori KIV. Ilmu pun sekadar 'cukup makan' sebelum keghairahan saya 'melambung' naik setelah membaca buku Travelog Haji karangan Prof Muhd Kamil. Perkongsian ilmu dan pengalaman beliau sangat memotivasikan saya untuk lebih bersungguh berdoa dan berusaha yang akhirnya status KIV saya telah bertukar pada saat-saat akhir. Alhamdulillah...

Seminggu sebelum bertolak pula saya sempat bertemu dengan seorang teman di Masjid Sultanah, Kedah. Beliau pada penilaian kasar saya adalah seseorang yang mempunyai 'perhubungan istimewa' dengan Allah. Beliau menasihati saya agar sentiasa amalkan 2 perkara penting iaitu :
a) Berdoa agar dipilih menjadi 'tetamu Allah'
b) Jangan duk menyibuk dengan tindakan/ibadah jemaah haji lain

Alasannya yang diberikannya sangat mudah. Jika kita terpilih sebagai tetamu Allah, sudah pasti Dialah yang akan menjaga setiap urusan kita di sana sebagai tetamuNya. Sebagai tetamu, kita cuma perlu menjaga akhlak dan tidak terpesong daripada tujuan asal ke Mekah, yakni untuk beribadat. Perlu fokus kepada ibadat diri sendiri daripada fokuskan ibadat orang lain...

Petua daripada dua insan istimewa ini saya amalkan dengan bersungguh dan penuh harapan. Alhamdulillah, daripada seorang bakal haji yang berstatus KIV, saya terpilih untuk mengerjakan haji dengan layanan istimewa ala-ala VIP. Alhamdulillah saya dipermudahkan dalam hampir semua urusan, daripada sebelum bertolak sehinggalah selamat kembali ke tanah air. InsyaAllah, jika diizinkanNya saya akan kongsikan beberapa pengajaran bermakna yang boleh dijadikan iktibar buat semua nanti. Saya doakan moga para 'tetamu Allah' di tahun ini akan beroleh kebajikan dan keberkatan yang berlipat ganda jua, ameen. Sekian dahulu, wassalam.

No comments: