Sunday, August 17, 2008

Petua Menghindari Penyakit A'in


Salam buat semua...

Pernahkah pembaca sekalian mendengar sesetengah orang tua kita memanggil seseorang bayi comel dengan panggilan busuk, masam, huduh dan sebagainya. Pernahkah anda terfikir dan bertanya mereka apakah sebabnya? Jawapan mereka mungkin berbeza versinya daripada seorang ke seorang, namun semuanya berkisar ke arah keselamatan dan kesejahteraan bayi tersebut. Di kampung isteri saya, ada seorang makcik yang dipanggil Kak Doh (singkatan daripada hodoh) sejak daripada kecil kerana mendapat gelaran tersebut daripada atuk dan neneknya. Adakah setelah bergelar atuk atau nenek kelak, kita juga akan bertindak sedemikian rupa? Sila baca seterusnya jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut...namun sekiranya anda tidak faham apa barang yang saya ceritakan ini, hentikan sahaja pembacaan anda....takut ada yang disampuk histeria pulak nanti (sekarang ni kan zaman histeria muncul kembali).

Saya pernah mengikuti ulasan Ustaz Fahmi Zam-Zam (daripada Pondok Derang, Kedah) membicarakan perkara di atas lebih kurang 9 tahun lepas, dan ingin berkongsi sedikit info sampingan daripada laman web. Sebenarnya semua inilah yang dikatakan sebagai Penyakit A'in yang tidak banyak diketahui umum, namun sangat rapat dengan kehidupan seharian kita. Secara ringkasnya penyakit A'in ini adalah gangguan fizikal yang terkena kepada seseorang akibat pandangan mata orang lain yang hasad, dengki atau mungkin jua cemburu dengan kelebihan yang ada pada mangsa tersebut. Ia bukanlah sihir atau jampi yang dikenakan, namun atas sifat cemburu atau sebarang pujian berlebihan tanpa bersandarkan kepada Allah s.w.t yang menjadikan sesuatu kelebihan pada makhluknya.

Maka secara ringkasnya A'in ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja, terutamanya kepada kanak-kanak. Saya dan isteri sentiasa ingat memperingati agar sentiasa berjaga-jaga agar tidak ditimpa penyakit A'in ini terutamanaya terhadap permata hati kami berdua. Malah tercatat di dalam sirah, sahabat baginda Nabi s.a.w juga pernah terkena A'in sepertimana yang berlaku kepada Sahl bin Hunaif. Saya sertakan di sini dua laman yang membicarakan perihal penyakit A'in ini untuk rujukan pembaca budiman sekelian di link1 dan link2. Sila ambil perhatian berhubung kaedah untuk melepas diri daripada A'in dan kaedah rawatannya menurut Islam.


Pesanan saya kepada pembaca sekelian dan diri sendiri agar kita berhati-hati semasa berkata-kata dan ucapkanlah Alhamdulillah jika menerima pujian yang tidak bersandarkan kepada Allah. Selain itu, jangan pula kita menyalahkan amalan orang tua dahulu yang nampaknya bersalahan dengan sunnah namun demikianlah penyebaran ilmu di zaman mereka. Menjadi tanggungjawab kita untuk memperbaiki sebarang yang kurang sempurna dengan berhikmah dan sejahtera, bukan dengan membid'ahkan pula atuk atau nenek kita terdahulu....sekian wassalam.

Thursday, August 14, 2008

Terpesona dengan Gusti Siam


Salam semua...

Empat tahun lepas semasa saya di dalam perjalanan menaiki feri ke Langkawi, sebuah filem daripada Siam ditayangkan. Pada mulanya, saya tak ambil pot langsung pada tayangan tersebut dengan sangkaan apalah sangat yang nak ditonton, "standard la filem nusantara!", kata hati kecil saya. Malah siap dikutuknya si pemandu feri kerana memasang filem Siam untuk perjalanan yang hampir 2 jam daripada pelabuhan Pulau Pinang itu. Namun semuanya meleset dan saya bagaikan tak terkelip mata melihat aksi sepakan maut daripada Tony Jaa. Teringat pula pada filem Loceng Maut ketika masih di tadika dahulu....(lama dah dok tunggu filem ini keluar TV, tak juga muncul).

Sungguh tak terbayang bagaimana sebuah negara jiran, yang terkenal dengan kedai Tomyam dan Ayam mampu menghasilkan filem yang pada hemat saya takkan mampu diterbitkan di Amerika sekalipun. Di saat Jet Li terbang dengan Kung Fu mengarutnya...Jackie Chan dengan lawak boxing mabuknya, muncul jelmaan Bruce Lee di Siam. Aksi beliau telah mengangkat martabat seni mempertahankan diri Muay Boran dengan filem bertajuk Ong Bak dan kemudiannya Tom Yum Goong. Wira Melayu nak buat filem apa lah agak nye, takkan sekadar nak makan Tomyam jer kut.

Moral daripada posting ini...emmm jika Tony Jaa boleh berjaya di peringkat antarabangsa sekaligus mengangkat tradisi Siam, kita apa kurangnya. Saya ternanti-nanti bilakah agaknya filem dengan tajuk seperti Tok Janggut, Mat Kilau atau kisah Hj Abdul Rahman Limbong bakal menggegarkan pawagam di Jepun, Amerika, Australia atau setidak-tidaknya di Kuantan sekalipun. Takkan lah nak harapkan filem hantu, jin, setan dan puntianak jer yang nak diketengahkan.....tak der kepahlawanan langsung (hampehhh). Sebagai penutup, saya sertakan aksi maut daripada filem ini untuk tatapan bersama...selamat menonton.


Wednesday, August 13, 2008

Apa Khabar Orang Kampung

Salam semua...

Posting kali ini saya tak menulis seperti biasa, terasa nak berseloka la pulok....dah lama tak berseloka sejak terjun ke alam pekerjaan nie. Apa-apa pun selamat membaca...

Dengan Ramadahan semakin menjelma
TV dah mula canang iklan Raya
Penyokong parti Bulan dok bermuzakarah berjela
Menanti keputusan untuk berpisah atau bersama...

Parti lawan pula tak kurang hebatnya
Mengatur strategi tak sempat nak lena
Nak pilih calun yang paling berkarisma
Permatang Pauh bakal gerhana

Biarpun rumahku dekat-dekat sana
Perihal politik aku dah tak c'ara
Lantaklah apa orang nak kata
Dia bercakap tak kena kat dia

Sorakan Olimpik masih dinanti
Athlit Malaysia dok gigit jari
Sejuta ringgit PM dah janji
Kalau emas berjaya diperolehi

Tak tau kenapa aku berseloka
Mungkin boring.. rindu sebenarnya
Pada anak dan isteri tercinta
Yang berada nun jauh di sana

Rindu kat anak yang baru bertatih
Rindu kat emaknya yang sesekali bersedih
Di kala si suami bersuara letih
Merantau jauh berpenat jerih

Rindu kat keluarga di kampung halaman
Rindu kat saudara mara dan anak menakan
Biarpun rambutku sudah beruban
Tetap ku ingat semua kenangan

Untuk menghiburkan hati yang lara
Lagu Sudirman ku layan jua
Liriknya cukup menyentuh jiwa
Diharap dapat menahan hiba

Disudahi seloka ini dengan sebuah lagu Allahyarham Sudirman, Apa Khabar Orang Kampung...untuk tatapan bersama, selamat berdendang. Sekian wassalam......



Monday, August 11, 2008

Mencari Kanisah Yang Hilang



Salam semua...

Sedang saya mencari-cari maklumat tentang negara Palestin dan menjejaki sejarah gemilangnya sejak zaman perutusan Nabi dan Rasul terjumpa pula sebuah buku yang penuh maklumat ini, "Mencari Kanisah Yang Hilang". Buku karangan Alias Jundullah yang diterbitkan oleh Pustaka Nusrullah. Saya cadangkan pembaca sekalian dapat mencarinya sendiri untuk mendapatkan maklumat jelas tentang sejarah Bani Israil dan bangsa Yahudi dengan lebih jelas.


Buku ini juga menjelaskan kenapa bangsa Yahudi begitu bermatian untuk mendapatkan negara Palestin terutamanya pada tapak Masjid Al Aqsa. Semuanya yang mungkin ada kaitannya dengan sebuah Kanisah.....yang dicari-cari oleh bangsa Yahudi. Insya Allah, jika ada kelapangan nanti kita akan membaca lebih banyak cerita mengenainya di dalam abu alfateh ini...tungguuuu. Wassalam.

Saturday, August 9, 2008

Kemewahan Yang Menipu...(Jom Berbasikal)


Salam semua...

Pada posting lepas saya selitkan 2 klip video yang agak santai daripada negara jiran, posting kali ini adalah intipati sebenar yang ingin saya kongsi bersama pembaca abu alfateh. Sebenarnya saya begitu teruja setelah membaca satu artikel ilmiah yang disiarkan di laman Hembusan (Bro Tawel). Teruja megikuti pengalaman beliau yang merantau di negara orang dan dibandingkan pula dengan apa yang berlaku di Malaysia bumi bertuah ini.

Bro Tawel telah mengarang 3 artikel khas berkaitan budaya berbasikal yang pada hemat saya cukup berharga untuk dijadikan pendorong bagi mereka yang ingin berbasikal. Malah dibawakan juga contoh yang amat relevan dan mudah difahami samada anda seorang pakar Sains ataupun pakar kantoi mata pelajaran Sains semasa di sekolah dahulu. Jika anda seorang pembaca aktif, silalah ikuti perbahasan panjang lebar beliau di link1, link2 dan link3. Namun jika kureng dalam bab nak mentelaah nie....saya cadangkan bacalah sekurang-kurangnya link1 untuk mendapatkan feelnya dahulu...

Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih bebanyak saya ucapkan pada bro Tawel kerana tampil dengan hasil yang cukup bermakna ini...Selamat membaca pada yang lain...wassalam.

Selamatkan dunia dengan berjimat...

Salam semua...


Izinkan saya berkongsi dua iklan komedi yang mengajak kita berjimat cermat...Iklan ini saya dapati semasa majlis perasmian Energy Day di pejabat pada minggu lepas. Peringatan kepada semua termasuk diri sendiri "Tak rugi berjimat, tak untung pun jika membazir". Selamat menonton yer.


Sunday, August 3, 2008

Perjuangan Membebaskan Bumi Palestin


Salam semua...

Hari cuti sebegini agak lapang bagi saya untuk mencoret 2 posting sekaligus, biarpun sukar mencari masa yang sesuai sebelumnya. Posting kali ini ingin memulakan topik baru berkisar kisah dari Bumi Anbiya' iaitu Palestin. Tujuan utama saya hanyalah untuk menggamit keprihatinan semua termasuk diri sendiri terhadap apa yang sedang berlaku di sana.

Biarpun saban hari kisah Palestin disiarkan di dada akhbar dan di kaca televisyen, apa yang kita baca atau saksikan tak semestinya sama dengan hakikat sebenarnya. Saya pernah mengikuti beberapa siri ceramah menyentuh kisah Palestin sebelum ini, namun kesannya tidak sekuat ceramah terakhir yang saya ikuti daripada Ustaz Hanafi (pendakwah daripada Terengganu) bebaru ini. Kesannya sungguh mengharukan bahkan lebih daripada itu rasanya. Ustaz bukan sekadar berkongsi cerita sedih daripada Palestin, malah turut menyorot sejarah kegemilangan Baitul Maqdis dan hubung kaitnya dengan Islam, Kristian dan Yahudi. Beliau juga menyentuh perkembangan semasa yang meyakinkan saya betapa bumi Palestin masih dilimpahi pemeliharaan Allah. Seperkara lagi yang beliau ingatkan adalah perihal Mahmoud Abbas sebagai Yahudi berbulu Arab yang terlalu jauh berbeza sikapnya dengan almarhum Yaseer Arafat. Nak tahu ceritanya.....emmm tunggulah apabila saya siap mengumpul faktanya kelak.

Agak sukar untuk saya nukilkan keseluruhan isi ceramah beliau, dalam sebuah posting ringkas ini. Namun saya berazam kali ini untuk mengumpul bahan agar dapat dikongsikan bersama pada ruangan khas yang membicarakan isu Palestin di Abu-alfateh, Insya Allah. Muga bumi Anbiya' ini akan mendapat pemeliharaan Allah di sebalik segala konspirasi, kebejatan dan tipu daya manusia durjana yang lupa pada kuasa Yang Maha Esa...ameeeen.

Saturday, August 2, 2008

Harga Tambang Bas Akan Naik...


Salam semua...

Beberapa hari lepas saya sempat menonton rancangan bual bicara menampilkan Dato' Mohd Nadzmi Salleh yang kini menerajui Konsortium Transnasional Berhad (KTB). Tajuk yang dibicarakan adalah tentang kenaikan harga tambang bas, sesuatu yang sangat berkait dengan kehidupan saya. Kenaikan yang belum diberitahu berapa peratusnya..namun jangkaan ramai adalah 40-50%.

Sebenarnya saya sendiri bersetuju harga tambang patut naik, kerana simpati kepada nasib pemandu bas yang tidak terbela sewajarnya. Cubalah bayangkan apabila harga minyak naik, pengusaha bas cuma mendapat subsidi untuk harga diesel. Namun terdapat peningkatan kos operasi lain melibatkan harga sevis dan alat ganti yang melambung sehingga 200% tanpa kawalan. Banyak syarikat kecil yang bakal gulung tikar...dan tentu sahaja syarikat kecil ini milik siapa agaknya yer....

Saya pernah menumpangkan seorang pemandu bas dalam perjalanan ke Alor Setar. Semasa perjalanan barulah saya tahu beliau adalah seorang tokey bas sebenarnya. Menurutnya, agak sukar bagi pengusaha kecil sepertinya mendapatkan pinjaman bank kerana industri bas tidak meyakinkan pihak bank untuk memberikan pinjaman. Malah kata beliau yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pemandu bas kilang, bas pertama yang dibelinya adalah berasaskan modal daripada hasil penjualan tanah pusaka. Kos penyenggaraan makin tinggi, kos sara hidup tak payah ceritalah, maka upah pemandu juga perlu dinaikkan. Jika harga tiket dikekalkan seadanya, beliau akan gulung tikar....mungkin terpaksa menjual bas pusakanya itu.

Saya yakin kenaikan harga tambang akan mengezutkan orang ramai buat seketika, dan selepas itu keadaan akan kembali rancak di terminal bas di seluruh negara. Biarpun kenaikannya mungkin sehingga 50%, ia masih dikira jauh lebih murah daripada kos memandu sendiri. Cuma biarlah berpada kenaikan kali ini, memberi keuntungan pada kedua-dua pihak. Teringat pula saya ketika harga feri di Pulau Pinang naik 2 tahun lepas, kecoh satu dunia....walhal tambang yang naik pun tak tertampung kerugian yang ditanggung oleh Penang Port, syarikat lama saya bekerja (yang tidak diberikan subsidi yer).

Apabila kita semakin maju..kita perlu bersedia untuk menerima arus kemajuan yang mendadak. Arus ini akan menghanyutkan mereka tidak bersedia, dan bagi yang bersedia pula akan melayarinya dengan cermat dan berhati-hati. Ceramah 4 hari 4 malam pun tak akan menyelesaikan masalah, mungkin tambah buruk lagi adalah...Kalu anda rasa anda dah terlalu susah, ingatlah rakyat di Palestin dan Myanmar lagi susah. Ya Allah Kau peliharalah kami daripada segala dugaan dan cabaran kecil yang kami terima di dunia ini...ameen.

Wednesday, July 30, 2008

Kena Jadi Ketua La Pulok....

Salam Semua...

Sebulan lepas saya secara suka-suka mendaftar nama untuk menyertai perbarisan Kawad Hari Merdeka untuk kontigen Petronas Pahang. Niat di hati sekadar untuk mendapat cenderahati kawad dan tentunya pengalaman mewakili pasukan baru. Tanpa disangka-sangka...namaku naik pula untuk jadi Parade Commander. Sesuatu yang selalunya akan dicuba sehabis riang untuk menolaknya. Sungguh tak kusangka..pisang tak berbuah kali nie, padan muka saya.

Niat sekadar untuk suka-suka dah makan tuan. Dah jadi ketua di hadapan kena la hadir latihan setiap hari, pastu suara pula nak kena jaga. Sejak dalam PALAPES, saya memang telah terkenal dengan perangai yang suka curi tulang atau bahasa askarnya 'take cover'. Bukanlah bermakna saya malas membantu rakan-rakan yang lain, saya sekadar suka berada di belakang tabir. Namun apa kan daya, tubuh badan yang setinggi 1.82m ini tak mampu untuk disembunyikan daripada pandangan mata kasar. Terima sahajalah Labu....jangan masuk angin keluar asap sudahhhh

Bila dah terpilih untuk berada di hadapan sekali, maka terpaksalah pula nak kontrol hensem semasa berkawad, nak garu-garu sket pun susah. Emmm bila fikir-fikirkan kembali, taatnya saya semasa berkawad mengalahkan ketaatan semasa solat...jauh pula kalahnya tu. Dunia..oh dunia...dalam kawad, bulu hidung pun tak goyang, walhal time solat, sikit lagi nak mencapai tahap goyang Gerudi Inul (yang kununnya sedang menerima ujian Tuhan )...heheheh kesitu pulak..apa-apa pun doakan saya berjaya dalam kawad yer..wassalam.

Sunday, July 27, 2008

Perlukan Penyewa Segera...


Salam Semua...

Rumah saya ini perlukan penyewa segera (penyewa lama dah beli rumah)..Tolong sebar-sebarkan yer.


Rumah Untuk Di Sewa (RM700 neg)
2 Tingkat/Teres (projek baru-seperti di gambar)
Taman Sri Murni, Sg Dua Butterworth
Lot (20 x72) Luas Binaan 2070kps ada balkoni
4 bilik tidur dengan 4 bilik air dan ruangan keluarga
Ruangan tamu dengan lampu/kipas hiasan
Persekitaran menarik dan lokasi strategik
Hubungi segera : 0194575309

Monday, July 21, 2008

ESQ165 - Teknik Munajat ala High Tech




Salam semua...

Biarpun jadual harian kini agak penuh, saya usahakan jua untuk melawat dan menulis sepatah dua di dalam abu alfateh. Seperti ada yang tak kena untuk saya meninggalkan dunia blog semata-mata beralasankan sibuk. Tambahan pula setelah saya meletakkan maltamat memblog ini untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca yang sudi menjenguk.

Hujung minggu lepas, saya tidak balik Penang kerana mengikuti latihan 3 hari ESQ 165 yang berlangsung di Kuantan. Suasana latihan memang mengharukan dengan tangisan daripada para peserta. Mungkin sebahagian besar peserta jarrang-jarrang mengikuti kuliah kerohanian atau tidak pernah langsung agaknya. Bagi saya yang membesar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), program sedemikian ibarat zikir munajat yang biasa diamalkan...cumanya ESQ 165 menggunakan teknologi moden dalam program munajatnya.

Insya Allah, saya kongsikan bersama beberapa isi penting yang dikupas semasa program berlangsung, terutamanya yang tidak terdapat pada program zikir munajat yang biasa saya ikuti.....tungguuuuuuuuuuu, wassalam.

Friday, July 11, 2008

Hajat Tak Kesampaian....


Salam semua...

Sebenarnya sejak dua menjak ni, saya kurang berbicara bab politik kerana sedikit kecewa kepada para pembesar Pakatan Rakyat. Bagi saya sebahagian mereka telah terlebih sudu dari pinggan dengan mengapi-apikan rakyat untuk menyalahkan Petronas....biarpun mereka tahu siapa pengkhianat negara yang sebenarnya.

Saya pernah terfikir sendirian kenapalah agaknya Petronas yang cuba dijadikan kambing hitam di dalam hal kenaikan harga minyak ini? Pasti ada rahsia di sebalik keghairahan menggila orang politik nie...Yang menariknya, menantu Memanda Menteri pun join sekali nak salahkan Petronas....kenapalah agaknyer yer? Nak jadi CEO? Nak ganti CEO sediada dengan orang politik? Nak kasi Petronas dipegang olah bangsa Malaysia? Entahlah hanya mereka dan keluarga mereka sahaja yang tahu jawapannya...

Saya sebenarnya masih menunggu mana-mana pimpinan PAS yang akan bangkit untuk mempertahankan warga kerja Petronas yang telah terinaya dalam permainan politik tak ikhlas ini...Dalam penantian saya selama sebulan ini, saya hampa.....Bahkan pesan saya kepada isteri, andai kata tiada pimpinan PAS yang membuat kenyataan agar jangan dipersalahkan orang Petronas secara melulu, saya akan memboikot Pilihanraya Umum seumur hidup.....

Mungkin ada pembaca yang merasakan saya over, namun mata memandang nampak tak berat pun...yang berat pada bahu yang duk pikul nie. Tak perlulah saya ceritakan apa yang warga Petronas lalui selama 2 bulan ini. Dalam emel pun dah belambak-lambak orang salahkan warga Petronas. Pelbagai fitnah yang langsung tak masuk akal bertebaran di sana sini sehinggalah ke tangga masjid, dah tak pelik apabila ada yang percaya...perghhhhhh.

Tunggu punya tunggu akhirnya hanya Tun Mahathir yang muncul secara terbuka membela warga Petronas. Sebagai penasihat Petronas, kenyataan Tun itu sememangnyalah antara tanggungjawab seorang penasihat. Berkecai harapan saya untuk meneruskan penantian ini...berkecai harapan untuk mendengar rayuan pimpinan PAS (yang sepatutnya menasihat) agar rakyat tidak salahkan kami. Nampak gayanya PRU 12 adalah yang terakhir buat diri ini. Saya petik sebahagian kata-kata Tun di bawah ini sekadar renungan bersama, sekian wasslam....

" Saya berasa amat sedih kerana ada orang menyalahkan Petronas kerana kenaikan harga minyak sehingga sanggup mengkasari beberapa pekerja Petronas yang memakai baju Petronas dan menolak-nolak mereka dalam keretapi komuter....." baca selanjutnya di sini

Thursday, July 10, 2008

Baju Kotor Atau Hati Yang Tak Bersih..

Salam buat semua...

Sepertimana yang dijanjikan, saya ingin kongsikan hasil kajian saya setelah hampir 3 bulan bermusafir. Kajian ini melibatkan para penumpang bas ekspress terutamanya wanita, yang mudah benar meninggalkan solat.

Fakta tidak rasmi yang saya kumpul ini menunjukkan peratusan wanita yang bersolat Subuh semasa perjalanan menghampiri sifar.... Selama saya berulang alik daripada Kuantan ke Butterworth, hanya seorang makcik tua yang turun mengerjakan solat Subuh di dalam perjalanan. Yang lainnya samada bertudung labuh sampai ke pusat telah la yang berpakaian tak sampai ke pusat, semuanya hanya memerhati dari di atas bas. Tak mungkin langsung dalam sebuah bas selama 3 bulan ini saya bermusafir, kesemua perempuannya sedang berhadas....tak logik. Tambahan pula, di dalam setiap perjalanan saya, tidak kurang daripada 15 orang penumpang adalah wanita.

Nak dikata tak cukup ilmu, siap bertudung labuh dan berstokin...malah pada setiap perjalanan saya pasti terdapat beberapa orang adik-adik siswi yang bertudung labuh. Entahlah, takkan semuanya uzur syarie serentak, dan takkan selama 3 bulan saya berulang alik nie, cuma seorang makcik itu jer yg tak uzur? Yang lainnya sekadar membuat muka tak malu sambil menunggu tok-tok lebai bas ekpress habis bersolat. Itupun puratanya hanyalah 3 orang sahaja...

Kesimpulannya...takder kesimpulan, tersimpul jer yang ada. Dan simpul inilah yang patut kita fikir dan rungkaikan untuk diperbaiki, bukan berperang bagai nak rak hukum mengangkat tangan sewaktu berdoa atau lain-lain perbalahan agama yang muak didengar. Bagi pembaca yang tak percaya, percayalah..........Saya tidak ragu dengan permerhatian saya, sepertimana mereka tidak ragu dengan fatwa mereka, "baju kotor, tak boleh solat". Bajunya mungkin kotor, tapi hati mereka confirm tak bersih...Wallahu a'lam, wassalam.

Serangan Tak Bertuan...


Salam semua...

Sejak dua menjak ni, saya kurang memblog kerana kesuntukan masa. Namun hasrat untuk menambah satu artikel baru terpadam seketika akibat serangan spam posting di abu-alfateh. Pelik juga memikirkan aktiviti spammer....blog cam abu-alfateh ni apa la sangat faedahnyer nak diserang-serang. Lainlah kalau saya mengusahakan skim cepat kaya ker...(tak yah pikir lah lagi senang).
Terima kasih kepada yang prihatin dan membantu...Insya Allah petang ni saya cuba usahakan satu posting hasil kaji selidik tidak rasmi saya terhadap peratusan orang ramai yang bersolat semasa dalam perjalanan....tungguuuuu....wassalam.

Sunday, July 6, 2008

Piper Alpha...tinggal kenangan

Salam semua...

Ketika mana majoriti rakan sibuk membicarakan bab liwat meliwat, sumpah menyumpah, tikam menikam.....dan ntah apa lagi cerita yang menyesakkan nafas, saya ingin kongsikan kisah kemalangan di pelantar minyak Piper Alpha. Kemalangan besar yang sering dijadikan iktibar di dalam industri minyak dan carigali. Sewaktu kali pertama saya menonton tragedi ini, air mata bagaikan mengalir tanpa dipaksa...entahlah, mungkin saya jenis yang sedikit sensitif.

Silalah ikuti slid di bawah untuk mengikuti kisah selanjutnya...




Ungkapan sakti yang sering menjadi penawar hati, iaitu "Unsung Hero" sering membuatkan diri ini insaf dan sedar. Hakikatnya betapa ramai manusia yang bekorban nyawa demi memakmurkan muka bumi Allah ini, dan jasa mereka tidak terbalas...Muga Allah Taala jualah yang membalas segala keikhlasan dan kebajikan mereka ini serta menjadikan bumi ini sentiasa aman dan makmur....amennn.