Sunday, January 27, 2008

Rawatan Bekam - Siri 2

KEHEBATAN RAWATAN DARAH

Sistem peredaran darah

Sistem peredaran darah amat penting bagi manusia kerana ia berfungsi mengangkut oksigen dan zat ke seluruh badan. Manusia amat bergantung kepada darah yang bersih dan sistem pengangkutan darah yang cekap. Jantung, paru-paru, urat (ateri dan vena), ginjal,limpa dan hati memainkan peranan yang amat penting kepada kita. Tugas mereka selama 24 jam tanpa henti seringkali diabaikan kerana majoriti manusia kini hanya peka kepada kesihatan luaran. Produk kecantikan dan kelangsingan badan selalunya lebih menjadi rebutan pengguna kerana kesan cantik dan langsing mudah dilihat sedangkan kesihatan dalaman tak siapa yang tahu.

Tuhan yang Maha Agung telah membina makhluknya bernama manusia ini daripada sel-sel yang terhimpun dan terbentuk dengan unik. Sel-sel ini yang wujud dalam pelbagai bentuk seperti organ, daging, otot, tulang mahupun kulit. Darah adalah sumber makanan kepada sel. Namun darah juga boleh menjadi musuh tersembunyi kepada kita jika kebersihannya atau pengalirannya terabai. Sistem peredaran darah yang sepatutnya memberi zat kepada sel tubuh, boleh juga bertindak sebaliknya dengan membawa darah yang tercemar dengan toksid, kolesterol, asid urik dan sebagainya. Oleh itu kotoran pada darah perlu dielakkan untuk menghalang penyakit disebarkan melalui sistem peredaran darah.

Jika tubuh kita diandaikan seperti sebuah kereta, ia memerlukan petrol untuk menggerakkannya. Darah boleh kita diumpamakan seperti minyak petrol dan jantung yang mengepam darah seperti sebuah enjin. Ginjal dan hati yang berfungsi menapis serta mencuci darah bolehlah dianggap sebagai karburator atau filter. Urat darah (ateri & vena) pula diibaratkan seumpama saluran minyak. Cuba anda bayangkan keadaan sebuah kereta yang menggunakan petrol yang tercemar. Pergerakannya tentu tidak lancar dan pastinya akan lebih kerap ke bengkel daripada meluncur di atas jalan. Walaupun setelah diservis, jika petrolnya masih tercemar masalah tetap akan berlaku semula. Hal yang sama juga akan berlaku jika saluran minyak kereta telah tersumbat atau bocor. Gunalah apa jenis petrol sekalipun, engin tetap akan meragam.

Maka keadaan inilah yang berlaku di dalam tubuh kita. Kebersihan darah dan kelancaran sistem peredarannya amat penting untuk memastikan kita tidak perlu menjamah ubat seperti memakan nasi. Darah yang kotor adalah disebabkan oleh corak pemakanan dan penjagaan kesihatan yang terabai. Manakala saluran darah pula tersumbat atau bertakung (blood stasis) disebabkan darah yang kotor atau wujudnya gangguan seperti :
• kemalangan kenderaan, sukan lasak, hentakan atau perkara berkaitan
• pakaian atau kasut yang ketat
• penagihan dadah, alkohol, rokok dan ubatan tertentu yang berterusan
• kesan pada bayi dalam kandungan akibat sebab-sebab di atas


Kajian Mengenai Pengumpulan Darah Kotor

Sekumpulan pakar daripada Syiria yang diketuai oleh Prof. Abdul Kadir Alias Al-Dairani, telah mengkaji secara klinikal mengenai pengumpulan darah kotor di dalam badan manusia. Mengikut kajian mereka, kebanyakkan darah kotor di dalam tubuh akan terkumpul pada kawasan belakang badan seperti rajah di bawah

Menurut hasil kajian beliau, darah kotor terkumpul di kawasan tersebut pada waktu malam semasa tidur dengan secara fitrah. Hal ini tidaklah bermakna tiada darah kotor yang terdapat pada kawasan lain. Bahkan kita telah sedia maklum, bagi orang yang mengalami penyakit ghout, kekotoran ini terkumpul di sendi, trombosis pula di urat peha, migrain di kepala dan lain-lain penyakit.

Kajian mereka juga mendapati pengaruh graviti bulan memberi kesan kepada corak pengaliran darah. Mereka mendapati wujudnya perbezaan pengaliran darah pada kitaran bulan di separuh pertama (1-15) dengan separuh berikutnya (16-30). Kajian yang ini dibuat berasakan kepada hadith Nabi SAW yang menganjurkan berbekam pada hari yang ke 17, 19 dan 21 kalender Hijriah. Prof Abdul Kadir juga mendapati darah kotor akan mula terkumpul pada usia 20-an bagi lelaki dan 50-an (setelah putus haid) bagi wanita. Sehubungan itu mereka mencadangkan perawatan bekam dilakukan mengikut masa dan kawasan tertentu sahaja untuk mendapatkan manfaat yang maksima. Kaedah dan tatacara bekam yang dicadangkan beliau akan dibincangkan dengan lebih terperinci pada Siri 4.


Kebaikan Berbekam

Ahli perubatan tradisional biasanya menyatakan bahawa bekam boleh mengeluarkan angin, darah kotor dan racun di dalam badan dengan tidak dihuraikan secara terperinci bagaimana semua ini berlaku. Maka di bawah ini adalah beberapa penjelasan yang lebh mendalam berhubung keunikan rawatan darah ini :

1. Bekam menyebabkan imflammation (kawasan kulit menjadi lebam atau kemerahan), berpunca daripada pengaliran darah meningkat di kawasan tersebut akibat tarikan vakum. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak zat yang diperlukan oleh sel dibekalkan seterusnya meningkatkan metabolisma sel di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, otot dan sel akan kembali segar dan pulih seperti asal tanpa aplikasi ubat-ubatan.

2. Imflammation juga dapat menggalakkan rembesan hormon, enzim dan antibodi bagi tujuan kesembuhan secara fitrah. Prinsip ini juga menjadi asas kepada beberapa kaedah pengamal perubatan alternatif termasuklah kaedah akupuntur menggunakan lebah (bee acupunture).

3. Pengeluran darah melalui berbekam secara tidak langsung dapat meningkatkan penghasilan sel darah baru yang dapat memberi kesegaran semula jadi pada badan. Hal ini disebabkan sel darah akan mati setelah sekian lama bergerak di dalam tubuh. Sel yang mati perlu digantikan dengan penghasilan sel darah merah yang baru di sum-sum tulang.

4. Sejumlah kotoran yang terkumpul seperti diterangkan sebelum ini akan tertarik ke bawah kulit semasa berbekam. Kotoran ini boleh dikeluarkan dengan mudah apabila kulit ditusuk semasa berbekam. Jika kulit tidak ditusuk, kotoran ini tetap juga dikeluarkan pada suatu jangka masa melalui berpeluh.

5. Bekam juga dapat mengaktifkan pergerakan otot, saluran darah, saraf dan pengaliran cecair badan yang lain seperti cecair limfa. Cecair limpa telah dikenal pasti sebagai agen untuk melawan penyakit dan digerakkan ke suluruh tubuh melalui pergerakan otot. Oleh itu, bekam akan meningkatkan sistem ketahanan badan (imuniti) sekaligus memberi kesan positif secara fitrah.


Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-3 : "Tatacara Rawatan"

No comments: