Sunday, April 17, 2011

Nasihat dari 'Wali Allah' untuk bakal Haji...


Salam semua,

Minggu lepas saya tersempak dengan Ustaz Zawawi yang menjadi guru pembimbing kami di Mekah. Rupanya beliau sedang bersiap untuk mengadakan kelas bimbingan di Masjid Negeri untuk sesi petang. Sekejap sahaja rasanya berlalu musim Haji lepas, kini para bakal haji kembali giat berkursus. Syahdu juga mengenangkan kisah di Mekah dan Madinah, biarpun saya sebelum ini lebih suka menyimpan semua kisah tersebut secara peribadi.

Tahun lepas, saya sebenarnya cuma sekadar mengikuti kelas intensif untuk bakal haji dalam kategori KIV. Ilmu pun sekadar 'cukup makan' sebelum keghairahan saya 'melambung' naik setelah membaca buku Travelog Haji karangan Prof Muhd Kamil. Perkongsian ilmu dan pengalaman beliau sangat memotivasikan saya untuk lebih bersungguh berdoa dan berusaha yang akhirnya status KIV saya telah bertukar pada saat-saat akhir. Alhamdulillah...

Seminggu sebelum bertolak pula saya sempat bertemu dengan seorang teman di Masjid Sultanah, Kedah. Beliau pada penilaian kasar saya adalah seseorang yang mempunyai 'perhubungan istimewa' dengan Allah. Beliau menasihati saya agar sentiasa amalkan 2 perkara penting iaitu :
a) Berdoa agar dipilih menjadi 'tetamu Allah'
b) Jangan duk menyibuk dengan tindakan/ibadah jemaah haji lain

Alasannya yang diberikannya sangat mudah. Jika kita terpilih sebagai tetamu Allah, sudah pasti Dialah yang akan menjaga setiap urusan kita di sana sebagai tetamuNya. Sebagai tetamu, kita cuma perlu menjaga akhlak dan tidak terpesong daripada tujuan asal ke Mekah, yakni untuk beribadat. Perlu fokus kepada ibadat diri sendiri daripada fokuskan ibadat orang lain...

Petua daripada dua insan istimewa ini saya amalkan dengan bersungguh dan penuh harapan. Alhamdulillah, daripada seorang bakal haji yang berstatus KIV, saya terpilih untuk mengerjakan haji dengan layanan istimewa ala-ala VIP. Alhamdulillah saya dipermudahkan dalam hampir semua urusan, daripada sebelum bertolak sehinggalah selamat kembali ke tanah air. InsyaAllah, jika diizinkanNya saya akan kongsikan beberapa pengajaran bermakna yang boleh dijadikan iktibar buat semua nanti. Saya doakan moga para 'tetamu Allah' di tahun ini akan beroleh kebajikan dan keberkatan yang berlipat ganda jua, ameen. Sekian dahulu, wassalam.

Thursday, April 14, 2011

Amalan manusia hebat!



Salam semua,

Mari kita renungkan beberapa amalan untuk jadi hebat:

a) Bertapa selama 15 hari 15 malam tanpa makan, melainkan minum air kosong sahaja. Perlu membaca ayat tertentu dalam bahasa Arab yang tak berapa difahami sepanjang pertapaan. Selepas tamat pertapaan, anda memperolehi kuasa hebat termasuklah untuk 'tarik duit'!

b) Menyertai program realiti TV dan menjadi juara!

c) Menyertai syarikat jualan langsung 'terhebat' dan lansung menjadi jutawan segera!

d) Menjadi hamba Allah yang berSYUKUR!

Yang mana satu pilihan anda? Nak power, nak glamour, nak harta atau nak pahala. Bersyukur akan menjadikan kita manusia hebat. Semakin banyak kita bersyukur, semakin hebatlah jadinya. Namun tak ramai yang yakin dengan kaedah paling mudah ini.

Ramai manusia mencari kehebatan dari jalan yang salah lantas menempah masalah. Ramai juga yang hebat, tak bersyukur pun, malah ego pula bertambah. Lebih ramai pula yang tak rajin bersyukur, tapi mulutnya sentiasa terkumat kamit bercerita masalah. Pilihan di tangan masing-masing.

Saya ingin berkongsi satu kaedah bersyukur yang diajar oleh Prof Muhaya pada seminarnya 2 minggu lepas. Sebelum tidur, cuba ingat kembali satu persatu kemudahan yang Allah berikan di sepanjang hari dan bersyukurlah dengan ikhlas. Kemudian, cuba bayangkan pula kejayaan yang bakal datang untuk hari esok. Sebarang perkara yang ingin anda lakukan pada hari esoknya, sudah siap dibayangkan kejayaannya dan disyukuri dengan penuh harapan. Lakukan perkara ini selama seminggu, pasti anda tersenyum melihat hasilnya InsyaAllah. Sekian dahulu untuk perkongsian ringkas kali ini, wassalam.



Saturday, April 9, 2011

Minda segar yang hebat...



Salam semua,

Hari ini saya ingin mengajak pembaca budiman untuk mengenali kehebatan minda. Biarpun saya masih lagi dalam proses pembelajaran, perkongsian ini harapnya akan memanfaatkan kita semua. Mari kita bermula dengan satu ujian mudah:

1) Cuba anda JANGAN bayangkan seekor GAJAH PUTIH! Apa yang anda nampak sekarang?

2) Cuba bayangkan pula anda sedang menikmati aiskrim yang paling sedap pernah anda makan...Apa pula yang anda nampak?

Saya cuma ingin anda yakin kita sebenarnya dapat melihat apa yang kita mahu dan tidak mahu fikirkan. DAlam ujian ini, 'minda sedar' akan menolak kehadiran seekor gajah putih di fikiran, namun minda separa sedar atau 'minda segar' pula pantas mencari gambar gajah tersebut. Minda sedar akan memikirkan dengan logik, manakala minda segar menerima apa sahaja yang terlintas.

Kedua-dua perbezaan di atas perlu diguna dengan berkesan jika kita mengidam untuk hidup secara 'luar biasa'. Hal ini akan menetukan kehidupan kita seharian, apa yang kita katakan atau nafikan kepada diri kita akan sentiasa bermain di dalam minda segar kita. Secara purata, 70 peratus daripada komunikasi seorang manusia berlegar pada dirinya sendiri. Pastinya kita perlu memilih kata-kata yang cukup positif untuk memastikan minda segar kita berfikir secara positif.


Manusia yang berfikiran negatif akan sentiasa memasukkan elemen negatif pada minda sedar dan segarnya. Pemikiran sebegini akan membentuk tindakan yang negatif dan tentu sahaja menarik kesudahan yang penuh kedukaan. Bak kata pepatah; sudah jatuh di timpa tangga, di manakah kebenarannya? Kebenarannya adalah pada cara berfikir dan apa yang diprogramkan ke dalam minda. Manusia yang berfikiran negatif akan sentiasa diselubungi perasaan negatif terhadap setiap yang berlaku disekelilingnya. Baginya semua cubaan adalah malang dan membawa masalah besar kepadanya. Berlawanan dengan insan hebat yang berfikiran positif, mereka melihat segala macam yang berlaku di dunia ini sebagai cabaran kecil yang ada rahmat tersembunyi.

Untuk berjaya, kita perlu sentiasa fikirkan kejayaan. Untuk memikir kejayaan, setiap deria perlukan sentuhan kejayaan. Untuk menjaga deria, kita perlu fokuskan mata, telinga dan kata-kata agar yang masuk dan keluar adalah perkara yang positif dan hebat. Biarpun dikatakan hanya 5 peratus sahaja daripada jumlah semua manusia berfikir sebegini, kita boleh sahaja masuk ke dalam kumpulan ini dengan izin Allah.

Kitalah insan hebat yang dipilih Allah satu daripada 300 juta sel mani, sebelum disenyawakan di tempat yang mulia di dalam rahim. Kitalah bayi yang pernah dikandung 9 bulan dengan penuh pengharapan dan dilahirkan dengan penuh kesyukuran. Kitalah anak kecil yang mendapat segala belaian dan dicurahkan segala kasih sayang. Kitalah manusia hebat yang diamanahkan untuk memerintah dunia ini dengan sunnah dan syariat Allah. Kitalah yang memilih untuk mengikuti jalan yang benar atau jalan yang salah...Sekian dahulu, wassalam.

Thursday, April 7, 2011

Manusia racun atau insan nutrisi?


Salam semua,

Hari ini saya amat bersyukur kerana telah dijemput untuk mengisi slot 'energizer' bagi satu program di pejabat. Saya bersyukur kerana terus dapat berkongsi sedikit ilmu perihal hidup positif yang baru dihadam pada hujung minggu lepas. Saya bersyukur kerana segalanya berlangsung dengan baik. Niat saya untuk menjadi manusia nutrisi termakbul dengan agak cepat.

Sebolehnya, saya ingin berkongsi dengan semua manusia disekeliling saya perihal hidup secara positif ini. Terharu sungguh apabila mengenangkan masa yang terbuang selama ini dengan sesia. Juga terharu kerana perlakuan sendiri yang tidak mendatangkan impak yang cemerlang. Terharu mengenangkan kealpaan dalam mendidik anak-anak, terutamanya melibatkan minda segar mereka. Saya baru sedar yang umur 0 hingga 6 tahun adalah masa terbaik mendidik mereka melihat, mendengar dan merasa dengan tepat. Saya baru tersedar betapa cepatnya persepsi terbentuk pada seorang anak kecil yang bakal digunakan semasa kehidupan dewasanya. Saya baru tersedar betapa kita patut memilih untuk hidup secara luar biasa dengan amalan yang tidaklah sesukar mana. Saya baru tersedar betapa pentingnya untuk mengubah diri daripada menjadi manusia racun kepada menjadi insan nutrisi. Semuanya bergantung pada minda!

Menjadi insan nutrisi adalah skrip kehidupan baru yang telah saya programkan pada minda ini. Insan nutrisi adalah manusia yang mampu berkongsi kecerian, keharmonian dan segala macam kebaikan lain dengan insan disekelilingnya. Sifat manusia nutrisi pastinya berlawanan dengan dengan manusia racun yang pemikirannya, percakapannya, tindakannya dan segala macam perkara yang keluar darinya merosakkan insan disekilingnya. Mudah-mudahan Allah akan permudahkan cita-cita dan niat yang murni ini, ameen. Sekian dahulu wassalam.

Sunday, April 3, 2011

Kembali ke alam bayi...


Salam semua...

Alhamdulillah, sesi bersama Prof Muhaya semalam sangat melegakan. Melegakan minda, melegakan nafsu, melegakan emosi dan melegakan fizikal yang selama ini dah sedikit hilang keseimbangan. Pengalaman bersama Prof menjadikan saya kembali berfikir seperti seorang bayi...Ya, bagaikan seorang bayi yang comel selepas dilahirkan ke alam ini.

Bayi tidak punyai musuh, dan tidak fikirkan tentang musuh. Bayi tidak mengata orang dan tidak ada orang mengata perihalnya. Bayi sangat positif terhadap semua benda, dan seluruh alam positif terhadapnya. Bayi tiada perasaan negatif dan tiada sesiapa yang negatif terhadapnya. Bayi suka senyum kepada sesiapa sahaja dan siapa sahaja pasti tersenyum kepadanya. Bayi melihat dunia dengan penuh kegembiraan dan membawa kegembiraan kepada orang disekelilingnya...

Marilah kita mengubah diri kita dengan mengubah minda. Dengan minda, kita boleh membuat pelbagai perkara termasuklah mengubah dunia! Dengan minda yang betul dan mengikut syariat yang dibawa Rasul, kita bakal ke syurga...Ameeen.

Friday, April 1, 2011

Masuk bengkel bersama Prof Muhaya Mohamad


Salam semua,

Esok pagi saya dan isteri akan mengikuti Bengkel Kuasa Minda yang dikendalikan oleh Prof Muhaya Mohamad. Kepada sesiapa yang masih tidak mengenali Prof Muhaya, anda boleh melawat FB beliau di sini atau mengikuti siri ceramah beliau di radio IKIM di sini.

Saya sangat mengkagumi mutiara kata yang disampaikan oleh Prof setiap hari Rabu di radio IKIM. Terlalu banyak sentuhan katanya yang menyentuh hati, terutamanya untuk insan lemah ini. Mudah-mudahan saya akan dapat menjejaki langkah beliau di satu hari nanti, insya Allah. Sekian dahulu, wassalam.


http://ikimfm.my/ikimfm/images/islam_itu_indah/III%2020110105.mp3>

Thursday, March 31, 2011

Imam Mahadi muncul lagi, kat KL plak dah!


Salam Semua,

Lepas sahaja solat Isya' tadi, saya sempat bersantai beberapa rakan yang mebicarakan perihal ajaran sesat yang melanda di ibukota. Katanya amir jemaah pernah menjadi dalang skim cepat kaya tidak lama dahulu. Kini, beliau ini sedang giat mengumpul dana dari pengikutnya untuk persiapan Kiamat!

Paling mengkagumkan, ada di antara mereka yang sanggup berhutang dengan along demi guru laknat tersebut. Mereka ini kini bersembunyi di sebuah kota suci lagi rahsia...Hampehh dok ada. Selepas beratus-ratus 'imam mahadi belacan' muncul di Malaysia, ada lagi yang masih tak paham-paham. Baru cap belacan dah ada yang kena 'screw', belum yang cap ikan tenggiri biru lagi. Jahil sangatkah bangsa Melayu, bodoh sangatkan umat Islam, entahlah...Kalaupun bukan imam mahadi cap belacan, negro Liberia hantar email pula yang dilayan.

Kepada pembaca budiman, berpesan-pesanlah kita pada orang di sekeliling. Janganlah sampai penyakit jahilnya berkulat, kudis sesatnya melarat, bodoh email palsunya terjerat, kita pun nanti turut termusibat...Sekian dahulu, wassalam.



Saturday, March 12, 2011

Set Rawatan Bekam


Salam Semua,

Jika anda ingin membeli set bekam berkualiti, kebiasaannya ia dijual di kedai yang menjual peralatan salun dan spa. Adakalanya set bekam yang lebih murah dijual di pasar malam atau pasar tani. harganya agak murah, namun besar kemungkinan pam vakum yang disediakan adalah jenis yang agak mudah rosak. Kualiti alat bekam bergantung kepada jenis pam dan bilangan cup, pilihan di tangan anda. Pen bekam dan lancet pula mudah didapati di mana-mana farmasi yang berdekatan. Anda juga boleh membeli alcohol swab di sana. Secara mudahnya, peralatan bekam bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dicari.

Jika anda inginkan cara yang lebih mudah, sila lawati blog Ustaz Ahmad di sini, dengan harga sekadar RM150 termasuk wang pos. Ustaz Ahmad seorang yang aktif menjalankan rawatan perubatan Islam di sekitar Lembah Klang dan tidak lokek berkongsi ilmu di ruang maya. Beliau juga merupakan salah seorang daripada guru saya. Selamat maju jaya buat Ustaz...wassalam.

Nota : Set rawatan bekam yang lengkap hanya digunakan bagi perawat sahaja. Bagi pembaca yang belum pernah mengikuti kelas berbekam, jangan cuba-cuba merawat!

Thursday, March 10, 2011

Rezeki datang menggolek...


Salam semua...

Saya ada satu soalan berbentuk satu keadaan yang ingin dikongsikan bersama pembaca budiman untuk dijawab sendirian.

Keadaannya:
Sebuah lori yang penuh dengan muatan buah tembikai secara tetiba terbalik hampir 200m di hadapan kereta anda. Anda turun dengan niat ingin membantu, kerana terlalu banyak buah tembikai yang bertaburan di atas jalan. Anda pun mengutip sebiji dua daripada menghalang laluan, namun masih banyak lagi yang berterabur...Apa anda nak buat dengan buah-buahan tersebut?

Jawapan pilihan saya:

Saya akan meneruskan perjalanan tanpa menolong pemandu malang tersebut. "Tunggu kalu, nanti bala duk mai", kata orang kampung saya. Malang sekali kerana ada falsafah songsang yang menjadi anutan sebahagian rakyat Malaysia untuk kes seperti ini. Umum lebih senang merembat buah tembikai daripada menolong pemandu yang malang tadi. Umum lebih rela memakan makanan yang dirembat hasil sedemikian tanpa was-was.

Entah di mana silapnya, di mana salahnya, apa dalilnya, siapa yang mengeluarkan hukum, siapa yang berfatwa, tiada siapa yang peduli. Yang penting, rezeki...Kata mereka "rezeki datang menggolek". Saya tambah, "golek terus masuk neraka", nau'zubillah...sekian dahulu buat malam ni, wassalam.



Nota: Kejadian ini sebenarnya pernah terjadi pada saya kira-kira 10 tahun lepas. Lebih malangnya, seorang pak aji yang berserban turut sama mengutip buah tembikai yang bertaburan sambil memasukkan ke dalam raga motorsikalnya...alahaiii.

Sunday, March 6, 2011

Al Fatihah buat Allahyarham Prof Najmuddin Erbakan

Salam semua,

Tiada kata yang dapat diucapkan Saya sekadar menyampaikan berita sedih ini dengan harapan agar semua pembaca budiman dapat mendoakan kesejahteraan buat Almarhum Prof Najmuddin Erbakan yang telah meninggalkan kita...Al Fatihah.


Petikan daripada Blog Ustaz Halim : Inilah Jalanku

"Moga Allah swt merahmati Al-Marhum, menempatkannya di Syurga Firdaus bersama para Nabi-nabi, Siddiqiin, Syuhadak dan Solihin. Mereka adalah sebaik-baik teman di Akhirat kelak. Moga Allah swt memberi taufik dan hidayahnya kepada kita agar mencontohi perjuangan dan kesabaran beliau, serta kelebihan beliau yang sedikitpun kejayaan pengajian uniersiti dan kariernya tidak dapat memesongnya walau seinci dari tugas yang lebih besar, lebih utama dan mendapat ganjaran yang lebih besar di Akhirat, itulah tugas para Rasul as, berada di Jalan Dakwah yang berkat ini. Ameen."



Thursday, February 24, 2011

Memberi tanpa syarat...

Salam buat semua,

Saya mulai posting kali ini dengan satu soalan ringkas. Jika anda diberi pilihan untuk menerima RM1000 atau menderma dengan jumlah yang sama, mana satu pilihan anda? Saya sendiri lebih condong untuk menerima dari menderma...Adakah saya tersalah pilih? Adakah saya punyai pilihan yang lebih baik? Sejauh manakah kita menerima konsep "tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah"? Secara jujurnya saya tak mampu nak berkongsi jawapan bagi beberapa soalan ringkas ini...

Cadangan saya kepada pembaca budiman, sila tonton video klip di bawah. Anda tentu sahaja mengenali Prof Dr Muhaya yang cukup popular di dalam siri rancangan di RTM, Astro Oasis dan Radio IKIM. Rasanya jawapan beliau lebih mudah dan ringkas untuk difahami bersama. Kepada yang berminat, selamat bersiaran...Wassalam.



Wednesday, February 23, 2011

Dalam Susah Ada Senang...Sabar & Ambil Iktibar

Salam buat semua,

Posting kali ini sekadar nak share satu video klip yang mungkin patut ditonton oleh semua. Kita belajar istilah sabar, namun kita kurang mengambil iktibar. Kila belajar istilah syukur, namun kita juga yang selalu tesungkur. Kita belajar istilah redha, namun bila diuji kita 'bercempera'...Ingatan kepada pembaca dan diri sendiri: "Sendiri Mau Ingat! Sekian, wassalam.


Sunday, February 13, 2011

Lagu Buat Kekasih...

Salam semua,

Sehari dua ini kecoh satu Malaysia membincangkan Hari Kekasih yang umum mengetahui ia diraikan di seluruh dunia tanggal 14 Februari. Buat julung kalinya juga pihak berwajib membuat kempen besar-besaran menolak sebarang keraian terhadap tarikh ini. Malah pihak media massa juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama di dalam kempen menolak keraian hari kekasih, menakjubkan! Biar apa yang tersirat, biar apa pun muslihat, biar dihujani pelbagai pendapat, biar pun ramai yang merasa 'ketat', biarkanlah...Terimalah apa yang bermanfaat dan yang berberkat.


Cerita di Tanah Suci

Sejak pulang dari tanah suci, saya sering ditanya perasaan semasa berhadapan Kaabah. Saya sebenarnya sukar menjawab soalan sebegini kerana ada perkara yang patut dan yang tidak patut diceritakan kepada khalayak. Namun secara jujurnya, hati saya lebih terkesan apabila menziarahi makam Nabi SAW di Madinah. Mudah-mudahan Allah akan menjemput saya sekeluarga untuk kembali ke sana memperbaiki sebarang kekurangan yang ada disamping dapat lagi menziarah makam kekasih yang tercinta, bersama dua sahabatnya yang mulia.

Terasa kerdil bila berhadapannya, terasa malu untuk menyapa, sungguhlah mulia insan yang dipilih bersama, bersama hingga ke akhir nyawa, disemadikan pada pula di makam bertiga...

Saturday, February 12, 2011

Rumah Sihat Bekam

Salam buat semua,

Sejak sekian lama, saya cuma mengetahui hanya klinik Akubekam (kendalian Dr Halena) sahaja yang menawarkan rawatan bekam secara profesional sepenuhnya. Namun bebaru ini saya dimaklumkan terdapat satu lagi pusat rawatan yang turut tak kurang hebatnya dengan peralatan dan bilik rawatan yang canggih iaitu Rumah Sihat Bekam (kendalian Tn Hj Mohd Yunus) yang beroperasi di sekitar Batu Caves.


Sila tontoni klip video di bawah untuk maklumat lanjut.


Thursday, February 10, 2011

Minggu ceramah...

Salam semua,

Sepanjang minggu ini secara kebetulan saya kerap pula dijemput berceramah. Bermula dengan ceramah kerjaya di SEMSAS, disusuli ceramah kesihatan rawatan bekam di tempat kerja. Hari ini saya diminta pula memberi taklimat HSE di Institut Latihan Perindustrian, Gebeng. Kebiasaannya rutin sebegini jarang sekali berlaku, entah apa hikmahnya? Penatnya memang terasa tetapi seronok pun ada.

Saya bukanlah pandai sangat bercerita, apatah lagi untuk bercakap secara terbuka. Setiap ceramah saya sahaja ada perkataan yang sepatutnya tak diperkata, pasti juga ada perkataan yang keluarnya tak disengaja. Harapnya saya akan lebih berhati-hati di lain masa, lebih teliti dalam menyampaikan berita. Seronok sangat apabila melihat seseorang yang apabila di atas pentas perkataannya mulia, perbuatannya bersahaja malah mampu pula membuat para hadirinnya terpesona.

Update: Selepas Solat Isya'

Sebenarnya sejak di Tanah Suci lagi saya berniat untuk menyampaikan ceramah sedemikian sambil berkongsi-kongsi pengalaman. Saya tak pandai berkuliah persis seorang ustaz, bahkan nak jaga diri sendiripun sekadar cukup syarat. Namun saya minat berkongsi ilmu sekadar untuk mereka yang berminat.

Cemburu sungguh saya melihat kesungguhan Prof Muhd Kamil Ibrahim yang giat berceramah setelah kepulangannya dari tanah suci Mekah. Betapa beliau sanggup bersusah payah demi untuk menunaikan tuntutan berceramah. Beliau bukanlah sebarang pendakwah, bagi saya beliau seumpama Wali Allah. Sukar sekali di zaman ini untuk menemui manusia yang berpangkat tinggi namun egonya rendah. Lebih sukar untuk mencari manusia sedemikian yang begitu komited untuk beribadah serta berdakwah. Saya sangat cemburu dengan Prof Kamil...mudah-mudahan saya mampu segigih beliau satu hari nanti Insya Allah.

Cemburu juga bila menonton klip video di bawah ini, melihat kepetahan si penceramah kegemaran, bro Yusuf Estes. Kepada semua pembaca budiman, selamat bersiaran, wassalam...