Friday, August 27, 2010

Melabur di dalam hutan...


Salam Ramadhan...

Sejak menjadi peminat Facebook, minat saya untuk mengarang mulai luntur bagaikan kain yang direndam 'klorox'. Mungkin kerana komen di Facebook agak cepat berbalas berbanding di blog membuatkan jiwa manusia lebih kuat tertarik pada laman ini. Ada yang bercerai berai kerananya malah ada yang terjumpa jodoh di sana. Biarpun begitu, bagi saya Facebook samalah seperti TV, ada baik dan buruknya. Terpulang kepada siapa anda dan sejauh mana nak dimanfaatkannya.

Sejak dua menjak ini, saya kembali mengingat memori lama. Antara yang kembali ke ingatan adalah pengalaman berkelana di dalam di hutan yang beratapkan dedaun dan berlantaikan tanah. Tambahan pula minggu lepas, saya mendapat inspirasi seorang teman lama di USM yang sama-sama bergelar 'askar pencen' sekarang. Biarpun di dalam ROTU beliau lebih senior dari saya, umurnya sebaya dan kami sama mendaftar ke USM dari negeri yang sama. Beliau memotivasikan saya kembali ke pentas blog untuk berkongsi cerita.

Kisah budak ROTU di hutan sebenarnya lebih perit dirasa dari dicerita. Namun apabila kami semua keluar sahaja dari hutan, semua kisah perit dan bahana belasahan pegawai menjadi tanda 'kehebatan' bagi si Pencerita. Bahkan ada juga yang menjadi bahan lawak jenaka setelah mengenang kembali saat-saat getir yang dilalui, termasuk sesetengah adegan ngeri yang boleh mencabut nyawa...

Dalam semua peristiwa semasa di ROTU, yang paling terkesan di hati saya adalah semasa khemah tahunan ke-2. Kami dikerahkan ke hutan Grik (kalu tak silap saya) dan dipecahkan kepada 3 Kompeni dengan kawasan pertahanan masing-masing. Kompeni saya agak malang kerana terpaksa bergerak jauh ke atas bukit sementara 2 kompeni lain sekadar di tepi sungai dan di kaki bukit sahaja. Sebelum bergerak lagi kami mendapat ujian pertama apabila hampir separuh skot saya telah cirit-birit angkara sayuran makan tengahari yang dijamah sehari sebelumnya. Saya bernasib baik tak terkena kerana saya kurang memakan sayur, tapi masih perlu membantu membawa barangan kengkawan yang sudah lembik akibat cirit.

Melihat nasib kengkawan sedemikian, kami cuma pasrah menanti perit berikutnya kerana tempat tujuan masih lagi rahsia dan belum diketahui keadaannya. Kami semua cuma mendaki mengikut langkah jurulatih yang terkenal dengan mulut 'capoi'nya, Staff Salleh. Biarpun kami dalam keadaan perit, Staff sempat lagi membaling bom mortar secara tiba-tiba menandakan kami telah diserang. "Adoihhh, belum masuk hutan dah kena!", saya merungut sendirian. Namun semua kami sudah dilatih dengan prosidur TSM (tindakan serta merta) semasa diserang. Setelah selesai bertahan dan keadaan terkawal, kami pun membuat 'grouping' bersama-sama ketua kompeni. Didapati dua orang anggota telah hilang, termasuklah 'buddy' saya Pok Ya yang berasal dari Kelantan. "Mampuih dah aku", bisik hati saya, memikirkan balasan yang bakal diterima dari staff. Namun belum pun sempat saya dibelasah, Pok ya muncul dari dalam semak dengan muka yang masih pucat dan melapor diri. "Saya pergi melabor staff", jerit Pok Ya sambil sedikit tersenyum. "Mana lagi sekor (seorang)?" balas Staff Salleh. "Dia ada duit banyak staff, belum habis lagi melabor", kata Pok Ya dengan senyuman yang makin melebar. Melihatkan Staff Salleh tersenyum lebar, hati saya kembali lega..."habis dah satu bala".

Kami semua diminta berehat di situ dan Staff Salleh hilang entah ke mana. Setelah kembali, dia membawa bekalan ubat untuk diberikan kepada skot yang 'tercirit' sebelum berjuang. Kami dimaklumkan akan kembali bergerak selepas makan tengahari kerana terlalu ramai skot yang masih keletihan akibat terlebih 'melabor'. Sebenarnya Staff Salleh memang terkenal dengan perangainya yang sedikit pelik. Ada masanya kami akan melihat dia berqiamullail di surau, solat bejemaah lima waktu solat malah turut mengikuti usrah bersama-sama mahasiswa lain. Namun, bila sahaja dipakainya uniform, waraknya hilang sepantas coklat chipsmore. Maki hamun beliau adalah yang ter'power' di kalangan semua jurulatih kami. Makiannya semakin menjadi-jadi jika skot wanita yang buat hal. Saya beranggapan Staff Salleh bertindak sedemikian kerana beliau tak begitu gemar wanita menyertai kadet ROTU. Syukurlah kerana kompeni kami hari itu tak disertai oleh kadet wanita, menandakan langit bakal cerah buat kami semua di dalam hutan nanti.

Setelah siap berehat dan menjamu selera, kami bersiap untuk bergerak ke destinasi yang masih dirahsiakan. Baru 20 minit bergerak, kami dikejutkan lagi oleh satu jeritan...kisahnya akan disambung selepas terawih nanti Insya Allah.


Tuesday, August 10, 2010

Sabar atau bersyukur, pilihan anda...


Salam semua

Jika anda diberi pilihan antara sabar atau syukur, yang mana satu agaknya pihihan anda ya? Selalu sahaja kita diminta bersabar atas dugaan yang menimpa, musibah yang terkena atau kesedihan yang tak terduga...Ayak skema dari kengkawan adalah, sabarlah. Namun sabar selalunya ada batasan, terlebih sabar boleh angin satu badan.

Ada orang yang mudah marah dan cepat reda, dia tak perlu dan tak sempat pun nak bersabar. Ada orang yang cepat sedih dan cepat reda, dia pun tak perlu bersabar. Ada orang yang lambat nak marah, cepat sedih dan lambat juga reda marah dan sedihnya....dia ni jenis selalunya suka bersabar. Manusia jenis ni juga jenis yang kekadang bila dah terlalu banyak bersabar akan meletup!

Cadangan saya kepada manusia jenis ini dan pembaca sekalian, berbanyaklah bersyukur. Sabar itu baik, namun bersyukur lebih mudah memberi ketenangan. Kita bersabar apabila telefon bimbit kita dicuri orang, tapi hati masih terbakar pada si pencuri. Jika kita bersyukur sebab hanya telefon bimbit sahaja yang hilang, nyawa tak hilang...hati pon tenang. Banyak contoh lain yang berlaku dalam hidup kita seharian boleh mendatangkan ketenangan jika kaedah ini diaplikasikan.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama bersyukur di atas segala ujian, cabaran, masalah, musibah, bala, bencana dan segala macam benda yang berkaitan dengannya. Selamat beramal! Wassalam.

Sunday, August 1, 2010

Keluarga Bahagia...kehendak siapa?




Salam semua...

Sejak 3 hari lepas, saya terlekat depan TV menonton program Tanyalah Ustaz jam 7.00 pagi. Hati mana yang tak sejuk jika dihidangkan santapan rohani daripada Ustaz Hanafi Abdul Malek yang cukup bersahaja tapi penuh isi. Dalam ramai-ramai ustaz yang berceramah kat TV sekarang, saya boleh bagi 10/10 pada Ust Hanafi. Mungkin pengalaman beliau sebagai Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia serta Pengarah Rumah Sahabat (SIDIM) banyak membantu dalam menghuraikan permasaalahan keluarga abad ini.

Beliau bukanlah pakar motivasi, bukan juga sarjana, bukan EXCO agama negeri, jauh sekali nak menagku tera. Namun bagi saya, terlau banyak mutiara yang beliau kongsikan sejak 3 hari lepas. Mungkin ada yang sedar atau buat-buat tak sedar, setiap kita mempunyai kelemahan tersendiri dalam membentuk keluarga. Bahkan, mungkin sahaja kita juga telah dilanggar ombak badai yang membuatkan keluarga huru hara.

Betapa tidaknya, anak sudah menendang ibu di muka, anak juga sudah pandai menetak si bapa, ayah pula sumbang dengan anak sendiri dan ibu pula enjoy tak sedar diri...Inilah realiti masyarakat kini, yang perlu kita hadapi. Ustaz Hanafi telah melaksanakan tanggungjawabnya bersama SIDIM, melayan karenah masyarakat yang tersesat. Sebab itu jualah beliau cukup mendalami permasaalahan keluarga yang dipandang enteng oleh sebahagian besar kita. Bila anak dah rosak, baru nak ternganga!

Saya tak berkesempatan nak catatkan segala celoteh Ustaz dalam posting yang ringkas ini. Sekadar nak ingatkan diri sendiri dan pembaca sekalian dengan satu pesanan ringkas daripada ustaz, "belajarlah cara sebenar untuk bekeluarga, berdoalah dan bersyukurlah sebanyak-banyaknya...Insya Allah, anda akan berjaya, ameen. Wassalam.

Monday, July 19, 2010

Ureka.asia, i like!



“Sebab BN mengamalkan politik Nasi Kandar. Nasi Kandar dikuasai oleh hanya satu kumpulan manusia ia itu Mamak. Dan Mamak berjaya menarik Melayu,Cina dan India dengan menggunakan kas-kas. Tanpa kas-kas…masakan Nasik Kandar tak akan sedap. Dan Melayu, Cina dan India terperangkap dengan ketagihan kas-kas. Mereka yang ketagihkan kas-kas, tidak akan dapat meninggalkan Nasi Kandar.

Politik Pakatan Rakyat pula merupakan politik daun kari. Daun kari hanya digunakan bila nak memasak. Tapi bila dah masak, daun kari dibuang ketepi. Lama-lama…daun kari merajuk dan tak mau berdaun lagi.”

Cerita di atas adalah petikan daripada laman Ureka.asia yang menceritakan kisah politik dengan cukup santai. Jika anda berminat nak tahu kisah selanjutnya, sila klik di link.

Sunday, July 18, 2010

Mari teka dialog...


Salam semua....

Sudah agak lama saya kuburkan posting politik di laman ini sejak menyampah dengan dunia politik caca merba sekarang. Namun, hari ini saya bagaikan teruja melihat gambar yang dipaparkan di atas. Teruja kerana saya adalah manusia biasa, rakyat Malaysia, pendidikan ala2 orang lain juga, otak pun sama jua adanya, makanan ruji pon tak banyak bezanya, uban pon dah bersepah kat kepala dan idup pun sama bernafaskan udara.

Pelik juga bila ada orang yang sama macam saya, tapi otaknya lebih banyak 'taugeh' dari sel-sel sediada. Masakan orang bengap pon tahu membezakan 'naik turunnya' harga dengan 'program penyelarasan harga'. Orang buta pon tahu duit seringgit dan lima puluh ringgit kat mana yang terbeza. Di zaman internet ni, makcik 'cleaner' pon dah tahu siapa untung dan siapa yang rugi dalam kes subsidi yang cuba nak diperdaya.

Namun, ada jugak malaun durjana yang boleh kata 'tarak pa pa, program ni baik untuk ekonomi negara'...adoiiiiiii ya ampun! Kepada yang tak setuju dengan apa yang tertulis, ampun maaf dipinta, jari jemariku dah tak tertahan rasanya, muga dapat mengubat duka, membangkitkan yang lena, mematikan yang gila, menghapuskan tipu daya, sekian wassalam.

ps: Hampa tengok gambaq ni dan cuba la teka, apasai yang depa suka...

Saturday, April 10, 2010

Keikhlasan yang tiada ruginya...

Salam buat semua....

Sehari dua ini saya agak sibuk dengan aktiviti mengajar. Lumrah seorang 'SHO', mengajar diibaratkan dah jadi asam garam. Namun saya akui, topik yang disampaikan hari ini bukanlah menarik sangat, topik nak kena buat kerja lebih..."Energy Isolation aka LOTO", kalu silap ajar korbou pun mampuih. Alhamdulillah, biarpun cikgunya tak berapa mantap, anak-anak muridnya hebat-hebat. Semasa makan, kami berbicara bab manusia jenis yang ikhlas berkerja selalunya tak pandai bodek. Saya sekadar menjadi pak angguk, kerana murid saya ini begitu bersemangat bercerita dan saya akui kebenarannya.



Izinkan pula saya berkongsi satu artikel yang cukup menarik dipetik daripada blog Genta Rasa olahan Ustaz Pahrol Mohd Joui. Artikel ini ada kaitannya dengan topik perbincangan saya disebelah pagi dan cukup berbekas di hati ini.


Petikan daripada blog Genta rasa : Orang Ikhlas Tertindas?

“Antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”


Sila klik pada link di atas untuk membaca artikel penuh. Harapnya boleh dimanfaatkan jua oleh para pembaca sekalian. Moga kita menjadi orang yang ikhlas dan sabar...Ameeen.


Saturday, February 13, 2010

Yusuf Estes : Tak perlu debat la bro...

Salam Smeua...

Insyallah saya akan pulang ke Kedah sebentar lagi. Namun sebelum bertolak, saya nak kongsikan beberapa lagi siri video daripada bro Yusuf Estes yang tak kurang menariknya daripada yang sudah. Saya harap dalam beberapa pembaca Abu alfateh, sudilah kiranya ada yang akan kongsikan posting ini dengan rakan-rakan muslim dan non-muslim anda. Sekian wassalam.







Sunday, February 7, 2010

Yusuf Estes : I like your style, Bro...

Salam semua...

Sejak di bangku sekolah lagi, saya amat menggemari kisah debat antara Islam dan agama lain yang tentu sahaja natijahnya kejayaan debat berpihak kepada pihak Islam. Sejak sekian lama juga saya merasakan diri ini terlau kerdil untuk berdebat terutamanya yang berasaskan perbandingan agama. Namun sejak dua menjak ini, perasaan kerdil itu mulai hilang... Semuanya gara-gara tersempak dengan siri ceramah bro Yusuf Estes di You Tube.


Kisah beliau memeluk Islam daripada asalnya seorang pendakwah Kristian cukup menggamit perhatian. Kini beliau aktif menyampaikan Islam dengan cara yang cukup bersahaja tanpa perlu berdebat berjela-jela. Saya berpendapat teknik br Yusuf ini jelas, bermanfaat dan sangat mudah untuk difahami oleh sesiapa sahaja. Jika anda seorang yang bencikan Islam (atau manusia spesis 'Aduka Taruna' yang sanggup memaki hamun sesiapa sahaja ikut suka hati), sila tonton video di bawah dan nilaikan sendiri diri anda...Jika anda pencinta Islam, jangan tunggu lama-lama, sampaikan berita ini kepada kengkawan lain yang masih belum diberikan hidayah olehNya. Saya sekadar berkongsi cerita, anda semua bagaimana? Sekian wassalam...








Sunday, January 31, 2010

Al Fatihah buat arwah ayah yang dirindui...




Diam tak diam sudah 18 tahun arwah ayah meninggalkan kami sekeluarga. Diam tak diam juga arwah ayah sudah bermenantu tiga dan 9 cucunya. Diam tak diam, aku sendiri sudah bergelar bapa. Ya Allah pohon pada Mu agar arwah ayah diampunkan segala dosa, diberikan nikmat berganda, bersama dengan insan-insan mulia, dijauhkan dari segala azab dan siksa dan dipermudahkan untuk ke syurga...ameen.

Saturday, January 30, 2010

Wayang hujung minggu


Salam semua...

Di saat pihak berwajib kalut mencari siapa dalang di sebalik kisah kepala khinzir yang muncul secara 'ajaib', di saat inilah jua kerajaan Pulau Pinang mula dicabar tangan-tangan ghaib. Di kala kerajaan Kelantan pula nak disedekahkan seciput wang ehsan, di kala inilah jua ahli parlimen PAS si Khalid Samad dikenakan tindakan tercabut semua jawatan...Itulah dia asam garam kisah negara, dari dulu, kini dan selamanya...

Ada blogger perangai 'kurang ajar' macam takda mak bapa...Ada polis duk kalut selesaikan kes misteri sahaja, ada SPRM lain direport lain yang kena...Ada kuasa buat macam negara mak bapak dia punya...Ada pembangkang bodoh tak kena cara...Habis tu nasib rakyat jelata cam mana haa? Saksikan cerita best di bawah, pasti anda suka. Wassalam.



Sunday, January 17, 2010

Allah...cahaya untuk yang mencari Mu..

Salam semua...

Biarpun isu penggunaan kalimah Allah masih menjadi perbahasan, masih dipolitikkan, masih dipertikaikan, masih dijaja oleh munafik agama, masih menjadi tajuk utama, namun realitinya ramai yang masih buat tak 'chara'...Masing-masing samada yang ikhlas mahupun yang 'berpura-pura' tak kalah dengan hujah dan dalil masing-masing. Allah jualah yang lebih mengetahui siapa yang berpura-pura dan siapa yang ikhlas. Siapa yang cuba membakar jambatan dan siapa yang meruntuhkan persefahaman.

Sedang kita sibuk dengan isu nama, orang lain mencari kebesaranNya. Di saat muda-mudi Melayu berbangga menjadi barat (biarpun tanpa penggunaan kalimah Allah), orang barat mencari cahayaNya. Secara peribadi, saya berharap agar semua pihak merenung diri...Bersikap reaktif adalah tindak balas paling mudah terhadap permasalahan yang dialami oleh manusia. Untuk menjadi proaktif, saya sarankan anda sama-sama menonton klip video di bawah, tunggu sehingga habis siaran yer...Selamat menonton dan wassalam.




Sunday, December 27, 2009

Andai ku tahu...kapan tiba ajalku




IPOH 26 Dis. – Seramai 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat, Sani Express terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, lapan kilometer dari Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, awal pagi ini.

Nahas ngeri tersebut menyebabkan ada di antara penumpang putus kepala serta beberapa anggota badan lain.

Baca selanjutnya di bawah:


Utusan Malaysia Online - Berita Utama


Setiap kali ada kemalangan maut melibatkan bas ekspress, saya pasti akan terpanggil untuk melihat senarai nama yang penumpang yang maut. Sekadar berharap agar nama yang saya kenali tidak berada di dalam senarai yang maut mahupun cedera parah. Pastinya selepas ini pelbagai pihak akan mencanangkan pelbagai pelan tindakan untuk dipertimbangkan oleh pihak berwajib. Sebagai seorang pemandu kenderaan, pengguna perkhidmatan bas dan rakyat Malaysia, saya menyeru semua pemandu, penumpang bas dan rakyat Malaysia memulakan perjalanan anda dengan berdoa. Berdoalah kepada Allah dengan memohon perlindungan dan keselamatan semasa bermusafir...Insya Allah, terpelihara hendaknya. Sekian dahulu wassalam.



Tuesday, December 15, 2009

PETRONAS : Retro sekejap bro...


Salam semua....

Hari ini saya nak kongsikan sejarah PETRONAS yang cukup mencabar di awal penubuhannya. Rasanya ramai yang tak tahu betapa hasil bumi Malaysia pada suatu ketika telah dikerjakan sewenang-wenangnya dengan cukup lumayan oleh syarikat asing. Saya terpanggil untuk menyiarkan kisah ini setelah membaca satu buku yang bertajuk Tuah dan Jebat di PETRONAS. Saya syorkan semua rakyat Malaysia membaca buku ini untuk sedikit pencerahan betapa selama ini negara kita telah dijajah dari luar dan dalam.

Saya terpanggil untuk menyiarkan temuramah ini yang baru sahaja ditemui di You Tube sebentar tadi. Sila klik di link untuk mendapatkan keseluruhan sessi temuramah ini. Bolehlah dikatakan satu ringkasan daripada kisah panjang yang telah ditulis di dalam buku tersebut. Selamat bersiaran.....wassalam.

Sunday, December 6, 2009

Hidup Adalah PR - Episod 3

Salam buat semua...

Dah dua kali kisah PR menjadi pilihan saya, bukan niat nak tunjuk 'terra'sekadar berkongsi cerita. Kepada anda yang masih belum cukup yakin, satu lagi kisah saya akan kongsikan berkenaan kejayaan manusia biasa dengan PR yang luar biasa. Dengan PR yang baik, beliau dan rakan-rakan telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat yang kini menerajui bidang IT iaitu Microsoft.

Tentu sekali semua yang membaca blog ini kenal pengasas Microsoft yang sekali pandang sahaja dah tampak jelas muka 'geek'nya . Saya bukanlah pengkagum manusia yang bernama Bill Gates ini, namun agak seronok juga menjejaki kisah peribadi beliau daripada seorang 'geek' menjadi jutawan beliana....

Untuk meringkaskan cerita, saya syorkan semua pembaca sila lawati kisah beliau dan rakan-rakan di sini. Al-kisahnya sekumpulan anak muda dengan PR yang cukup baik dan keyakinan tinggi telah di'sedekahkan' perisian penting daripada syarikat Xerox dan Apple Inc. (Biarpun mereka selepas itu telah menciplak perisian tersebut). Kecemerlangan PRlah yang sebenarnya telah mengubah Microsoft daripada sebuah syarikat cap ayam kepada peneraju bidang IT sehingga kini. Anda masih tak percaya? Saksikanlah sendiri keseluruhan di bawah...Sekian dahulu wassalam.


Petikan daripada filem Pirates of Silicon Valley:

Wednesday, December 2, 2009

Aku menulis bukan kerna nama..


Salam semua...


Sejak dua minggu ini semangat untuk menulis kembali menjelma, abu-alfateh bagaikan mati hidup semula. Saya sebenarnya ada berhasrat untuk menutup terus akaun blog ini dek kerana geram pada tulisan nyamuk yang bersepah-sepah bagaikan sampah-sarap yang tak terkutip di bandaraya Alor Setar. Tulisan yang hampir membuat saya membakar terus jejaringan kelambu di alam blog yang sejak kebelakangan ini menyesakkan dada. Pelbagai cerita timbul di sini dan sana, perbagai persepsi diulas oleh semua, mengaku pandai dan bijaksana, walhal sikit jer betul lebihnya autaa....Bak kat arwah seniman idola saya, "tompok-tompok taik unta!".

Semua orang samada yang pandai berkata-kata mahupun si bisu boleh sahaja mengarang cerita di dalam blog masing-masing. Dah menjadi adat manusia, semua orang yang menulis akan cuba meyakinkan orang ramai akan kebenaran tulisannya. Saya menulis bukan untuk menyalahkan sesiapa, namun saya agak khuatir dengan perkembangan semasa. Bimbang dan khuatir kerana manusia tetap manusia biarpun ilmunya bertahta. Bimbang dan khuatir kerana syaitan menggoda mengikut kasta. Kasta rendah mudah jer tarinya dan kasta tinggi rentaknya berbeza.

Pada hemat saya yang serba dhaif ini, orang yang hebat ilmu dan amal seringkali digoda dengan ujian riak dan ta'jub. Bila kedua-dua godaan itu dah masuk jarum, syaitan akan membisikkan pula unsur kesombongan yang membuak-buak. Pada hemat saya yang dhaif ini juga, saya rasa ada sebahagian kecil blogger dah termakan jarum ketiga syaitan ini. Apabila rating pengunjung mereka dah mencecah ratusan ribu malah sehingga angka juta, secebis komen yang menyokong artikel yang ditulis akan dianggap bagaikan Mohor Diraja.....

Atas sebab inilah saya ada kalanya menyampah dan merajuk untuk memblog namun semangat menulis yang kembali inipun adalah atas sebab yang sama. Biarpun pengunjungku tidak seberapa, biarpun suaraku bagaikan tiada gema, aku menulis bukan kerna nama....Kalau ada yang terasa maaf ku pinta, salah silapku bukan disengaja. Lain hari kita sambung ceritaaaaaa....wassalam.