Thursday, October 30, 2008

Tanam Anggur dan Tikar Mengkuang....

Salam buat semua...
Apabila negara dilanda krisis ekonomi pada tahun 98-99, saya adalah antara salah seorang yang turut merasa tempiasnya. Biarpun tempoh saya menanam anggur (mengangggur) tidak lama, saya juga tak berupaya mencari perkerjaan yang bersesuaian biarpun jenuh mengusung fail dan bertali leher mengejar peluang pekerjaan. Pada masa itu timbul pula sedikit rasa geram dan kecewa pada segulung ijazah yang diperolehi, bagaikan tidak memberi sebarang makna. Akhirnya saya memilih untuk berdikari dan memulakan perniagaan sendiri secara kecilan. Ini kisah lama, setiap orang pasti ada kisahnya tersendiri dan pengalaman yang cukup beharga untuk dijadikan iktibar.


Saya sekadar ingin menyuarakan kebimbangan betapa krisis ekonomi kali ini bakal lebih teruk dan panjang daripada sebelumnya. Daripada apa yang saya baca dan cakap-cakap dengan orang yang lebih arif dalam bab ekonomi, mungkin tempoh muram kali ini berpanjangan sehingga ke 10 tahun. Entahlah, saya bimbang kerana suasana di Malaysia masih tenang dan tenteram....walhal betapa banyak syarikat gergasi dunia yang dah gulung tikar mengkuang. China dilaporkan mengalami impak yang begitu teruk berikutan krisis ekonomi yang mengejut ini . Malah laporan akhbar mereka menyatakan hampir 20 juta pekerja di sana kini menganggur. Bilakah agaknya kesan krisis ini bakal sampai ke Malaysia?....Entahlah, kalau anda masih seronok menanti juara Raja Lawak musim ke-3, anda gelaklah sorang-sorang nanti yer...wassalam.

No comments: