Wednesday, October 22, 2008

Sejenak Bersama Kumar - Siri 2

Salam semua....

Ada satu lagi pelajaran yang tak dapat saya nak lupakan setelah berborak bersama Kumar. Beliau berkali-kali ingatkan saya tentang 'cakap', maksudnya apa yang kita cakap pasti akan berlaku....Pada mulanya saya hanya mengangguk sahaja melayan celoteh Kumar yang entah benar entah tidaknya itu. Namun setelah masuk kali ketiga beliau tekankan perkara yang sama, saya mula memberi tumpuan.

Kumar memberi contoh apa yang berlaku kepada dirinya sendiri dan beberapa ahli keluarganya. Kata Kumar,"percayalah, apa yang you cakap pasti akan berlaku, only a matter of time". Entahlah...bila difikirkan kembali dan dikaitkan dengan ajaran Islam, mungkin ada benarnya juga kata Kumar ini. Saya bukan ahli dalam bidang agama, tidak selayaknya saya mengeluarkan hukum behubung hal ini, hanyalah pendapat peribadi semata-mata.

'Cakap' berkemungkinan juga 'doa' dalam bahasa Islam....dan saya percaya ada kaitan rapat antara keduanya. Apabila kita berniat sesuatu, kita bercakap mengenainya, dan ia menjadi suatu doa. Kita semua maklum, doa tak semestinya dilafazkan secara khusus, sebarang percakapan kita juga boleh menjadi doa. Cubalah anda bandingkan dengan cakap si ibu pada anaknya, tersilap cakap kan buruk akibatnya. Hal ini tentunya kerana cakap si ibu tadi yang menjadi doa mustajab....Kata seorang ustaz, andai kata kita diberikan ilham untuk mendoakan sesuatu, ia adalah suatu tanda bahawa doa itu telah termakbul. Wallahua'lam...saya tidak tahu benar tidaknya, sahih mauduknya...cuma saya yakin dengan kata-kata ustaz tersebut.

Maka setelah Kumar mengingatkan kembali kepada saya kuasa yang ada pada sesuatu 'percakapan', saya rasa ada kebenarannya di situ. Biarpun kefahaman saya tak semestinya sama dengan kefahaman yang ada pada Kumar, saya tetap berterima kasih kerana tazkirah ringkas beliau semasa di dalam perjalanan selama 45 minit itu. Nasihat ringkas buat diri ini dan semua pembaca , "Cakaplah apa yang diingini, doalah apa yang dihajati, redholah pada apa yang diberi "...Sekian dulu untuk kali ini..wassalam.

No comments: