Wednesday, May 25, 2011

The USD1.2b guy...Tony Hsieh, eh banyak tu...



Salam semua,


Sehari dua ini saya tak sempat nak menulis kerana terlalu asyik melayan buku. Beberapa buku yang saya pinjam dan ada pula yang baru dibeli di pekan Kuala Terengganu. Antaranya adalah buku karangan Tony Hsieh bertajuk 'Delivering Happiness'. Saya membeli buku ini dengan niat untuk mencari idea, setidak-tidaknya untuk hobi baru saya bagi beberapa tahun ini. Saya sedang berkira-kira untuk menjadi penulis sambilan. Biarpun cadangan asalnya hanyalah untuk menulis sebuah buku ringkas, yang santai dan mudah bahasanya. Buku yang berkonsepkan kehidupan yang berteraskan keikhlasan dan makna...

Mungkin bagi sesiapa yang mengenali Tony sedar betapa jauhnya beza falsafah yang dipegang oleh Tony, namun ada kebaikan juga di dalam tulisan santainya yang menjadi best seller di US. Bagi pembaca budiman, doakan muga saya diberi kekuatan untuk berkarya kreatif . Sekian dahulu, wassalam.


Thursday, May 19, 2011

Pengajaran dari seekor anjing...

Salam semua,

Adakalanya di dalam hidup, kita perlu belajar daripada kisah binatang. Malah di dalan Al Quran juga terdapat beberapa kisah pengajaran melibatkan labah-labah, semut bahkan unta sekalipun. Hari ini saya ingin kongsikan kisah seekor anjing bernama Faith yang cukup istimewa, semangatnya mengalahkan manusia. Saya tak mahu mengulas panjang mengenai keistimewaan anjing ini, anda lihat sendirilah klip video di bawah yer...Sekian dahulu selamat menonton, wassalam.




(Moral kisah ini: Jika seekor anjing mampu berjaya, masakan pula manusia)

Tuesday, May 17, 2011

Bukan susah nak 'Hepi'!


Salam Semua,


Hari ini saya habiskan seharian membaca buku hebat karangan Andrew Matthews bertajuk Follow Your Heart. Bukan sahaja beliau hebat dalam ilmu pembinaan insan, kartun lukisannya pun sangat mempesona. Tersangatlah bagusnya isi kandungan buku ini, sehinggakan saya bercadang untuk menjadikannya hadiah kepada beberapa kenalan dan saudara. Bagi yang belum membacanya, silalah ke kedai berhampiran untuk mendapatkan mutiara ilmu yang amat bernilai ini. Saya mula tergerak untuk menjadikan material ini menjadi bacaan umum (umat Melayu) dengan sedikit olahan. Insya Allah, ada jalannnyaaaaa...Bak kata Maher Zain. Bagi yang ingin mengetahui kebaikan buku ini, carilah di kedai-kedai buku berhampiran, pasti tak rugi untuk jadikan ia sebagai sumber ilmu yang amat bermanfaat. Sekian, dahulu wassalam.


Monday, May 16, 2011

Silalah datang curi lagi yer!

Salam semua,


Hari ini saya ingin kongsikan satu kisah bab pencuri yang sedikit pelik tapi tak ajaib...Kisah ini saya dengar dalam satu ceramah yang disampaikan oleh Dato' Tn Ibrahim Tn Man.


Pada suatu hari, seorang perompak dari daerah asing telah memasuki kota Baghdad untuk aktiviti rutinnya . Setelah puas mencari mangsa, dia masuk ke sebuah rumah yang tak berpenghuni di pinggir kota. Namun perompak tu merasa kecewa sebab tidak ada barang berharga dalam rumah itu. Hanya beberapa kain kasar dan sedikit barang keperluan. Ketika perompak itu sedang membungkus barang-barang yang dicurinya, datanglah seorang tua dibelakangnya dan melihat aktiviti haramnya itu. Namun, si tua tadi sebaliknya membantu perompak itu membungkus kain baju sambil berkata , "Tentu susah untuk engkau bawa barang itu berseorangan, biar aku tolong kamu membawanya". Perompak itu pun bersetuju dengan cadangan pakcik tua ini.


Setelah selesai membungkus, mereka berdua keluar berjalan ke tempat persembunyian si perompak. Sampai di tempat persembunyiannya ,dia pun memberi sedikit hasil curinya kepada pakcik tua sebagai tanda terima kasih. Tetapi pakcik tua itu menolak dengan baik sambil tersenyum dan berkata, "Sebenarnya akulah tuan rumah yang kamu curi itu. Aku beranggapan kamu tentunya sangat miskin dan terpaksa mencuri sebagai keperluan kamu. Tak mengapalah, kamu lebih memerlukannya berbanding aku". Perompak itu kebingungan lantas terus meminta maaf kepada pakcik tua tersebut...Malah si pakcik tua sempat berpesan seblum pulang agar si perompak datang lagi ke rumahnya jika ada keperluan tambahan.


Tak lama kemudian, si perompak tersebut pergi ke rumah jiran berdekatan dengan rumah itu dan bertanya siapakah sebenarnya pemilik rumah yang dimasukinya. Lalu jiran itu berkata rumah itu adalah rumah Junaid Al Baghdadi, seorang hamba Allah yang soleh dan terkenal di kampung itu. (Beliau juga merupakan salah seorang Wali Allah yang mahsyur kisahnya). Akhirnya perompak tersebut pergi mendapatkan Junaid memohon maaf serta bertaubat.


Kisah ini bukan sekadar untuk menjadi iktibar kepada kita, cubalah setidak-tidaknya berfikiran positif sebagaimana Junaid. Jikapun kita tidak mampu sesabar beliau, minda kita boleh jadi positif tahap Wali! Sekian dahulu, wassalam.

Wednesday, May 11, 2011

Menganjak paradigma...mengolah minda

Salam semua,

Semasa di Penang Port saya sempat menjadi jurulatih untuk beberapa sesi program "Perubahan Minda". Banyak kenangan pahit manis yang dikongsi oleh rakan sekerja samada berbentuk pengalaman ataupun sekadar luahan perasaan. Di sebalik mengajak peserta kursus mengubah paradigma masing-masing, ia turut membuka peluang kepada saya menganjak paradigma diri.

Anjakan paradigma bukanlah perkataan ajaib yang boleh mengubah kehidupan manusia. Paradigma bukanlah sejenis sel yang hidup melata di dalam tubuh manusia. Paradigma tidak terjual di farmasi atau diiklankan semahsyur iklan ubat kuat di internet. Paradigma tidak memberi makna andai kita masih kuat berpegang pada dahan 'zon selesa'. Paradigma langsung tak bernilai andai kehidupan kita sekadar mencari salah orang lain dan membaca gossip di akhbar.

Anjakan paradigma memerlukan perubahan minda dari dalaman yang mencetuskan tindakan luaran. Anjaklah paradigma diri, agar kita dapat melihat dunia ini dengan pandangan kerohanian. Anjaklah paradigma diri, agar kita mengalih tumpuan hidup daripada mendapat penghargaan manusia kepada penghargaan Ilahi. Anjaklah paradigma diri, agar kita lebih suka memberi daripada diberi. Anjaklah paradigma diri, selagi peluang masih terhidang di dunia ini sebelum dijemput mengadap Ilahi...sekian dahulu wassalam.




Friday, May 6, 2011

Aku orang besar, naik kereta besar, duduk rumah besar...

Salam semua,


Terkadang kita pernah berangan-angan betapa seronoknya menjadi orang 'besar-besar', dapat naik kereta besar, tinggal pula di dalam rumah yang besar. Seronok dengan kebesaran itu, kita seolahnya lupa ada makhluk lain yang lebih besar dari kita, tak kira sehebat mana kebesaran kita.

Biarpun begitu, bukanlah bermakna tak boleh berwawasan besar untuk berjaya. Yang dilarang hanyalah 'perasan besar' dan bersifat sombong. Jika berpangkat besar, kereta pun besar, rumah lebih lagi besar, namun tetap merendah diri bersujud kepada Ilahi, tiada kebesaran yang boleh menguasai kita melainkan kebesaran Allah jua semuanya.

Jika ada yang masih nak juga berasa besar, cubalah cari kebesaran itu di peta Malaysia, kemudian cari di peta dunia, cari pula di peta alam...Andai gagal ditemui semuanya, bawa-bawalah beristighfar...Sekian dahulu, wassalam.


Wednesday, May 4, 2011

Satu dari 300 juta...



Salam semua,

Hari ini saya nak ajak pembaca budiman untuk berangan sambil mengambil iktibar. Cuba bayangkan anda sedang berenang bersama-sama 10 orang pesaing di dalam satu kolam dan anda sedang mendahului, menarik bukan? Bayangkan pula 10 orang pesaing anda bertambah menjadi 300 juta di dalam kolam yang lebih besar. Emmm, 3 juta sahaja terlalu banyak untuk dibayangkan, betapa pula 300 juta, kelam kabut jadinya. Bayangkan pula akhirnya andalah yang menjadi juara dalam persaingan sengit ini, wow!

Siapa sangka, kita sebenarnya pernah mengalami keadaan ini suatu ketika dahulu. Suatu ketika dahulu, kita semua adalah juara yang telah mengatasi hampir 300 juta pesaing di dlam rahim ibu. Sungguhpun belum diberikan nyawa, namun kita telah dianugerahkan dengan sifat-sifat kekuatan yang sangat hebat! Mengalahkan 300 juta pesaing bukanlah satu satu kekuatan biasa yang patut kita sesiakan setelah dilahirkan. Namun ia juga bukan satu alasan untuk kita berbangga diri dan berasa hebat tak bertempat!

Allah jadikan manusia hebat kerana amanah yang diberikanNya juga berat. Ilmu Allah yang Maha Tinggi lebih mengetahui proses kelahiran manusia daripada 300 juta sperma yang dipancarkan itu akan bersaing untuk terpilih untuk disenyawakan dan dimasukkan Ruh. Maka patutkah kita tidak bersyukur di atas nikmat ini? Siapakah kita yang menjadikan dirinya hanya lahir untuk sekadar memberatkan bumi? Siapakah kita yang sanggup mensesiakan segala nikmat ini hanya untuk hidup sekadar mencari makan seharian seumpama haiwan? Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah, ambillah iktibar untuk menginsafi diri sendiri Insya- Allah. Sekian dahulu buat malam ini, wassalam.

Saturday, April 30, 2011

Sapa bagi makan ? Allah bagi...


Salam semua,

Seorang sahabat saya yang aktif di dalam Jemaah Tabligh pernah berkongsi cerita perbualannya dengan seorang anak kecil semasa beliau keluar berdakwah di Indonesia. Perbualan tersebut lebih kurang begini :

Tabligh : Pakcik mau tanya, makanan ini siapa yang berikan?
Budak : Bapa lah...
Tabligh : Siapa beri bapa makanan?
Budak : Kantor (syarikat)
Tabligh : Siapa beri kantor makan?
Budak : Sendiri-sendiri lah...makanan datang sendiri!
Tabligh : Sebenarnya Allah yang beri makan untuk semua.

Perbualan ini nampak ringkas dan mungkin tak mendatangkan isu yang perlu di'angkat sumpahkan'. Jauh sekali untuk dirakam ke You Tube! Namun, saya sendiri tersedar betapa selama ini saya tidak mengajar anak tenatang aqidah secara khusus. Saya fikir sukar bagi anak kecil memahami soal aqidah secara tepat, fikiran saya sebenarnya yang kurang tepat!

Saya rasa, anak kecil tidak memahami apa-apa, sedangkan di usia kecil lah masa yang paling penting untuk kita memahamkan mereka dengan 'apa-apa'. Apa-apa di sini termasuklah soal aqidah yang bakal menjadi benteng semasa dewasa. Apa-apa juga bermaksud cara bercakap mengenai hal ketuhanan agar 'minda segar'nya sentiasa berfikir dengan betul.

Mulai saaat itulah saya mula mengajar anak-anak bercakap dengan betul, agar dia dapat berfikir dengan betul dan mudah-mudahan agar aqidahnya akan sentiasa betul. Setiap pemberian akan ditanya siapa yang memberinya. Bila selasai makan saya akan bertanya, siapa beri makan? Jawapan yang diterima hanyalah satu...Allah! Kepada semua pembaca budiman, bolehlah amalkan soalan-soalan mudah ini kepada anak kesayangan anda. Sekian dahulu, wassalam.

Friday, April 29, 2011

Kisah biskut terbakar dari seberang...iktibar buat hati

Salam semua,

Hari ini saya ingin kongsikan satu cerita keluarga yang diterima daripada seorang rakan melalui emel.

Biarpun saya tak dapat sahkan kesahihan cerita ini, saya mengkagumi mesejnya...Buat semua pembaca budiman, selamat berpesan-pesan, wassalam.


When I was a kid, my mom liked to make breakfast food for dinner every now and then. And I remember one night in particular when she had made breakfast after a long, hard day at work. On that evening so long ago, my mom placed a plate of eggs, sausage, and extremely burned biscuits in front of my dad. I remember waiting to see if anyone noticed! Yet all my dad did was reach for his Biscuit, smile at my mom and ask me how my day was at school.

I don't remember what I told him that night, but I do remember hearing my mom apologize to my dad for burning the biscuits. And I'll never forget what he said: "Honey, I love burned biscuits."

Later that night, I went to kiss Daddy good night and I asked him if he really liked his biscuits burned. He wrapped me in his arms and said, "Your momma put in a long hard day at work today and she's real tired. And besides... a burnt biscuit never hurt anyone!"

You know, life is full of imperfect things... and imperfect people.. I'm not the best at hardly anything, and I forget birthdays and anniversaries just like everyone else. What I've learned over the years is that learning to accept each other’s faults and choosing to celebrate each other’s differences, is one of the most important keys to creating a healthy, growing, and lasting relationship.

Life is too short to wake up with regrets... Love the people who treat you right and forgive about the ones who don't.

ENJOY LIFE NOW - IT HAS AN EXPIRY DATE

Thursday, April 28, 2011

Pindah ke Batu Rakit


Salam semua...

Mulai 2hb Mei ini, saya akan berkhidmat dengan Institut Teknologi PETRONAS (INSTEP) di Batu Rakit, Kuala Terengganu. Biarpun sekali lagi terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak, kami berdoa moga perpindahan ini bakal memberi 'makna' yang besar. Cumanya secara kebetulan, saya berpindah pejabat setiap kali isteri mengandung. Teruja juga nak berkhidmat di institusi latihan setelah sekian lama saya menyimpan hasrat untuk mengajar atau bersama-sama dengan para pelajar...Alhamdulillah, lokasi yang diletakkan di dalam GPS minda ini semakin dihampiri. Kepada semua pembaca budiman, doakan saya berjaya dalam tugasan baru ini, ameen. Sekian wassalam.

Sunday, April 24, 2011

Orang hebat melihat dengan jelas!


Salam semua...

Biarpun saya masih di tahap 'berjuang' untuk menjadi manusia hebat, tulisan saya sejak dua menjak ini masih berlegar-legar pada topik yang sama. Menjadi manusia hebat bukanlah perkara yang pelik dan mustahil kerana manusia sememangnya diciptakan untuk menjadi hebat. Kehebatan manusialah yang menjustifikasikan kita sebagai khalifah di muka bumi Allah, bukan setakat 'memberat'kan bumi ini dengan kehidupan tanpa makna.

Hakikatnya, tak ramai manusia yang berusaha untuk hidup dengan penuh kehebatan. Mungkin juga kerana tak ramai manusia yang tahu apa erti kehebatan itu sebenarnya. Tak ramai juga manusia yang percaya kehidupan hebat itu tiada kesudahannya. Mungkin juga kerana tak ramai manusia yang percaya kehebatan sebenar adalah berjaya ke syurga!

Saranan saya kali ini hanyalah untuk kita semua 'melihat dengan jelas'. Melihat dalam rangka yang lebih luas. Melihat yang tersurat dan tersirat. Melihat sesuatu mengikut kepentingan. Melihat dunia yang dengan penuh kebaikan. Melihat orang ramai dengan penuh kasih sayang. Melihat diri sendiri dengan penuh kesyukuran.

Mungkin ada yang masih tertanya-tanya, bagaimana nak nak melihat dengan jelas? Haha...Senang sahaja, jika rabun pakailah cermin iaitu cermin yang membetulkan pandangan hati kita. Jika nampak, fokuskan hanya pada yang baik-baik sahaja. Latihlah diri kita untuk melihat setiap perkara yang terjadi pada diri kita dengan penuh kebaikan dan rahmat. Pasti Allah akan berikan kehidupan yang berkat dan hebat! Kita tidak tahu apa yang akan berlaku ke atas kita, namun kita boleh memilih respon kita kepada setiap perkara yang berlaku itu. Jangan peduli apa kata orang, namun jagalah kata-kata kita kepada setiap orang. Jangan mencari pujian manusia, tetapi buatlah sesuatu kerana yang Esa...sekian dahulu wassalam.

Tuesday, April 19, 2011

Takda duit pun boleh ke Mekah...


Salam semua,

Hari ni saya nak kongsi satu persepsi yang salah tentang ibadah haji, yang selama ini saya juga telah tersilap sangka. Sangka saya, nak kerja Haji kena menyimpan duit. Sangka saya, nak pergi ke Mekah kena hartanya melimpah-limpah. Sangka saya, ibadat haji perlukan duit yang mencukupi di Tabung Haji...

Setelah sampai ke Mekah, saya diketemukan dengan jemaah haji yang pelbagai latar belakangnya. Rupa-rupanya ramai juga yang datang ke Mekah menjadi pekerja di muassasah, ada yang berkhidmat dengan syarikat pakej haji dan umrah, ada pula yang ditaja oleh Dato' YB, ada yang mengikuti rombongan pak menteri, ada yang ditaja oleh ahli korporat, ada juga yang di'sponsor' untuk berkhidmat, ada yang bertugas memantau kesihatan, ada yang bertugas menyediakan makanan, malah ada juga yang bertugas sebagai pekerja am di hotel Sevilla Barakat yang menjadi tempat istirehat kami di Mekah. Kesemua mereka ini menunaikan haji di Mekah secara percuma! Saya percaya hampir 10 peratus jemaah dari Malaysia datang dalam kategori ini...

Kalau nak diceritakan kisah mereka ini satu persatu, mungkin 10 posting pun masih belum tentu mencukupi. Cukuplah sekadar saya kongsikan, mereka ini tidak menyangka begitu mudahnya rezeki yang diberikan Allah untuk mereka menunaikan haji. Malah ada yang telah 10 tahun berturut-turut mengerjakan haji secara percuma. Kebanyakan jemaah 'haji percuma' saya jumpa, orangnya biasa-biasa sahaja namun hatinya mulia! Hampir kesemuanya dari jenis yang ringan tulang!

Kesimpulan mudah saya, tak semua yang menjadi tetamu Allah itu perlu menyimpan wang secukupnya. Ber'wang' bukanlah suatu syarat, hanya dijadikan sebagai alat. Andaikata 'ongkos'nya masih belum mencukupi, banyakkanlah berdoa dan memasang niat untuk melengkapkan rukun Islam yang ke lima ini. Kepada semua pembaca budiman, saya sarankan sekali lagi agar kita semua untuk terus memasang angan-angan dan ringan-ringanlah tulang...Berniatlah dengan seikhlas hati untuk ke Tanah Suci, Insya Allah sampailah segala yang anda hajati. Ammen, wassalam.

Sunday, April 17, 2011

Nasihat dari 'Wali Allah' untuk bakal Haji...


Salam semua,

Minggu lepas saya tersempak dengan Ustaz Zawawi yang menjadi guru pembimbing kami di Mekah. Rupanya beliau sedang bersiap untuk mengadakan kelas bimbingan di Masjid Negeri untuk sesi petang. Sekejap sahaja rasanya berlalu musim Haji lepas, kini para bakal haji kembali giat berkursus. Syahdu juga mengenangkan kisah di Mekah dan Madinah, biarpun saya sebelum ini lebih suka menyimpan semua kisah tersebut secara peribadi.

Tahun lepas, saya sebenarnya cuma sekadar mengikuti kelas intensif untuk bakal haji dalam kategori KIV. Ilmu pun sekadar 'cukup makan' sebelum keghairahan saya 'melambung' naik setelah membaca buku Travelog Haji karangan Prof Muhd Kamil. Perkongsian ilmu dan pengalaman beliau sangat memotivasikan saya untuk lebih bersungguh berdoa dan berusaha yang akhirnya status KIV saya telah bertukar pada saat-saat akhir. Alhamdulillah...

Seminggu sebelum bertolak pula saya sempat bertemu dengan seorang teman di Masjid Sultanah, Kedah. Beliau pada penilaian kasar saya adalah seseorang yang mempunyai 'perhubungan istimewa' dengan Allah. Beliau menasihati saya agar sentiasa amalkan 2 perkara penting iaitu :
a) Berdoa agar dipilih menjadi 'tetamu Allah'
b) Jangan duk menyibuk dengan tindakan/ibadah jemaah haji lain

Alasannya yang diberikannya sangat mudah. Jika kita terpilih sebagai tetamu Allah, sudah pasti Dialah yang akan menjaga setiap urusan kita di sana sebagai tetamuNya. Sebagai tetamu, kita cuma perlu menjaga akhlak dan tidak terpesong daripada tujuan asal ke Mekah, yakni untuk beribadat. Perlu fokus kepada ibadat diri sendiri daripada fokuskan ibadat orang lain...

Petua daripada dua insan istimewa ini saya amalkan dengan bersungguh dan penuh harapan. Alhamdulillah, daripada seorang bakal haji yang berstatus KIV, saya terpilih untuk mengerjakan haji dengan layanan istimewa ala-ala VIP. Alhamdulillah saya dipermudahkan dalam hampir semua urusan, daripada sebelum bertolak sehinggalah selamat kembali ke tanah air. InsyaAllah, jika diizinkanNya saya akan kongsikan beberapa pengajaran bermakna yang boleh dijadikan iktibar buat semua nanti. Saya doakan moga para 'tetamu Allah' di tahun ini akan beroleh kebajikan dan keberkatan yang berlipat ganda jua, ameen. Sekian dahulu, wassalam.

Thursday, April 14, 2011

Amalan manusia hebat!



Salam semua,

Mari kita renungkan beberapa amalan untuk jadi hebat:

a) Bertapa selama 15 hari 15 malam tanpa makan, melainkan minum air kosong sahaja. Perlu membaca ayat tertentu dalam bahasa Arab yang tak berapa difahami sepanjang pertapaan. Selepas tamat pertapaan, anda memperolehi kuasa hebat termasuklah untuk 'tarik duit'!

b) Menyertai program realiti TV dan menjadi juara!

c) Menyertai syarikat jualan langsung 'terhebat' dan lansung menjadi jutawan segera!

d) Menjadi hamba Allah yang berSYUKUR!

Yang mana satu pilihan anda? Nak power, nak glamour, nak harta atau nak pahala. Bersyukur akan menjadikan kita manusia hebat. Semakin banyak kita bersyukur, semakin hebatlah jadinya. Namun tak ramai yang yakin dengan kaedah paling mudah ini.

Ramai manusia mencari kehebatan dari jalan yang salah lantas menempah masalah. Ramai juga yang hebat, tak bersyukur pun, malah ego pula bertambah. Lebih ramai pula yang tak rajin bersyukur, tapi mulutnya sentiasa terkumat kamit bercerita masalah. Pilihan di tangan masing-masing.

Saya ingin berkongsi satu kaedah bersyukur yang diajar oleh Prof Muhaya pada seminarnya 2 minggu lepas. Sebelum tidur, cuba ingat kembali satu persatu kemudahan yang Allah berikan di sepanjang hari dan bersyukurlah dengan ikhlas. Kemudian, cuba bayangkan pula kejayaan yang bakal datang untuk hari esok. Sebarang perkara yang ingin anda lakukan pada hari esoknya, sudah siap dibayangkan kejayaannya dan disyukuri dengan penuh harapan. Lakukan perkara ini selama seminggu, pasti anda tersenyum melihat hasilnya InsyaAllah. Sekian dahulu untuk perkongsian ringkas kali ini, wassalam.



Saturday, April 9, 2011

Minda segar yang hebat...



Salam semua,

Hari ini saya ingin mengajak pembaca budiman untuk mengenali kehebatan minda. Biarpun saya masih lagi dalam proses pembelajaran, perkongsian ini harapnya akan memanfaatkan kita semua. Mari kita bermula dengan satu ujian mudah:

1) Cuba anda JANGAN bayangkan seekor GAJAH PUTIH! Apa yang anda nampak sekarang?

2) Cuba bayangkan pula anda sedang menikmati aiskrim yang paling sedap pernah anda makan...Apa pula yang anda nampak?

Saya cuma ingin anda yakin kita sebenarnya dapat melihat apa yang kita mahu dan tidak mahu fikirkan. DAlam ujian ini, 'minda sedar' akan menolak kehadiran seekor gajah putih di fikiran, namun minda separa sedar atau 'minda segar' pula pantas mencari gambar gajah tersebut. Minda sedar akan memikirkan dengan logik, manakala minda segar menerima apa sahaja yang terlintas.

Kedua-dua perbezaan di atas perlu diguna dengan berkesan jika kita mengidam untuk hidup secara 'luar biasa'. Hal ini akan menetukan kehidupan kita seharian, apa yang kita katakan atau nafikan kepada diri kita akan sentiasa bermain di dalam minda segar kita. Secara purata, 70 peratus daripada komunikasi seorang manusia berlegar pada dirinya sendiri. Pastinya kita perlu memilih kata-kata yang cukup positif untuk memastikan minda segar kita berfikir secara positif.


Manusia yang berfikiran negatif akan sentiasa memasukkan elemen negatif pada minda sedar dan segarnya. Pemikiran sebegini akan membentuk tindakan yang negatif dan tentu sahaja menarik kesudahan yang penuh kedukaan. Bak kata pepatah; sudah jatuh di timpa tangga, di manakah kebenarannya? Kebenarannya adalah pada cara berfikir dan apa yang diprogramkan ke dalam minda. Manusia yang berfikiran negatif akan sentiasa diselubungi perasaan negatif terhadap setiap yang berlaku disekelilingnya. Baginya semua cubaan adalah malang dan membawa masalah besar kepadanya. Berlawanan dengan insan hebat yang berfikiran positif, mereka melihat segala macam yang berlaku di dunia ini sebagai cabaran kecil yang ada rahmat tersembunyi.

Untuk berjaya, kita perlu sentiasa fikirkan kejayaan. Untuk memikir kejayaan, setiap deria perlukan sentuhan kejayaan. Untuk menjaga deria, kita perlu fokuskan mata, telinga dan kata-kata agar yang masuk dan keluar adalah perkara yang positif dan hebat. Biarpun dikatakan hanya 5 peratus sahaja daripada jumlah semua manusia berfikir sebegini, kita boleh sahaja masuk ke dalam kumpulan ini dengan izin Allah.

Kitalah insan hebat yang dipilih Allah satu daripada 300 juta sel mani, sebelum disenyawakan di tempat yang mulia di dalam rahim. Kitalah bayi yang pernah dikandung 9 bulan dengan penuh pengharapan dan dilahirkan dengan penuh kesyukuran. Kitalah anak kecil yang mendapat segala belaian dan dicurahkan segala kasih sayang. Kitalah manusia hebat yang diamanahkan untuk memerintah dunia ini dengan sunnah dan syariat Allah. Kitalah yang memilih untuk mengikuti jalan yang benar atau jalan yang salah...Sekian dahulu, wassalam.