Wednesday, October 5, 2011

Amanah vs KPI

Salam semua,


Kecoh dibincangkan sekarang betapa ada pihak tertentu di sekolah-sekolah yang cuba menghalang muridnya yang 'kurang bijak' mengambil peperiksaan utama demi menjaga KPI. Saya telah lama mendengar kisah sebegini, malah lebih terdapat beberapa kisah yang jauh lebih mendukacitakan pun telah berlaku. Ada pihak yang begitu tergila-gila mengejar KPI malah sanggup pula menipu 'tahap Hollywood'. Kununnya untuk mendapat anugerah sekolah berprestasi tinggi, hampeh. Kununnya pelajar sekarang semakin pandai biarpun terpaksa belajar ilmu hisap dengan bahasa mat saleh, ilmu hisap rokok bolehla bang! Saya tak ingin membongkar semua kisah 'silap mata' tersebut di sini. Lu pikirlah sendiri! Hati saya kuat berkata, "Kita bakorrr jer! Kita bakorr jer!" (sambil jari-jemari berpusing-pusing)



Isteri saya adalah seorang guru, saya juga pernah menjadi guru dan sekarang pula sedang berkhidmat di dalam institusi pendidikan. Jiwa saya amat mudah tersentuh jika ada isu yang melibatkan integriti warga pendidik ini diketengahkan. Jika isu ini sekadar berita 'sampah' dari akhbar picisan, tidaklah sangat saya hiraukan. Namun, ia adalah realiti di dalam sistem pendidikan negara yang kunun-kununnya telah berjaya mengeluarkan pertambahan produk 'pelajar bijak' saban tahun.

Bagaimana mungkin sistem pendidikan semakin mantap, jika terdapatnya pelajar tingkatan satu di sekolah asrama penuh yang belum mampu membaca dengan baik? Adakah ini suatu permainan silap mata atau sekadar drama wayang daripada pihak tertentu yang berkepentingan? Adakah pihak berkepentingan ini sedar kerosakkan yang telah mereka lakukan pada generasi anak-anak yang terlibat ini? Betapa saya amat menghormati warga pendidik yang saban waktu gigih anak bangsa. Betapa saya amat menghormati usaha mereka yang tidak pernah menganal letih dan jemu malah sanggup berkorban masa, harta sehinggalah masa bersama keluarga. Betapa saya amat menghormati warga pendidik sehingakan saya anggap hanya 'cikgu' yang kurang siuman sahaja sanggup mengorbankan amanah bangsa demi KPI.



Namun saya sendiri yang menjadi 'hampir tidak siuman' apabila mendengar kisah benar betapa sistem pendidikan negara telah rosak terus terutamanya untuk pelajar yang mengambil UPSR. Bukan sekadar cikgu yang 'terpaksa' menipu, malah dengan guru besarnya juga sekali terlibat demi mengejar KPI 'sampah' yang ditetapkan. Maaf kepada warga pendidik yang membaca posting ini, saya tidak maksudkan untuk menghina sesiapa. Saya amat menghormati guru dan sangat cintakan bidang pendidikan. Namun kegilaan mengejar KPI telah banyak merosakkan minda dan hati nurani sebahagian warga pendidik...



Isu yang dibincangkan sekarang hanyalah sekelumit daripada barah yang sedang melanda sistem pendidikan negara. Jika anda lebih prihatin, tanyalah sendiri kepada guru-guru yang jujur dan ikhlas mengajar. Anda akan mendengar pelbagai kisah sedih yang adakalanya tak masuk akal sekalipun...Saya tidak ingin menyalahkan sesiapa. Saya sendiri pernah berada di dalam situasi di mana saya terpaksa memilih antara KPI dengan amanah. Saya terpaksa membayar harga yang mahal akibat memilih amanah. Kini saya sedar, berkhidmat demi amanah adalah berbaloi dan banyak mendatangkan berkat di dalam kehidupan.


Kepada semua warga pendidik yang membaca posting ini, sekali lagi ribuan ampun dan maaf andai kata saya telah mengguris hati anda tanpa niat. Muga Allah membalas jasa semua guru-guru yang berkhidmat dengan jujur dan memberikan hidayah kepada mereka yang tersesat jalan. Sekian dahulu, wassalam.

No comments: