Saturday, May 24, 2008

Pengalaman mengatasi teori


Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai pengalaman, baik yang manis mahupun pahit. Malah kita juga mungkin bertemu insan lain yang sudi berkongsi pengalamannya yang cukup bernilai. Saya adalah antara insan bertuah kerana sedari dulu kebanyakan rakan baik saya adalah mereka yang lebih senior dan kaya dengan pengalaman. Antaranya yang dikongsikan termasuklah saat getir diserang Khmer Rouge semasa di Kemboja sehinggalah ke kisah lucu mengajar di sekolah antarabangsa.

Tak kira apa jua pengalaman yang kita tempuhi, ia adalah suatu pelajaran hidup. Namun ada segelintir manusia yang suka belajar dengan buku melebihi pengalaman hidup. Bagi mereka ini, buku bagai raja segala ilmu dan mungkin juga adalah segalanya. Mereka begitu cintakan ilmu sehingga menjadi obses dengan buku...tak salahkan begitu. Yang salah hanyalah apabila obsesi ini menimbulkan rasa takjub dan bangga diri dengan ilmu yang kununnya penuh di dada. Mulalah bercakap bagaikan pakar, sedangkan teori yang dibaca sekadar nampak cantik di atas kertas. Tak semua benda yang menarik dibaca menghasilklan keputusan yang sama semasa praktikal. Saya katakan tidak semua, bukan kesemuanya ya...sila ambil perhatian. Jika kita bercakap bidang sains dan teknikal, teori teramatlah penting. Namun teori sains juga terbatas, masih ingat kejadian gempa di Kyoto? Jika soalnya melibatkan kemanusiaan, jangan terlalu berteori, ia mungkin memakan diri.

Sebab itu jugalah kita perlu belajar daripada pengalaman. Pengalaman adalah universiti utama untuk mengisi ruang ilmu yang berbaki setelah buku, teori, logik akal dan sebagainya memenuhi ruangan yang sedia ada. Pengalaman mengatasi segala buku, teori atau logik akal...jika anda tidak percaya terpulanglah, saya teramat yakin dengannya. Saya sendiri pernah melalui beberapa situasi sedemikian dan pasti sebilangan pembaca juga turut sedemikian. Contohnya teori buku dan logik sains tidak mengiktiraf santau, sihir dan kejadian mistik....namun setiap hari ia berlaku di depan mata. Contoh-contah yang lain...harap anda boleh fikirkannya sendiri yer.

Mari kita ikuti kisah seorang nelayan tua dan seorang prof pakar kajian laut. Suatu hari prof telah menggunakan khidmat nelayan untuk ke laut bagi melakukan suatu ujian. Semasa perjalanan, prof pun bertanya "Adakah pakcik mengetahui ilmu kiraan dan kajian laut setelah hampir 20 tahun mencari rezeki di sini?". Si nelayan hanya menggelengkan kepala. "Pakcik tahukan ilmu geografi atau ilmu kajian bintang?" tanya prof lagi dengan jawapan yang masih sama dari nelayan. "Nampaknya pakcik telah mensia-siakan hidup pakcik selama 20 tahun, malang sekali", kata prof dengan penuh ego. Setelah sekian lama, secara tiba-tiba keadaan laut menjadi bergelora disebabkan angin ribut melanda. "Sampan dah nak karam! Encik tahu berenang ke?", tanya si nelayan sambil bersedia untuk terjun. Si Prof hanya menggelangkan kepalanya dengan muka yang pucat lesi kerana dia tidak memakai safety vest.

Kesimpulannya, jangan terlalu taksub dengan ilmu yang terbuku...biar ilmu apa sekalipun. Pengalaman adalah puskata ilmu kepada manusia, yang tidak ternilai harganya. Jika kita berilmu tinggi sekalipun, ingatlah suatu hari kita tetap akan meninggalkannya......Setinggi mana ilmu manusia hanyalah seumpama setitis air daripada lautan luas jika dibandingkan dengan ilmu Pencipta manusia. Sekian wassalam.

No comments: