Wednesday, May 7, 2008

Langit Terbuka, Mulut Ditutup...



Jika anda sedang memikirkan untuk membuka sebuah laman blog peribadi, fikirkanlah berkali-kali yer. Tersilap langkah anda boleh dihukum penjara seperti yang terjadi kepada pengendali laman Malaysia Today, Raja Perta Kamarudin (RPK). Perkara ini tidaklah sepelik mana kerana sejak sebelum merdeka lagi, para penulis kita kerap menerima anugerah pakej pelancongan ke destinasi yang sama. Pakej serba percuma ini hanya diberikan kepada mereka yang berani dan lantang menyuarakan pendapat berlawanan dengan polisi pemerintah. Malah terpadat juga pakej lengkap berupa peranginan ke Resort Desa Kemunting.....7 tahun makan tanggung, berak cangkung.

Ada pihak yang mudah sekali mengiyakan kenaran penahanan politik ini dengan dalil naqli : "Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh". Dosa membuat fitnah bukan boleh dibiarkan sembarangan, sebab itulah perkara ini serius dan tindakan tegas amat perlu. Nampak seperti relevan pula alasan ini sekali dengar. Namun jika difikirkan semula, siapakah pihak yang membuat fitnah itu sebenarnya? Nak saya huraikan apa fitnahnya, takyahlah....mengabehkan boreh jer.

Cakap siang pandang-pandang, kata pepatah Melayu. Maksudnya jelas agar kita menjaga perkataan, terutamanya kalau nak bercakap secara terbuka. Namun, kalau tiada angin masakan pokon bergoyang, kalau tiada kumbahan, toksik dan sampah...takkan Karam Singh Walia nak turun padang. Kalau kita berbangga mendapat status negara MSC dengan dasar Langit Terbuka, ada pula dasar berlawanan iaitu Mulut Ditutup. Laman abu-alfateh tidaklah selantang Malaysia Today, pun begitu suatu ketika saya pernah ditegur kerananya.

Tajamnya mata pena menikam, tajamnya bahasa binasa, tajamnya perkataan menambah lawan. Biarlah mulut ditutup, tangan diikat dan mata dipejam, karya daripada blogger sentiasa tajam. Tajam bukannya untuk menikam, membinasa atau mencari lawan, hanyalah semata-mata untuk menyuarakan kebenaran. Wallahua'lam, wassalam.

1 comment:

sham said...

Assalamualaikum,
Zaman sekarang di mana kita sedang dalam perjalanan menuju ke pengakhirannya,kebenaran adalah satu perkara yang akan menimbulkan permusuhan dan pertikaian.
Manakala kebatilan pula akan diberi penghargaan dan keistimewaan.

Namun satu-satu kebenaran itu harus dinyatakan keadilannya walaupun untuk itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.


p/s Ya Allah,ampunilah hambaMU yang serba daif tidak berkemampuan ini di dalam perjalanan menyatakan kebenaranMU