Wednesday, January 30, 2008

Kenali Bahasa Kita - Siri 1


Posting kali ini adalah pengenalan kepada ruangan khas yang bakal saya peruntukkan demi memartabatkan bahasa ibunda. Menyedari ada pihak yang masih lagi terkial-kial mencari formula terbaik untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda Francis Light, saya lebih senang untuk kembali kepada tradisi...back to the nature...kata kawan saya di Oxford. Harapnya kalaupun ada pihak yang menyampah kepada tradisi ini dapatlah mereka kembali ke pangkal jalan, masuk gear gostan dan betulkan kesilapan.

Tradisi bermaksud kembali ke asal usul dalam berbahasa, mengikut kompetensi yang ada tentunya loghat utaralah menjadi pilihan. Saya juga tidak bermaksud untuk menjana sifat asobiyah kenegerian dan jauh sekali ingin digelar ahli bahasa. Sekadar ingin memperkenalkan kepada pembaca budiman sekalian kepelbagaian berbahasa di bumi bertuah ini dan sebagai peringatan kepada yang terlupa (terutamanya diri ini). Biar setinggi mana langit dijulang bumi ini tetap ku jejaki, biar seluas mana mata memandang kampung halaman tetap di hati....

Saya juga mengharapkan bantuan pembaca sekelian untuk menyumbang pada ruangan ini yang akan dikhususkan untuk satu tujuan sahaja; "memperkenalkan maksud sesuatu perkataan di dalam loghat utara". Mungkin sahaja perkataan itu masih diguna pakai atau yang agak klasik, silakan sahaja berkongsi. Lebih klasik perkataan itu, lebih seronok untuk dikongsi.

Pada posting pengenalan ini saya ingin berkogsi satu perkataan saja iaitu
Loghat yang bermaksud

1) Dialek - cth loghat Kedah

2) Sifat seseorang yang banyak karenah/terlalu ambil tahu -cth
"Hang ni loghat betoi la",
"Awat yang hang loghat sangat nie?"

3) Keadaan genting (kesakitan/kemiskinan/pergaduhan dsbg.) cth
"Tak pi tengok Pakcik sakit ka? Dia dah loghat dah tu",
"Kita kena tolong depa la, dah loghat tu"
"Nampak macam dah loghat ni, baik kita lari dulu"

Cukup dulu rasanya setakat ini, moga dapat disambung lagi Insya Allah.

Monday, January 28, 2008

CCTV vs Penyangak - Siri 2



Salam buat semua...

Di sebalik kesedihan yang menimba En Mohd. Nashar sekeluarga, muncul pula golongan yang lebih mementingkan glamor dan fulus mengatasi usaha mengesan kehilangan adik Syarlinie. Glamor dengan aksi yang mencabar aqidah muslim, mengeksploitasi keadaan ghaflah keluarga ini berdepan asakan media dan masyarakat.

Pihak peniaga CCTV pula sedang berkira-kira jumlah keuntungan yang telah dan bakal diperolehi. Tersenyum lebar kerana mendapat promosi percuma saban hari daripada model-model iklan yang di antaranya bertugas di Parlimen sehinggalah yang paling glamor menetap di kediaman rasmi PM di Putrajaya barangkali. Tersenyum lebar kerana Akta berhubung pemasangan CCTV juga bakal digazetkan oleh model-model iklan ini, dengan andaian mereka mendapat mandat baru sehari dua lagi. Namun, persoalannya apakah nilai dan kesan yang boleh kita harapkan daripada CCTV ini....?

Kisah pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pun masih gagal dirungkai oleh pihak berwajib. Mereka mungkin terlalu sibuk melakukan tugas bid'ah, terutamanya mengawasi ceramah dan perhimpunan awam. Bantuan CIA pula sekadar untuk memperbaiki mutu imej rakaman sahaja, meleset daripada sangkaan awal saya untuk bertemu muka pasukan CSI yang kununnya begitu hebat.

Saya juga tidak fikir ada penjenayah di Malaysia yang terlalu bangang untuk tidak menutup muka mereka selepas ini. Kalau pun ada, rakaman CCTV boleh dinafikan kesahihannya pada hari ini dengan begitu mudah. Betapa ramai artis dan VIP tanahair yang menafikan mereka terlibat dalam pembikinan klip video lucah dan terlepas. Alasan yang paling diminati mereka adalah mengaitkannya dengan teknologi superimpose. Mantan Menteri Kesihatan mungkin sesatunya VIP yang berani mengakui "I'm the man in the video", biarpun dia boleh sahaja terlepas dengan berkata "it looks like me, but its not me" atau menyalahkan teknologi..haaa lebih ajaib kan begitu.

Semua juga sudah sedia maklum betapa selambanya seorang peguam terkenal menafikan dia adalah orang yang dirakam pada klip video kontroversi di depan Suruhanjaya Siasatan. Apakah hal yang sama tidak boleh dilakukan oleh penjenayah di Malaysia suatu hari nanti. Mungkin selepas ini muncul satu dialog sebegini di mahkamah, "wajahnya nampak seakan saya, tetapi bukan saya la Yang Ariff", hampehhh.... dan lebih hampeh andai kata penyangak ini terlepas.

Kesimpulannya posting kali ini sekadar hendak mengingatkan bahawa CCTV tidak dapat mencegah jenayah, jauh sekali untuk mengatasinya. Maka adalah lebih afdal kita kembalikan jua urusan ini kepada kuasa yang lebih Agung untuk menjaga keselamatan kita. Janganlah pula sekadar meminta kepadaNya tanpa kita sendiri mengikuti perintah dan laranganNya..wassalam..

Sunday, January 27, 2008

Rawatan Bekam - Siri 2

KEHEBATAN RAWATAN DARAH

Sistem peredaran darah

Sistem peredaran darah amat penting bagi manusia kerana ia berfungsi mengangkut oksigen dan zat ke seluruh badan. Manusia amat bergantung kepada darah yang bersih dan sistem pengangkutan darah yang cekap. Jantung, paru-paru, urat (ateri dan vena), ginjal,limpa dan hati memainkan peranan yang amat penting kepada kita. Tugas mereka selama 24 jam tanpa henti seringkali diabaikan kerana majoriti manusia kini hanya peka kepada kesihatan luaran. Produk kecantikan dan kelangsingan badan selalunya lebih menjadi rebutan pengguna kerana kesan cantik dan langsing mudah dilihat sedangkan kesihatan dalaman tak siapa yang tahu.

Tuhan yang Maha Agung telah membina makhluknya bernama manusia ini daripada sel-sel yang terhimpun dan terbentuk dengan unik. Sel-sel ini yang wujud dalam pelbagai bentuk seperti organ, daging, otot, tulang mahupun kulit. Darah adalah sumber makanan kepada sel. Namun darah juga boleh menjadi musuh tersembunyi kepada kita jika kebersihannya atau pengalirannya terabai. Sistem peredaran darah yang sepatutnya memberi zat kepada sel tubuh, boleh juga bertindak sebaliknya dengan membawa darah yang tercemar dengan toksid, kolesterol, asid urik dan sebagainya. Oleh itu kotoran pada darah perlu dielakkan untuk menghalang penyakit disebarkan melalui sistem peredaran darah.

Jika tubuh kita diandaikan seperti sebuah kereta, ia memerlukan petrol untuk menggerakkannya. Darah boleh kita diumpamakan seperti minyak petrol dan jantung yang mengepam darah seperti sebuah enjin. Ginjal dan hati yang berfungsi menapis serta mencuci darah bolehlah dianggap sebagai karburator atau filter. Urat darah (ateri & vena) pula diibaratkan seumpama saluran minyak. Cuba anda bayangkan keadaan sebuah kereta yang menggunakan petrol yang tercemar. Pergerakannya tentu tidak lancar dan pastinya akan lebih kerap ke bengkel daripada meluncur di atas jalan. Walaupun setelah diservis, jika petrolnya masih tercemar masalah tetap akan berlaku semula. Hal yang sama juga akan berlaku jika saluran minyak kereta telah tersumbat atau bocor. Gunalah apa jenis petrol sekalipun, engin tetap akan meragam.

Maka keadaan inilah yang berlaku di dalam tubuh kita. Kebersihan darah dan kelancaran sistem peredarannya amat penting untuk memastikan kita tidak perlu menjamah ubat seperti memakan nasi. Darah yang kotor adalah disebabkan oleh corak pemakanan dan penjagaan kesihatan yang terabai. Manakala saluran darah pula tersumbat atau bertakung (blood stasis) disebabkan darah yang kotor atau wujudnya gangguan seperti :
• kemalangan kenderaan, sukan lasak, hentakan atau perkara berkaitan
• pakaian atau kasut yang ketat
• penagihan dadah, alkohol, rokok dan ubatan tertentu yang berterusan
• kesan pada bayi dalam kandungan akibat sebab-sebab di atas


Kajian Mengenai Pengumpulan Darah Kotor

Sekumpulan pakar daripada Syiria yang diketuai oleh Prof. Abdul Kadir Alias Al-Dairani, telah mengkaji secara klinikal mengenai pengumpulan darah kotor di dalam badan manusia. Mengikut kajian mereka, kebanyakkan darah kotor di dalam tubuh akan terkumpul pada kawasan belakang badan seperti rajah di bawah

Menurut hasil kajian beliau, darah kotor terkumpul di kawasan tersebut pada waktu malam semasa tidur dengan secara fitrah. Hal ini tidaklah bermakna tiada darah kotor yang terdapat pada kawasan lain. Bahkan kita telah sedia maklum, bagi orang yang mengalami penyakit ghout, kekotoran ini terkumpul di sendi, trombosis pula di urat peha, migrain di kepala dan lain-lain penyakit.

Kajian mereka juga mendapati pengaruh graviti bulan memberi kesan kepada corak pengaliran darah. Mereka mendapati wujudnya perbezaan pengaliran darah pada kitaran bulan di separuh pertama (1-15) dengan separuh berikutnya (16-30). Kajian yang ini dibuat berasakan kepada hadith Nabi SAW yang menganjurkan berbekam pada hari yang ke 17, 19 dan 21 kalender Hijriah. Prof Abdul Kadir juga mendapati darah kotor akan mula terkumpul pada usia 20-an bagi lelaki dan 50-an (setelah putus haid) bagi wanita. Sehubungan itu mereka mencadangkan perawatan bekam dilakukan mengikut masa dan kawasan tertentu sahaja untuk mendapatkan manfaat yang maksima. Kaedah dan tatacara bekam yang dicadangkan beliau akan dibincangkan dengan lebih terperinci pada Siri 4.


Kebaikan Berbekam

Ahli perubatan tradisional biasanya menyatakan bahawa bekam boleh mengeluarkan angin, darah kotor dan racun di dalam badan dengan tidak dihuraikan secara terperinci bagaimana semua ini berlaku. Maka di bawah ini adalah beberapa penjelasan yang lebh mendalam berhubung keunikan rawatan darah ini :

1. Bekam menyebabkan imflammation (kawasan kulit menjadi lebam atau kemerahan), berpunca daripada pengaliran darah meningkat di kawasan tersebut akibat tarikan vakum. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak zat yang diperlukan oleh sel dibekalkan seterusnya meningkatkan metabolisma sel di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, otot dan sel akan kembali segar dan pulih seperti asal tanpa aplikasi ubat-ubatan.

2. Imflammation juga dapat menggalakkan rembesan hormon, enzim dan antibodi bagi tujuan kesembuhan secara fitrah. Prinsip ini juga menjadi asas kepada beberapa kaedah pengamal perubatan alternatif termasuklah kaedah akupuntur menggunakan lebah (bee acupunture).

3. Pengeluran darah melalui berbekam secara tidak langsung dapat meningkatkan penghasilan sel darah baru yang dapat memberi kesegaran semula jadi pada badan. Hal ini disebabkan sel darah akan mati setelah sekian lama bergerak di dalam tubuh. Sel yang mati perlu digantikan dengan penghasilan sel darah merah yang baru di sum-sum tulang.

4. Sejumlah kotoran yang terkumpul seperti diterangkan sebelum ini akan tertarik ke bawah kulit semasa berbekam. Kotoran ini boleh dikeluarkan dengan mudah apabila kulit ditusuk semasa berbekam. Jika kulit tidak ditusuk, kotoran ini tetap juga dikeluarkan pada suatu jangka masa melalui berpeluh.

5. Bekam juga dapat mengaktifkan pergerakan otot, saluran darah, saraf dan pengaliran cecair badan yang lain seperti cecair limfa. Cecair limpa telah dikenal pasti sebagai agen untuk melawan penyakit dan digerakkan ke suluruh tubuh melalui pergerakan otot. Oleh itu, bekam akan meningkatkan sistem ketahanan badan (imuniti) sekaligus memberi kesan positif secara fitrah.


Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-3 : "Tatacara Rawatan"

Saturday, January 26, 2008

What Did I do Today

Sedang saya mencari-cari clip video lagu My Mother daripada You Tube untuk dijadikan halwa telinga, turut tersenarai bersama adalah lagu What Did I do Today, nyanyian David Wharnsby. Beliau yang lahir pada 27 Jun 1972, adalah warganegara Kanada dan telah memeluk Islam ketika berusia 21 tahun. Beliau seterusnya menubuhkan sebuah syarikat rakaman Enter Into Peace yang membuka laluan kepada penghasilan album nasyeed genre bahasa Inggeris yang bukan sekadar menjadi halwa telinga, bahkan menguatkan keimanan dan ketaqwaan. Syukur kita kepada Allah kerana dibukakan hidayah-Nya kepada insan yang begitu gigih menghasilkan karya seni di peringkat antarabangsa malah turut terlibat dalam lapangan dakwah yang pelbagai. Kini David sudah terkenal di pesada seni nasyed antarabangsa dengan nama Islamnya Dawud Wharnsby Ali.

(Saya ulangi posting ini kerana masih terdapat sedikit masalah teknikal yang dialami untuk menyatukan klip video dan artikel di dalam satu posting...harap bersabar dan selamat mendengar.....)

What did I do Today? bye Dawud Wharnsby Ali

Wednesday, January 23, 2008

Rawatan Bekam - Siri 1



Sejarah Bekam

Bekam yang dikenali dengan nama Hijamah di dalam bahasa Arab, Cupping dalam bahasa Inggeris dan Gua Sha oleh bangsa Cina telah diamalkan sejak sekian lama di dalam peradaban manusia. Ada pendapat yang mengatakan bekam telah mula diamalkan sejak zaman tamadun Mesir purba iaitu di Lembah Sungai Nil dengan penggunaan tanduk binatang sebagai alat berbekam. Sejarah mencatatkan Hippocrates, selaku tokoh perubatan terbilang juga turut mempraktikkan kaedah ini sebagai rawatan.

Terdapat juga bukti yang menunjukkan bekam telah diamalkan oleh tamadun Cina sejak 2200 hingga 2600 tahun lalu. Penggunaan tanduk binatang sebagai alat bekam telah digantikan dengan penggunaan bekas yang diperbuat daripada buluh pada Dinasti Sui dan Tang. Pada Dinasti Ching, pembekam telah menggunakan peralatan yang diperbuat daripada tembikar, logam sehinggalah bekas kaca diperkenalkan. Bekam juga amat popular di Greek, Rom dan Eropah (1400 AD) sebagai rawatan alternatif mencuci darah selain daripada kaedah phlebotomy (pembuangan darah secara terkawal dengan cara menghiris urat tertentu). Pembekam biasanya terdiri daripada tukang-tukang gunting rambut yang menjalankan operasi bekam di pusat-pusat perhimpunan para bangsawan. Sign board berbelang merah putih berputar yang terdapat di luar kedai gunting di zaman itu pada asalnya bermaksud kedai tersebut menawarkan rawatan berbekam.

Bangsa Arab turut tidak ketinggalan mengamalkan bekam sebagai asas perawatan. Ia telah diperturunkan oleh lapisan generasi bangsa Arab sehinggalah kedatangan Islam di bumi Makkah. Semasa hayat Rasulullah SAW, baginda turut mempraktikkan rawatan bekam malah keutamaan bekam sebagai rawatan telah banyak diriwayatkan di dalam hadith.

Nabi S.A.W bersabda “Sebaik-baik sesuatu yang kamu gunakan sebagai ubat adalah berbekam” (H.R Bukhari & Muslim)

Terdapat beberapa hadith lain yang dikumpulkan pada Siri 5 menerangkan serba ringkas berhubung rawatan bekam mengikut pandangan Islam. Pembaca juga boleh merujuk kitab perubatan Islam karangan ulamak tersohor yang membahaskan tajuk ini adalah seperti Tibb An Nabawi karangan Imam Ibnu Qayyim (terjemahannya ada di pasaran) atau boleh juga cuba menyelak kitab Al Qaanun karangan Ibnu Sina jika berkemampuan.

Bekam juga tidak kurang popularnya di kepulauan Nusantara ini. Orang-orang Melayu khususnya, sejak sekian lama telah berbekam untuk mengeluarkan bisa binatang, menguatkan tubuh, menghilangkan penyakit malah untuk penjagaan kesihatan secara am. Namun kepercayaan kepada unsur-unsur tahyul telah menyebabkan ilmu warisan ini tidak berkembang sejajar dengan era kemodenan. Darah bekam dikaitkan dengan pemujaan atau amalan khurafat yang bercanggah dengan nilai agama. Kegagalan sebilangan pembekam tradisional memahami kaedah bekam yang sebenar dan menggunakan alatan yang tidak bersih menimbulkan kesan sampingan hingga menyebabkan masyarakat hilang minat untuk berbekam. Terlalu banyak ulasan yang salah berhubung kaedah perawatan ini, sehinggalah pada hari ini orang Melayu khususnya berfikiran negatif apabila membicarakan hal bekam.

Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-2 : "Kehebatan Rawatan Darah"

Friday, January 18, 2008

Rawatan Bekam - Suara Penulis


Salam untuk semua..
Artikel kali ini membicarakan koleksi tulisan saya bertajuk Rawatan Bekam-Mengungkap Rahsia Warisan Silam yang akan muncul di laman Abu Alfateh. Buku yang dikarang dengan niat untuk dipasarkan secara peribadi oleh penulis, namun sehingga kini usaha untuk mencetaknya pun belum tercapai. Idea menerbitkan buku ini di dalam blog muncul setelah layout printing yang pernah saya lakukan pada dua tahun lepas berjaya ditemui. Berbekalkan azam dan semangat baru, saya amat berharap perkongsian ilmu di blog akan lebih memberi makna.

Buku ini hanyalah susunan ringkas penulis sekadar memberi pengenalan kepada prinsip dan tata cara berbekam. Ia terbahagi kepada enam sub topik yang dikupas berdasarkan pengalaman peribadi menjalankan Klinik Rawatan Bekam secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu. Rujukan menghasilkan buku ini adalah daripada dua nota kursus yang pernah dihadiri penulis iaitu Kursus Bekam Inovatif anjuran Emtiaz Excel Sdn Bhd dan Kursus Intibah anjuran HPA Sdn Bhd. Jazakallah saya ucapkan kepada En Kosim daripada Emtiaz Excel dan juga buat Tn Hj Ismail, Pengarah Urusan Satu HPA yang telah sudi berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Selain itu beberapa artikel, rencana akhbar dan maklumat tambahan daripada laman web telah diadun seadanya untuk menjadikan persembahan buku ini lebih universal.

Oleh kerana kaedah berbekam bukanlah jenis rawatan tersohor dan kurang dikaji secara klinikal, saya andaikan buku ini bukanlah suatu rujukan yang sohih mutlak. Masih terdapat ruang untuk diperbaiki dan saya terbuka untuk menerima teguran yang membina. Demi niat untuk mempopularkan bekam sebagai rawatan alternatif, saya mengajak pembaca sekalian agar sudi melapangkan masa mengikuti enam siri yang bakal disisipkan iaitu :
1. Sejarah Bekam
2. Kehebatan Rawatan Darah
3. Tatacara Rawatan
4. Peraturan Bekam
5. Rawatan Holistik
6. Kawasan bekam mengikut titik akupuntur

Sudikanlah jua untuk bertanya, memberi komen dan berhubung terus dengan saya andai terdapat soalan yang bersifat peribadi. Sukar untuk saya bercerita panjang pada ruangan yang terhad ini kerana ilmu dan pengalaman sukar diterangkan sepenuhnya melalui penulisan di blog. Tambahan pula orang yang menulis sekadar mendapat markah D dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di universiti, pasti ada kesilapan yang mengundang resah para ahli bahasa.


Pengalaman menjalankan rawatan bekam membenarkan saya menempuhi beberapa keajaiban yang sebenarnya telah diungkapkan oleh baginda Nabi S.A.W. sejak 14 kurun yang lalu. Saya melihat sendiri di depan mata bagaimana kesembuhan yang segera berlaku dengan izin Allah setelah mendapat rawatan bekam. Rawatan klasik yang sering diabaikan dan mungkin juga dipandang serong oleh segelintir masyarakat ini telah berjaya dimodenkan. Hinggakan isteri sendiri yang mulanya sekadar menjadi patient VIP saya, telah mampu merawat pesakit wanita biarpun sekadar menerima bimbingan yang minimum. Saya juga bersyukur kerana bekam telah menemukan kami berdua dengan kenalan baru yang di antaranya telah berjaya mendapat zuriat melalui kaedah ini dengan izin Allah. Artikel ini diharapkan dapat menarik minat pembaca budiman agar sudi mengikuti buku "Rawatan Bekam-Mengungkap Rahsia Warisan Silam" yang akan muncul pada posting ke-20 nanti Insya Allah.

Thursday, January 17, 2008

Hutan Yang Mengajar Ku Erti Kehidupan



Salam untuk semua...

Apabila shoutbox di sebelah buat pertama kalinya memaparkan nama Mat Baha, hati ini terus teruja mengenangkan kisah silam semasa menuntut di USM Kampus Cawangan Perak, Tronoh. Kisah yang saya maksudkan ini bukanlah kenangan menggalas cabaran sebagai mahasiswa, namun ia adalah kisah pahit manis yang dikongsi bersama oleh para penghuni blok 2B Desa Lembaran yang bergelar kadet PALAPES atau ROTU. PALAPES adalah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan juga dikenali sebagai ROTU iaitu Reserve Officer Training Unit.

Mat Baha adalah senior saya di dalam ROTU kerana beliau terlebih awal menyertainya ketika masih di Matrikulasi sedangkan saya dan sebahagian besar rakan-rakan lain hanya menyertainya setelah masuk tahun satu. Artikel ini adalah suatu permulaan untuk saya berkongsi pengalaman selama 3 tahun masuk hutan seperti orang mabuk dan keluar seperti orang utan. Agak keterlaluan perbandingan ini, namun di sebalik kata tersebut, tersemat cerita yang jarang dikongsi kecuali dengan orang tersayang atau rakan seangkatan sahaja. Cerita yang menginsafkan, mungkin jua menyayat hati, kadang kalanya melucukan, penuh iktibar dan paling tidak sekadar untuk tatapan pembaca budiman yang belum pernah merasainya.

Bukan semua mahasiswa layak mengikuti latihan seumpama ini dan bukan semua orang yang layak pula sanggup mengikutinya. Saya adalah antara mereka yang layak dan sanggup disebabkan oleh dua faktor yang menjadi motivasi iaitu wang dan asrama. Saya tidak pasti bagaimana pula halnya dengan rakan-rakan yang lain, namun apabila kami disoal semasa sesi suai kenal bersama kadet senior, rata-rata mengatakan "minat nak jadi askar" sebagai jawapan skema. Terdapat dua aktiviti ganjil yang telah saya lakukan semasa hidup walaupun amat bertentangan dengan naluri iaitu menjadi blogger (seperti yang saya terangkan pada posting lepas) dan menyertai ROTU. Orang mandom seperti saya langsung tidak layak menyertai ROTU. Saya terkenal di kalangan ahli keluarga sebagai seorang yang suka lena, tidak lasak dan saya langsung tidak pernah mengikuti sebarang aktiviti pasukan berunifom semasa bersekolah. "Sungguh tak ku sangka, cempedak bertukar menjadi papaya, basikal bertukar menjadi race car, kaca berubah menjadi mutiara".

Wang adalah pendorong utama saya untuk menguatkan diri menyertai pasukan Askar Wataniah, walaupun saya lebih gemar mengumpul mimpi daripada mengumpul wang. Setelah ayah meninggal dunia pada umur 17 tahun, saya berazam untuk tidak menyusahkan ibu yang masih perlu menyekolahkan dua lagi adik berbekalkan wang pencen ayah. Saya sudikan diri untuk keluar masuk hutan, berkawad di tengah rembang, korbankan cuti hari minggu dan cuti semester malah sanggup mengilatkan kasut walaupun jam sudah 3 pagi. Ketika pelajar lain sibuk outing ke pekan Ipoh di hari minggu mencari ration tambahan atau sekadar berdating bersama teman, kami sekawan sibuk didenda jurulatih yang rasanya tak pernah letih mendenda. Adakalanya denda yang dikenakan membuatkan kami semua terlentang di atas padang kawad, itu belum lagi cerita masuk ke hutan. Oleh kerana ini hanyalah muqaddimah, saya syorkan pembaca budiman terus mengikuti kisah selanjutnya untuk mengetahui denda terhebat yang kami alami semasa di dalam hutan Asahan, Melaka.



Kisah kadet ROTU yang dipaparkan kali ini bukan sekadar untuk dijadikan kenangan semata-mata malah jauh sekali dengan niat untuk berlagak baik. Saya sudi mewar-warkan kisah yang selama ini menjadi nostalgia warga blok 2B Desa Lembaran demi untuk berkongsi pengajaran bermakna semasa bergelar ahli kadet. Kata-kata "Dah Sampai Ke Bulan, Jangan Lupa Rumput Di Bumi" yang terpahat pada ruang Kenali Diri di sebelah, berjaya dihayati hanya setelah mempraktikkan maksudnya semasa di hutan. Hutan itu yang mengajar aku erti kesenangan dan ia juga telah mengajar ku merendah diri....nantikan episod seterusnya Insya Allah, wassalam.

Tuesday, January 15, 2008

Rawatan Bekam - Mengungkap Rahsia Warisan Silam



Nantikan keluarannya di laman ini...insyaAllah

Monday, January 14, 2008

CCTV vs Penyangak

Salam buat semua..
Penyangak yang melarikan adik Sharlinie, masih menjadi misteri sekalipun bagi pihak berwajib yang mengamalkan motto Betul, Cepat dan Mesra. Wajah sugul dan suram keluarga beliau ketika ditemuramah wartawan cukup menggambarkan betapa hibanya perasaaan mereka biarpun saban hari dikunjungi oleh para pempinan negara. Tak perlulah disorot kembali jumlah kes melibatkan kehilangan kanak-kanak ini, kerana sudah terlalu banyak analisis dan komen penuh emosi yang disuarakan. Hasilnya kes jenayah masih meningkat setiap hati dan kepercayaan kita kepada dua pihak di atas untuk menjaga keselamatan negara jatuh merudum.

Saya meramalkan wakil penjual CCTV bakal mendapat durian runtuh pada tahun ini kerana nampak seakan-akan pihak berwajib akan bergantung penuh kepada keupayaannya manjadi 'Superman' di Malaysia. Dengan semua pihak menyatakan kesediaan untuk memasang segera CCTV, nampak seakan-akan kes jenayah melibatkan kanak bakal terkawal. Superman ini akan diletakkan pada kawasan stategik dan hukuman yang lebih berat juga sedang dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan jenayah. Kedua-dua ini adalah engineering control dan admin control yang dirasakan amat sesuai.

Sila klik di link untuk mengikuti ulasan berkenaan perkara di atas.

Kita mengalu-alukan langkah pencegahan yang hendak dan akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Kita juga perlu bersedia dengan senjata terbaik untuk melawan si penyagak bedebah ini. Senjata terbaik yang saya maksudkan adalah dengan berdoa. Doa bukanlah penghalang mutlak kepada berlakunya jenayah, namun kita diingatkan untuk berdoa bagi mengelakkan sebarang kejahatan, kemusnahan atau mungkin juga bala. Setiap kejadian itu, Allah yang mengaturnya dan Dia lah jua yang akan memilih calon-calon sesuai untuk diuji. Andai kata kita diuji mahupun setelah berdoa, yakinlah bahawa pasti sahaja terdapat hikmah dan rahsia di sebalik kejadian yang menimpa. Perkara tersembunyi bersifat hikmah dan rahsia ini memerlukan ulasan lain yang Insya Allah akan dikongsi pada artikel mendatang.

Samalah keadaannya apabila kita membeli sebuah kereta yang dilengkapi dengan pelbagai sistem 'anti theft'. Alat tersebut hanyalah sebagai pencegahan semata, dan kita masih perlu berdoa agar kereta kita tidak menjadi pilihan. Tentu sahaja seorang pencuri profesional tidak akan bermasalah untuk mencuri kereta dengan apa jenis sistem pencegahan sekalipun. Kalau sudah pekerjaannya mencuri, dia pasti sedar akan bahaya menanti dan telah bersedia dengan kecekapnnya untuk mencuri. Maka cara terbaik setelah berusaha memasang sistem pencegahan adalah dengan bertawakkal kepada Ilahi melalui doa, agar kereta kita tidak terpilih. Saya yakin, di kalangan pembaca ada yang rajin mengikuti kuliah agama dan pernah mendengar huraian betapa pencegahan jenayah dapat dipertingkatkan dengan perlaksanaan hukum Hudud dan Qisos. Saya tidak arif untuk mengulas tentangnya namun bersetuju dengan maksud yang disampaikan.

Di bawah ini saya sertakan antara doa yang boleh kita jadikan amalan harian, kalaupun tidak versi Arabnya, makna yang disertakan bersama doa ini amat mudah kita zikirkan.


“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, segala puji adalah semata-mata untuk Allah, Tuhan Pemerintah alam. Selawat dan salam adalah untuk junjungan besar semulia-mulia Nabi dan Rasul dan begitu juga ke atas keluarga serta sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah! Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon supaya Engkau memelihara kami. KepadaMulah kami pertaruh agama kami. Ahli keluarga kami, harta-harta kami. Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka itu di dalam pemeliharaan, perlindungan, keamanan dan penjagaanMu daripada semua syaitan, dan yang mempunyai mata yang mempunyai kedengkian dan yang mempunyai kejahatan. Sesungguhnya Engkau di atas tiap-tiap sesuatu itu Maha Berkuasa.”


Hikmah kesenangan atau kejayaan sepertimana artikel saya bertajuk Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari Yang Ku Hormati, terlalu mudah untuk direnungi. Namun apabila kita ditimpa kesusahan atau sesuatu kejahatan berlaku, sukar untuk mencari rahsia yang tersirat di sebaliknya. Sehebat mana pun perasaan kita yang melihat dari jauh ini tidak mungkin sama dengan kesedihan mereka yang menanggungnya. Marilah kita sama-sama berdoa agar adik Sharlinie dikembalikan ke pangkuan keluarganya dengan selamat. Berdoa agar kita dijauhkan daripada kejahatan serta musibah dan agar kita tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita hadapi....Ameeen..

Saturday, January 12, 2008

Kalau Kail Panjang Sejengkal



Kita seringkali mendengar pepatah "kalau kail panjang sejengkal, lautan luas jangan diduga". Falsafah atau maksud pepatah tersebut sangat mudah difahami oleh jumhur rakyat Malaysia. Namun pada posting kali ini, izinkan saya berkongsi kaitan pepatah tersebut dengan kesanggupan saya terjun ke dunia cyber selaku blogger tua.

Kawan-kawan yang mengenali saya mungkin terasa sedikit pelik dengan munculnya laman abu-alfateh.blogspot.com , kerana mengetahui pemiliknya adalah insan yang paling tidak suka dengan kemajuan IT. Saya boleh dikatakan sebagai lembab IT, sewaktu di universiti dahulu kerana sikap saya yang bo layan terhadap perkembangan dunia cyber walaupun setelah melangkah ke alam pekerjaan. Namun segalanya berubah sekelip mata setelah secara tak sengaja saya tersempak dengan laman Saifulislam.Com. Hampir sebulan saya fana dengan ayat-ayat power Ustaz Hasrizal (UH) dan para pelawat di laman tersebut, sehinggakan hati ini mula terfikir betapa banyak masa yang saya telah bazirkan selama ini."Baik aku buat blog daripada duk merapu tak sudah", bisik hati saya sendirian.

Cabaran pertama berjaya dihadapi iaitu terpaksa belajar membina sebuah laman blog, yang boleh diumpamakan bagai satu mimpi ngeri. Setelah puas memotivasi diri dengan sedikit sentuhan rohani, maka lahirlah abu-alfateh.blogspot.com merangkak di celah jutaan laman blog yang sedia ada. Namun masih banyak cabaran yang menanti;
Siapa yang nak baca artikel dalam blog ni?
Mana aku nak cari artikel?
Bila masanya aku nak mengarang?
Nak karang bab apa?
Apa konsep blog aku? Agama? Politik?
Ada ka orang nak melawat laman ni?

Suara hati kali ini semacam memperli diri sendiri yang turut tidak mahu dikurniakan dengan gelaran SS, bukan Sohibus Samahah tetapi syok sendiri. Kalau tidak kerana sokongan isteri yang sudi menaja bil bulanan memasang broadband di rumah dan membeli modem, saya mungkin terus tutup kedai. Sukar sekali mencari masa sesuai untuk mencungkil idea menulis, melainkan dilakukan di rumah itupun setelah detik 12 malam.

Tahulah saya betapa kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan otai-otai blogger yang sering saya ziarah laman mereka. Laman berunsurkan politik dan agama mudah sekali mendapat tempat di hati pembaca. Tajuk kesenian, jenaka, aktiviti sosial atau kisah hidup juga turut menjadi pilihan. Apabila memikirkan konsep yang bakal menghiasi laman blog ini, terasa pendek pula kail saya untuk menduga lautan luas yang ada di hadapan. Di sebalik segala kedhaifan, kehadiran blog ini diharapkan tidaklah sekadar menjadi tatapan peribadi penulisnya semata. Kunjungan pembaca budiman memberi sokongan, amat saya hargai, teruskanlah memberi komen positif demi memperbaiki laman ini. Kita tidak dibayar dengan wang ringgit untuk masa yang kita peruntukkan di sini. Ilham yang dicampakkan Ilahi mengizinkan saya berkarya juga bukan untuk dijual beli. Saya berazam untuk menduga di lautan yang luas ini, walaupun sedar kail yang ada di tangan hanyalah sejengkal sahaja panjangnya. "Ya Allah andai ada kebaikan dalam amalan ku ini, Engkau kekalkanlah keikhlasanku dan Kau limpahkanlah kekuatan kepada ku untuk meneruskannya" Ameennn.....Wassalam

Friday, January 11, 2008

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari Yang Ku Hormati


Tersenyum lebar saya apabila nama Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah Negara bagi tahun 1429H. Senyum bukan kerana saya turut berdarah hijau kuning sepertimana beliau. Tetapi senyum kesyukuran kerana bumi Malaysia ini masih terdapat tokoh Muslim yang bukan sahaja kaya pada harta malah kaya dengan sifat pemurah dan rendah diri seperti mana ditonjolkan oleh Tuan Syed.

Isteri saya acap kali menegur peel saya yang kurang enak iaitu agak dingin pada golongan berada, maafkan saya jika ada di kalangan pembaca yang berstatus berada. Perasaan peribadi ini bukan muncul secara tiba-tiba, ia lahir setelah meniti pelbagai pengalaman berdepan dengan golongan elit atau bangsawan Muslim. Saya jauh daripada menyimpan dendam atau berperasaan iri hati terhadap kejayaan orang lain. Cuma agak agak sedih mungkin kerana terlalu sukar untuk bertemu bangsawan yang betul-betul boleh ditauladani. Mungkin sahaja benchmark yang saya tetapkan agak tinggi atau mungkin juga saya tidak pernah mendapat ujian kelimpahan harta dunia sebagaimana mereka. Namun majoriti bangsawan hanyalah bersifat dermawan, tidak begitu agamawan dan sedikit sekali yang merendah diri.

Masih segar dalam ingatan ini pengalaman menganggotai PALAPES USM bersama Wan Azmir bin Dato' Seri Wan Mohammed, anak bekas MB Perak. Suatu hari kami ditugaskan sebagai anggota fitik yang bertanggungjawab mencuci dan membuang sampah. Saya bersama dua orang rakan lain termasuk beliau, terpaksa mengharungi jutaan ulat sampah yang hobinya suka menyelusup di pakaian kami. Oleh kerana sampah perlu dibersihkan sepenuhnya, Wan Azmir sanggup masuk ke dalam tong sampah tersebut yang baunya sahaja 'Masya Allah' tidak mampu saya gambarkan. Ketika beliau sibuk mencuci sampah di dalam tong, saya pula sibuk menahan sakit perut kerana meloya dan termuntah. Sukar sekali untuk mencari bangsawan sebegini sekarang.

Sikap rendah diri bukanlah sesuatu yang boleh diterapkan seharian, boleh dilatih atau dilakonkan sepertimana sandiwara murahan sebilangan ahli politik. Rendah diri adalah sikap yang apabila ia telah melekat di dalam hati, pasti terpancar pada bahasa lisan dan bahasa badan. Saya kaitkan sikap rendah diri pada artikel kali ini kerana pada hemat saya Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary bukan calang-calang bangsawan kerana beliau tidak mempamerkan status kebangsawanan untuk menunjukkan keberadaanya. Beliau lebih gemar bersederhana dan merendah diri . Bersederhana yang bukan bermaksud tidak mengecap kemewahan, tetapi kemewahan yang berpada-pada yang sesuai dengan keadaan. Merendah diri pula bukan bermaksud tidak elit, tetapi elit yang mengenal asal usul dan tidak terpesong dengan kebanggaan yang berlebihan akibat kemewahan.

"Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan", kata beliau apabila ditemuramah setelah menerima anugerah di atas. Kisah hidup Tuan Syed saya paparkan pada link di bawah ini untuk jadikan tauladan :

Kisah Hidup Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukahri dipetik daripada www.iluvislam.com

Saya memohon maaf sekali lagi andai kata artikel ini menghiris hati mana-mana pihak, ia tidak bermaksud untuk mengeneralist keseluruhan golongan berada, sekadar berkongsi perasaan dan saya ini sudi diperbetulkan, Insya Allah..Ameen.

Wednesday, January 9, 2008

Teringinkan Anak Kembar



Hari ini saya bertemu dengan seorang sahabat lama, Zahuren Teh yang baru pulang dari Jepun setelah dihantar berkursus selama 6 bulan di sana. Zahuren adalah rakan setugas saya di tempat kerja lama, Penang Port Commision. Pertemuan dengan Zahuren sememangnya menyeronokan kerana beliau termasuk dalam kategori orang yang pandai bercerita mungkin disebabkan pengalamannya sebagai orang laut. Satu jam duduk bersamanya langsung tidak terasa dan pelbagai kisah yang dapat saya belajar dan kongsi bersama beliau.


Namun dalam banyak perkara yang dibincangkan, satu topik yang menarik untuk saya paparkan di sini adalah pengalaman Ren mendapat anak kembar. Saya cuba mengorek rahsia Zahuren kerana saya dan isteri juga menyimpan keinginan untuk mengikut jejak langkah beliau. Setahu saya sejarah keluarga beliau tidak ada yang kembar begitu juga isterinya Kartini yang bertugas di UNIMAP, Perlis. "Ren, hang ni dalam duk jauh dengan bini pun boleh dapat kembanq, bagitau la sikit rahsia kat aku", kata saya dalam loghat Kedah."Rahsia tu takdak, tapi experience aku dulu-dulu tu boleh la nk syer sikit-sikit dengan hang", ujar Zahuren yang sentiasa tersenyum bila bercakap.

Zahuren meneruskan cerita bagaimana beliau telah menjadikan amalan berdoa agar dikurniakan anak kembar sejak berusia belasan tahun lagi. Namun doa itu beliau lakukan setiap kali bertemu dengan perkara yang bersifat kembar contohnya pisang kembar, nangka kembar, rambutan kembar dan sebagainya. Tambah beliau lagi, apabila bertemu sesuatu yang bersifat kembar, batinnya cukup kuat mengagungkan kebesaran Ilahi yang menjadikan sesuatu itu dengan berkembar. Tentu sahaja Allah tidak akan menjadikan makhluk itu dengan sia-sia, dan di saat itu jualah beliau akan berdoa agar Allah menganugerahkan anak kembar kepadanya pada suatu hari nanti. Alhamdulillah, doa Zahuren telah mendapat restu Ilahi pada tahun lepas.

Subhanallah, sungguh saya tidak sangka begitu hebat sentuhan rohani yang saya perolehi daripada cerita Zahuren. Walaupun niat asal saya hanyalah ingin mengetahui cara mendapatkan anak kembar, Allah seakan-akan mengajar bagaimana saya sepatutnya melihat kejadian alam ini. Tidaklah dijadikan sesuatu itu dengan sia-sia dan takkan mampu dilihat keajaiban kejadian itu melainkan orang-orang yang berfikir. Pertemuan dengan Zahuren pagi ini bukan sekadar pertemuan dua sahabat lama, namun bagaikan satu proses pendidikan jiwa yang saya perolehi daripada pengalaman hidup manusia.

Semoga kisah ini dapat memberi sedikit manfaat kepada kita semua dan dapat disebarkan kepada rakan-rakan yang lain Insya Allah..Ameeen

Monday, January 7, 2008

Kerjaya Yang Membuahkan Pahala

Terkejut saya apabila mendapat berita Frederick Kanoute (gambar di atas) yang merupakan antara penyerang terbaik di Liga Bolasepak Sepanyol (La Liga) adalah saudara seagama. Terkejut kerana saya tidak tahu beliau adalah Muslim dan tambah terkejut setelah mendapati beliau banyak menyumbang ke arah pembangunan Islam di bumi Andalus.

Mungkin bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan bolasepak, nama Frederick Kanoute agak asing. Saya teramat yakin semua peminat La Liga malah EPL (English Premier League) tentu sahaja kenal kelibat beliau yang merupakan fenomena hebat di Sepanyol. Hebat di padang selaku penjaring terbanyak La Liga pada musim lepas mengatasi kehebatan pemain terbaik dunia seperti Ronaldinho dan Samuel Etto. Tetapi itu belum cukup hebat dibandingkan kemampuan beliau bermain sambil berpuasa, bersolat walaupun sekadar di dalam bilik persalinan dan derma yang beliau lakukan. Sejumlah setengah juta Euro iaitu hampir setahun gajinya telah dibelanjakan untuk membeli sebuah masjid di Sevilla. Malah beliau juga membuat perjanjian dengan majikannya agar pihak penaja kelab bolasepak FC Seville iaitu 888.com (sebuah syarikat judi)menderma ke badan kebajikan Islam tempatan sebelum bersetuju untuk memakai jersi pasukan yang terdapat logo syarikat tersebut.

Pembaca boleh mengikuti berita ini di link berikut:
www.islamonline.net

Pada zaman yang penuh cabaran ini, cukup sukar untuk kita mencari ahli sukan atau personaliti popular tempatan yang mampu menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat. Apabila terdapat contoh yang cukup baik di peringkat antarabangsa, perkara ini bukanlah suatu yang harus kita pandang sebelah mata. Tidak mudah untuk menjadi popular dan dikenali ramai, kerana popular selalunya membawa rebah. Terlalu banyak contoh di depan mata yang boleh kita lihat untuk membuktikan 'rebahnya' jiwa manusia apabila berdepan dengan dunia glamour.

Pekerjaan sebagai pemain profesional dengan kelab ternama di liga bolasepak antarabangsa sudah cukup mencabar. Menjadi Muslim contoh apabila telah berjaya dengan kerjaya profesional itu lebih hebat dan merupakan suatu jihad besar (Jihadul Akbar) di zaman mutaakhir ini. Kerjaya sebagai ustaz atau penceramah tentu sahaja lebih mendapat tempat di hati masyarakat secara amnya, kerana fungsi dakwah yang dibawa amat jelas lagi bersuluh. Siapa sangka dengan menjadi seorang pemain bolasepak, Frederick Kanoute dan rakan-rakan lain seperti Yaya Toure (yang mempertahankan berpuasa tidak akan mengurangkan ketangkasannya bermain bola) dan Eric Abidal (yang sering dilihat membawa naskah Al-Quran untuk dibaca ketika berehat di padang) telah berjaya membawa mesej Islam pada skop yang lebih luas. Kerjaya yang tentu sahaja membuahkan ganjaran pahala berlipat-kali ganda Insya Allah...Ameenn