Sunday, August 17, 2008

Petua Menghindari Penyakit A'in


Salam buat semua...

Pernahkah pembaca sekalian mendengar sesetengah orang tua kita memanggil seseorang bayi comel dengan panggilan busuk, masam, huduh dan sebagainya. Pernahkah anda terfikir dan bertanya mereka apakah sebabnya? Jawapan mereka mungkin berbeza versinya daripada seorang ke seorang, namun semuanya berkisar ke arah keselamatan dan kesejahteraan bayi tersebut. Di kampung isteri saya, ada seorang makcik yang dipanggil Kak Doh (singkatan daripada hodoh) sejak daripada kecil kerana mendapat gelaran tersebut daripada atuk dan neneknya. Adakah setelah bergelar atuk atau nenek kelak, kita juga akan bertindak sedemikian rupa? Sila baca seterusnya jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut...namun sekiranya anda tidak faham apa barang yang saya ceritakan ini, hentikan sahaja pembacaan anda....takut ada yang disampuk histeria pulak nanti (sekarang ni kan zaman histeria muncul kembali).

Saya pernah mengikuti ulasan Ustaz Fahmi Zam-Zam (daripada Pondok Derang, Kedah) membicarakan perkara di atas lebih kurang 9 tahun lepas, dan ingin berkongsi sedikit info sampingan daripada laman web. Sebenarnya semua inilah yang dikatakan sebagai Penyakit A'in yang tidak banyak diketahui umum, namun sangat rapat dengan kehidupan seharian kita. Secara ringkasnya penyakit A'in ini adalah gangguan fizikal yang terkena kepada seseorang akibat pandangan mata orang lain yang hasad, dengki atau mungkin jua cemburu dengan kelebihan yang ada pada mangsa tersebut. Ia bukanlah sihir atau jampi yang dikenakan, namun atas sifat cemburu atau sebarang pujian berlebihan tanpa bersandarkan kepada Allah s.w.t yang menjadikan sesuatu kelebihan pada makhluknya.

Maka secara ringkasnya A'in ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja, terutamanya kepada kanak-kanak. Saya dan isteri sentiasa ingat memperingati agar sentiasa berjaga-jaga agar tidak ditimpa penyakit A'in ini terutamanaya terhadap permata hati kami berdua. Malah tercatat di dalam sirah, sahabat baginda Nabi s.a.w juga pernah terkena A'in sepertimana yang berlaku kepada Sahl bin Hunaif. Saya sertakan di sini dua laman yang membicarakan perihal penyakit A'in ini untuk rujukan pembaca budiman sekelian di link1 dan link2. Sila ambil perhatian berhubung kaedah untuk melepas diri daripada A'in dan kaedah rawatannya menurut Islam.


Pesanan saya kepada pembaca sekelian dan diri sendiri agar kita berhati-hati semasa berkata-kata dan ucapkanlah Alhamdulillah jika menerima pujian yang tidak bersandarkan kepada Allah. Selain itu, jangan pula kita menyalahkan amalan orang tua dahulu yang nampaknya bersalahan dengan sunnah namun demikianlah penyebaran ilmu di zaman mereka. Menjadi tanggungjawab kita untuk memperbaiki sebarang yang kurang sempurna dengan berhikmah dan sejahtera, bukan dengan membid'ahkan pula atuk atau nenek kita terdahulu....sekian wassalam.

No comments: