Sifat asal kejadian manusia tidak akan berubah, namun sikap manusia tak pernah berhenti berubah...berubah dengan semangat HIJRAH
Sunday, December 30, 2007
Ada Apa Dengan Pembalut Buku
Saya ingin membawa memori pembaca sekalian kisah sewaktu kita semua memasuki alam persekolahan rendah suatu ketika dahulu. Sebelum hari persekolahan bermula, pastinya semua buku-buku akan dibalut terlebih dahulu oleh ayah, ibu, abang atau kakak masing-masing. Pada sekitar tahun 80an dahulu, buku kebanyakannya akan dibalut menggunakan kertas minyak sahaja. Pembalut plastik mula diperkenalkan pada tahun 90an. Kini pembalut plastik sudah hampir menggantikan sepenuhnya peranan kertas minyak, malah terdapat pelbagai jenis plastik yang beraneka corak kini di pasaran termasuklah pembalut jenis ready made
Kebanyakkan kita sekadar membalut buku dengan niat untuk menjaga dan melindunginya sahaja daripada rosak. Namun jarang difikirkan kesan psikologi apabila kita mengambil serius soal membalut buku ini. Kesan yang mungkin tidak patut dikaji oleh pakar psikologi kanak-kanak, namun saya sendiri dapat merasainya setelah menempuh alam dewasa. Nampak seperti saya ingin memperbodohkan diri sendiri dengan membuka topik ini sungguhpun saya terlalu yakin terdapat kesan psikologi dalam bab membalut buku ini.
Saya masih ingat pada tahun 1980 apabila arwah ayah dengan penuh kesungguhan mengajar abang cara-cara membalut buku teks pertamanya dan ia berlaku pada saya dua tahun berikutnya. Kesungguhan itu cukup pelik bagi saya kerana ayah begitu bersemangat menerangkan kaedah membalut buku dan menulis nama pada buku tersebut. Saya hanya sedar betapa seriusnya pekerjaan ini dan betapa bernilainya buku yang saya balut itu setelah hujung tahun. Apabila saya mendapati semua buku-buku saya masih elok dan nampak kemas, saya senyum kegembiraan malahan bangga pun ada. Tambah lega apabila cikgu yang bertugas menjaga buku teks memuji-muji saya di hadapan rakan-rakan lain sambil menyerahkan buku yang agak kemas juga untuk digunakan pada tahun berikutnya. Kesan daripada keseluruhan peristiwa ini melekat di dalam pemikiran separa sedar saya.
Namun hal sedemikian kurang berlaku kini, kerana operasi membalut buku sudah hampir diabaikan oleh ibu bapa. Kita lebih gemar membeli pembalut yang ready made. Kanak-kanak tidak didedahkan pengalaman menghargai nilai sesebuah buku dengan membalutnya. Malah kebanyakan buku-buku yang ada juga akan diganti dengan mudah oleh ibu bapa andai kata ia rosak atau dirosakkan. Betapa kita telah menikmati kemudahan yang pada hemat saya telah mengorbankan suatu detik pengajaran yang amat penting bagi seorang kanak-kanak.
Fikir-fikirkanlah....wassalam
Friday, December 28, 2007
Ikut Style McGyver
Salam untuk semua..
Hari ini hati saya tenang setelah 2 hari berkongsi masa dengan peserta Kursus Industrial Fire Fighting di Kulim. Tenang kerana dapat menjalankan tugas harian seperti biasa dan masa berceramah telah tamat. Saya meneruskan program latihan tersebut walaupun terpaksa menahan sakit kerongkong yang telah menjelama semula akibat kerakusan meminum air berais di musim kenduri ini.
Saya cuba menarik perhatian peserta kursus ketika berceramah dengan mengingatkan watak hero pujaan ramai suatu ketika dahulu iaitu kisah Mac Gyver. Ya, siapa yang tidak kenal hero berwajah kering, bertubuh kecil, tidak romantis, tidak pandai berkung fu, tidak pandai bergaya, tidak menggunakan senjata melainkan akal yang tajam semata-mata. Beliau hanya menggunakan akal dan kewarasan untuk bertindak, mengikut kesesuaian masa dan pakar meng"IMPROVISE"kan segala macam benda yang ada di sekelilingnya. Beliau langsung tidak seperti hero-hero lain yang bergantung pada special effeck seperti senarai di atas untuk berjaya dan menarik perhatian penonton.
Mungkin suatu hari nanti saya ingin menulis kesan drama bersiri tersebut terhadap penonton setianya di seluruh dunia. Biarlah kali ini sekadar mengimbau kembali kenangan yang masih terpahat dalam memori ini. Tak dapat dinafikan drama bersiri ini telah membentuk diri saya dan mungkin berjuta penonton lain untuk berfikiran positif, kreatif dan proaktif...tidak perlu bercerita berjam-jam untuk menerangkan apa itu minda dan sikap yang positif. Cukuplah sekadar kata-kata hikmat, " Ikut style Mac Gyver".
Tuesday, December 18, 2007
Saham Akhirat Tanpa Keikhlasan
Suasana mesyuarat surau di taman saya semalam agak tegang apabila terdapat dua pihak yang saling menegakkan hujah masing-masing. Satu pihak mencadangkan keseluruhan surau dirobohkan dan pembangunan besar-besaran dilaksanakan dengan sebahagian besar padang permainan di sebelah surau itu terpaksa dikorbankan. Sebahagian besar yang lain lebih bersetuju dengan idea melengkapkan pembangunan surau dan mengoptimumkan ruang yang sedia ada. Pertentangan dua pendapat di atas berlaku antara golongan elit dan mereka yang berpendapatan rendah/sederhana selaku ahli jemaah di surau tersebut. Saya sebagai setiausaha tersepit di celah-celah dua kehendak yang kedua-duanya relevan namun keikhlasannya jauh untuk disamakan.
Keikhlasan yang saya maksudkan pada tajuk ini adalah, apabila pihak pertama hanya akan bersetuju untuk menghulurkan bantuan dana dan buah fikiran andai kata projek pembangunan dibuat secara menyeluruh bukannya sekadar menaik taraf surau yang sedia ada. Pelik sungguh sekiranya ia benar kerana keikhlasan untuk membangunkan surau bukan terletak pada konsep pembangunan namun hasil yang ingin dicapai. Saya yang pada mulanya rasa tersepit, dengan penuh bersemangat menyokong pendapat kedua walaupun di'cop' tidak profesional. Tidak saya nafikan kebolehan para jutera dan golongan elit lain dengan mengemukakan cadangan ini kerana saya sendiri berlatarbelakangkan bidang engineering juga. Namun selalunya kesan sosial dan psikologi kerap dilupakan oleh para profesional ini. Bahkan apabila sikap angkuh yang diperlihatkan, saya jelas ragu pada etika profesional yang diwar-warkan itu.
Apa ertinya profesional ? Adakah dengan bersikap IKHLAS terus dianggap tidak profesional walaupun ia adalah sebuah kejujuran yang berteraskan pada keutamaan yang sewajarnya dilaksanakan. Sebuah padang permainan kanak-kanak di kawasan masyarakat berpendapatan sederhana/rendah ingin dikorbankan demi menambahkan kawasan 'parking' hanya untuk menggalakkan kelas 'elit dan profesional' hadir ke surau menjadi matlamat...agak keterlaluan pandangan ini pada hemat saya.
Mungkin pada mereka yang nilai rumah mencecah jutaan ringgit, yang dilengkapi dengan laman yang luas menghijau, tiadalah ertinya sebuah padang permainan yang tidaklah sehebat mana itu. Lebih elok kawasan tersebut digantikan perpustakaan, gelanggang badminton, atau setidak-tidaknya sesuatu yang bermanfaat untuk kegunaan masyarakat. Namun pada yang tinggal di flat sempit, tiada laman, rumah yang bagaikan kandang lembu atas desakan hidup dan had kemampuan, kawasan hijau itu adalah syurga yang perlu digunakan sebaiknya. Bukan sekadar untuk permainan kanak-kanak, malah orang dewasa juga pasti tenang melihat kehijauan rumput dan ketenangan pohon yang melambai-lambai ditiup angin itu. Untuk menggantikannya dengan sesuatu yang tidak setara malah justifikasinya juga kurang jelas walaupun menggunakan nama agama, amatlah memilukan. Tambahan pula apabila agama sekadar dijadikan alasan untuk pembangunan yang tidak telus dan jelas tiada keikhlasan ini.
Perbezaan pendapat, paradigma, andaian dan keputusan setiap individu adalah terletak pada pengalaman dan nilai hidup yang dipegangnya. Saya berpegang pada prinsip " sifat manusia takkan berubah, tetapi sikapnya takkan berenti berubah" kerana golongan elit, kaya dan sederhana adalah manusia yang semuanya inginkan keharmonian. Namun tafsiran harmoni ini tentunya berbeza-beza pada pandangan mereka, terutamanya apabila posisi manusia itu berubah daripada satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi atau rendah. Oleh yang demikian keikhlasan dalam melakukan sesuatu itu amat penting untuk dinilai samada di dunia lebih-lebih di akhirat kelak.

Friday, December 14, 2007
Masihkah kau ingat?
"Mai beli,mai beli...murah, murah.. dua kilo RM5" itulah kata-kata yang diulang-ulang oleh peniaga pasar malam berhampiran rumah saya di Permatang Pauh. Saya memandang wajah isteri dengan sedikit keliru memikirkan jenis buah yang jarang-jarang dijumpai dan ditulis Buah Setaq oleh peniaga tersebut. "Buah setaq ka buah remia ni?" tanya saya pada isteri."Setaq la tu, biji dia aja warna lain, rasa nak sama jugak" balas isteri saya sambil tersenyum dengan penuh yakin. Saya masih keliru namun untuk tidak mahu dilihat bodoh saya terus berlalu dan mengajak isteri membeli barangan lain yang masih dicari.
Bagi warga asal Alor Setar seperti saya, bukanlah suatu kewajipan untuk mengenali asal usul nama Bandaraya baru ini. Walaupun saya yakin, suatu ketika dahulu arwah ayah pernah membawa pulang buah setaq ini samata-mata untuk diperkenalkan kepada anak-anak yang lebih menunggu sesi memakannya."Buah setaq pun dah lupa no," celah isteri saya memecah kenangan silam di zaman kanak-kanak."Yeala, zaman tu macam-macam buah yang ada, lani mana ada dah. Dulu-dulu duk makan buah remia, buah rumbia, buah rambai, buah rotan, buah cermai, buah nona, buah jentik, buah jangguih...uihh macam-macam noo..budak lani mana kenai dah" balas saya sambil berhempas-pulas mengingat kembali bagaimana rupa buah-buah tempatan yang disebut tadi.
Hari ini, habis sahaja kerja di pejabat terus saya mencari melalui Google Image wajah buah-buahan yang cuba diingati semalam. Nampak gayanya bukan sahaja generasi sekarang yang tidak mengingati buah tempatan, saya yang otai ini juga nampaknya tergolong dalam kategori kelas "lupa asal usul". Lupa sejarah silam dan tidak pernah terfikir untuk memperturunkan sejarah yang indah tersebut kepada generasi akan datang.
Posting ini harapnya dapat mengimbau kembali kenagan manis kita di zaman kanak-kanak terutamanya kepada golongan otai-otai seperti saya. Zaman itu kemewahan tidak ternampak pada harta, namun pada budi bahasa, adat resam, permainan malahan jua pada buah-buahan yang kini boleh diibaratkan telah pupus pada hemat saya. Kanak-kanak dahulu hanya perlukan sedikit "kerajinan" untuk mendapatkan buah-buahan secara percuma di hutan atau di kawasan sekitar laman rumah. Kini semuanya berbayar, dikategorikan eksotik malah namanya sahaja sudah mulai dilupakan.
Tuesday, December 4, 2007
Umar Mukhtar, Singa di Padang Pasir
Bagi sesiapa yang pernah menonton filem Lion Of The Desert, pastinya terkesan dengan watak orang tua Badawi bernama Umar Mukhtar dilakonkan oleh Anthony Quinn. Filem ini menceritakan kesungguhan umat Islam menjaga kedaulatan negara dengan melawan pencerobohan tentera Itali di Libya yang dipimpin oleh Jeneral Rodolfo Graziani. Kisah ini berlaku sekitar tahun 1929 sewaktu Itali diperintah oleh pemimpin diktator bernama Benito Mussolini. Filem ini asalnya diharamkan tayangannya di Itali dan akhirnya dapat juga ditayangkan setelah pihak berwajib menyunting babak yang diklasifikasikan mencemar imej tentera dan kerajaan Itali.
Apa yang cukup menakjubkan apabila kita mengikuti kisah sebenar perjuangan Umar Mukhtar ini adalah kegigihan dan keupayaan seorang guru Al Quran yang berumur 67 tahun melawan musuh demi mempertahankan agama. Malah sikap beliau semasa di penjara setelah ditawan oleh tentera Itali juga menakjubkan pegawai yang menyoal siasatnya. Walaupun perit disiksa, beliau hanya membalas dengan membacakan petikan ayat-ayat suci Al Quran dengan air muka yang tenang. Kesabaran dan ketenangan yang ditunjukkan itu mungkin suatu yang terlalu jauh jika diukur dengan sikap kita di hari ini.
Akhir hayatnya sebelum dihukum gantung, beliau telah diminta memberikan kata-kata terakhir yang ingin diucapkannya. Dengan tenang jua, beliau membalas, "Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rojiuun". Sebagai mengenang jasa Umar Mukhtar, kerajaan Libya telah mengabadikan wajah beliau pada wang 10 Dinar Libya. Semoga Allah memcucuri Rahmat dan KeampunanNya terhadap As-Syahid Umar Mukhtar, ameeen...
Subscribe to:
Posts (Atom)