Monday, October 29, 2012

Permata dari Al Ghazali...


Salam Eidul Adha buat pembaca budiman, 

 Berpindah ke Terengganu membawa satu rahmat yang tersembunyi buat saya dan keluarga. Biarpun niat asalnya untuk mendapatkan laba dunia, namun hasilnya jauh sekali berbeza. Rupanya Allah ingin memberi ilmu 'rohani @ santapan hati' sesuatu yang sedari dulu telah dipelajari . Rupanya selama ini, saya sangat jauh daripada mengenali diri sendiri. Rupanya ujian 'halangan' laba dunia yang dikejar memberi saya laba akhirat sebagai ganti! Alhamdulillah, syukur kepada Mu, atas nikmat yang tak terhingga ini...

Saya akur dan menyantuni pemikiran ilmu tasawuf dan mula mengamati falsafah serta keilmuan Al Ghazali. Jika kita tergolong dalam khalayak yang gemarkan debat (terutamanya debat agama ), masih tergiur  dengan londehan politik akhir zaman, masih mengejar pangkat untuk berkuasa dan harta, pesan Al Ghazali mungkin penting untuk mengimbangi kegelojohan kita. Ceramah dari Sheikh Hamza Yusuf di bawah sebagai langkah pemula. Sekian dahulu, wassalam. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahilhamd.

 

Friday, August 31, 2012

Bersantai dengan Sheikh Imran Hossein - Kisah Khidr dan Akhir Zaman


Salam semua...

Tiada apa yang saya mampu sampaikan kepada pembaca budiman melainkan satu ajakan agar dapatlah kita semua mengambil iktibar daripada kuliah tuan sheikh. Banyak yang perlu direnungkan untuk insan yang lemah ini...sekian dahulu selamat bersiaran.

Thursday, August 30, 2012

Ketagihan atau kemanisan..check konpius?

Salam buat pembaca semua...

Beberapa hari sudah selepas usai asar, ambe dan beberapa teman duduk bersantai sambil berbincang-bincang soal puasa 6 yang amat berat nak dilakukan oleh kaum Adam namun sempoi jer dilaksana oleh isteri masing-masing. Maka kami pun buatlah satu fatwa santai selepas asar; perempuan lebih mudah berpuasa dan lelaki lebih mudah solat!

Belum sempat fatwa kami diwar-warkan maka datanglah seorang otai di INSTEP yang terkenal dengan kepetahan bercakap dan ilmu agamanya pon boleh tahan. Beliau dengan senyum manisnya menambah, "Apa beza ketagihan dengan kemanisan?" Errrr, kami semua terdiam sambil buat muka bodoh untuk mendapatkan jawapan segera....

"Ketagihan, adalah untuk sesuatu yang bersifat fizikal, contohnya minum kopi, isap curut, amik dadah, telan ubat batuk, main video game, main dam aji dan sebagainya. Manakala kemanisan pula adalah sesuatu yang bersifat spiritual, contohnya bertahajjud, puasa sunat time orang lain duk melantak di opis terbuka, bersedah ketika orang berebut-rebut nak beli saham dan lain-lain", kata Hj Sabriy dengan senyuman dan tenang...

"Hebat Abang Aji, macam tok guru pondok dah bunyi", bodek saya sambil tersengih dan mula berjalan ke arah kereta dek kerana takut makin panjang pulak nanti ulasannya (saya nak balik awal untuk ambil anak dari taska). Di dalam hati saya, terdekit kebenaran betapa bezanya orang yang buat ibadah kerana kemanisan berbanding beribadah kerana nak mengejar pahala, nak kelebihan atau paling tak pun dek  kerana nak join kawan-kawan. 

Kepada pembaca sekalian, cubalah renung-renungkan samada kita lebih banyak amalah ketagihan atau kemanisan? Sekian dahulu, wassalam. 

Gambar hiasan yang  lari tajuk, nak kongsi sket gambar tokoh
korporat yang menjadi pojaan hatiku, bekas CEO Proton DSZA



Sunday, July 29, 2012

Bertemu Wali Allah?

Salam Semua...

Setelah 9 hari berpuasa,
Adakah aku mengumpul rahmat atau dosa
Solatku semakin khusyuk atau makin leka
Puasaku semakin tawaduk atau makin lenaaaaa...

Setelah berpuasa 9 hari
Bagaimanakah qiamku di malam hari
Solatku, puasaku, zikirku adalah makin menjadi
Masih bercita-cita nak jadi Wali??


Di negeriku Kedah Darul Aman, ada seorang soleh yang terkenal dikalangan para ilmuan, bahkan dikatakan berstatus WALI. Beliau yang saya maksudkan adalah Pak Su Mid, atau lebih dikenali dengan panggilan Chu Mid. Biarpun hampir semua rakan masjid saya di Kedah telah sempat menziarahi beliau, saya masih belum ada rezeki. Moga suatu hari nanti saya dapat bertemu mata dengan Wali Allah yang soleh ini...amen. Sekian dahulu, wassalam.


Saturday, July 14, 2012

Why We Need Islam...Yusuf Estes


Sheikh Yusuf adalah salah seorang pendakwah yang saya sangat kagumi penyampaiannya. Muga dipanjangkan umur beliau untuk terus berdakwah dan memberi pencerahan terhadap Islam di bumi Allah ini...ammen.

Friday, March 30, 2012

Tawaduknya Imam Abu Hanifah...

Salam semua...

Hampir 2 hari saya mencari sumber rujukan untuk kisah posting lepas bertajuk Bersyukur Tanpa Had, namun hasilnya masih hampa. Kedapatan pelbagai kisah hebat insan yang bernama Nu'man bin Tsabit atau lebih mashyur dengan nama Imam Abu Hanifah, rugi pula rasanya jika tak dikongsikan di sini. Izinkan saya bercerita ringkas kisah tambahan untuk pembaca budiman agar dapat disebarkan dan dijadikan motivasi untuk rohani.

Biarpun nama Imam Abu Hanifah biarpun sudah begitu mahsyur dan terkenal, beliau sangat zuhud dan merendah diri sehinggakan ibu kandungnya sendiri pun tidak sedar akan ketokohan anaknya itu. Diberitakan bahawa setiap malam di bulan Ramadhan, Imam akan mengendong ibunya menaiki kuda atau keldai ke masjid. Biarpun beliau sudah bergelar Imam Mujtahid, beliau sanggup bersusah payah membawa ibunya berulang-alik ke masjid dengan tanpa segan silu.

Satu hari, ibunya bertanyakan satu masalah berkenaan titisan darah yang terlekat pada bajunya. Imam Abu Hanifah dengan penuh tawaduk telah menerangkan permasalah tersebut namun tidak diyakini oleh ibunya. Maka si ibu meminta agar ditanya masalah tersebut kepada seorang pencerita yang bernama Abu Zur'a. Ketika mereka berjumpa dan bertanya dengan Abu Zur'a, beliau ternyata tidak tahu jawapannya. Namun Imam Abu Hanifah masih sempat membisikkan jawapan kepada permasalahan itu dan meminta agar Abu Zur'a dapat menerangkan kepada ibunya sedemikian. Setelah mendapat penjelasan Abu Zur'a, maka ibunya berkata, "Fatwa mu tadi benar kerana telah dibenarkan oleh Abu Zur'a".

Beza sungguh tawaduk ulamak terdahulu dengan mereka yang mengaku pandai di dalam agama sekarang. Ulama terdahulu pandai ilmu zahir dan batin. Sekarang ilmu zahir pun sekadar belajar online, ada hati nak 'teng' imam-imam mujtahid. Alasannya, tiada manusia yang maksum! Kalu ulama terdahulu tidak maksum, lagikan kita yang lahir di zaman 'mee segera'. Nasihat saya kepada golongan ostaz-ostaz muda (biarpun ada yang dah tua), bebayaklah muraqobah & muhasabah. Sekian dahulu wassalam.

Thursday, March 29, 2012

Bersyukur Tanpa Had...

Salam semua...


Bulan lepas saya sempat mendengar 'bayan' yang disampaikan oleh jemmah Tabligh di masjid Padang Tembusu. Sesekali dapat sentuhan rohani daripada geng tabligh, memang syahdu habis dan menginsafkan. Cuma saya nak berkongsi satu je antara bebanyak cerita yang disampaikan yang sangat melekat di hati, perihal Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah selain bergelar imam mujtahid di zamannya juga adalah seorang saudagar kain yang boleh tahan hebatnya.


Kisah ini berlaku semasa beliau sedang mengajar di masjid. Tetiba datang seorang lelaki menjerit, "Tok guru, kapal tok guru tenggelam"! "Alhamdulillah", balas Imam Abu Hanifah setelah teridam seketika. Tidak lama kemudian datang pula lelaki itu dan menjerit lagi, "Tok Guru, kapal dagang tok guru tak tenggelam. Kapal lain yang telah tenggelam." Setelah merenung sejenak, Imam Abu Hanifah terus mengucapkan Alhamdulillah sekali lagi.


Maka, muridnya yang berada di dalam majlis pengajian pun terasa sedikit pelik dengan dua ucapan syukur untuk dua keadaan yang sangat berbeza itu. Mereka cuba mendapatkan penjelasan tok guru. Imam Abu Hanifah kemudian menjelaskan, "Apabila diberitakan kepada ku tentang kapal dagang ku yang tenggelam, aku merenung sejenak untuk menentukan samada di dalam hatiku ini ada perasaan yang tidak tenteram akibat di timpa bala oleh Allah. Apabila aku dapati, tiada perasaan demikian, aku ucapkan Alhamdulillah. Demikian pulanya apabila diberitakan, aku masih berpeluang mendapat habuan nikmat akibat bala yang tidak menimpaku, aku kembali merenung diriku. Didapati, tidak sedikitpun aku merasa terkesan akibat penambahan harta itu, maka aku ucapkanlah Alhamdulillah".


Aduhai, betapa hebatnya kezuhudan sang imam yang mulia ini. Saya cuba cari kisah ini secara online untuk mengesahkan kebenarannya namun belum kedapatan. Jika ada pembaca yang sering membaca kisah-kisah ulamak dari mana-mana kitab Arab, pohon dicarikan kesahihannya. Biarpun kisah saya kutip daripada seorang yang bukannya berstatus ustaz, namun pengajarannya sangat menginsafkan. Sekian dahulu, wassalam.

Wednesday, March 21, 2012

Belajar dari universiti jalanan...



Salam semua,

Hari ini saya terbaca satu kisah yang sangat berguna untuk dijadikan panduan hidup dan seringkali manusia seperti saya sesiakan. Betapa manusia seringkali terlepas peluang, kesempatan atau perkara bernilai yang melintas dihadapannya. Jika anda berminat nak mengetahui dengan lebih lanjut, sila baca kisah Joshua Bell di bawah. Wassalam.


In Washington DC, at a Metro Station, on a cold January morning in 2007, a man with a violin played six Bach pieces for about 45 minutes. During that time, approximately 2000 people went through the station, most of them on their way to work.After about four minutes, a middle-aged man noticed that there was a musician playing. He slowed his pace and stopped for a few seconds, and then he hurried on to meet his schedule.About four minutes later, the violinist received his first dollar. A woman threw money in the hat and, without stopping, continued to walk.

At six minutes, a young man leaned against the wall to listen to him, then looked at his watch and started to walk again.At ten minutes, a three-year old boy stopped, but his mother tugged him along hurriedly. The kid stopped to look at the violinist again, but the mother pushed hard and the child continued to walk, turning his head the whole time. This action was repeated by several other children, but every parent - without exception - forced their children to move on quickly.At forty-five minutes: The musician played continuously. Only six people stopped and listened for a short while. About twenty gave money but continued to walk at their normal pace. The man collected a total of $32.


After one hour: He finished playing and silence took over. No one noticed and no one applauded. There was no recognition at all.No one knew this, but the violinist was Joshua Bell, one of the greatest musicians in the world. He played one of the most intricate pieces ever written, with a violin worth $3.5 million dollars. Two days before, Joshua Bell sold-out a theater in Boston where the seats averaged $100 each to sit and listen to him play the same music.This is a true story. Joshua Bell, playing incognito in the D.C. Metro Station, was organized by the Washington Post as part of a social experiment about perception, taste and people’s priorities.

This experiment raised several questions:In a common-place environment, at an inappropriate hour, do we perceive beauty?If so, do we stop to appreciate it?Do we recognize talent in an unexpected context?One possible conclusion reached from this experiment could be this:If we do not have a moment to stop and listen to one of the best musicians in the world, playing some of the finest music ever written, with one of the most beautiful instruments ever made…How many other things are we missing as we rush through life?"


Video : http://www.youtube.com/watch?v=myq8upzJDJc



Sunday, March 18, 2012

Belajar dengan melihat pokok...

Salam semua...
Bayangkan anda sedang melihat sebatang pokok, apakah bahagian pokok yang anda akan perhatiakan dulu? Tentu sahaja bahagian daunnya yang merimbun dengan bunga yang penuh warna dan buahnya yang menggiur nafsu perut. Sudah tentu jika buah dan daunnya sangat subur, batang pokoknya kuat menunjang dan juga subur begitu? Sudah tentu juga terbayang juga kita bahawa akarnya juga teramat subur mencengkam bumi serta menyedut zat galian daripada muka bumi Allah ini...

Begitulah juga halnya untuk kita melihat diri ini...Buah, bunga dan duan yang pelbagai warna adalah seumpama AKHLAQ yang baik atau namanya IHSAN. Batang pokok yang kuat menunjang seumpama IBADAH yang sempurna di dalam rukun ISLAM. Akar pokok yang kuat mencengkam dan menyedut mineral bumi pula diumpamakan sebagai AQIDAH yang jazam berdasarkan semua rukun IMAN.

Perumpamaan di atas nampak sangat simple namun nak amalkannya memerlukan mujahadah yang bertahap 'wali'. Masa untuk mengkoreksi diri dan menyempurnakan amal...Muga semua amal kita di terima jua hendaknya diamalkan sebagaimana rukun di atas. Amen, sekian dahulu wassalam.

Saturday, March 17, 2012

Khutbah Jumaat Kisah Abu Ubaidah Al Jarrah - Tangkap Leleh Beb...

Salam Semua...


Seingat amber, kali terakhir ambe menangis ketika khutbah adalah semasa di Mekah dahulu...Biarpun tak berapa paham isi khutbah, namun emosi khatib menyebabkan ramai yang mengalirkan air mata, termasuk ambe. Setibanya di Malaysia, suasana semasa khutbah Jumaat sangat-sangat berbeza. Biarpun 100% paham apa yang dikhutbahkan, hampir semua yang mendengar akan lena, termasuk ambe...Jika tidak lena sampai mengeroh, sekadar lena-lena ayam. Tak tahulah nak dikatakan makmum atau khatib yang memangnya CAP AYAM!


Namun semalam, ambe sangat tersedu takala mendengar khatib berkhutbah di atas mimbar. Khatibnya pun sangat ambe kenal, Ustaz Hishamuddin dari ECRO (PETRONAS Wilayah Pantai Timur). Beliau berkhutbah dengan bahasa yang sangat lunak dan penuh semangat. Kisah yang dikongsikan juga sangat terkesan sampai ke hati. Antara yang ambe tak dapat nak lupakan adalah kisah berkenaan seorang Sahabat Nabi yang bergelar Abu Ubaidah atau Abu Ubaidillah Amir Al Jarrah, seorang daripada 10 sahabat yang telah terjamin ke Syurga.

Diceritakan ketika pertempuran Badar, Abu Ubaidah telah berjaya menyebabkan beberapa tokoh panglima perang Quraish lari lintang pukang. Begitu gagah beliau bertempur dan nampak seolah-olahnya beliau langsung tidak hiraukan keselamatannya. Namun keadaannya berubah sama sekali apabila Abu Ubaidah berdepan dengan pakcik biasa di kalangan tentera musuh. Beliau pula yang lari lintang dikejar oleh pakcik tersebut sehinggalah sampai di satu kawasan di mana jalannya tersekat. Pakcik itu bertanya, "kemana lagi hendak kau lari, hai Abu Ubaidah?". Abu Ubaidah pun lantas menjawab yang dia taidak akan lari kemana-mana lagi malah akan bertempur dengan pakcik tua tersebut. Akhirnya Abu Ubaidah berjaya menewaskan musuh dihadapannya. Rupanya, Abu Ubaidah lari kerana musuh yang mengejarnya tadi adalah bapa kandungnya sendiri. Musuh yang dibunuhnya itulah ayahnya sendiri...Subhanallah!

Berikutan peristiwa ini, Allah telah berfirman di dalam surah Al Mujadilah ayat 22, yang ertinya:

"Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah SWT dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah memetri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahwa perajurit Allah pasti akan berjaya."



Ujian sebegini tidak berlaku kepada kita, malah ujian yang jauh lebih kecil pun kita masih lagi "tergagai". Sungguh berkatnya saya disempatkan mendengar khutbah pada tengahri Jumaat kelmarin. Sungguh berkatnya khatib yang berkhutbah, sungguh berkat pula masjid yang memanggil khatib tersebut. Insya Allah selepas ini, saya berazam untuk lebih kerap ke Masjid At Taqwa di Batu Enam biarpun jaraknya 4 kali ganda daripada masjid yang berdekatan. Sekian dahulu, Wassalam.

Nota : Kepada yang berminat membaca kisah tentang Abu Ubaidah boleh sahaja bertanya lanjut Pakcik Google. Antara yang saya ketemukan adalah seperti link di bawah: Selamat membaca...



Sunday, February 19, 2012

My Maktabaty...taman ilmu di alam maya...

Salam semua...

Saya sekadar nak memperkenalkan satu website yang cukup banyak manfaatnya di alam maya, mymaktabaty. Kepada pembaca yang ingin mencari mutiara ilmu, yang gemar dengar ceramah, yang suka mengikuti aluanan mp3 daripada para ulamak terkemuka di nusantara ini...silakan ke linknya di SINI, pasti tak rugi. Sekian dahulu wassalam.

Wednesday, February 15, 2012

Jazbah...permulaan untuk mereka yang bertuah

Salam semua,

Semalam saya sempat mengikuti kuliah maghrib di masjid UniSZA bersama Dr Abdul Manan. Secara peribadi, saya beranggapan kuliah beliau sangat memukau dan 'cool'...Manakan tidak, kitab dibaca beliau dengan lenggok ulama Indonesia, manakala kupasannya pula dengan loghat Terengganu.


Kupasan ilmu Tasawwuf daripada Dr Manan boleh dikatakan berstatus 'wali', tak puas mendengar biarpun berkali-kali. Terasa rendah dan lemahnya diri ini, mendengar ulasan dari Murobbi...Setiap Selasa, saya berazam nak ke sana, mendengar ilmu yang tak pernah dipunya...Bagaikan pungguk rindukan bulan, terpaksalah ku tunggu hingga ke minggu depan.

Dr bercerita tentang 'Jazbah', petanda awal mendekati Allah...Untuk mendapatnya bukanlah mudah, ramai yang belajar tak ramai yg bertuah...Belajar untuk mengenali diri, belajar untuk memperbaiki budi, banyak ilmu tak perlulah meninggi, hanya redho Allah yang patut dicari...

Nota: Kepada pembaca yang ingin mengenal lanjut sejarah Imam Ghazali...silalah ke link di sini atau boleh jer panaskan badan dulu dengan klip di bawah :






Sekian dahulu coretan ringkas untuk mengingati diri,wassalam.

Sunday, February 5, 2012

Doa daripada orang-orang soleh...

Salam semua...

Minggu lepas saya telah menghantar satu email kepada Prof Kamil untuk mendapatkan pendapat beliau berkenaan urusan di Madinah. Alhamdulillah, beliau membalas email tersebut selang sehar sahaja, sangat pantas! Bagi seorang yang berjawatan tinggi dan 'glamer' pulak lagi, saya sangat terharu mendapat balasan email yang sangat segera daripada beliau. Bahkan ada lagi yang lebih mengujakan saya...

Cara Prof berkomunikasi di dalam email juga sangat 'cool'. Dimulakan dengan salam dan doa pembuka buat penerima dan keluarga, emailnya juga disudahi dengan doa penutup dan ucapan salam. Ohhh, sungguh baik orangnya, sangat budiman dan berbudi bahasa (bertahap wali). Biarpun saya menerima sedikit teguran di dalam email beliau, namun cara penyampaian yang baik dan doa-doa yang disampaikan membuatkan hati yang keras mana sekalipun boleh cair!

Pagi ini saya sempat mendengar kuliah di surau berkenaan sifat Rasullullah (saw) yang sangat mulia dan budiman. Diceritakan, bahawa ada di kalangan para sahabat yang bercita-cita untuk meninggal dunia dahulu sebelum baginda. Kenapa demikian? Mereka sebenarnya sangat teruja mendengar doa baginda Nabi terhadap mayat saudara Islam sebelum dikebumikan. Saya terkenangkan, bertapa terujanya saya takkala membaca doa ringkas daripada orang soleh yang bernama Muhd Kamil Ibrahim, inikan pula mendengan sendiri doa yang diucapkan sendiri oleh ketua kepada seluruh orang-orang soleh sendiri. Alangkah bahagianya saat tersebut!

Saya tidak pasti samada para pembaca budiman dapat merasai keterujaan sebegini secara peribadi, namun saya sendiri tak dapat nak menggambarkannya secara bertulis. Saya berdoa muga kita semua dan keluarga mendapat hidayah dan pemeliharaan Allah jua, ameen. Sekian dahulu ingatan bersempena hari kelahiran junjungan Nabi, Muhammad Al Ameen, wassalam.


Friday, February 3, 2012

Enchik berasal dari mana??

Salam semua...

Kalu anda ditanya "Enchik tanya sket, enchik berasal dari mana?" Apa agaknya jawapan anda agaknya? Butterworth, Ampang, Kuantan, Aloq Setaq, Singapura, Manchester??? Abis tuh, kalu dah asal dari Aloq Setaq, nanti kita balik ke sana jugak laa...Ada juga yang rasa wali sket, katanya kita asal dari tanah, nanti kita akan kembali ke tanah...Abis tuh, pakat jadi tanah belaka ker kita nie sampai bila-bila??? Wali band jugak!

Ramai yang dah lupa, kita semua nie asalnya dari syurga...Manusia berasal dari syurga dan sepatutnya pulang ke tempat asal. Moyang kita yang mulia, Nabi Adam dan Hawa datang dari kampung syurga. Maka jika anda ditanya soalan yang sama selepas ini, agak-agak apa jawapan yang paling tepat...Emmm chek pikiq la sendiri, wassalam.

Friday, January 27, 2012

Terbaik dari You Tube

Salam semua...

Hari nie amber sangat teruja! Teruja sebab tegok satu klip video yang sangat kreatif tahap wali...Kalu anda tak percaya, saksikanlah sendiri di bawah. Untuk mendapatkan klip2 daripada tuan yang empunya cipta, anda boleh saksikannya sendiri di SINI


Monday, January 23, 2012

Kita bukan wali jika...

Salam semua...

Beberapa minggu yang lepas saya sempat mendengar satu kuliah membicarakan bab ciri-ciri Wali Allah. Bukan mudah nak dapat darjat wali kerana ia bukannya boleh dipelajari, tambah lagi dijual beli. Ada orang yang inginkan jalan singkat dan mengamalkan amalan tertentu yang dikatakan amalan para auliya', kononnya nak capai makam tinggi...Tapi bila nengokkan gaya bila dia dah pegang steering kereta, aduhai kalah stuntman!

Ada juga yang berzikir pagi dan petang, baca ayat tertentu siang dan malam...tapi sampai jer di rumah malam jumaat, terus buka TV3 tengok gusti WWF! Ada pula yang dikatakan berstatus wali oleh pengikutnya, namun solatnya pula sekadar niat semata-mata! Lagi banyak anda mengembara, lagi banyak yang anda akan temui. Mereka yang cuba menjadi wali, dihadapan nampak baik dibelakang Allah lebih mengetahui.

Saya sendiri tak terlepas daripada cubaan sedemikian...Sukar untuk diceritakan, namun itulah amalan si empunya badan. Adakalanya bersemangat cukup tinggi untuk amalkan apa yang dipelajari dan seolahnya hidayah sudah betul-betul dijiwai. Namun terkadang semuanya terasa jauh melencong dan syaitan pula yang menguasai diri. Itulah permainan yang seringkali bermain di dalam hidup ini, biarpun sehebat mana keazaman yang ditanam untuk menjadi kekasih Allah yang sebenar-benarnya.

Malam ini saya tewas lagi...dek kerana ter'angin' disuluh lampu tinggi oleh sebuah Satria Neo yang pastinya bukan juga berstatus wali. Saya pantas sahaja menahan kelajuan dengan membiarkannya memotong demi semata-mata nak membalas dendam 'tersilau mata'. Kita bukan wali jika tidak mampu menahan sabar sebegini. Kita bukan wali jika terlalu sangat memikirkan duit dipinjam orang yang seolahnya tidak akan kembali. Kita juga bukan wali jika sekadar kuat berzikir di masjid namun duk layan kungfu cina di tv berhari-hari. Kita confirm bukan wali jika solatnya sekadar di dalam hati. Kita bukan lagi berstatus wali, jika di depan orang nampak alim namun menjadi syaitan bila bersendiri.

Wali Allah ada mereka yang dalamannya bersih, hasil tindakan luarannya pun bersih...Wali Allah adalah mereka yang redha dan bersyukur dengan segala ujian yang diperolehi. Lagi besar ujian diterima, lagi besar pujiannya. Wali Allah adalah mereka yang istiqamah dalam mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangannya...Wali Allah adalah mereka yang dapat merasai nikmat kelazatan di sebalik sesuatu amalan baik dan khusyuk semasa beribadat. Jika ciri-ciri ini tak ada pada diri anda...Jangan risau bang, anda masih boleh menjadi 'wali nikah' takpun wali band! Sekian dahulu, wassalam.