Thursday, March 29, 2012

Bersyukur Tanpa Had...

Salam semua...


Bulan lepas saya sempat mendengar 'bayan' yang disampaikan oleh jemmah Tabligh di masjid Padang Tembusu. Sesekali dapat sentuhan rohani daripada geng tabligh, memang syahdu habis dan menginsafkan. Cuma saya nak berkongsi satu je antara bebanyak cerita yang disampaikan yang sangat melekat di hati, perihal Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah selain bergelar imam mujtahid di zamannya juga adalah seorang saudagar kain yang boleh tahan hebatnya.


Kisah ini berlaku semasa beliau sedang mengajar di masjid. Tetiba datang seorang lelaki menjerit, "Tok guru, kapal tok guru tenggelam"! "Alhamdulillah", balas Imam Abu Hanifah setelah teridam seketika. Tidak lama kemudian datang pula lelaki itu dan menjerit lagi, "Tok Guru, kapal dagang tok guru tak tenggelam. Kapal lain yang telah tenggelam." Setelah merenung sejenak, Imam Abu Hanifah terus mengucapkan Alhamdulillah sekali lagi.


Maka, muridnya yang berada di dalam majlis pengajian pun terasa sedikit pelik dengan dua ucapan syukur untuk dua keadaan yang sangat berbeza itu. Mereka cuba mendapatkan penjelasan tok guru. Imam Abu Hanifah kemudian menjelaskan, "Apabila diberitakan kepada ku tentang kapal dagang ku yang tenggelam, aku merenung sejenak untuk menentukan samada di dalam hatiku ini ada perasaan yang tidak tenteram akibat di timpa bala oleh Allah. Apabila aku dapati, tiada perasaan demikian, aku ucapkan Alhamdulillah. Demikian pulanya apabila diberitakan, aku masih berpeluang mendapat habuan nikmat akibat bala yang tidak menimpaku, aku kembali merenung diriku. Didapati, tidak sedikitpun aku merasa terkesan akibat penambahan harta itu, maka aku ucapkanlah Alhamdulillah".


Aduhai, betapa hebatnya kezuhudan sang imam yang mulia ini. Saya cuba cari kisah ini secara online untuk mengesahkan kebenarannya namun belum kedapatan. Jika ada pembaca yang sering membaca kisah-kisah ulamak dari mana-mana kitab Arab, pohon dicarikan kesahihannya. Biarpun kisah saya kutip daripada seorang yang bukannya berstatus ustaz, namun pengajarannya sangat menginsafkan. Sekian dahulu, wassalam.

No comments: