Tuesday, September 27, 2011

Kisah seorang atuk bernama Cliff Young




Salam semua,





Kisah yang nak dikongsi hari ni berkenaan seorang peladang tua dari negara Kanggaro yang mencipta sejarahnya tersendiri. Pada tahun 1983, Cliff Young yang pada ketika itu berusia 61 tahun telah menyertai satu pertandingan 'ultra marathon' sejauh 875km daripada Sydney ke Melbourne. Anehnya, beliau yang belum pernah menyertai mana-mana pertandingan maraton sebelum ini tiba ke garisan mula dengan memakai pakaian kerjanya di ladang iaitu kasut getah tinggi dan pakaian kerjanya. Kesemua peserta lain adalah di kalangan 'pria terhebat' yang telah berbulan-bulan berlatih dan lengkap dengan pakaian sukan tercanggih.



Apabila ditanya oleh pemberita hasrat beliau bertanding, dengan selamba Cliff menjawab, "Saya tidak berkelapangan sebelum ini, kali ini baru saya berkelapangan untuk turut serta". Apabila wartawan mula berjenaka dan mengatakannya gila kerana turut bertanding, dengan selamba juga Cliff membalas lebih kurangnya, "Saya boleh menang, semasa di ladang kami tiada kuda atau jentera. Saya biasa berlari sepanjang hari mengejar bebiri setiap kali ribut datang". Beliau amat yakin dengan kemampuannya dan terus ke garis mula untuk berlepas.



Setelah peserta dilepaskan, semua peserta 'pria terhebat' telah bermula dengan pantas dan meninggalkan Cliff yang berlari-lari anak. Namun Cliff tidak mengetahui yang peserta maraton ultra ini dibenarkan tidur semasa pertandingan yang biasanya berlangsung berhari-hari. Malah di waktu malam juga beliau masih tetap konsisten berlari-lari anak sambil memintas pria-pria terhebat yang sedang bermimpikan Nicole Kidman barangkali...Setelah 5 hari 15 jam dan 4 minit beliau berlari tanpa henti (yang panjang), Cliff akhirnya memenangi pertandingan tersebut malah telah memecah rekod pertandingan. Anda boleh menonton klip video kisah tersebut di sini atau membacanya di sini.



Moral daripada kisah ini, tiada yang mustahil jika anda yakin dan berusaha. Kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada insan sangatlah hebat, namun kita lebih kerap mensesiakannya. Kita jarang sekali meneroka potensi diri dan kerap mengalah sebelum berjuang (terutamanya di fikiran). Dan moral kedua yang tak kurang pentingnya adalah keperluan bekerja dengan konsisten, bukan hangat-hangat 'chicken shit'. Konsisten membentuk peribadi biarpun sedikit sahaja yang diamalkan. Pesanan akhir buat pembaca budiman dan juga untuk diri ini terutamanya, "lakukanlah setiap kerja dengan terbaeeekk, hasilnya pasti menarik. Sekian dahulu, wassalam.


Friday, September 23, 2011

Program Minda Positif Untuk Warga Pendidik...

Salam Semua,

Pada bulan lepas, saya sempat menjayakan program Minda Positif yang dianjurkan di INSTEP. Alhamdulillah, sambutannya amat memberansangkan. Biarpun program berlangsung di sebelah petang, para peserta rata-ratanya menumpukan perhatian di sebalik suasana dewan yang sangat sesuai untuk terlentok. Dengan masa yang terhad selama satu jam setengah, saya sekadar berkongsi beberapa fakta dan situasi semasa yang berlaku di dalam kehidupan dan cara mengatasinya. Ada sebilangan peserta yang mahu mendapatkan penerangan lanjut setelah usai program namun kebanyakannya terus sahaja pulang untuk menyediakan juadah berbuka barangkali.

Saya berharap mudah-mudahan khidmat ini dapat saya teruskan di masa hadapan. Bukan untuk mencari pendapatan tambahan, sekadar untuk berkongsi pendapat dan pandangan sambil menambah ilmu di dada. Jika ada sekolah di sekitar kawasan Kuantan atau Kuala Terengganu yang ingin mengadakan program untuk peningkatan staff mahupun untuk murid (terutamanya yang bermasalah) secara percuma, bolehlah menghubungi saya secara terus. Sejujurnya saya amat 'cemburu' takala membaca bog Prof Kamil yang amat cepat merebut segala peluang untuk digunakannya memberi khidmat amal kebajikan. Mungkin gamaknya Allah yang Maha Mengetahui masih belum mengizinkan saya untuk menjadi aktif seperti Prof disebabkan kelemahan yang masih ada pada diri ini.

Insya Allah, dengan sedikit tenaga dan masa terluang yang diberikan ini, saya berazam untuk menyediakan khidmat amal kebajikan ini kepada sesiapa atau mana-mana organisasi yang berminat. Kepada pembaca budiman, sampai-sampaikanlah hajat ini kepada yang berkenaan yer...Sekian dahulu, wassalam.



Tuesday, September 20, 2011

Promosi Kain Pelikat Tenun Asli Terengganu

Salam semua,

Posting kali ini adalah iklan jualan kain pelikat tenun asli di Terengganu yang saya sering war-warkan pada blog jualan jubah di sini. Untuk makluman, kain pelikat tenun ini memang sukar dicari biarpun di negeri Terengganu sendiri. Secara kebetulan saya telah ditemukan dengan pembekalnya yang bersetuju untuk menjadi rakan niaga biarpun baru sahaja berkenalan. Jika di Pahang, memang agak mudah untuk mendapatkan kain pelikat tenun Diraja, namun harganya la pulak yang kurang meberansangkan dek kerana status Diraja nya dan mungkin juga pada kualiti benang songket yang digunapakai.


Kain ini boleh sahaja digunapakai seperti kain pelikat biasa atau untuk dijadikan sampin. Pada pendapat saya, kain sarong ini 'terbaekkk' untuk dijadikan hadiah kerana ia adalah sesuatu yang sangat jarang-jarang ditemui di pasaran. Saya sekadar mencadangkan ia dijadikan hadiah kepada para bakal Haji, staff yang bakal bersara mahupun kepada tetamu korporat atau insan tersayang tak kira jantina. Terdapat pelbagai rekaan yang bersesuaian yang akan saya kemaskini gambarnya nanti.



Buat sementara ini, saya sudahpun berjaya menjual 8 helai kain ini secara offline, dan sekarang sedang bercita-cita untuk memasarkannya secara online. Saya menawarkan harga RM150 kepada yang berminat untuk membeli secara runcit. Kepada yang nak memborong, silalah hubungi saya di talian yer...sekian wassalam.




Contoh gambar kain pelikat tenun yang telah pun terjual

Friday, September 16, 2011

Esok Hj Abdullah nak nikah...

Salam,

Esok saya akan ke Jerantut untuk menghadiri majlis perkahwinan Hj Abdullah, antara jemaah yang termuda di dalam kumpulan kami. Beliau ke Mekah dengan sedikit persediaan namun orangnya sangat ringan tulang. Cuma ada sekali kejadian yang tak dapat saya lupakan melibatkan Hj Abdullah ini semasa kami dalam perjalanan ke Madinah. Semasa di atas bas, terkeluar dari mulut beliau satu soalan yang tersalah masa...

"Ana duk fikir, macamana agaknya orang Arab ni buat kalau tayar bas pecah tengah panas padang pasir ni? Bukannya ada kedai", tanya beliau kepada saya dengan selamba. "Astaqfirullah, hang kena cepat taubat ni...Jangan sampai nanti kita makan pasir tengah panas ni, soklan tu tak sesuai ditanya time camnie", saya terus mengingatkan beliau sambil mengerut dahi. Ustaz Zakuan dari Kelantan yang berada di sebelah saya juga segera menyokong dan meminta beliau cepat-cepat bertaubat. Namun belum sempat kami bercerita panjang, tetiba kedenganran bunyi tayar bas meletup di bawah kami. "Adusss, hang tengok tu sheikh, Allah tunjuk slalu!", kata saya sambil sedikit menyesal kerana melayan beliau bercakap di dalam bas tadi. Kami tiba lewat hampir 2 jam kerana tragedi yang berlaku di padang pasir dek tersyasyul...

Itulah antara celoteh Hj Abdullah yang tak kering gusi dilayan, namun sesekali kami juga yang terkena akibat ringannya mulut beliau seringan tulangnya membantu jemaah. Harapnya beliau akan makin pandai mengkontrol macho selepas kahwin nanti...InsyaAllah, Barokallah...ameen,


Monday, September 12, 2011

Aidid Muaddib yang laser tapi mesti baca!

Salam semua...


Hari ini saya sekadar nak mewar-warkan blog Aidid Mu'addib yang sebenarnya dah terlalu popular di kalangan anak muda cuma saya sahaja mungkin tertinggal bas. Blog ini boleh tahan juga bahasanya...Mungkin sukar bagi otai sentimental macam saya untuk mengikuti blog ini secara serius, namun untuk mendapat manfaat daripadanya amatlah berbaloi. Blog ini banyak membongkar kebodohan orang ramai yang terjerat dengan skim cepat kaya, MLM dan segala macam yang berkait dengannya. Namakanlah apapun skimnya, syariah compliance atau tidak, jika asasnya adalah untuk "mengencing umat meleis dungupiang" memang menjadi padang tembak Aidid dengan pelurunya yang pelbagai.




Pernah sekali saya hampir berguling menahan suka akibat membaca celoteh Aidid yang dalam dwi bahasa yang amat santai dan jenaka. Namun adakalanya terdapat pula kata-kata yang agak melampau dilontarkan Aidid, untuk golongan tertentu yang mungkin dirasakannya sebagai "penjenayah bangsa dan agama". Kepada yang sanggup menahan mata & telinga, silalah ke blog beliau untuk pencerahan, mungkin sangat berbaloi jika anda salah seorang bakal menjadi 'specis meleis dungupiang' dengan menyertai mana-mana skim MLM. Sekian dahulu, wassalam.