Sunday, March 22, 2009

Seni warisan Melayu


Salam semua...

Hampir semua berita di akhbar setiap hari sibuk membicarakan bab pemilihan ketua dan pemimpin. Saya mengambil kesempatan nak mewar-warkan salah satu ciri utama pemilihan ketua bagi orang Melayu. Sesuatu yang dah dilupai oleh generasi moden kini iaitu pemilihan ketua berasaskan kepada ketangkasan berpencak silat. Mungkin anak Melayu kini lebih berbangga dengan seni bela diri yang diimport, tanpa mengkaji kehebatan yang ada di bumi sendiri. Mungkin juga sebahagiannya merasakan seni silat agak lapok, kuno atau tak 'kool' untuk dipelajari dan diamalkan. Terpulanglah, jika tak kenal mana nak datangnya cinta.

Berbalik kepada soal nak memilih ketua tadi, bayangkanlah jika kehebatan tahap Hang Tuah sekadar memadai untuk dilantik sebagai Laksamana (Menteri Pertahanan)....nak jadi Perdana Menteri macam mana agaknya ya? Dengan teknologi YouTube anda dah tak perlu nak dibayangkan lagi. Saksikanlah sendiri ilmu kepahlawanan anak Melayu yang telah diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa...Selamat memilih pemimpin dan selamat bersiaran. Wassalam.


Tuesday, March 17, 2009

Virus adalah Jin....?


Salam semua...

Melihat tajuk posting kali ini boleh membuatkan sebahagian pembaca abu alfateh tejatuh kerusi. Manakan tidaknyer, sekali imbas saya seolahnya sedang membuat fatwa baru. Apa hal pulaknya jin, syaitan, hantu dan jembalang ini nak dikaitkan dengan virus, bakteria, kuman dan penyakit manusia ni...Dah terlebih zikir ke bapaknya si Fateh ni? Emmmm..bukan saya yang kata ye, saya sekadar mengulang apa yang dikatakan oleh pihak yang lebih maklum.

Sebenarnya minggu lepas saya berkesempatan mengikuti ceramah perubatan Islam di pejabat. Maka dari situlah juga dibahaskan betapa penyakit manusia yang di diagnos secara fizikal di hospital ini juga ada kaitannya dengan jin dan syaitan. Malah penceramah dengan penuh yakin turut menyamakan virus komputer juga katanya diilhamkan oleh jin. (Hal ini akan disambung pada posting berikutnya Insya Allah). Jika pembaca ingin mengetahui dengan lebih lanjut, silalah melawat sendiri laman web MORAPIS EDAR sebagai rujukan yang lebih sohihhhhhh..(bak kata ustaz gen Y).

Sejujurnya, saya tak kisahkan sangat samada anda percaya atau tidak dengan kenyataan tersebut. Sebabnya...saya sendiri pernah berfikiran sedemikian sejak beberapa tahun lepas, biarpun hakikat kebenarannya taklah mengujakan sangat. Namun perkaitan antara jin dan penyakit sebenarnya terlalu dekat untuk dibayangkan secara kasar. Jin menyerang menusia mengikut saluran darah, virus juga sama. Jin makan lebihan makanan, bakteria juga sedemikian. Jin boleh membuatkan ketidakseimbangan di dsalam badan, itulah juga tugas penyakit. Maka sifir mudahnya, jin dan rakan-rakan mungkin ada kaitannya dengan penyakit fizikal. Malah lebih kurang 10 tahun lepas, saya pernah terbaca di dalam akhbar Utusan Malaysia kisah seorang banduan yang dijangkiti virus AIDS sembuh hanya dengan solat hajat!! Jin (virus HIV) dah lari la kut....

Cukuplah dahulu sebagai pendahuluan, Insya Allah jika ada kelapangan nanti akan saya usahakan sedikt pencerahan berhubung tajuk ini seterusnya. Sekian dahulu wassalam.

Sunday, March 8, 2009

Rawatan Bekam - petikan dari Utusan Malaysia


Salam semua...
Dah lama saya tak berbicara bab rawatan bekam, kali terakhir adalah lebih setahun lalu iaitu di dalam posting Rawatan Bekam - Siri 3. Semuanya gara-gara kehilangan softcopy buku Rawatan Bekam yang saya susun hampir 5 tahun lepas. Hari ini entah apa mimpinya, saya kembali berminat mencari-cari topik bekam di sekitar laman web. Ahlamdulillah, nampaknya rawatan bekam dah mulai diterima oleh masyarakat. Semakin ramai yang mencuba kaedah ini dan menyarankannya kepada rakan taulan. Sebagai perawat bekam yang dah 'pencen', saya turut bersyukur dan mengharapkan lebih ramai lagi yang akan menceburkan diri sebagai perawat. Jika ada pembaca di sekitar Kuantan ini yang ingin mempelajarinya (secara percuma) atau ingin berkongsi pengalaman....janganlah segan silu menghubungi saya. Di bawah ini saya sertakan artikel ringkas daripada Utusan Malaysia berhubung kaedah rawatan bekam. Selamat membaca dan wassalam.


Utusan Malaysia 1 Nov 2008. SEREMBAN 31 Okt
. - Seorang pengamal rawatan tradisional di Seremban Jaya dekat sini menawarkan perubatan secara berbekam iaitu salah satu bentuk rawatan alternatif kepada mereka yang menghadapi pelbagai jenis penyakit. Pengamal rawatan tradisional berkenaan, Abdul Hadi Mohd. Isa berkata, sejak beliau menawarkan khidmatnya lima tahun lalu sambutan yang diberikan oleh orang ramai terutama masyarakat setempat amat menggalakkan. Malah, katanya, kebanyakan mereka yang pernah menggunakan khidmatnya akan mengulangi rawatan beberapa kali selepas merasakan keberkesanan rawatan tersebut terhadap penyakit yang dihadapi.''Rawatan ini dengan izin Allah boleh mengubati pelbagai jenis penyakit kecuali Aids dan Hepatitis B. Ia merupakan sejenis rawatan yang telah wujud sejak beribu tahun dahulu. ''Lebih istimewa lagi ia merupakan cara perubatan yang pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para Sahabat baginda. Saya terpanggil untuk meluaskan teknik ini kepada masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah, Abdul Hadi berkata, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi telah menyatakan ketika Rasulullah dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan. Beliau berkata, fungsi bekam adalah untuk mengeluarkan darah kotor yang mengandungi toksid dan jika dibiarkan boleh merosakkan sistem badan. ''Toksid adalah endapan racun yang tidak boleh ditapis oleh tubuh manusia. Ia berpunca daripada pencemaran air dan udara, zat pewarna dalam makanan, pengawet, perisa makanan, sayur yang diracun serta gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan menagih dadah. ''Bagi menghilangkan toksid rawatan secara berbekam adalah cara paling sesuai.
Ia selamat tanpa kesan sampingan yang ketara," katanya lagi. Beliau berkata, secara umumnya terdapat empat jenis bekam iaitu bekam basah, bekam kering, bekam luncur dan bekam tarik. ''Bekam basah bertujuan mengeluarkan darah kotor, bekam kering adalah untuk keluarkan angin manakala bekam luncur bertujuan melancarkan perjalanan darah di bahagian kedua urat belikat.''Kaedah bekam tarik pula digunakan untuk menghilangkan sakit kepala," katanya lagi. Mengenai alat untuk berbekam pula beliau menggunakan alat bekam moden yang perlu dipastikan tahap kebersihannya setiap masa bagi mengelakkan jangkitan. ''Setiap kali selesai digunakan alat tersebut akan direbus di dalam air mendidih 100 darjah Celsius selama 15 minit bagi menjamin kebersihannya. Sarung tangan dan jarum yang telah digunakan akan dibuang," ujarnya. Berhubung caj yang dikenakan, beliau berkata, setiap rawatan dikenakan bayaran sebanyak RM60. ''Namun begitu jika pesakit saya di kalangan mereka berpendapatan rendah saya tidak akan kenakan bayaran tetap sebaliknya mereka boleh membayar setakat mereka mampu," tambahnya.

Saturday, March 7, 2009

Raja kertas...


Salam semua...
Maka tersebutlah kisah pada hari ini berhimpunnya sekelian rakyat jelata yang hina dina merentasi gelombang pahlawan berkepala merah yang taat lagi patuh kepada Raja. Rajanya itu bukanlah sekadar pemerintah negara, bukan Raja Melayu yang sedang murka kununnya diderhaka, bukan juga Raja Kapoor si filem star dan sudah barang tentu pasti bukannya raja spade permainan poka. Raja kepada sekelian pahlawan gagah perkasa lagi taat perintah ini adalah raja kertas.

Raja kertaslah yang memerintah mereka supaya melakukan segalanya. Raja kertas juga yang menyuruh mereka menyembur pemedih mata di Masjid Negara dan menangkap sesiapa sahaja yang derhaka. Raja kertas adalah bisa segala bisa, puaka segala puaka dan raja segala raja. Bikin orang hilang kawalan, kewarasan, teman, kesopanan dan kasih sayang. Mereka bahkan sanggup gadaikan masa depan anak bangsa dengan alasan kununnya nak majukan negara. Sila klik di sini untuk mengetahui apa yang bakal dipersoalkan oleh anak cucu kita nanti.



Porahhhhhhh....hanya kerana kepingan kertas bedebah, manusia sanggup gadaikan maruah. Lupa mana benar mana yang salah, lupa nak taat perintah Allah. Malang sungguh kepada pengikut raja kertas ini, malang yang tak ke sudah. Serangkap peribahasa moden dari saya, "Harimau mati tinggalkan belang, manusia mati pecah tembelang". Sekian dulu wassalam.

Friday, March 6, 2009

Angan-angan ku di suatu masa...

Salam semua...

Ketika posting ini dicatat, saya baru sahaja pulang daripada kedai gunting rambut. Terasa seronok pula dapat berbual dengan tukang gunting yang dah bergelar 'tokey' dalam usia 20an. Beliau pun agak sama seronoknya mendapat pelanggan yang bergitu tekun dan berminat mendengar kisah asal-usul kerjayanya bermula. Kerjaya yang sebenarnya pernah menjadi salah satu daripada 3 cita-cita saya ketika kecil. Namun dek kerana terlebih 'study', cita-cita tersebut berkubur secara rasmi....secara tak rasmi masih ada sebenarnya. (Antara tugas tak rasmi saya kini adalah menggunting rambut emak, isteri, Fateh, anak-anak saudara sehinggalah ke bapak mertuaku yang berada di kampung )

Saya sukakan seni, dan senilah yang kuat mendorong setiap kali tangan ini memegang gunting atau mesin rambut. Apabila sesekali berkesempatan melihat para pramugari bergaya semasa di dalam penerbangan, gaya rambut merekalah yang cuba saya jelmakan semula kepada emaknya si Fateh. Pendandanan saya tidaklah sehebat mana pun , namun perasaan seronok (atau lebih kepada syok sendiri) timbul setiap kali melihat kerja seni yang terhasil. Cerita bab bergunting ni, teringat pula kisah semasa di kampus. Semasa 3 tahun mengikuti latihan ROTU, rambut kami semua perlu ditebas setiap minggu. Antara penebas rambut tersohor ini termasuklah mereka-mereka yang kini dah bergelar Dr (PhD)...wow!

Mulia sebenarnya kerjaya penggunting ni, namun tak ramai pula yang menaruh minat atau bercita-cita untuk menjadikannya sebagai suatu kerjaya. Kepada pembaca yang nak ada niat nak mengubah kerjaya atau kepada yang masih mencari-cari kerjaya sesuai, cuba-cubalah berjinak memegang gunting. Kalau tak dapat jadi tukang gunting profesional pun, gunting ajalah rambut anak-anak kat rumah tu. Duit jimat, badan tak penat, masa cepat, pahala pun dapat. Dah kerap saya cadangkan kepada saudara mara di kampung untuk mempertimbangkan kerjaya sebagai tukang gunting, satu pun tak lekat. Orang lagi suka makan gaji daripada jadi 'tokey', ramai juga yang memandang tukang guntuing sebelah mata. Sedangkan, hakikatnya kerjaya tukang gunting ni 'masyuk baguih punya dok ada'. Anda tak percaya?...emm percayalah. Sekian dahulu, wassalam.