Friday, March 6, 2009

Angan-angan ku di suatu masa...

Salam semua...

Ketika posting ini dicatat, saya baru sahaja pulang daripada kedai gunting rambut. Terasa seronok pula dapat berbual dengan tukang gunting yang dah bergelar 'tokey' dalam usia 20an. Beliau pun agak sama seronoknya mendapat pelanggan yang bergitu tekun dan berminat mendengar kisah asal-usul kerjayanya bermula. Kerjaya yang sebenarnya pernah menjadi salah satu daripada 3 cita-cita saya ketika kecil. Namun dek kerana terlebih 'study', cita-cita tersebut berkubur secara rasmi....secara tak rasmi masih ada sebenarnya. (Antara tugas tak rasmi saya kini adalah menggunting rambut emak, isteri, Fateh, anak-anak saudara sehinggalah ke bapak mertuaku yang berada di kampung )

Saya sukakan seni, dan senilah yang kuat mendorong setiap kali tangan ini memegang gunting atau mesin rambut. Apabila sesekali berkesempatan melihat para pramugari bergaya semasa di dalam penerbangan, gaya rambut merekalah yang cuba saya jelmakan semula kepada emaknya si Fateh. Pendandanan saya tidaklah sehebat mana pun , namun perasaan seronok (atau lebih kepada syok sendiri) timbul setiap kali melihat kerja seni yang terhasil. Cerita bab bergunting ni, teringat pula kisah semasa di kampus. Semasa 3 tahun mengikuti latihan ROTU, rambut kami semua perlu ditebas setiap minggu. Antara penebas rambut tersohor ini termasuklah mereka-mereka yang kini dah bergelar Dr (PhD)...wow!

Mulia sebenarnya kerjaya penggunting ni, namun tak ramai pula yang menaruh minat atau bercita-cita untuk menjadikannya sebagai suatu kerjaya. Kepada pembaca yang nak ada niat nak mengubah kerjaya atau kepada yang masih mencari-cari kerjaya sesuai, cuba-cubalah berjinak memegang gunting. Kalau tak dapat jadi tukang gunting profesional pun, gunting ajalah rambut anak-anak kat rumah tu. Duit jimat, badan tak penat, masa cepat, pahala pun dapat. Dah kerap saya cadangkan kepada saudara mara di kampung untuk mempertimbangkan kerjaya sebagai tukang gunting, satu pun tak lekat. Orang lagi suka makan gaji daripada jadi 'tokey', ramai juga yang memandang tukang guntuing sebelah mata. Sedangkan, hakikatnya kerjaya tukang gunting ni 'masyuk baguih punya dok ada'. Anda tak percaya?...emm percayalah. Sekian dahulu, wassalam.



No comments: