Monday, May 16, 2011

Silalah datang curi lagi yer!

Salam semua,


Hari ini saya ingin kongsikan satu kisah bab pencuri yang sedikit pelik tapi tak ajaib...Kisah ini saya dengar dalam satu ceramah yang disampaikan oleh Dato' Tn Ibrahim Tn Man.


Pada suatu hari, seorang perompak dari daerah asing telah memasuki kota Baghdad untuk aktiviti rutinnya . Setelah puas mencari mangsa, dia masuk ke sebuah rumah yang tak berpenghuni di pinggir kota. Namun perompak tu merasa kecewa sebab tidak ada barang berharga dalam rumah itu. Hanya beberapa kain kasar dan sedikit barang keperluan. Ketika perompak itu sedang membungkus barang-barang yang dicurinya, datanglah seorang tua dibelakangnya dan melihat aktiviti haramnya itu. Namun, si tua tadi sebaliknya membantu perompak itu membungkus kain baju sambil berkata , "Tentu susah untuk engkau bawa barang itu berseorangan, biar aku tolong kamu membawanya". Perompak itu pun bersetuju dengan cadangan pakcik tua ini.


Setelah selesai membungkus, mereka berdua keluar berjalan ke tempat persembunyian si perompak. Sampai di tempat persembunyiannya ,dia pun memberi sedikit hasil curinya kepada pakcik tua sebagai tanda terima kasih. Tetapi pakcik tua itu menolak dengan baik sambil tersenyum dan berkata, "Sebenarnya akulah tuan rumah yang kamu curi itu. Aku beranggapan kamu tentunya sangat miskin dan terpaksa mencuri sebagai keperluan kamu. Tak mengapalah, kamu lebih memerlukannya berbanding aku". Perompak itu kebingungan lantas terus meminta maaf kepada pakcik tua tersebut...Malah si pakcik tua sempat berpesan seblum pulang agar si perompak datang lagi ke rumahnya jika ada keperluan tambahan.


Tak lama kemudian, si perompak tersebut pergi ke rumah jiran berdekatan dengan rumah itu dan bertanya siapakah sebenarnya pemilik rumah yang dimasukinya. Lalu jiran itu berkata rumah itu adalah rumah Junaid Al Baghdadi, seorang hamba Allah yang soleh dan terkenal di kampung itu. (Beliau juga merupakan salah seorang Wali Allah yang mahsyur kisahnya). Akhirnya perompak tersebut pergi mendapatkan Junaid memohon maaf serta bertaubat.


Kisah ini bukan sekadar untuk menjadi iktibar kepada kita, cubalah setidak-tidaknya berfikiran positif sebagaimana Junaid. Jikapun kita tidak mampu sesabar beliau, minda kita boleh jadi positif tahap Wali! Sekian dahulu, wassalam.

No comments: