Wednesday, May 25, 2011

The USD1.2b guy...Tony Hsieh, eh banyak tu...



Salam semua,


Sehari dua ini saya tak sempat nak menulis kerana terlalu asyik melayan buku. Beberapa buku yang saya pinjam dan ada pula yang baru dibeli di pekan Kuala Terengganu. Antaranya adalah buku karangan Tony Hsieh bertajuk 'Delivering Happiness'. Saya membeli buku ini dengan niat untuk mencari idea, setidak-tidaknya untuk hobi baru saya bagi beberapa tahun ini. Saya sedang berkira-kira untuk menjadi penulis sambilan. Biarpun cadangan asalnya hanyalah untuk menulis sebuah buku ringkas, yang santai dan mudah bahasanya. Buku yang berkonsepkan kehidupan yang berteraskan keikhlasan dan makna...

Mungkin bagi sesiapa yang mengenali Tony sedar betapa jauhnya beza falsafah yang dipegang oleh Tony, namun ada kebaikan juga di dalam tulisan santainya yang menjadi best seller di US. Bagi pembaca budiman, doakan muga saya diberi kekuatan untuk berkarya kreatif . Sekian dahulu, wassalam.


Thursday, May 19, 2011

Pengajaran dari seekor anjing...

Salam semua,

Adakalanya di dalam hidup, kita perlu belajar daripada kisah binatang. Malah di dalan Al Quran juga terdapat beberapa kisah pengajaran melibatkan labah-labah, semut bahkan unta sekalipun. Hari ini saya ingin kongsikan kisah seekor anjing bernama Faith yang cukup istimewa, semangatnya mengalahkan manusia. Saya tak mahu mengulas panjang mengenai keistimewaan anjing ini, anda lihat sendirilah klip video di bawah yer...Sekian dahulu selamat menonton, wassalam.




(Moral kisah ini: Jika seekor anjing mampu berjaya, masakan pula manusia)

Tuesday, May 17, 2011

Bukan susah nak 'Hepi'!


Salam Semua,


Hari ini saya habiskan seharian membaca buku hebat karangan Andrew Matthews bertajuk Follow Your Heart. Bukan sahaja beliau hebat dalam ilmu pembinaan insan, kartun lukisannya pun sangat mempesona. Tersangatlah bagusnya isi kandungan buku ini, sehinggakan saya bercadang untuk menjadikannya hadiah kepada beberapa kenalan dan saudara. Bagi yang belum membacanya, silalah ke kedai berhampiran untuk mendapatkan mutiara ilmu yang amat bernilai ini. Saya mula tergerak untuk menjadikan material ini menjadi bacaan umum (umat Melayu) dengan sedikit olahan. Insya Allah, ada jalannnyaaaaa...Bak kata Maher Zain. Bagi yang ingin mengetahui kebaikan buku ini, carilah di kedai-kedai buku berhampiran, pasti tak rugi untuk jadikan ia sebagai sumber ilmu yang amat bermanfaat. Sekian, dahulu wassalam.


Monday, May 16, 2011

Silalah datang curi lagi yer!

Salam semua,


Hari ini saya ingin kongsikan satu kisah bab pencuri yang sedikit pelik tapi tak ajaib...Kisah ini saya dengar dalam satu ceramah yang disampaikan oleh Dato' Tn Ibrahim Tn Man.


Pada suatu hari, seorang perompak dari daerah asing telah memasuki kota Baghdad untuk aktiviti rutinnya . Setelah puas mencari mangsa, dia masuk ke sebuah rumah yang tak berpenghuni di pinggir kota. Namun perompak tu merasa kecewa sebab tidak ada barang berharga dalam rumah itu. Hanya beberapa kain kasar dan sedikit barang keperluan. Ketika perompak itu sedang membungkus barang-barang yang dicurinya, datanglah seorang tua dibelakangnya dan melihat aktiviti haramnya itu. Namun, si tua tadi sebaliknya membantu perompak itu membungkus kain baju sambil berkata , "Tentu susah untuk engkau bawa barang itu berseorangan, biar aku tolong kamu membawanya". Perompak itu pun bersetuju dengan cadangan pakcik tua ini.


Setelah selesai membungkus, mereka berdua keluar berjalan ke tempat persembunyian si perompak. Sampai di tempat persembunyiannya ,dia pun memberi sedikit hasil curinya kepada pakcik tua sebagai tanda terima kasih. Tetapi pakcik tua itu menolak dengan baik sambil tersenyum dan berkata, "Sebenarnya akulah tuan rumah yang kamu curi itu. Aku beranggapan kamu tentunya sangat miskin dan terpaksa mencuri sebagai keperluan kamu. Tak mengapalah, kamu lebih memerlukannya berbanding aku". Perompak itu kebingungan lantas terus meminta maaf kepada pakcik tua tersebut...Malah si pakcik tua sempat berpesan seblum pulang agar si perompak datang lagi ke rumahnya jika ada keperluan tambahan.


Tak lama kemudian, si perompak tersebut pergi ke rumah jiran berdekatan dengan rumah itu dan bertanya siapakah sebenarnya pemilik rumah yang dimasukinya. Lalu jiran itu berkata rumah itu adalah rumah Junaid Al Baghdadi, seorang hamba Allah yang soleh dan terkenal di kampung itu. (Beliau juga merupakan salah seorang Wali Allah yang mahsyur kisahnya). Akhirnya perompak tersebut pergi mendapatkan Junaid memohon maaf serta bertaubat.


Kisah ini bukan sekadar untuk menjadi iktibar kepada kita, cubalah setidak-tidaknya berfikiran positif sebagaimana Junaid. Jikapun kita tidak mampu sesabar beliau, minda kita boleh jadi positif tahap Wali! Sekian dahulu, wassalam.

Wednesday, May 11, 2011

Menganjak paradigma...mengolah minda

Salam semua,

Semasa di Penang Port saya sempat menjadi jurulatih untuk beberapa sesi program "Perubahan Minda". Banyak kenangan pahit manis yang dikongsi oleh rakan sekerja samada berbentuk pengalaman ataupun sekadar luahan perasaan. Di sebalik mengajak peserta kursus mengubah paradigma masing-masing, ia turut membuka peluang kepada saya menganjak paradigma diri.

Anjakan paradigma bukanlah perkataan ajaib yang boleh mengubah kehidupan manusia. Paradigma bukanlah sejenis sel yang hidup melata di dalam tubuh manusia. Paradigma tidak terjual di farmasi atau diiklankan semahsyur iklan ubat kuat di internet. Paradigma tidak memberi makna andai kita masih kuat berpegang pada dahan 'zon selesa'. Paradigma langsung tak bernilai andai kehidupan kita sekadar mencari salah orang lain dan membaca gossip di akhbar.

Anjakan paradigma memerlukan perubahan minda dari dalaman yang mencetuskan tindakan luaran. Anjaklah paradigma diri, agar kita dapat melihat dunia ini dengan pandangan kerohanian. Anjaklah paradigma diri, agar kita mengalih tumpuan hidup daripada mendapat penghargaan manusia kepada penghargaan Ilahi. Anjaklah paradigma diri, agar kita lebih suka memberi daripada diberi. Anjaklah paradigma diri, selagi peluang masih terhidang di dunia ini sebelum dijemput mengadap Ilahi...sekian dahulu wassalam.




Friday, May 6, 2011

Aku orang besar, naik kereta besar, duduk rumah besar...

Salam semua,


Terkadang kita pernah berangan-angan betapa seronoknya menjadi orang 'besar-besar', dapat naik kereta besar, tinggal pula di dalam rumah yang besar. Seronok dengan kebesaran itu, kita seolahnya lupa ada makhluk lain yang lebih besar dari kita, tak kira sehebat mana kebesaran kita.

Biarpun begitu, bukanlah bermakna tak boleh berwawasan besar untuk berjaya. Yang dilarang hanyalah 'perasan besar' dan bersifat sombong. Jika berpangkat besar, kereta pun besar, rumah lebih lagi besar, namun tetap merendah diri bersujud kepada Ilahi, tiada kebesaran yang boleh menguasai kita melainkan kebesaran Allah jua semuanya.

Jika ada yang masih nak juga berasa besar, cubalah cari kebesaran itu di peta Malaysia, kemudian cari di peta dunia, cari pula di peta alam...Andai gagal ditemui semuanya, bawa-bawalah beristighfar...Sekian dahulu, wassalam.


Wednesday, May 4, 2011

Satu dari 300 juta...



Salam semua,

Hari ini saya nak ajak pembaca budiman untuk berangan sambil mengambil iktibar. Cuba bayangkan anda sedang berenang bersama-sama 10 orang pesaing di dalam satu kolam dan anda sedang mendahului, menarik bukan? Bayangkan pula 10 orang pesaing anda bertambah menjadi 300 juta di dalam kolam yang lebih besar. Emmm, 3 juta sahaja terlalu banyak untuk dibayangkan, betapa pula 300 juta, kelam kabut jadinya. Bayangkan pula akhirnya andalah yang menjadi juara dalam persaingan sengit ini, wow!

Siapa sangka, kita sebenarnya pernah mengalami keadaan ini suatu ketika dahulu. Suatu ketika dahulu, kita semua adalah juara yang telah mengatasi hampir 300 juta pesaing di dlam rahim ibu. Sungguhpun belum diberikan nyawa, namun kita telah dianugerahkan dengan sifat-sifat kekuatan yang sangat hebat! Mengalahkan 300 juta pesaing bukanlah satu satu kekuatan biasa yang patut kita sesiakan setelah dilahirkan. Namun ia juga bukan satu alasan untuk kita berbangga diri dan berasa hebat tak bertempat!

Allah jadikan manusia hebat kerana amanah yang diberikanNya juga berat. Ilmu Allah yang Maha Tinggi lebih mengetahui proses kelahiran manusia daripada 300 juta sperma yang dipancarkan itu akan bersaing untuk terpilih untuk disenyawakan dan dimasukkan Ruh. Maka patutkah kita tidak bersyukur di atas nikmat ini? Siapakah kita yang menjadikan dirinya hanya lahir untuk sekadar memberatkan bumi? Siapakah kita yang sanggup mensesiakan segala nikmat ini hanya untuk hidup sekadar mencari makan seharian seumpama haiwan? Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah, ambillah iktibar untuk menginsafi diri sendiri Insya- Allah. Sekian dahulu buat malam ini, wassalam.