Thursday, February 10, 2011

Minggu ceramah...

Salam semua,

Sepanjang minggu ini secara kebetulan saya kerap pula dijemput berceramah. Bermula dengan ceramah kerjaya di SEMSAS, disusuli ceramah kesihatan rawatan bekam di tempat kerja. Hari ini saya diminta pula memberi taklimat HSE di Institut Latihan Perindustrian, Gebeng. Kebiasaannya rutin sebegini jarang sekali berlaku, entah apa hikmahnya? Penatnya memang terasa tetapi seronok pun ada.

Saya bukanlah pandai sangat bercerita, apatah lagi untuk bercakap secara terbuka. Setiap ceramah saya sahaja ada perkataan yang sepatutnya tak diperkata, pasti juga ada perkataan yang keluarnya tak disengaja. Harapnya saya akan lebih berhati-hati di lain masa, lebih teliti dalam menyampaikan berita. Seronok sangat apabila melihat seseorang yang apabila di atas pentas perkataannya mulia, perbuatannya bersahaja malah mampu pula membuat para hadirinnya terpesona.

Update: Selepas Solat Isya'

Sebenarnya sejak di Tanah Suci lagi saya berniat untuk menyampaikan ceramah sedemikian sambil berkongsi-kongsi pengalaman. Saya tak pandai berkuliah persis seorang ustaz, bahkan nak jaga diri sendiripun sekadar cukup syarat. Namun saya minat berkongsi ilmu sekadar untuk mereka yang berminat.

Cemburu sungguh saya melihat kesungguhan Prof Muhd Kamil Ibrahim yang giat berceramah setelah kepulangannya dari tanah suci Mekah. Betapa beliau sanggup bersusah payah demi untuk menunaikan tuntutan berceramah. Beliau bukanlah sebarang pendakwah, bagi saya beliau seumpama Wali Allah. Sukar sekali di zaman ini untuk menemui manusia yang berpangkat tinggi namun egonya rendah. Lebih sukar untuk mencari manusia sedemikian yang begitu komited untuk beribadah serta berdakwah. Saya sangat cemburu dengan Prof Kamil...mudah-mudahan saya mampu segigih beliau satu hari nanti Insya Allah.

Cemburu juga bila menonton klip video di bawah ini, melihat kepetahan si penceramah kegemaran, bro Yusuf Estes. Kepada semua pembaca budiman, selamat bersiaran, wassalam...


No comments: