Salam semua...
Alhamdulilah, dah 3 minggu saya dinaikan sket pangkat menjadi Tuan Sarjana. Bukan sarjana pendidikan dan bukan juga Tuan Sarjan ala-ala Sarjan Hassan. Tuan Sarjana ini adalah anugerah Ilahi setelah lahirnya anak ketiga yang sekian lama dinanti-nanti. Anak yang lahir tanggal hari Jumaat di bulan Zulhijjah, kami namakan puteri sulung ini Maryam A'qilah. Muga sifat mulia Maryam binti Imron, satu-satunya wanita yang namanya tersebut di dalam Al Quran ini dimiliki oleh si puteri. Ameeen...
Sejak Maryam A'qilah lahir, saya sering teringatkan arwah 'bapak' yang bersemadi di dalam dunianya. Saya teringatkan betapa arwah bapak sangat sayangkan anak-anaknya. Anak-anak bapak diajar cara memancing di lautan, menjala di sungai, menyembelih di reban, bercucuk tanam di kebun, bersilat di gelanggang, masak-memasak di dapur dan lain-lain kemahiran hidup termasuklah memperbaiki alatan rumah. Saya sejak dahulu (selaku anak kedua*) cuba sedaya mungkin untuk mendapatkan semua kemahiran tersebut. Hinggalah ke hari ini, saya baru tersedar betapa saya cuma mahir dalam bidang tertentu sahaja.
Seorang rakan sekerja saya pernah berkata,"Zam semua adik beradik-kita sebenaqnya membentuk diri kita. Apa yang depa buat dan tak buat akan bentuk diri kita pada hari ini". Rupa-rupanya, benar sangatlah apa yang dikatakan oleh rakan saya itu. Semua sikap samada baik atau buruknya pada satu keluarga seolahnya satu keseimbangan yang berlangsung di dalam keluarga tersebut. Pepatah orang tua ada berkata, "dalam setandan buah, adalah yang buruknya". Betapa benar pepatah ini, dan saya kini melihatnya dengan perspektif yang baru!
Dahulu, saya sering 'naik angin' jika ada perkara yang kurang menyenangkan berlaku di dalam keluarga melibatkan adik-beradik kami berempat. Kini, saya melihatnya sebagai satu proses untuk membentuk 'keseimbangan' hidup. Setiap yang berlaku adalah keperluan dan peluang yang diciptakan Ilahi khas untuk kita hidup secara 'seimbang'. Kini saya lebih memahami keindahan malam bersilih terang, kedamaian sunyi pagi bersilih riuh tengahari, keenakkan santan besilih basi, kesedapan manis bersilih pedas, keharuman bunga bersilih busuknya tandas, kehijauan alam bersilih bencana, kekayaan harta bersilih papa, dan segala keseimbangan yang membuatkan kita dapat merasai kebaikan di sebalik segala kekurangan.
Biarpun agak lambat aku belajar dari pelajaran kali ini, biarpun aku cuma sedar setelah lahirnya si puteri, biarpun aku dahulunya sombong dan berlagak baik dalam serba serbi, biarpun aku telah cuba menafsirkan sesuatu yang belum tentunya pasti...Saya cuba untuk belajar sesuatu malam ini, "tanpa mereka, siapalah diriku ini..."Ya Allah, Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, Kau bukalah pintu hidayah Mu buat diriku dan kaum keluarga ku, agar kami menjadi anak-anak yang soleh dan dapat menyenangkan hati ibu-bapa kami", ameeen...Sekian dahulu buat malam ini, wassalam.
* Anak kedua mempunyai kebiasaan sebagai seorang pesaing di dalam sesuatu keluarga.
No comments:
Post a Comment