Saturday, October 3, 2009

Berniaga Kembali...Ayuh Hidup Sihat!

Salam semua....

Sedar tak sedar, dah hampir dua bulan saya tak 'update' blog. Bukan sibuk yang menghalang, bukan masa yang membatasi...saya sebenarnya kurang motivasi. Motivasi yang semakin membasi dek kerana terlalu membaca blog politik yang sukar untuk dilepaskan setiap kali menyentuh laptop. Cerita demi cerita, andaian demi andaian, tuduhan tak pernah padam, semua pihak tak nak kalah, semua pihak nak tunjuk handal, sesama kawan kata hang aku, rakyat jelata haru biru.

Tambahan pula ketika balik beraya di Alor Setar 'Bandaraya Sampah' bebaru ni statusnya masih kekal seadanya, pi mai pi mai duk tang tu jugak. Habislah pahala puasa saya duk mengutuk si juara sampah sewaktu dia tak jadi YB dulu....hampeh duk ada. Namun dengar katanya, Alor Setar akan berseri semula November ini. Janji yang diberikan oleh MB Kedah, untuk menyelesaikan masalah sampah menyampah ini. OK la tu, janji boleh selesai harapnya...jangan janji tinggai janji, masuk buah keluar biji....

Sebenarnya di sepanjang 2 bualan saya menyepi, saya sibuk mentelaah kaedah untuk kembali berniaga. Dah lama sangat saya tak berniaga, biarpun itu adalah cita-cita utama saya setelah bergelar mahasiswa. Portal mudah.my sentiasa dikunjungi untuk melihat barang-barang yang sering diiklankan, dan saya turut sesekali mengiklankan beberapa produk untuk 'test market'. Saya juga turut membaca tulisan beberapa penulis seperti Chef Li dan Azizi Ali untuk mendapatkan kembali 'feel' menjadi peniaga. Bukan duit yang menjadi dorongan, minat terhadap perniagaan sebenarnya yang membuatkan hati ini sentiasa terpaut untuk kembali 'aktif' seperti dulu-dulu.

Sejak bersekolah lagi saya aktif berniaga, bermula di stadium Darulaman kemuadian di tapak pesta, saya menjual belon dan pelbagai jenis kekacang. Semasa di universiti juga tak kurang hebatnya bisnes juga yang saya majukan, dengan menjadi 'tokey' kertas A4, perkhidmatan photostat, makanan segera tak segera pun ada, macam-macam adaaa.....Habis je belajar saya terus membuka bisnes kecil-kecilan dengan modal sendiri, kedai photostat dan perkhidmatan lain yang sewaktu dengannya. Sayang sekali, bisnes hanya mampu bertahan setahun sahaja setelah saya mendapat tawaran berkhidmat di Penang Port. Semasa di Penang Port juga minat berniaga masih membara, masa terluang dihabiskan dengan membungkus kekacang dan keropok untuk dihantar ke kedai dan kantin kilang. Pendek kata, namakan apa saja produk keperluan harian, saya pasti tahu harga borongnya ketika itu. Kini, semuanya tinggal kenangan....

Dengan kesibukan dan penat lelah di pejabat dan masa yang diluangkanbersama keluarga, saya selesa sekadar menjadi pembeli semata-mata. Sesekali geram juga untuk kembali berniaga, namun dipendamkan sahaja cita-cita itu menjadi angan-angan. Sehinggalah sejak sebulan lepas setelah saya membaca satu buku karangan Chef Li bertajuk OKB, Orang kaya Bertaqwa. Saya seolahnya seperti dikejutkan dari mimpi. Mimpi yang membuai diri ini semenjak mendapat rezeki berganda menerusi pekerjaan baru dan anak pinak. Saya terasa perlu untuk melakukan sesuatu untuk memenuhi impian dan cita-cita.

Mungkin ada hikmahnya saya masih belum bergelar peniaga sepenuh masa, namun berazam untuk kembali ke gelanggang asal sebelum di mamah usia. Buat masa ini, biarlah saya usahakan dahulu perniagaan yang saya minati secara sambilan dan masa hadapan saya serahkan kepada yang Esa untuk menentukan. Saya masih setia bersama majikan dan saya juga masih bersemangat untuk meneruskan tugasan harian. Perniagaan hanyalah usaha sampingan untuk mengisi ruang kosong yang terluang sambil membantu mereka yang memerlukan. Insya Allah saya akan sediakan perkhidmatan "berbekam" di sekitar kawasan bandar Kuantan ini sebagai permulaan. Inilah langkah pertama saya untuk kembali berniaga...doakan saya maju jaya. Sekian dahulu, wassalam.

No comments: