Tuesday, January 27, 2009

Salam Buat Para Pejuang...



Salam semua....
Nampak gayanya saya perlu lebih kuat bermujahadah untuk mengadap komputer sejak bermulanya tahun 2009. Biarpun Israel dah angkat bendera putih di Palestin, nafsu dan syaitan kat dalam diri ini tak penah-pernah jemu menghalang posting baru keluar dari laman abu-alfateh. Kerap kalinya saya hanya tewas dengan dugaan kepenatan bekerja dan masa di hujung minggu pula dihabiskan bersama keluarga. Cumanya malam ini semangat untuk menulis kembali segar. Sesegar hirupan Kopi Radix "Mai Secawannn"...yang baru dinikmati sebentar tadi.

Namun sebenarnya 'cas' ini mungkin disebabkan semangat setelah pulang daripada majlis 'Solat Hajat dan Ceramah Perdana Palestin di Stadium Sultan Abdul Halim yang jaraknya cuma 500 meter daripada rumah saya di Taman Wira Mergong. Berkat doa beramai-ramai di tengah padang mungkin telah menggerakkan hati ini untuk kembali menaip. Selain berdoa, infaq dan boikot, satu lagi kudrat yang termampu dilakukan adalah sebaran semangat secara penulisan. Harapnya tiupan semangat kali ini akan dapat mengatasi perasaan letih dan mengantuk yang menyerang diri setaip kali hati ini terdetik untuk memblog.

Sambil berjalan pulang tadi juga, saya terfikir seorang diri perihal kempen boikot yang masih giat dilaungkan. Tanpa ingin menyalahkan orang lain, saya merujuk kepada diri sendiri yang masih kekal dengan produk lampin Huggies dan susu Lactogen yang syarikat pengeluarnya tersenarai sebagai penyokong Yahudi. Di saat saya mencemuh di dalam hati kepada para perokok yang tak pernah jemu penyumbang dana peluru dan bom kepada Yahudi, saya sendiri sebenarnya sudah hampir 19 bulan menyumbang ke dana yang sama. Pohon bantuan pengunjung budiman sekelian untuk memberikan maklumat alternatif yang bersesuaian bagi 2 produk penting ini untuk kita kongsikan kepada semua rakan bloggers yang lain. Sekian dulu buat malam (pagi) ini....saya nak mulakan pencarian di Goggle kalau-kalau terjumpa sedikit pencerahan. Wassalam.


Thursday, January 8, 2009

Bandaraya Sampah...

Salam semua...

Saya terpanggil untuk menulis perihal pekan Alor Setar yang berstatus "Bandaraya", sejurus membaca satu artikel di Kedah Lanie. Saya agak terkejut dan hampir jatuh kerusi dek kerana membaca tajuk "Masalah Sampah Selesai" di Bandaraya Alor Setar. Sebenarnya, pernah terdetik di hati memberikan gelaran "Bandaraya dalam Sampah" kepada tanah tempat lahir yang ku cintai. Apakan daya, itulah hakikatnya biarpun Alor Setar mendapat pemerintah baru.

Bukan kerana benci kepada pekan Alor Setar, namun saya meluat! Meluat dengan karenah ahli politik tin kosong. Tak perlulah saya nak sebutkan nama, semua penduduk Kedah tentunya masih ingat siapa gerangan yang begitu bangga membawa plastik sampah ke pejabat MBAS suatu ketika sebelum PRU12 dahulu. Namun kini, setelah beliau berjaya terpilih sebagai Ahli Parlimen....sampahnya pun tak kemana. Sejujurnya saya berpendapat, tin kosong sebegini selayaknya jadi ahli politik kedai kopi jer.

Maaflah kepada peminat beliau kerana saya bercakap di atas kepasiti sebagai anak jati Alor Setar. Rumah keluarga saya betul-betul di kawasan pekan Alor Setar maka saya tak perlukan maklumat tambahan sekalipun daripada Harakahdaily untuk mengetahui status sebenar masalah sampah di Alor Setar. Pesan kepada pembaca budiman yang menetap di sana, bawa-bawalah bersabar...Masalah kita ni jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Palestin, tak seberapa pun. Sampah boleh dikawal jika berkemahuan, tin kosong boleh dijual ke kedai kitar semula. Jika ada yang tak puas hati dengan posting ini dan nak tanya saya macam mana nak selesaikan masalah ini, senang je jawapannya..Lu Pikirlah Sendiri.

Antara Telinga dan Mata...


Salam semua...

Dah agak lama saya 'take cover' sejak berpindah di bandar Pekan yang nan indah dan ceria suasananya. Penduduk di Pekan kebanyakannya adalah orang tempatan, maka saya dapat merasakan betapa rakyat Pahang juga sebenarnya ramah tamah dan sangat prihatin . Berbanding di bandar Kuantan yang rata-rata penduduknya adalah penduduk 'bermukim' semata-mata, suasana kejiranan agak kurang meriah.

Namun posting kali ini bukan nak bercerita bab jiran, meriah ataupun orang Pekan. Saya nak berkongsi beberapa isu menarik berkenaan telinga manusia...yer jangan terkejut nooo. Katakanlah anda diminta membuat pilihan antara mata dan telinga, salah satunya perlu di buang. Yang mana satukah pilihan anda...(10 saat dari sekarang). Emmmm saya yakin majoriti akan memilih mata, termasuklah diri ini. Ramai yang menyangka mata terlalu penting sebagai sumber penglihatan dibandingkan dengan fungsi telinga yang nampak seakan tak berapa 'glamour'.

Saya tak nak berhujah panjang lebar dari sudut kepentingan telinga dan mata, kerana kedua-duanya pasti penting buat insan. Namun kita sering melupakan fungsi telinga. Mungkin kerana tak ramai yang menyedari betapa orang pekak sebenarnya lebih tak keruan daripada orang buta. Betapa ramai orang buta yang menjawat jawatan tinggi, menjadi pemimpin, jutawan malah sehinggakan boleh menghafaz Al Quran. Bahkan orang buta juga agak mudah mendapat ihsan masyarakat sekeliling kerana butanya. Bandingkan pula dengan orang pekak, berapa kalikah anda tersempak dengan al-hafiz yang berkeadaan pekak? Malah kebiasaannya, orang pekak menjadi bahan ketawa masyarakat dan kehidupannya jauh lebih sukar dari sudut emosi secara keseluruhan.

Mesej yang ingin saya sampaikan bukanlah untuk membandingkan keutamaan antara buta dan pekak. Saya sekadar nak mengingatkan diri sendiri dan semua pembaca budiman agar menjaga telinga masing-masing. Sebab utamanya adalah pekak tak akan sembuh....buta ada rawatannya malah orang buta lazimnya dikurniakan Allah dengan mata hati. Maka pesanan akhir daripada saya, selamat menjaga telinga. Setiap bunyian yang didengar bakal mengubah sikap dan perlakuan manusia..tak percaya? Percayalah.....wasslam.

Saturday, January 3, 2009

Manusia mudah lupa, atau tak mau beringat...


Salam semua....

Kelmarin saya berkesempatan solat Jumaat di Masjid Balok Makmor dengan isi khutbahnya penuh semangat mengajak para jemaah menghulurkan bantuan kepada saudara kita di Palestin. Khatib dengan penuh emosi menceritakan penderitaan dan perjuangan yang berlaku di tanah bumi Anbiya' itu. Kami sudahi solat Jumaat dengan bersama-sama mengaminkan 'Qunut Nazilah' dengan penuh harapan agar bumi Palestin kembali tenang.

Rasa benci, geram dan marah yang membuak-buak bagaikan memanggil jasad ini untuk turut serta di dalam perjuangan panjang yang telah berlangsung sejak 61 tahun demi membebaskan bumi Palestin. Perasaan bersalah dan malu pada diri sendiri turut menguasai diri ini yang sehingga kini tak terdaya untuk bersama-sama berjuang menentang kezaliman zionis dan para pengikutnya. Mujurlah getaran perasaan itu akhirnya dapat dilepaskan bersama-sama ungkapan doa dibacakan Imam yang menegakkan roma dan menghadirkan gelora.

Namun di sebalik semua yang berlaku di Palestin.....bumi Malaysia juga tak kurang bahangnya. Bahang kerakusan para pencinta keseronokan tanpa batas, kebebasan tanpa sempadan, akhlak yang tak berlandaskan hukum, moral yang tak berlapikkan adat dan hidup yang tak kenal ajal...Semuanya 'boleh' di bumi ini, yang penting 'hidup mau enjoy'....mudah sekali falsafah golongan ini. Samada mereka ini di dalam kejahilan atau mereka sengaja dibiarkan agar menjadi jahil sedemikian rupa, Tuhan sahajalah yang mengetahui.

Saya termenung sendirian memikirkan samada gelora dan bahang di Palestin bakal melanda rakyat Malaysia yang sedang seronok dibuai budaya 'happening' ini....entahlah Wallahu a'lam. Kepada semua pembaca abu-alfateh, marilah kita bersama-sama berdoa agar para Mujahideen di Palestin mendapat bantuan dan rahmat daripada Nya. Agar perjuangan mereka mendapat ganjaran dan pahala, agar ruh mereka yang gugur syahid dibalas dengan nikmat yang berlipat kali ganda dan agar kita di sini tak mudah lupa serta dijauhkan daripada bala dan bencana, ameennn ya Allah. Wassalam......