Monday, June 6, 2011

Projek buku yang tak boleh beku..

Gambar ihsan dari : grantgoboom.deviantart.com


Salam semua,

Dah seminggu saya berperang dengan diri sendiri untuk mendisiplinkan jejemari ini menulis warkah untuk dijadikan sebuah buku, dan seminggu jugalah saya gagal. Sukar juga sebenarnya untuk menjadi penulis. Kena betul-betul ber'azam', bukan sekadar nama jer Azam. Baru sekarang saya tersedar betapa disiplinnya para ilmuan yang rajin menghasilakan karya saban tahun. Betapa sekarang saya sedar betapa saya perlukan kerajinan yang sama dengan sedikit disiplin. Sebenarnya saya sekarang masih gemar membaca daripada menulis. Masih banyak bahan yang ingin dibaca, membuatkan masa saya untuk berkreatif agak terhad. Mungkin saya perlukan 'buah mula' sebagaimana ketika saya mula menceburkan diri dalam dunia blog hampir 4 tahun lepas.

Ketika itu, motivasinya adalah politik. Saya mula memblog di saat gelombang tsunami politik mula dipacu oleh media alternatif. Atas sebab yang sama jugalah saya hampir meninggalkan dunia blog. Saya mula bosan apabila berlakunya fitnah yang hebat di dalam jemaah, apabila kata-mengata menjadi lumrah, apabila masing-masing menulis sambil bermegah-megah. Masing-masing menegakkan benangnya sediri tanpa memikirkan betapa satu dunia sedang memerhati. Saya hampir meninggalkan dunia blog dan semangat untuk memberi kesedaran politik di dalam media alternatif terus padam.

Setelah saya menjejak diri ke bumi Mekah, persepsi politik saya terus bertukar wajah. Betapa tiada warna politik di muka bumi Allah yang patut memisahkan darjat manusia. Betapa ramainya manusia yang tersasar menyalahkan satu sama lain sedangkan kehidupan ini sebenarnya untuk manusia saling berkasih-sayang. Saya sedar dan insaf betapa perlunya kita disedarkan agar tidak bercakaran kerana perbezaan fahaman politik. Biarpun terdapat andaian satu pihak yang dikatakan zalim dan satu pihak lagi sedang memperjuangkan hak rakyat. Saya mula memahami istilah hukum alam yang juga namanya Sunatullah dan senario inilah sebenarnya yang akan sentiasa berulang-ulang di dalam kehidupan manusia.

Namun, hakikatnya semua manusia sangat suka pada kebaikan dan sentiasa berkata dirinya sedang melakukan perkara yang baik atas alasan yang berbeza-beza. Begitulah kisah yang terjadi sejak zaman-berzaman daripada kurun awal hinggalah dunia ini hancur berderai. Sekadar terdaya, saya akan cuba berkongsi kisah-kisah tauladan yang dikutip daripada universiti kehidupan ini untuk dijadikan iktibar buat diri sendiri dan rakan pembaca budiman. Saya berazam mulai malam ini, saya akan mula menulis semuka setiap hari untuk dijadikan buku pertama saya nanti. Doakan agar projek satu buku setahun ini tak menjadi beku bertahun-tahun. Doakan agar kita semua akan menjadi insan yang saling ingat-mengingati, ameeen. Wassalam.

Saturday, June 4, 2011

'Badak' dalam kehidupanku

Salam semua,

Posting kali ini lebih bersifat santai setelah sedikit teruja melihat keputusan pemilihan parti PAS yang baru selesai hari ini. Saya sekadar ingin berkongsi cerita betapa secara kebetulan perkataan 'badak' muncul dalam hidup saya terutamanya sejak akhir-akhir ini.

Arwah ayah saya berasal dari satu kawasan di sekitar pekan Kanchut di Alor Setar yang dinamakan Tambang Badak. Hal ini berlaku telah lebih 40 tahun yang lalu. Sehinggalah 2 tahun lepas, saya ditakdirkan menetap di Kuantan di satu tempat yang bernama Permatang Badak. Setelah mendapat jawatan baru di Terengganu, saya ditakdirkan pula menetap di satu kawasan di pinggir Kuala Terengganu yang dinamakan Gong Badak. Kalu tak silap sayalah, ketiga-tiga istilah nama tempat ini maksudnya adalah sama sahaja...Entahlah banyak la pula badaknya yer. Secara kebetulan juga, 'kuih segera' kegemaran saya juga adalah cucuq badak!

Sekian dahulu posting santai malam ini. Tahniah kepada Abang Mat, dan saya doakan muga kekalahan Ustaz Tn Ibrahim Tn Man bertukar menjadi titik lonjakan buat beliau untuk mengemudi parti PAS satu hari nanti, Insya Allah, Ameen.