Salam semua...
Hari ini INSTEP bakal mengadakan program meraikan anak yatim dan golongan dhaif di sekitar kawasan Batu Rakit. Saya mengambil masa ini sebelum pulang menukar 'jersi' sekadar untuk mengingatkan diri sendiri dan pembaca budiman berhubung perihal pendidikan anak-anak. Satu hal yang kita seringkali terlepas pandang adalah waktu kritikal umur anak dari sejak lahir hingga ke 6 tahun. Kritikal bermakna waktu ini adalah waktu untuk dimasukkan 'software' yang tepat.
Pemilihan 'sotfware' yang salah besar padahnya. Anak-anak di waktu ini akan menerima bulat-bulat apa sahaja yang diprogramkan ke dalam minda mereka kerana mengikut kajian, minda mereka berada pada tahap 'theta'. Tahap ini seumpama seorang yang sedang bermeditasi atau dalam istilah kita, mungkin sedang fana atau 'zauk'. Pada masa ini, pemikiran logik belum kuat di dalam minda, dan mereka sangat mudah menangkap maklumat yang disampaikan.
Anak kecil ini bukan sahaja sangat genius, malah lebih dekat dengan yang Esa kerana bersihnya hati mereka...Jangan pula kita menyangka kerana tubuh mereka yang kecil, anak-anak tidak mengetahui sesuatu apa pun. Saya berpegang bahawa manusia adalah ruh yang berada di dalam suatu jasad. Kewujudan secara ruh ini sudah lama dan hanya menunggu masa untuk ditiupkan ke dalam jasad semasa di dalam rahim ibu. Saya juga berpegang pada pendapat yang menggalakkan kita meminta agak si anak kecil ini berdoa ke hadrat Ilahi untuk sesuatu hajat yang kita perlukan. Masakan tidak, mereka seumpama wali! Putih bersih, suci berseri dan pastinya doa mereka seikhlas hati nurani mereka...
Jika anda inginkan penjelasan lanjut, carilah bahan bacaaan yang bertebaran di alam internet ini. Saya pasti tidaklah rugi untuk kita menghabiskan masa atau wang yang seadanya untuk pendidikan 'minda' anak-anak. Saya maksudkan pendidikan yer, bukan pembelajaran...Saya tidak begitu gemar dengan tindakan sesetengah ibu ayah yang terlalu agresif hal akademik di saat umur anak yang masih setahun jagung. Namun, pilihan di tangan masing-masing, dan setiap manusia membuat pilihan berdasarkan kepercayaannya.